Showing posts with label Di Ofis.... Show all posts
Showing posts with label Di Ofis.... Show all posts

Friday, May 24, 2013

Pagi yang indah... II

Hmmm............. Benarlah kata orang, bila kita telah bertungkus-lumus bekerja, tak cukup rehat, menerima tekanan, penat dan lelah, bila mendapat cuti seperti hari ini, terasa sangat nikmatnya!

Petang semalam pun, tatkala badan sedang kepenatan dan tekanan menghimpit diri, mengingatkan yang esoknya (hari ini) cuti hari Wesak, rasa lega dan gembira itu datang mengisi ruang hati. ALHAMDULILLAH.

Seperti hujung minggu lepas, pagi yang sunyi dan damai sebegini saya suka duduk menghadap komputer. Melepas rindu untuk menulis sambil ditemani alunan muzik....

Hb masih belum balik dari berjogging. Saya dah lama tak melakukan aktiviti ini. Anak-anak masih berkurung di bilik masing-masing. Tadi saya telah meminta Fara menggoreng naget dan wadeh. Malam tadi, anak-anak saya tidur lewat...maka lepas subuh sambung beradu. Saya tak perlu menyediakan sarapan untuk mereka.

Nampaknya hari ini saya akan memanjakan diri dengan keluar shopping...(hehehe). Kebetulan ada beberapa keperluan yang patut dibeli. 

Sejak anak sulung saya semakin dewasa dan cekap memandu, maka selalulah saya mengajaknya keluar. Inilah kelebihan anak perempuan, senang diajak berjalan ke pusat membeli-belah, sama-sama tengok baju, kasut, beg tangan....


Saturday, May 18, 2013

Pagi yang indah...

Hari Isnin lepas saya dihantar berkursus di pusat latihan di Bangi... Saya, bila dapat peluang berkursus di Bangi memang gembira sangat. Sebabnya rumah saya dekat dengan pusat latihan dan yang pasti saya tidak perlu meredah kesesakan lalulintas untuk ke pejabat yang biasanya memakan masa satu jam atau lebih.

Pagi Selasa, sampai je di ofis, hmm............ banyaknya keja atas meja!! Petangnya, tanpa pengetahuan sesiapa saya membawa balik sebahagian kerja-kerja saya untuk saya sambung buat di rumah. Walau pun saya tidak suka menggunakan masa yg sepatutnya saya luangkan bersama keluarga untuk membuat perkara lain, saya tak ada pilihan. Saya tak senang hati bila kerja saya lambat saya siapkan. Lebih daripada itu saya tidak mahu mengecewakan orang lain yang mahukan tuntutan mereka dibayar dengan segera. Memang saya diberi tempoh masa yang cukup untuk melaksanakan kerja saya, iaitu 14 hari (dikira termasuk Sabtu & Ahad) untuk setiap tugasan, namun lumrah manusia, mahukan semua benda-benda kebaikan (seperti imbuhan, duit, gaji, bonus...) diterima dengan cepat.

Hal ini berterusan hingga ke petang Khamis. Saya bersengkang mata hingga ke tengah malam menyiapkan sebahagian kerja saya.

Petang semalam, walau pun bebanan kerja di atas meja sudah banyak susutnya, saya masih membawa sebahagiannya pulang ke rumah. Cuma bezanya saya tak perlu menyiapkannya malam tadi.

Malam tadi memang saya jadikan waktu untuk saya betul-betul berehat. Usai makan malam dan solat Isyak, sekitar jam 9.30 malam saya sudah berbaring di katil.  Hati meronta-ronta mahu membaca majalah yang baru saya beli. Saya selak-selak helaian majalah dan melihat topiknya, kemudian saya simpan dan.... tidur....

Pagi ini saya bangun dengan gembira....

Selepas beberapa jam berlalu, saya masih di sini, di depan komputer ini....Waktu-waktu indah yang amat jarang dapat saya nikmati, pagi yang aman dan sunyi, berseorangan di rumah, menghadap komputer, menulis blog, membaca blog, mencari berita & membacanya...

SYUKUR & TERIMA KASIH YA ALLAH atas segala kurniaanMU kepadaku.



Friday, May 10, 2013

Tukar kerja lagi...!!

Berkuatkuasa 2 Mei 2013, saya dan beberapa rakan sekerja mendapat tugasan baru. Tapi dalam beberapa orang tu, saya yang perlu belajar lebih sebab tugasan saya bertukar 100%. Selain itu, saya juga perlu menunjuk ajar rakan yang mengambil alih kerja saya sebelum ini.

Sekali fikir, memang sakit. Saya masuk ke jabatan ini pada 1.10.2012. Saya belajar benda baru, serba serbi baru, langsung tidak ada kaitan dengan tugas saya yang dulu. Di sini saya tertekan kerana kurangnya kerja yang perlu dibuat.

Pertengahan Disember saya ditukarkan ke unit baru. Memang kalut sangat sebab mengejar date line. Jabatan Kewangan la katakan! Nak tutup akaun. Masa tu rasa macam hampir gila, sampai menangis sebab stres sangat. Buat kerja baru tapi tak ada "guru".

Lepas dah mahir dengan kerja-kerja tersebut, kini saya bertukar kerja lagi. Belum pun 5 bulan!! Alasan yang kukuh : kerja yang saya buat sebelum ini bukan kelayakan saya. Saya perlu buat kerja yang lebih sesuai, yang ada lebih tanggungjawab. Saya terima alasan itu.

Masalahnya sekarang : banyak sangat benda yang perlu saya belajar dan kerja-kerja tu sudah mula tiba ke meja saya setiap hari. Walaupun corak kerjanya lebih kurang serupa, tapi semakan yang perlu dibuat adalah berbeza.

(Semalam, terbeban dengan timbunan kerja di atas meja, diam-diam saya membawa kerja tu balik ke rumah. Selepas selesai makan malam, jam 8.45 saya memulakan kerja saya sehingga jam 12.10 tengah malam! Hmm...banyak juga borang tuntutan yang tidak lengkap!)

Dan....walaupun dateline 15 hari, ada yang baru 3 hari saya terima, sudah ada pegawai yang menelefon bertanyakan : Bila boleh dapat claim saya??

Saya faham. Ada yang telah mengeluarkan duit ribuan ringgit untuk menempah tiket kapalterbang untuk tugasan rasmi ke luar negara. Sudah tentulah mereka mahukan duit mereka semula dengan segera. Tapi yang tak adilnya, ada arahan begini : Kalau claim daripada ketua jabatan (HOD), buat dulu!

Ada juga yang buat tuntutan RM200 atau kurang daripada itu dan perlu dibuat segera.

Saya memujuk hati dan saya yakin saya mampu melaksanakan tugas saya dengan sempurna nanti (Inshaa ALLAH). Tapi saya juga tidak menolak kemungkinan yang saya akan ditegur oleh Tuan Haji nanti. Di peringkat awal begini, tentu saja saya tidak dapat "berjalan pantas" lebih-lebih lagi yang melibatkan tuntutan perjalanan ke luar negara. Serba serbi perlu disemak dengan teliti. Kadar tukaran matawang, kelayakan elaun anggota, pembelian baju panas, bayaran tips dan pelbagai lagi.

Tidak mustahil ada yang sedikit lambat menerima bayaran masing-masing. Bila ada rungutan daripada "orang besar" lebih-lebih lagi kalau HOD, memang tidak mustahil saya akan "kena". Mereka tidak akan menerima alasan : staf baru mengambil alih tugas, sebab tu lambat sikit.

Jadi, saya perlu bersedia....

Koala - Gambar sekadar hiasan







Tuesday, April 23, 2013

Semoga kesabaran sentiasa ada....

Saya suka melakukan kerja-kerja saya. Dan semestinya saya suka orang lain pun membuat kerja mereka masing-masing dengan sebaik yang boleh. Bukankah semuanya telah diamanahkan untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing? 

Kerja ini dibayar gaji. Gaji yang kita terima adalah sebagai upah atau ganjaran kerana kita telah menjalankan kerja-kerja yang diberikan kepada kita.

Hari ini saya sangat terkilan dengan sikap seorang rakan sekerja. Rasanya belum pernah hati saya sesakit ini disebabkan oleh perbuatan seorang manusia yang saya kira sungguh tidak bertanggungjawab!

Macam mana seorang yang waras boleh dengan selambanya mengatakan dia "lupa" untuk membuat kerja rutinnya? Dan dengan tiada rasa bersalah melepaskan beban kerja itu kepada saya? Alasannya dia ada kerja yang lebih penting untuk dibuat segera.

Kalau dah tahu ada kerja penting, kenapa dari awal pagi sebaik waktu pejabat bermula, dia tidak memulakan tugasnya? Kenapa membuang masa bercakap perkara yang tidak penting, kemudian boleh pula pergi minum pagi melebihi masa yang ditetapkan? 

Bukan saya tidak nampak pukul berapa dia keluar minum dan pukul berapa masuk semula ke pejabat.

Kalau orang lain boleh menyelesaikan kerja masing-masing, kenapa dia tidak? Kalau orang lain sanggup tidak keluar minum kerana mahu menyiapkan tugasan penting, kenapa dia perlu melebih-lebihkan waktu minum pagi?

Memang saya tersangat marah! Lebih malang kerana saya tidak dapat mengelak daripada melakukan kerja tersebut.

Hanya ALLAH yang tahu betapa sakitnya hati saya.

Memang malang mempunyai rakan yang sebegitu dalam pasukan kerja saya! Ini bukan kali pertama, cuma bezanya yang berlaku kali ini jauh lebih menyakitkan daripada sebelum ini.

Saya akan rela hati membantu orang lain sekiranya dia tidak mampu menyiapkannya sekalipun sudah diusahakan bersungguh-sungguh. Tetapi saya sakit hati bila ada orang yang membuat kerja sambil lewa dan bila tidak siap diminta orang lain menyiapkannya.

Entah berapa ratus kali saya berselawat dan beristighfar memohon supaya saya diberi kesabaran yang sempurna oleh ALLAH SWT.



Thursday, February 28, 2013

Tiada tempat mengadu

Saat saya menulis di sini, saya sedang dilanda kerinduan pada kawan-kawan lama saya, termasuklah bos lama yang saya hormati, Encik F.

Dulu bila ada perkara yang kurang menggembirakan, atau yang mengguris hati, saya sering bercerita dengan "anak" saya, Ros atau pun ketua saya (merangkap BFF saya), Puan D. Adakalanya waktu tengahari bila kami tidak keluar makan, kami baring-baring di ruang kecil yang kami gunakan sebagai ruang solat, bercerita dan meluah rasa, sambil menunggu waktu solat.

Kadang-kadang kami hanya duduk menyandar, merehatkan badan tanpa diganggu oleh sesiapa.

Di sini, di tempat baru ini, saya belum memiliki seorang "teman" pun.... Saya selalu rasa kosong. Memang saya boleh bercerita dengan teman-teman lama saya, tetapi saya teringin mempunyai teman baru di sini, yang boleh mendengar cerita saya atau mungkin sesekali mendengar keluhan saya dan kemudian menyimpannya dengan baik.

Terlalu ramai kawan di sini tetapi saya belum berjumpa yang serasi dengan saya. Malah saya dengan bos di sini (yang jawatannya setaraf dengan Encik F), sangat jauh untuk dibuat perbandingan antara mereka. Saya suka bos yang serius waktu bekerja tetapi boleh bergurau pada waktu-waktu yang lain.

Suasana yang ceria akan membuatkan staf bekerja dengan rasa seronok dan gembira.

Semoga saya akan bertemu dengan apa yang saya inginkan suatu hari nanti.
 


Wednesday, February 20, 2013

Dapat bonus 4 bulan!!

Sebenarnya pekeliling mengenai pembayaran bonus ini telah keluar hari Isnin lepas. Sebelum ini pun dah dengar khabar angin mengenainya. Bila pekeliling keluar, maka sahihlah berita ini.

SYUKUR ALHAMDULILLAH. Ini bermakna ada lagi bonus 3 bulan yang bakal kami terima hujung bulan ini. Bonus sebulan telah dibayar sebelum Aidilfitri (setengah bulan) dan hujung Disember, setengah bulan lagi.

Hampir semua orang bercerita mengenainya. Tergambar rasa seronok yang begitu ketara daripada riak wajah mereka, mahupun nada suara masing-masing. Penat lelah bekerja selama ini mendapat balasan yang sangat menggembirakan.

Ramai yang telah membuat perancangan dengan duit bonus tersebut. Ada yang mahu melancong. Ada yang mahu membeli perkakasan rumah. Ada yang mahu menambah koleksi barang kemas. Ada yang mahu membeli kain yang lebih mahal. Ada juga yang mahu menyimpan sahaja dan ada yang masih tidak merancang apa-apa.

Apa pun perancangan masing-masing, sebaiknya bersyukurlah ke hadrat ALLAH yang telah memurahkan rezeki kita. Teruskanlah bekerja dengan bersungguh-sungguh, semoga rezeki yang kita terima diberkati oleh ALLAH.

Saya tahu ada yang tidak kisah dengan prestasi masing-masing memandangkan bonus yang diterima dibayar sama rata kepada semua staf, tak kiralah kita mendapat 60% atau kurang, mahupun 95%. Malah kalau ada yang mendapat 100% pun tetap menerima jumlah bonus yang sama.

Hanya kumpulan eksekutif (pegawai yang memiliki ijazah dan ke atas) akan dibayar bonus mengikut markah prestasi masing-masing.

Saya sendiri sering merasa terkilan melihat begitu ramainya orang yang bukan saja tidak bersyukur, malah tidak mahu menilai diri sendiri sama ada selama ini telah memberikan perkhidmatan yang sehabis baik atau sebaliknya.

Ramai di kalangan kita yang sering meminta-minta, mengharap kesenangan sahaja, sedangkan kita tidak berusaha untuk memberi atau membalas dengan kebaikan.

Bila difikirkan kebaikan yang saya perolehi bekerja di organisasi yang ternama ini, memang saya sangat bersyukur. Bayangkan seisi keluarga boleh mendapatkan rawatan di hospital pakar swasta sekiranya ditimpa sakit. Pilih saja nak hospital mana, Pantai Medical Centre, Ampang Puteri, semua rangkaian KPJ, Hospital Tawakal dan banyak lagi, selagi ada dalam senarai. 

Klinik panel pula, setiap staf diberi 2 klinik panel, satu berdekatan dengan rumah dan satu lagi berhampiran dengan lokasi bertugas. Kalau staf perempuan, suami pun boleh mendapatkan rawatan secara percuma. Ini saja sudah membuktikan betapa prihatinnya organisasi menjaga kebajikan anggota. Kakitangan kerajaan pun tidak mendapat kemudahan ini.

Ini belum termasuk kemudahan pinjaman perumahan, kenderaan, pinjaman peribadi dan pelbagai lagi. Tempat kerja juga sangat selesa. Cuti rehat tahunan pun banyak.

Oleh itu memang sangat wajar untuk kita semua bersyukur dengan rezeki ini. Bekerjalah dengan bersungguh-sungguh untuk memantapkan lagi organisasi kita ini dan sebagai tanda kita menghargai dan berterima kasih atas anugerah daripada ALLAH ini.




Tuesday, February 19, 2013

Kenapa tidak yakin?

Sudah 3 bulan saya bertugas di unit ini. Saya mengaku masih banyak yang belum saya pelajari. Tapi semua kerja yang saya diarahkan untuk melakukannya, saya cuba buat dengan sebaiknya. Saya sanggup pulang lewat, malah tanpa rasa bersalah terhadap suami, saya akan hantar sms kepadanya dan memaklumkan supaya menunggu saya pulang, tidak kiralah pukul berapa.

Saya cuba melaksanakan tugas-tugas saya dengan teliti supaya tidak berlaku kesilapan. Dalam masa yang sama saya cuba buat dengan pantas supaya tidak berlaku kelewatan.

Namun bila tiba-tiba berlaku sesuatu yang tidak diduga, yang telah mengaibkan unit ini dan menimbulkan kemarahan yang bukan sedikit oleh ketua saya, sekalipun saya tahu kesalahan itu bukan saya yang melakukannya, kenapa saya tetap rasa tidak tenang? Kenapa saya rasa seperti ada orang yang mungkin akan dengkikan saya?

Memang saya belum "kenal" kawan-kawan di sini. Malah selepas 3 bulan ini pun hanya ada seorang dua yang saya rasa ikhlas dengan saya. Yang lain-lain kelihatan biasa saja. Saya tidak salahkan mereka kalau tidak dapat menerima saya dengan hati terbuka, kerana saya sendiri pun tidak membuka "pintu rumah" saya dengan seluasnya.

Pagi tadi bila kami dipanggil untuk sesi perbincangan tergempar disebabkan oleh kejadian semalam, saya tidak bercakap sepatah pun. Saya hanya menumpukan sepenuh perhatian kepada kawan-kawan lain, mendengar perbincangan, juga sedikit pertelagahan antara mereka. Saya pun tidak ditanya apa-apa dan semua tahu yang sedang dibincangkan itu lebih berkaitan dengan mereka sebagai staf lama. 

Usai perbincangan, saya bertanya dari hati ke hati dengan sorang kawan yang saya boleh percayai, Zi : apakah alasan yang diberikan semalam atas kejadian yang mengaibkan unit itu? Saya tidak mahu orang mengata saya di belakang, saya tidak mahu dituduh atas perkara yang saya tidak lakukan.

Harap-harap kenyataan daripada mulut Zi adalah sesuatu yang benar.

Ya ALLAH, Engkau Maha Mengetahui segala-galanya.





Friday, November 30, 2012

Inilah keputusannya....

Semalam, jam 2.10 petang, seorang teman dari unit bayaran pentadbiran bertanyakan soalan ini kepadaku : "Akak dah tau ke nanti tukar ke dalam?"
Aku terkejut...."Tak tahu pun.!"
"Adi yang bagi tau tadi..."

Tak sampai seminit, rakan lain dari unit yang sama denganku, datang membisikkan perkara yang sama. Kemudian seorang lagi, dari unit bayaran pentadbiran, dengan nada ceria mengeluarkan kata-kata ini : "Hey...you gonna join us...!!"

Kenapa aku tidak tahu? Tuan Haji tidak memaklumkan apa-apa pun?

Aku jadi sedih. Bukan saja kerana tidak diberitahu, tetapi kerana aku akan ditukarkan ke dalam (Unit Bayaran Pentadbiran), sedangkan sebelum ini Tuan Haji berjanji untuk mengekalkan aku di tempat sekarang dengan menambah beberapa tugasan baru.

Pagi ini Tuan Haji memanggil aku.....Semalam dia terlalu sibuk, sementelah ada satu kes polis yang perlu ditangani segera....Sebab itu dia tidak sempat memberitahu.

Alasan aku akan ditukarkan ke dalam : unit berkenaan perlukan staf tambahan. Beban kerja begitu tinggi. Aku akur walaupun sedih dan kecewa. Baru dua bulan di sini dan sudah biasa dengan kerja-kerja harianku, selepas ini aku perlu belajar benda baru....

"Jadi hari ini awak last day di sini. Minggu depan awak kena lapor diri di tempat baru. Nanti saya akan keluarkan emel makluman."

Bila kawan-kawan satu unit dapat tahu berita ini, macam-macam reaksi yang diberikan. Tidak ada pun yang mampu menggembirakan aku, sebaliknya lebih banyak yang menyakitkan hati. Tidak perlulah aku nyatakan di sini kerana hanya akan menyesakkan dada.

Aku tidak menyalahkan mereka. Mereka tidak tahu cerita yang sebenar. Biarkanlah....

Friday, November 23, 2012

Menanti sinar hari esok


5.20 petang, 22 November, dengan sopan dan ucapan salam, aku menjengah ke bilik Tuan Haji....Hmm...nampak beg di atas lantai, di tepi meja, beg yang aku kira sering menjadi beg sandangnya datang dan pulang dari pejabat. Fikiranku pantas mengatakan yang Tuan Haji sudah bersedia untuk pulang, walaupun aku merasakan masih terlalu awal. Aku rasa bersalah untuk meneruskan niatku.... lalu inilah soalan yang keluar dari mulutku : Tuan Haji dah nak balik ke? Dia menjawab : Ya.Hmm...ada apa ?

"Takpa lah, esok sajalah saya jumpa, ada hal saya nak cakap..." ujarku. Tuan Haji memandang mukaku, seperti ingin tahu dan sekali lagi bertanya : kenapa ? Jawab saya : esok lah saya jumpa....

Aku kembali ke mejaku dan menghadap "Japanese Sudoku", satu aktiviti yang kembali aku gilai setelah aku punya banyak masa terluang.

Aku menunggu-nunggu kelibat Tuan Haji keluar dari biliknya untuk pulang. Sampai ke jam 5.35 petang, waktu aku selalunya keluar dari pejabat, Tuan Haji masih tidak balik. Silap sangkaan aku rupanya.

Dan pagi ini, jam 8.30 pagi Tuan Haji memanggil aku. 

Maka bermulalah sesi perbincangan kami. Banyak yg kami bincangkan, malah Tuan Haji bertanya apa tugas yang mahu aku pilih dan lakukan di sini? Tentu saja aku tidak mampu untuk memberikan jawapan. Aku sukakan kerja yang telah mula aku buat sejak 1 Oktober lalu. Sekalipun Tuan Haji menyatakan ada satu lagi tugas yang mungkin boleh aku buat di seksyen lagi satu, aku tidak dapat memberikan keputusan atau memilih yang mana satu. Hanya yang dapat aku katakan : Terserahlah kepada Tuan Haji untuk meletakkan saya di seksyen mana.

Pada pandangan mataku Tuan Haji ni seorang yang baik dan tidak pandai memarahi orang. Aku suka melihat wajahnya yang bersih.(Satu perkara yang padaku agak kelakar namun sangat menyentuh hati, Tuan Haji menilai aku sebagai seorang yang PEMALU...Tak tahulah dari sudut mana dia memandang dan mentafsir diri aku).

Kini aku menanti hari esok. Semoga ada perubahan yang menggembirakan aku dan semoga hari-hari bahagiaku akan aku rasai semula seperti dulu. Aku suka bekerja, aku selalu belajar untuk mencintai kerjaku dan aku selalunya berjaya menyukai kerja-kerjaku. Selain itu, aku juga mahu menjalin hubungan rapat dengan semua rakan sekerjaku di sini.


Sekali lagi aku terasa sangat rindu pada suasana kerja di tempat lamaku. Apatah lagi bila Tuan Haji menyatakan dia dengan En F, lelaki yang berbelas tahun menjadi ketuaku sebelum ini, mempunyai hubungan yang sangat rapat. Entah kenapa beberapa hari ini aku kerap teringat pada En F, ketua yang sangat baik padaku dan yang sentiasa memahami aku.


Tuesday, November 20, 2012

Kenapa begini...?


Sedari pagi aku sudah bertekad untuk mengadap Tuan Haji..... 

Hmm...takkan nak terjah pagi-pagi?

Aku fikir, sekejap lagi la, selepas habis waktu minum ke....

Dan tiba-tiba sekitar jam 11, Tuan Haji keluar dari biliknya, berdiri di sebelah mejaku dan berpesan kepada Puan Zai: Saya ada meeting pasal JPJ, di tingkat 8. Selepas melangkah setapak, Tuan Haji bersuara lagi : Sampai pukul satu ya....

Ok takpa, petang boleh la....

Sekali lagi aku bertangguh-tangguh. Sambil mengarang apa cerita yang akan aku sampaikan kepada Tuan Haji nanti, masa terus berjalan..... Tup tup Cik Sahora masuk ke biliknya. Nampak serius benar mereka berbincang. Tunggu punya tunggu, jam sudah menghampiri 5 petang. Bila Cik Sahora sudah keluar, aku masih lagi rasa berbelah bagi.........Sehingga jam 5.30 aku masih tertoleh-toleh melihat ke biliknya sama ada Tuan Haji masih duduk di tempatnya atau sudah berkemas mahu pulang.....

Akhirnya aku angkat beg dan balik....Dan aku merungut sendiri, kenapa tidak saja aku masuk dan bercakap apa yang berbuku di hatiku? Kenapa aku jadi macam ni? Segan? Takut ? (Arghhh....aku rindukan saat-saat indah bersama ketua-ketuaku di tempat lama....Teringat En Fauzi yg sama jawatan dengan Tuan Haji, yang selalu aku usik-usik, yang sesekali aku puji bila En Fauzi berpakaian baru, malah aku suka mengusik benda-benda yang akan membuat dia menjegilkan mata.....hahaha....)

Kekadang aku sakit hati pada diriku sendiri, tidak bersungguh mahu melakukan sesuatu....Ohh...aku harap aku tidak terlambat.....


Monday, November 19, 2012

Berserabut....

Ohhh.........lamanya tidak menulis..............

Hari ini fikiranku sangat berserabut.... Bukanlah banyak sangat masalah yang ditanggung, malah cuma secubit sahaja....tapi kerana aku menganggapnya seumpama beban, maka inilah jadinya...serabut!! 

Entahlah, masuk sebulan lebih di tempat baru ini, aku rasa semakin tidak gembira. Bukan saja tidak seronok. Aku rasa bosan sebenarnya. Aku bukan tidak suka pada tempat ini, juga bukanlah tidak suka dengan warga kerja di sini. Semua ini tidak menjadi masalah bagi aku. Yang membosankan aku adalah tiadanya bebanan kerja yang perlu aku buat. Kerja aku tidak banyak, tidak sepadan langsung dengan jabatan yang penting ini. Kadang-kadang bila kerja yang diberikan kepada aku telah aku siapkan, aku termangu sendiri, tak tahu apa yang perlu aku lakukan lagi.

Aku rindukan suasana kerja di tempat lamaku. Kerja yang tidak pernah habis, tetapi aku sangat seronok melakukannya. Selalu saja kami terkejar-kejar menyiapkan kerja masing-masing. Kalau orang lain gembira melihat jam menunjukkan pukul 5 petang, namun kami selalunya akan berkata : "Alamak...dah pukul lima ke???"

Di sini, di tempat baru ini, suasana itu tidak ada pada aku. Tetapi rakan-rakan yang lain aku lihat sangat ralit bekerja. Aku rasa bersalah. Aku rasa tidak adil. Aku sepatutnya sibuk seperti mereka juga. Tetapi apalah yang mampu aku lakukan lagi. Berulangkali aku berfikir, malah sudah bulat tekadku untuk menghadap ketuaku, memaklumkan apa sebenarnya yang aku hadapi saban hari, tetapi tiba-tiba saja aku rasa seperti tidak ada keperluan untuk berbuat demikian. 

Kadang aku rasa seperti mahu tinggalkan saja tempat ini. Tapi hidup bukanlah semudah ini.

Kalau awal-awal dulu aku rasa kecewa kerana tidak ditunjuk ajar untuk melaksanakan kerja-kerja aku dan aku berusaha sendiri dengan bantuan "jiran" sebelahku, kini kekecewaan aku semakin bertambah bila sesekali tugas yang diberikan kepadaku tidak mampu aku lakukan dengan sempurna. Aku tidak mahu dikata tidak pandai membuat kerja. Yang sebenarnya aku tidak diajar.

Seperti apa yang berlaku hari ini selepas aku menghantar tugasan aku untuk disemak dan diluluskan oleh Tuan Haji, dia memanggil aku, menyoal aku tentang tugasan tersebut dan sangat malang...aku tidak mampu memberikan jawapan! Aku sudah membuatnya dengan begitu teliti, aku baca semua dokumen yang disertakan, namun kerana ianya melibatkan perintah mahkamah, maka Tuan Haji mahu memastikan perintah itu  tidak diingkari....

Selepas aku berbincang dengan Puan Zai dan masuk semula ke bilik Tuan Haji untuk memberikan penjelasan, ianya masih tidak memuaskan hati Tuan Haji. Lalu dia berjumpa Puan Zai dan mengarahkan Puan Zai membuat tindakan susulan berkenaan kes tersebut. Kenapa aku tidak diajar bagaimana mahu melakukan tugas-tugas tersebut? Kenapa Tuan Haji tidak menyuruh aku belajar daripada Puan Zai dan memberi peluang kepada aku untuk terus melibatkan diri dalam kes tersebut sehingga selesai? Bagaimana  aku mahu mempertingkatkan kemahiranku untuk melakukan tugas-tugasku kalau tidak ditunjuk ajar dan diberikan peluang meneroka bidang kerjaku dengan seluasnya? Arghh.....!!!

Aku dilihat seperti "tidak pandai buat kerja" dan aku rasa sangat hampa.......

Aku sedih....



Dan aku tambah berserabut hari ini bila kereta baru yang aku beli tidak sampai 8 bulan terpaksa diangkut naik trak untuk dihantar ke pusat servis Proton akibat enjin tidak boleh dihidupkan. Pertama kali aku membeli kereta baru dengan 100% duit gajiku sendiri..... Sebelum ini dua biji kereta baru yang aku beli secara berkongsi dengan suami, alhamdulillah, tidak pernah menimbulkan masalah. Malah kereta Proton Waja yang kami gunakan selama enam tahun sebelum ini, tidak pernah sekali pun bermalam di bengkel.

Ini adalah dugaan daripada Illahi. ALLAH mahu menguji tahap kesabaranku. ALLAH mahu menguji keimananku.

Aku redha YA ALLAH. Sesungguhnya ujian ini amatlah kecil....Ampunkan aku YA ALLAH.


Monday, October 1, 2012

Hari pertamaku di sini.....

Hari ini hari pertamaku di Jabatan K………
Hmm……….nasibla……..kebetulan 1hb ini jatuh pada hari Isnin dan ada program perhimpunan bulanan.

Selepas bersalaman dengan setiausaha big boss, aku dipelawa duduk di tempat menunggu dan tak lama kemudian seorang lagi staf yang sama-sama melapor diri di sini, muncul di depan mata. Adam, seorang kawan lama yang telah aku kenal bertahun-tahun dulu malah pernah berjiran denganku di awal perkahwinan aku dulu.

Bila pengumuman melalui siaraya berkumandang, kami satu jabatan berkumpul di ruang legar dan sama-sama menyanyi lagu Negaraku diikuti dengan lagu rasmi organisasi.

Seperti yang aku jangkakan (dan sangat aku risaukan), selepas big boss menyampaikan ‘amanat’, staf yang baru melapor diri dijemput ke depan untuk memperkenalkan diri……….Aduhhh..!! Mujur Adam dengan rela hati menjadi orang yang pertama memperkenalkan diri.

Oleh kerana aku memang ada penyakit darah gemuruh yg sangat kronik, maka ucapan pengenalanku sangat ringkas, malah seperti tak terluah dari mulutku. Mujur big boss (namanya En Ghaus) tidak menyoal apa-apa, lagipun dia sudah mengenali aku.

Selepas itu En Karl, salah seorang pegawai kanan di sini, membawaku ‘tawaf’ satu jabatan dan bersalaman dengan semua staf wanita yang kukira lebih 50 orang, kemudian aku ditunjukkan tempat duduk aku.

Maka bermulalah dunia baruku……….

Hari yang berlalu penuh dengan kebosanan. Belum ada kerja yang diberikan kepada aku, sebaliknya aku diminta membaca ‘Manual Operasi’, perkara yang sangat tidak aku sukai….. Orang lain sibuk dengan tugasan masing-masing.

Oleh kerana tempatku paling tepi, sebelah kanan dan paling depan, jiran terdekat yang ada hanya di sebelah kiri aku. Meja belakang kosong. Di depan aku, sebelah kanan sedikit adalah Encik Halim, pegawai kanan yang juga penyelia aku yang sebenar.

Di depan aku ada 3 sederet wanita berjawatan Penolong Pegawai Kewangan, di mana seorang daripadanya akan mengatur dan mengagihkan tugas-tugas untuk aku.

Ramai juga yang memang sudah lama aku kenal, termasuklah jiran di kiriku, seorang lelaki, Bidin, berusia 54 tahun. Bidin la yang menunjuk ajar aku kerja-kerja yang sepatutnya aku lakukan.

Bidin sangat peramah. Hmm….sudah semestinya aku mengawal tingkah laku aku supaya tidak dilihat “over” oleh orang lain, lebih-lebih lagi oleh Bidin. Wanita seusia aku sewajarnya menjaga tatasusila dengan sebaiknya. Kalau sebelum ini, sebaik aku mendapat tahu harus berjiran dengan Bidin, aku rasa kurang gembira, kini aku perlu berterima kasih pada Bidin kerana dialah yang ringan tulang membantu, menurunkan ilmu dan menjadi teman berbual aku…….

Aku sangat berharap aku akan “bahagia” di sini sebagaimana bahagianya aku sebelum ini di Jabatan KK, juga di beberapa tempat lain sebelum ini. YA ALLAH, ENGKAULAH YANG MENGETAHUI ISI HATIKU….ENGKAU YANG MAHA PENGASIH DAN MAHA PENYAYANG.




Sunday, September 30, 2012

Saat indah bersama teman-teman

28 September 2012, Jumaat

Hari ini adalah hari terakhir saya menjadi kakitangan JKK. Rakan-rakan rapat membawa saya makan dan bersantai-santai di Gloria Jean's Coffee, Bangunan KWSP Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. Hmm....sempena pertukaran saya ke jabatan baru mulai 1 Oktober 2012.

Puan Idzma bersungguh-sungguh melayan saya memesan makanan dan membayar untuk saya. Pertama kali saya makan di sini, sementelah restoran ini pun baru saja dibuka dua bulan yang lepas.

 
Puan Nor Idzma, ketua saya yang sangat baik hati, yang juga sahabat @ BFF saya dan menerima saya sebagai kakaknya. Hanya ALLAH yang mengetahui betapa sayangnya saya terhadapnya dan saya tahu begitulah sebaliknya.



Azura Abas, orang pertama yang memanggil saya dengan panggilan "mak".....

Rosnita juga sudah menjadi "anak" saya. Puan Rowiyah yang dulunya adalah salah seorang pegawai yang saya segani tapi kini telah menjadi BFF saya juga.....
 




Berbelas tahun berada di Jabatan Komunikasi Korporat, berapa ramai pegawai yang bertukar ganti...semuanya menjadi kenangan paling indah dalam hidup ini. Di hujung perkhidmatan saya di jabatan ini, tiga orang pegawai di bahagian media adalah orang baru dan masih sangat muda, namun mereka sangat baik terhadap saya, juga begitu kuat bekerja tanpa mengharapkan bantuan staf bawahan.

Saya tahu saya akan merindui mereka..... Dan saya percaya kasih sayang tidak akan hilang ditelan waktu.




Tuesday, March 27, 2012

Masanya akan sampai jua....



Minggu lepas, tiga hari berturut-turut saya disapa oleh 3 orang yang berlainan tetapi bercakap perkara yang sama. Kata mereka - saya pekerja yang setia kerana begitu lama berada di jabatan yang sama sejak lebih 10 tahun yang lalu.

Hahaha....setiakah saya? Kalau pun setia, setia kepada siapa?

Saya hanya kumpulan sokongan. Walaupun di jabatan yang sama, tetapi saya tidaklah melakukan tugas yang sama sahaja sejak dulu. Cuma kerja yang saya lakukan sekarang ini, yang paling lama saya buat. Bosan? Tidak adil kalau saya katakan saya bosan dengan kerja-kerja saya. Apatah lagi kerja ini adalah ibadah dan gaji yang saya dapat inilah yang saya gunakan untuk perbelanjaan saya dan anak-anak.

Saya tahu memang saya patut pergi dari sini. Saya perlu merasa tempat baru dan mendapat kawan-kawan baru. Namun kalau saya pergi sekalipun bukanlah kerana saya perlukan suasana baru, apatah lagi kawan-kawan baru.

Memang sejak saya berpindah ke kediaman baru pada 1.1.2010, saya telah bertekad untuk bertukar tempat kerja. Bagi saya perjalanan yang jauh dari tempat kediaman ke pejabat memang meletihkan.  Setiap pagi saya mengambil masa lebih 1 jam untuk sampai di pejabat, begitu juga untuk balik ke rumah. Bulan Ramadhan lagi la mencabar. Kesesakan jalan tidak perlu dipertikaikan lagi, memang sangat memenatkan!

Saya tahu ramai lagi yang melalui  rutin sebegini, malah ada yang berada lebih lama di jalanraya untuk ke tempat kerja berbanding saya. Malah saya tidak memandu pun, hanya duduk di sebelah 'pemandu'! Ikutkan, saya boleh berehat, malah boleh tidur pun sepanjang perjalanan. Tapi kerana saya ada pilihan untuk bekerja di tempat yang berdekatan dengan rumah saya, saya merasakan adalah wajar saya memilih untuk bertukar @ berpindah.

Saya mensasarkan untuk bertukar pada tahun 2011. Tidak disangka sekitar Ogos 2010, ada berlaku masalah dalam jabatan kami, yang bila difikir-fikirkan, memang tidak wajar untuk saya menghantar borang permohonan pertukaran. Sudah semestinya saya sayangkan seksyen saya, ketua saya dan kawan-kawan saya. Saya tidak akan biarkan ketua saya yang sangat baik hati itu terbeban dengan pertukaran saya nanti.

(Entry yang saya tulis sebelum ini....aku-dalam-dilema-html)

Saya bukan perasan bagus. Tapi saya tahu untuk mengambil alih dan mempelajari kerja-kerja baru, tidak semudah yang disangka. Biarlah tidak siapa yang tahu apa yang ada dalam hati saya, tetapi saya tahu ketua saya sangat memahami masalah yang sedang seksyen kami hadapi. Saya mahu menjadi pekerja yang bertanggungjawab, yang sama-sama mendepani sebarang kepayahan dan kesukaran.

Masa berlalu. Masalah telah dapat diatasi. Kehadiran dua orang pegawai baru telah memantapkan lagi seksyen perhubungan media. Kerja-kerja berjalan dengan begitu lancar. Kebetulan HR mengeluarkan pekeliling menawarkan kakitangan yang mahu bertukar, mengemukakan permohonan. Memang saat yang ditunggu-tunggu kerana dengan cara ini saya tidak perlu memohon pertukaran melalui ketua jabatan saya. Jadi big bos tidak perlu memanggil saya, menyoal saya dan tidak tahu mengenai permohonan pertukaran saya. Biarlah bila arahan pertukaran dikeluarkan nanti, big bos akan tahu dengan sendiri melalui emel yang sampai kepadanya.

Saya memang sayangkan tempat kerja saya sekarang ini. Saya sangat sayangkan penyelia saya (di mana dalam masa yang sama sentiasa menjadi seorang kawan kepada saya). Dan yang akan membuat saya selalu terkenang adalah saat-saat kami meronda di kedai-kedai kain di Jalan Masjid India....Kami kerap membeli kain yang sama corak tetapi berlainan warna!!. (Siapa sangka seorang wanita elit sudi membeli kain yang sama harga dengan kain saya....).Saya juga sayang kawan-kawan saya, terutamanya "anak" saya si bunga mawar. Saya tahu saya akan rindukan mereka.....
Saya tahu bila saya dah bertukar nanti saya akan sangat jarang dapat bertemu mereka. Tempat kerja baru yang saya pilih memang jauh dari Kuala Lumpur. Orang KL hanya akan datang ke sini bila diarahkan berkursus. Masa itulah nanti, kalau ada rakan-rakan datang berkursus, barulah saya dapat berjumpa mereka. Itu pun jika saya tidak bercuti.
Jadi sekarang ini saya sedang menunggu arahan untuk ditukarkan. Saya tidak mahu memikirkan sangat tempat baru atau kerja baru. Saya akan hadapi dengan hati yang terbuka. Yang pasti satu perkara yang benar-benar membuat saya teruja - saya hanya memerlukan tidak lebih 15 minit untuk sampai ke pejabat dan tidak lebih 15 minit untuk sampai ke rumah. Bayangkan, berapa banyak masa yang boleh saya luangkan bersama anak-anak, juga untuk membuat kerja-kerja rumah?


Sunday, October 30, 2011

Kalumpang Resort & Training Centre


Kursus JKK's Mental & Inner Boost-up, 29 & 30 Oktober 2011

Beberapa minggu sebelum program ini berlangsung, saya memang tidak gembira untuk menyertainya. Meredah hutan, mandi sungai, memang sudah lama saya lupakan. Membayangkan pacat dan lintah, sudah membuatkan saya resah teramat sangat. Namun mengenangkan program @ kursus ini diwajibkan kepada semua staf JKK, saya tidak mampu berbuat apa-apa selain akur dan "saya yang menurut perintah".

Kami bertolak menaiki bas ofis. Kepada yang tinggal tidak jauh dari KRTC, mereka menggunakan kereta masing-masing untuk ke tempat tersebut.

Selepas bersarapan nasi lemak yang teramatlah menyelerakan, kami check-in di bilik masing-masing.

Program dimulakan dengan permainan boling kelapa. Wahhh......gamat sungguh suasana dengan gelak ketawa kami.......Masing-masing berasa seronok, hilang semua gundah gulana beberapa minggu sebelum ini.

Selepas makan tengahari dan bersolat Zuhur, maka bermulalah acara meredah sungai........Oleh kerana saya berada di Kumpulan 1, maka kamilah yang mendahului perjuangan ini. Saya mengaku saya melakukannya dengan penuh semangat, tanpa sedikitpun rasa bimbang. Arus yang deras berjaya saya harungi dengan kudrat yang ada.

Kami melalui 4 peringkat, termasuklah satu daripadanya yang begitu menyukarkan. Saya hampir tidak mampu untuk naik ke atas batu besar dengan cara mendaratkan punggung, sebaliknya saya memanjat dan berpijak di atas batu tersebut di mana cara itu adalah bahaya kerana kemungkinan kita boleh jatuh terhentak akibat batu yang licin. Alhamdulillah semuanya selamat dan kami mengakhirinya dengan bermandi manda sepuas-puas hati kami.

Pagi hari kedua, selepas bersenam ala poco-poco, kami bermain air kolam dengan acara pertama pukul bantal....Setiap pasukan menampilkan 4 peserta untuk beradu tenaga. Gamatnya tidak terkata dengan sorakan dan jeritan...

Kemudian kami bermain bola jaring pula...........

Acara berakhir sekitar jam 12.30 tengahari.........

Sesungguhnya peristiwa ini sangat manis untuk dikenang. Inilah kali pertama saya merasa benar-benar gembira menjalani aktiviti luar pejabat. Inilah juga kali pertama aktiviti luar disertai oleh semua staf termasuklah setiausaha yang terpaksa meninggalkan bayinya yang baru berusia 4 bulan.........Malam ketiadaan mamanya, si bayi terpaksa tidur diselimuti baju mama yang belum dicuci.......







Saturday, May 21, 2011

Terima kasih


20 Mei 2011

Pagi ini sekitar jam 9.30 pagi saya menerima satu bungkusan kecil yang mengandungi sebuah buku. Buku ini ditulis sendiri oleh pengirim bungkusan tersebut, biarlah saya namakannya sebagai Encik Z.

Selepas mengucapkan terima kasih kepada insan yang baik hati menyampaikan bungkusan itu kepada saya, saya membuka dan membaca tulisan tangan yang tercatat di muka surat pertama buku tersebut. Saya tersenyum, gembira dan hampir tidak percaya saya akan menerima buku tersebut daripada Encik Z. (Ketika hari terakhir En Z berada bersama kami, ada beberapa teman yang menerima buku tersebut daripadanya, di depan saya).

Selama Encik Z bekerja di bawah satu organisasi, saya akui saya tidak rapat dengannya. Kerja saya sendiri belum pernah yang memerlukan saya berhubung terus dengannya. Meskipun setiap kali terserempak, bibir masing-masing menguntumkan senyuman dan saling bertegur sapa, di luar waktu itu, saya dan Encik Z bagaikan orang asing yang saling tidak mengenal antara satu sama lain.

Saya akui Encik Z seorang yang sangat peramah dan sering meletakkan dirinya sebaris dengan staf-staf bawahannya, selalu bergurau dan membuat jenaka. Malah adakalanya dengan begitu selamba membuat aksi-aksi yang melucukan di depan kami.

Maafkan saya, sebagai manusia biasa, adakalanya aksi Encik Z tidak berkenan di mata saya. Sekalipun saya sedar, siapalah saya untuk mengatakan sedemikian, hakikatnya perkara inilah yang menjadikan saya 'jauh' daripadanya.

Barangkali Encik Z juga menyedari sikap saya. Sebagai manusia biasa juga, seperti saya, bukanlah perkara yang mustahil untuk beliau tidak menyenangi atau tidak menyukai orang lain. Saya tidak akan berkecil hati sedikitpun kalau saya tahu, Encik Z tidak sukakan saya, cuma saya tidaklah sampai hilang rasa hormat terhadapnya, terutamanya sebagai bos besar saya.

Harijadi saya sejak 2 tahun lepas, Encik Z menghantar ucapan melalui emel. Meski saya tahu beliau melakukan perkara yang sama kepada staf yang lain sejak beberapa tahun dulu, emel tersebut sungguh membuat saya tersenyum kegembiraan.

Sebelum saya simpan buku tersebut, saya menghantar ucapan terima kasih kepada En Z melalui sms. Saya juga terharu dengan doa yang ditulisnya buat saya.

En Z, saya tidak pernah membenci. Apa yang En Z lihat saya selama ini, itulah saya yang sebenar. Saya yang tidak pandai berpura-pura....

Barangkali kita akan lebih 'baik' selepas tidak berada di bawah bumbung yang sama.