Sunday, February 27, 2011

Mari bersenamrobik

Lama sungguh tidak bersenam. Saiz badan pun dah semakin naik. Setiap hari risau dengan berat badan yang bertambah tanpa mengambil tindakan apa-apa, tak ada gunanya.

Satu hari kami terpandang banner di tepi jalan, di depan Kompleks PKNS Bangi. Ada larian perdana dan senamrobik. Masing-masing teruja untuk turut serta.

27 Februari 2011, saya berserta suami dan dua anak dara saya menyertai senamrobik di Taman Tasik Cempaka, Bandar Baru Bangi. Ramai yang mengambil bahagian dalam larian perdana yang telah mendaftar terlebih dahulu. Bagaimanapun kami tidak menyertai larian tersebut dengan mengambil kira tahap kemampuan kami yang berada di paras tidak memuaskan (hehe...). Manalah tau, tiba-tiba pengsan, tak ke haru....

Friday, February 11, 2011

Ibu, engkaulah ratu hatiku....

10 Februari 2011
Ikut tahun masihi, hari ini genap 4 tahun mak meninggalkan alam yang fana ini.

Beberapa hari sebelum ini, saya kerap terkenangkan mak. Memang saya mengaku, saya kadangkala "lupa" pada mak. Saya hanyut dengan urusan dunia. Seawal 5 pagi saya bangun untuk memulakan kerja-kerja menguruskan rumahtangga, dimulai dengan memasak sarapan pagi untuk anak-anak yang akan bersekolah, memasak untuk hidangan tengahari, bersiap-siap ke pejabat dan sekitar 7 petang saya akan kembali ke rumah semula.

Masuk waktu Maghrib saya mengerjakan solat secara asas. Berdoa seadanya. Kerap kali tidak sempat menghadiahkan apa-apa untuk arwah mak dan bapa. Sedangkan bila difikirkan semula, ada banyak waktu untuk saya melakukannya.

Beberapa hari ini memang saya diserang rasa rindu, pilu malah rasa berdosa yang amat sangat. Saya rasa saya anak yang kejam. Setelah ALLAH mengurniakan berbagai-bagai nikmat kepada saya sekeluarga, saya hanya tahu bersyukur menerusi lisan.

Bukankah mak telah banyak berkorban untuk saya?

Mak yang menjadi manusia terbaik menjadikan saya seperti saya hari ini. Mak yang penuh kasih sayang. Mak yang penuh sabar dan reda. Mak yang kemudian menderita kerana diuji oleh ALLAH menghidap kanser payudara selama tiga tahun.

Mak, ampunkan saya.

ALFATIHAH untuk mak.

Sunday, February 6, 2011

Bukit Gambang Resort, berlibur bersama keluarga

Sebenarnya percutian ini tidak dirancang dari awal. Bila saya memikirkan dua orang anak akan menduduki peperiksaan penting hujung tahun ini, maka seperti biasa akan ada kelas tambahan pada musim cuti sekolah, saya tidak merancang untuk bercuti ke mana-mana pun tahun ini. Kalendar musim cuti sekolah memang terbiar kosong. Sudah pasti saya tidak mahu dianggap oleh guru sekolah sebagai ibu yang tidak menyokong program yang telah dirancang sejak sekian lama oleh pihak sekolah.

Kebetulan juga selama ini saya tidak pernah pergi bercuti ketika Tahun Baru Cina (CNY). Alasan pertama, hotel akan penuh dan dikenakan caj yang mahal. Alasan kedua, lebuhraya akan sesak, kemalangan akan sentiasa ada. Atas dua alasan ini, saya hanya pulang ke kampung bila tiba cuti Tahun Baru Cina atau duduk saja di rumah, berehat sambil meluangkan masa bersama keluarga.

Tahun ini raya Cina jatuh pada hari Khamis, bermakna akan ada cuti empat hari berturut-turut. Untuk yang bekerja di KL, hari Selasa adalah hari Wilayah Persekutuan. Kepada yang mengambil cuti pada Isnin dan Rabu, maka akan dapat menikmati cuti selama 9 hari!

Tiga minggu sebelum tibanya CNY, saya cuba merisik-risik Bukit Gambang Resort melalui cuti.com. Sebelum ini saya telah menyemak melalui kalendar cuti.com dan saya dapati untuk tarikh 3 Feb - 5 Feb sudah penuh...Not available.

Saya cari di "Room available". Ada pakej Family Suite untuk 2 malam. Saya terus menempahnya melalui online.

Kami bertolak pukul 10 pagi. Kami berhenti untuk makan tengahari tidak jauh dari resort berkenaan dan seterusnya mendaftar masuk sekitar jam 3 petang.

Hmm...ada sistem bernombor rupanya. Mujur ada anak-anak menemani saya ke kaunter dan terperasan mengenai sistem ini.


Sebaik masuk ke bilik, hati melonjak keriangan. Masakan tidak, dengan ruang tamu yang luas dan dua bilik tidur yang besar serta katil yang tampak putih bersih berbalut cadar, sudah pasti menjanjikan ketenangan sepanjang kami berada di sini. Anak-anak juga begitu gembira dan teruja.




Petang ini kami hanya berehat-rehat di resort. Dua anak perempuan saya, Farah & Dina...apalagi yang mengujakan mereka selain tidur!!

Jam 6 petang saya turun menemani Danial & Nadia mandi di kolam resort. Kolam ini tidaklah terlalu luas tetapi masih selesa untuk berenang.



Jumaat, 4 Februari 2011

Jam 9 pagi kami sudah membeli tiket untuk menaiki trem ke water park. Orang terlalu ramai berbaris menunggu trem. Barangkali disebabkan tidak sabar untuk menunggu, ramai yang berjalan kaki. Setelah berbincang, kami mengambil keputusan untuk berjalan kaki sahaja.

Dalam masa lima minit kami telah sampai ke taman tema dan saya terus membeli tiket dan "kupon" untuk perbelanjaan makan minum di dalam kawasan taman tema.





Kami menghabiskan masa hampir tujuh jam di sini termasuk hampir 1 jam menunggu piza yang kami order siap dimasak dan diserahkan kepada kami. Piza keempat yang kami order hanya siap setelah hampir 1 jam dan betul-betul mencabar kesabaran saya! Rupanya selain saya, ada seorang pengunjung berbangsa Cina mengalami nasib yang sama. Mujur dia tidak marah-marah kepada pekerja di kedai berkenaan dan hanya bercakap dengan saya memaklumkan telah 1 jam dia menunggu pizanya tetapi masih tidak siap-siap.

Pada pengamatan saya, bukan pekerja tidak cekap memasak, cuma mungkin tidak menyediakan piza mengikut turutan order yang diterima. Mungkin masing-masing memasak mengikut menu yang telah diarahkan. Saya lihat ada ramai yang memesan makanan kemudian daripada saya tetapi memperoleh pesanan mereka lebih awal.

Setelah makan, kami singgah membeli sedikit cenderahati sebelum pulang ke resort. Rezeki kami kali ini, trem telah sedia menunggu. Kami menggunakan tiket yang dibeli pagi tadi untuk menaiki trem tersebut.

Selepas Maghrib kami keluar makan malam di pekan Gambang.

Sampai di resort beberapa minit sebelum pukul 9 malam, ada tarian singa baru bermula.



Selesai persembahan tarian singa dan membakar mercun, terdengar letupan dan nampak cahaya seperti bunga api. Rupanya ada pertunjukan bunga api betul-betul di depan blok kami. Sungguh menyeronokkan.

Sabtu 5 Februari 2011.

Pagi ini selepas bersarapan di coffee house resort, kami berehat di bilik sahaja. Penat bermandi-manda semalam, masih berbaki lagi.

Hampir pukul 12 tengahari kami mendaftar keluar.