Minggu lepas, tiga hari berturut-turut saya disapa oleh 3 orang
yang berlainan tetapi bercakap perkara yang sama. Kata mereka - saya pekerja
yang setia kerana begitu lama berada di jabatan yang sama sejak lebih 10 tahun
yang lalu.
Hahaha....setiakah saya? Kalau pun setia, setia kepada siapa?
Saya hanya kumpulan sokongan. Walaupun di jabatan yang sama,
tetapi saya tidaklah melakukan tugas yang sama sahaja sejak dulu. Cuma kerja
yang saya lakukan sekarang ini, yang paling lama saya buat. Bosan? Tidak adil
kalau saya katakan saya bosan dengan kerja-kerja saya. Apatah lagi kerja ini
adalah ibadah dan gaji yang saya dapat inilah yang saya gunakan untuk
perbelanjaan saya dan anak-anak.
Saya tahu memang saya patut pergi dari sini. Saya perlu merasa
tempat baru dan mendapat kawan-kawan baru. Namun kalau saya pergi sekalipun
bukanlah kerana saya perlukan suasana baru, apatah lagi kawan-kawan baru.
Memang sejak saya berpindah ke kediaman baru pada 1.1.2010, saya
telah bertekad untuk bertukar tempat kerja. Bagi saya perjalanan yang jauh dari
tempat kediaman ke pejabat memang meletihkan. Setiap pagi saya mengambil
masa lebih 1 jam untuk sampai di pejabat, begitu juga untuk balik ke rumah.
Bulan Ramadhan lagi la mencabar. Kesesakan jalan tidak perlu dipertikaikan
lagi, memang sangat memenatkan!
Saya tahu ramai lagi yang melalui rutin sebegini, malah ada yang berada
lebih lama di jalanraya untuk ke tempat kerja berbanding saya. Malah saya tidak
memandu pun, hanya duduk di sebelah 'pemandu'! Ikutkan, saya boleh berehat,
malah boleh tidur pun sepanjang perjalanan. Tapi kerana saya ada pilihan untuk
bekerja di tempat yang berdekatan dengan rumah saya, saya merasakan adalah
wajar saya memilih untuk bertukar @ berpindah.
Saya mensasarkan untuk bertukar pada tahun 2011. Tidak disangka
sekitar Ogos 2010, ada berlaku masalah dalam jabatan kami, yang bila
difikir-fikirkan, memang tidak wajar untuk saya menghantar borang permohonan
pertukaran. Sudah semestinya saya sayangkan seksyen saya, ketua saya dan
kawan-kawan saya. Saya tidak akan biarkan ketua saya yang sangat baik hati itu
terbeban dengan pertukaran saya nanti.
Saya bukan perasan bagus. Tapi saya tahu untuk mengambil alih dan
mempelajari kerja-kerja baru, tidak semudah yang disangka. Biarlah tidak siapa
yang tahu apa yang ada dalam hati saya, tetapi saya tahu ketua saya sangat
memahami masalah yang sedang seksyen kami hadapi. Saya mahu menjadi pekerja
yang bertanggungjawab, yang sama-sama mendepani sebarang kepayahan dan
kesukaran.
Masa berlalu. Masalah telah dapat diatasi. Kehadiran dua orang
pegawai baru telah memantapkan lagi seksyen perhubungan media. Kerja-kerja
berjalan dengan begitu lancar. Kebetulan HR mengeluarkan pekeliling menawarkan
kakitangan yang mahu bertukar, mengemukakan permohonan. Memang saat yang
ditunggu-tunggu kerana dengan cara ini saya tidak perlu memohon pertukaran
melalui ketua jabatan saya. Jadi big bos tidak perlu memanggil saya, menyoal
saya dan tidak tahu mengenai permohonan pertukaran saya. Biarlah bila arahan
pertukaran dikeluarkan nanti, big bos akan tahu dengan sendiri melalui emel
yang sampai kepadanya.
Saya memang sayangkan tempat kerja saya sekarang ini. Saya sangat sayangkan
penyelia saya (di mana dalam masa yang sama sentiasa menjadi seorang kawan
kepada saya). Dan yang akan membuat saya selalu terkenang adalah saat-saat kami
meronda di kedai-kedai kain di Jalan Masjid India....Kami kerap membeli kain
yang sama corak tetapi berlainan warna!!. (Siapa sangka seorang wanita elit
sudi membeli kain yang sama harga dengan kain saya....).Saya juga sayang
kawan-kawan saya, terutamanya "anak" saya si bunga mawar. Saya tahu
saya akan rindukan mereka.....
Saya tahu bila saya dah
bertukar nanti saya akan sangat jarang dapat bertemu mereka. Tempat kerja baru
yang saya pilih memang jauh dari Kuala Lumpur. Orang KL hanya akan datang ke
sini bila diarahkan berkursus. Masa itulah nanti, kalau ada rakan-rakan datang
berkursus, barulah saya dapat berjumpa mereka. Itu pun jika saya tidak bercuti.
Jadi sekarang ini saya sedang menunggu arahan untuk ditukarkan.
Saya tidak mahu memikirkan sangat tempat baru atau kerja baru. Saya akan hadapi
dengan hati yang terbuka. Yang pasti satu perkara yang benar-benar membuat saya
teruja - saya hanya memerlukan tidak lebih 15 minit untuk sampai ke pejabat dan
tidak lebih 15 minit untuk sampai ke rumah. Bayangkan, berapa banyak masa yang
boleh saya luangkan bersama anak-anak, juga untuk membuat kerja-kerja rumah?