Tuesday, March 20, 2012

Seronok ke bila anak-anak dah besar?

Tengahari ini saya terjumpa seorang teman lama. Biasalah emak-emak....bila jumpa tak ada cerita lain melainkan cerita pasal anak-anak. Teman lama ni pun dulu memang sangat rapat dengan saya, semasa kami sama-sama bertugas dalam satu jabatan, berbelas tahun dulu. Saya dianggap seperti kakaknya sementelah dia tiada kakak. Punyalah rapatnya dia dengan saya sehingga anak sulungnya dinamakan seperti nama anak sulung saya yang ketika itu sudah berusia 6 tahun.

Sedang kami berbual, datang seorang teman lain. Selepas mendengar topik yang sedang kami bualkan, dia berkata : "Seronoknya anak-anak dah besar! Saya ni masih sibuk nak beranak!" Jawab saya : "Tunggulah dulu. Akak pun dulu anak kecik je. Sekarang ni baru merasa anak-anak dah besar."


"Seronok kan anak-anak dah besar?" soal kawan tadi.

"Memanglah seronok, kena pulak anak perempuan. Paling seronok boleh pergi jalan sama-sama, shopping ke, tengok wayang...".

Memang seronok! Dulu masa Fara belum ada lesen, kami keluar menaiki bas atau LRT. Kerap saya ambil cuti setengah hari untuk berjalan-jalan dengan Fara masa dia cuti daripada kuliah. Kami meluangkan masa bersama dengan makan-makan atau menonton wayang. Kadang-kadang shopping.

Bila Fara dah ada lesen, lagi la panjang langkah kami. Hb tidak pernah menghalang, malah suatu kelebihan pula buatnya yang tidak perlu menemankan saya berlama-lama memilih dan membeli pakaian.

Tetapi betul ke satu keseronokan bila anak-anak dah besar? Yang berbeza, anak-anak boleh menguruskan diri sendiri, boleh tolong emak buat kerja rumah, boleh ditinggalkan di rumah bila saya keluar bekerja.

Tanggungjawab emak terhadap anak-anak semakin besar sebenarnya. Bukan mudah mengendalikan anak-anak remaja. Bukan keperluan makan pakai sahaja, banyak lagi yang perlu diberi perhatian.

Kewajipan anak-anak terhadap suruhan agama antara perkara penting yang perlu saya perhatikan. Memang beruntung kalau mempunyai anak-anak yang baik. Tetapi kalau sebaliknya, bukanlah diri tidak beruntung tetapi satu dugaan dan cabaran yang amat besar untuk mengatasinya.

Siapa tidak mahu memiliki kehidupan yang sempurna? Tetapi bukan semudah bercakap. Kekadang di mata orang, hidup kita bagaikan cukup serba-serbi. Bagaikan tidak ada cacat celanya. Hanya yang empunya diri saja yang mengetahuinya.

Saya tidak mahu terlalu memikirkan masa depan anak-anak. Apa yang saya buat sekarang adalah memberi panduan, bimbingan kepada mereka, memberitahu apa yang salah dan tidak patut dilakukan....dan berbagai perkara lagi...

Apa yang pasti dan saya amat yakin sekali, sebagai ibu, selagi ada hayat, selagi itulah kita akan mengambil tahu dan mengambil berat hal mereka. Sekalipun bila anak-anak telah ada kehidupan sendiri, emak tidak akan "melupakan" mereka. Percayalah, tidak ada ibu yang boleh tidur lena selagi anak-anaknya tidak bahagia...

Dan saya juga tidak menafikan, akan ada anak-anak yang melupakan...mengabaikan ibubapa mereka bila telah ada kehidupan sendiri. Ada anak-anak yang lupa untuk mendoakan ibubapa mereka, tetapi ibubapa tidak pernah lupa mendoakan kebahagiaan anak-anak....





No comments:

Post a Comment