Oleh kerana hari ini, 24 Mei 2013 adalah cuti umum sempena Hari Wesak, maka cuti sekolah bermula awal.
Hanya dua orang anak saya yang masih bersekolah di peringkat menengah. Muhammad Danial hanya akan mula bercuti hari Ahad ini kerana terlibat dengan program di sekolahnya.
Kalau dulu semasa anak-anak masih di sekolah rendah, kecuali si kakak di sekolah menengah, setiap kali cuti sekolah tentu akan pulang ke kampung untuk sehari dua. Lepas tu akan bercuti pula ke mana-mana lokasi percutian di semenanjung Malaysia.
Memang seronok!
Semakin anak-anak membesar, keghairahan mereka untuk pergi bercuti semakin pudar. Apatah lagi kalau setakat bercuti ke Tiara Beach Resort, sebagai contoh.
Mereka sudah tiada minat untuk mandi di kolam renang, apatah lagi kepada anak-anak gadis saya.
Sasaran mereka kini adalah bercuti di Sabah, Sarawak ataupun keluar daripada Malaysia. Mereka tidak meminta, namun sebagai ibu saya faham keinginan mereka.
Jadi untuk pertama kalinya saya telah merancang untuk membawa mereka bercuti ke Bandung dan Jakarta pada musim cuti kali ini.
Kenapa memilih Bandung? Sebab itulah tempat yang terdekat, yang saya mampu untuk membawa mereka.
Saya pernah bercadang untuk membawa mereka ke Universal Studio Singapore, namun memandangkan saya sendiri tidak ada keinginan untuk ke sana, maka hasrat itu masih tertangguh. Saya rasa tidak akan mampu menghabiskan masa seharian di tempat itu yang pastinya sesak dengan pengunjung.
Apa yang saya fikir dan sedang rancangkan adalah membawa mereka ke JB suatu hari nanti, bersama beberapa orang sepupu lelaki yang sudah dewasa. Saya dan suami akan tinggal di JB dan mereka semua akan menaiki bas ke Singapore.
No comments:
Post a Comment