Selesai bersarapan, sekitar jam 6.45 kami check-out dan terus bertolak ke stesen bas Surabaya dengan menaiki teksi. Jam 7.30 pagi bas ekspres EKA yang naiki muka bergerak menuju ke Solo. Menariknya bas ini tidak berhenti mengambil penumpang, maka tidak adalah "penyanyi" yang akan menghiburkan kami, juga tiada penjual yang akan menaiki bas dan menjual makanan ringan untuk kami.
Seperti biasa saya duduk dengan Yah. Tanpa dirancang kami bergilir-gilir melelapkan mata, tentunya untuk memastikan keselamatan kami.
Perjalanan yang paling jauh dan lama. Namun apa yang pasti, di mana-mana pun kami akan melihat kanan kiri jalan dipenuhi dengan sawah padi. Kami dapat melihat orang ramai bekerja membanting padi. Ada yang menjemur padi di depan rumah atau di tepi jalan raya.
Jam 12.00 tengahari bas berhenti di sebuah restoran. Semuanya dijemput menjamu selera yang mana kosnya telah dimasukkan sekali dalam tiket perjalanan kami.
Jam 1.30 tengahari kami tiba di bandar Solo. Abang Usu awal-awal lagi telah menempah Hotel Sanashtri. Hotel yang sederhana tapi di kelilingi dengan pohon-pohon hijau. Begitu sejuk mata memandang....Rupanya sebelum ini sudah dua kali Abang Usu datang ke sini kerana salah seorang anak saudaranya bertemu jodoh dengan gadis Solo. Malah pemergiannya kali kedua baru 3 minggu yang lepas.
Selepas check-in kami solat dan berehat sebentar sebelum terus ke Pasar Klewer. Saya membeli beberapa helai t-shirt "Solo" sebagai ole-ole untuk hb, anak-anak dan ipar duai saya. Tidak ketinggalan tentunya pakaian batik kerana di sini batik sangat popular. Saya membeli beberapa helai pakaian tidur dari batik untuk saya dan anak-anak gadis saya.
Pukul 5.40 petang kami ke Restoran Kinasih yang terletak bersebelahan Hotel Sanashtri untuk makan malam. Kami makan nasi putih berlaukkan udang goreng tepung, cumi masak pedas, ayam masak sos dan sayur cap cai. Tidak ketinggalan minuman faveret - jus alpukat. Semuanya hanya 131,000 rupiah.
Gadis pekerja restoran yang begitu comel sekali dan baru berusia 16 tahun. Adik lelaki saya yang masih bujang itu tersipu-sipu mahu mengajak gadis itu bergambar bersamanya....hehehe....
Hampir selesai makan, hujan turun dengan begitu lebat sekali. Kami menunggu beberapa ketika. Gadis comel pekerja restoran menawarkan payung besar untuk kami. Abang Usu mengambil payung itu dan membawa kaklong balik ke hotel.
Air mula bertakung. Kalau saya redah, tentu saja kasut saya akan dimasuki air. Takkan sempat kering. Akhirnya saya membuat keputusan untuk berkaki ayam! Kasut saya jinjing dan berjalanlah saya balik ke hotel tanpa memakai kasut di depan ramai orang....Kalau sebelum ini begitu ramai saya temui orang tidak memakai kasut sepanjang beberapa hari ini, kali ini saya juga seperti mereka.
Malamnya selepas hujan agak reda, saya dan Yah ke hypermarket yang terletak di seberang jalan. Pengawal yang bertugas di pondok keselamatan hotel menawarkan payung kepada kami. Saya mengambil payung itu dan pengawal berlari melintasi jalan dalam hujan untuk mengambil kembali payung yang dipinjamkan untuk kami. Saya merasa begitu tersentuh dengan kebaikannya.
Berjalan berdua memudahkan kami untuk membeli barang-barang yang kami perlukan. Sekali lagi saya membeli beberapa gaun tidur dan seluar panjang batik. Satu hanya berharga 35,000 rupiah, dengan kainnya yang tebal dan coraknya yang menarik memang berbaloi membelinya.
No comments:
Post a Comment