Wednesday, December 19, 2012

Danial dapat 7A 1B dalam PMR. Alhamdulillah

Aku sedang berada di dalam kelas ketika Fara menghantar khidmat pesanan ringkas jam 12.19 tengahari memaklumkan anak bujangku, Muhammad Danial berjaya mendapat 7A1B. Syukur ALHAMDULILLAH....Terima kasih ALLAH kerana menganugerahkan kejayaan ini kepada kami.

Demi ALLAH, aku memang tidak menduga anakku mampu mencapai keputusan sebegini. 

Aku seakan putus harapan bila melihat Muhammad Danial tidak bersungguh-sungguh mengulangkaji pelajarannya ketika menjelang hari peperiksaan. Dia tak mampu meninggalkan ketagihannya bermain game di internet. Malah sampai lewat malam dia bermain sedangkan esok pagi dia akan menduduki peperiksaan.

Aku dan suami tidak mahu menghalang minatnya. Barangkali dia mahu melepaskan tekanan selepas penat belajar. Mulutku tidak berhenti memberi nasihat, malah mengingatkannya supaya segera tidur. Aku tahu kelemahanku dalam mengawal anak-anakku. Begitu juga dengan suami. Kami lebih banyak membiarkan mereka melakukan apa yang mereka sukai.

Aku tahu Muhammad Danial seorang anak yang cerdik. Ketika UPSR pun dia mampu mendapat 5A (ALHAMDULILLAH). Atas sebab itulah sebagai ibu, aku sangat mengharapkan dia akan meneruskan kecemerlangannya. Ketika di tingkatan 2 aku dapat melihat pencapaiannya yang semakin merosot. Keadaan ini berterusan hingga di tingkatan 3.

Peperiksaan percubaannya juga begitu menghampakan.

Namun aku tidak malu untuk memohon daripada ALLAH agar anakku ini diberi kejayaan. Sebagai ibu aku sudah cuba berusaha dengan cara memberi nasihat dan kata-kata perangsang.

Barangkali betul apa yang selalu diperkatakan orang. Beza anak lelaki dengan anak perempuan. Anak perempuan memang ralit mengulangkaji pelajaran, rajin membaca buku. Anak lelaki pula, walaupun kelihatan seperti kurang mengulangkaji, daya ingatannya kuat. Apa yang dipelajarinya selama ini tersemat di ingatan, dengan kata lain : kuat ingatan.

Hmmm....aku sedar yang Muhammad Danial sendiri "takut" untuk menunggu keputusan PMRnya itu. Dan dia sendiri tidak menduga dia akan berjaya sekalipun mendapat B dalam Matematik.

Sekali lagi Syukur ALHAMDULILLAH.


Friday, November 30, 2012

Inilah keputusannya....

Semalam, jam 2.10 petang, seorang teman dari unit bayaran pentadbiran bertanyakan soalan ini kepadaku : "Akak dah tau ke nanti tukar ke dalam?"
Aku terkejut...."Tak tahu pun.!"
"Adi yang bagi tau tadi..."

Tak sampai seminit, rakan lain dari unit yang sama denganku, datang membisikkan perkara yang sama. Kemudian seorang lagi, dari unit bayaran pentadbiran, dengan nada ceria mengeluarkan kata-kata ini : "Hey...you gonna join us...!!"

Kenapa aku tidak tahu? Tuan Haji tidak memaklumkan apa-apa pun?

Aku jadi sedih. Bukan saja kerana tidak diberitahu, tetapi kerana aku akan ditukarkan ke dalam (Unit Bayaran Pentadbiran), sedangkan sebelum ini Tuan Haji berjanji untuk mengekalkan aku di tempat sekarang dengan menambah beberapa tugasan baru.

Pagi ini Tuan Haji memanggil aku.....Semalam dia terlalu sibuk, sementelah ada satu kes polis yang perlu ditangani segera....Sebab itu dia tidak sempat memberitahu.

Alasan aku akan ditukarkan ke dalam : unit berkenaan perlukan staf tambahan. Beban kerja begitu tinggi. Aku akur walaupun sedih dan kecewa. Baru dua bulan di sini dan sudah biasa dengan kerja-kerja harianku, selepas ini aku perlu belajar benda baru....

"Jadi hari ini awak last day di sini. Minggu depan awak kena lapor diri di tempat baru. Nanti saya akan keluarkan emel makluman."

Bila kawan-kawan satu unit dapat tahu berita ini, macam-macam reaksi yang diberikan. Tidak ada pun yang mampu menggembirakan aku, sebaliknya lebih banyak yang menyakitkan hati. Tidak perlulah aku nyatakan di sini kerana hanya akan menyesakkan dada.

Aku tidak menyalahkan mereka. Mereka tidak tahu cerita yang sebenar. Biarkanlah....

Tuesday, November 27, 2012

Ter"delete" post....

25 November 2012, selepas 10 malam....

Aku mengedit entri yang telah aku tulis dan mahu menukar tajuk label. Alasannya tajuk yang sedia ada kurang menarik. Selepas bertanyakan anak sulungku bagaimana cara untuk membuatnya, dia pun keluar dari bilik. Aku teragak-agak untuk memadam tajuk label yang lama. Namun selepas meyakinkan diri aku membuatnya dengan cara yang betul, kerana sehari sebelum ni Fara telah mengajarku, aku pun klik ikon "tong sampah"....

Tiba-tiba aku terperasan yang aku "delete" bukan saja entri label lama tetapi termasuk juga tajuk label baru yang baru seminit aku tukar! Bayangkan...entri-entri tersebut yang sangat aku sayang dan sedang giat aku tulis hasil daripada luahan hatiku kebelakangan ini......... 

Aku memujuk diri dan bertenang, mencari-cari entri yang aku telah "tong sampah"kan itu dengan harapan masih ada di mana-mana. Setelah gagal mencarinya dan hampir menangis dek kecewa yang teramat sangat aku panggil Fara.

Fara cuba mencari dan aku perasan dia cuba tidak menunjukkan rasa kecewa kepadaku. (Fara pun bukanlah cekap sangat dalam IT. Mungkin masih ada cara untuk mendapatkan semula entri tersebut, tetapi Fara tidak tahu caranya). Tiba-tiba sedang mengklik beberapa tab yang masih ada di atas, aku terperasan satu tab yang aku buka sebelum itu masih tidak ditutup. Bila aku klik semula tab tersebut, keluarlah beberapa tajuk entri yang telah aku ter"delete".....

Aku cepat-cepat "copy" semua entri tersebut dan menyimpannya dalam fail microsoft word. Ada kesempatan nanti aku akan "paste" semula ke dalam blog ini, kecuali gambar kerana terpaksa dicari semula gambar yang asal...........kalau masih ada dalam simpanan. Rasa kecewa itu masih ada, apatah lagi beberapa entri yang lama tidak dapat diselamatkan lagi....

Untuk menulisnya semula, sudah tentulah aku tidak mampu mengingati semuanya. Tak apalah, adalah hikmah kenapa semua ini terjadi.


Friday, November 23, 2012

Menanti sinar hari esok


5.20 petang, 22 November, dengan sopan dan ucapan salam, aku menjengah ke bilik Tuan Haji....Hmm...nampak beg di atas lantai, di tepi meja, beg yang aku kira sering menjadi beg sandangnya datang dan pulang dari pejabat. Fikiranku pantas mengatakan yang Tuan Haji sudah bersedia untuk pulang, walaupun aku merasakan masih terlalu awal. Aku rasa bersalah untuk meneruskan niatku.... lalu inilah soalan yang keluar dari mulutku : Tuan Haji dah nak balik ke? Dia menjawab : Ya.Hmm...ada apa ?

"Takpa lah, esok sajalah saya jumpa, ada hal saya nak cakap..." ujarku. Tuan Haji memandang mukaku, seperti ingin tahu dan sekali lagi bertanya : kenapa ? Jawab saya : esok lah saya jumpa....

Aku kembali ke mejaku dan menghadap "Japanese Sudoku", satu aktiviti yang kembali aku gilai setelah aku punya banyak masa terluang.

Aku menunggu-nunggu kelibat Tuan Haji keluar dari biliknya untuk pulang. Sampai ke jam 5.35 petang, waktu aku selalunya keluar dari pejabat, Tuan Haji masih tidak balik. Silap sangkaan aku rupanya.

Dan pagi ini, jam 8.30 pagi Tuan Haji memanggil aku. 

Maka bermulalah sesi perbincangan kami. Banyak yg kami bincangkan, malah Tuan Haji bertanya apa tugas yang mahu aku pilih dan lakukan di sini? Tentu saja aku tidak mampu untuk memberikan jawapan. Aku sukakan kerja yang telah mula aku buat sejak 1 Oktober lalu. Sekalipun Tuan Haji menyatakan ada satu lagi tugas yang mungkin boleh aku buat di seksyen lagi satu, aku tidak dapat memberikan keputusan atau memilih yang mana satu. Hanya yang dapat aku katakan : Terserahlah kepada Tuan Haji untuk meletakkan saya di seksyen mana.

Pada pandangan mataku Tuan Haji ni seorang yang baik dan tidak pandai memarahi orang. Aku suka melihat wajahnya yang bersih.(Satu perkara yang padaku agak kelakar namun sangat menyentuh hati, Tuan Haji menilai aku sebagai seorang yang PEMALU...Tak tahulah dari sudut mana dia memandang dan mentafsir diri aku).

Kini aku menanti hari esok. Semoga ada perubahan yang menggembirakan aku dan semoga hari-hari bahagiaku akan aku rasai semula seperti dulu. Aku suka bekerja, aku selalu belajar untuk mencintai kerjaku dan aku selalunya berjaya menyukai kerja-kerjaku. Selain itu, aku juga mahu menjalin hubungan rapat dengan semua rakan sekerjaku di sini.


Sekali lagi aku terasa sangat rindu pada suasana kerja di tempat lamaku. Apatah lagi bila Tuan Haji menyatakan dia dengan En F, lelaki yang berbelas tahun menjadi ketuaku sebelum ini, mempunyai hubungan yang sangat rapat. Entah kenapa beberapa hari ini aku kerap teringat pada En F, ketua yang sangat baik padaku dan yang sentiasa memahami aku.


Tuesday, November 20, 2012

Kenapa begini...?


Sedari pagi aku sudah bertekad untuk mengadap Tuan Haji..... 

Hmm...takkan nak terjah pagi-pagi?

Aku fikir, sekejap lagi la, selepas habis waktu minum ke....

Dan tiba-tiba sekitar jam 11, Tuan Haji keluar dari biliknya, berdiri di sebelah mejaku dan berpesan kepada Puan Zai: Saya ada meeting pasal JPJ, di tingkat 8. Selepas melangkah setapak, Tuan Haji bersuara lagi : Sampai pukul satu ya....

Ok takpa, petang boleh la....

Sekali lagi aku bertangguh-tangguh. Sambil mengarang apa cerita yang akan aku sampaikan kepada Tuan Haji nanti, masa terus berjalan..... Tup tup Cik Sahora masuk ke biliknya. Nampak serius benar mereka berbincang. Tunggu punya tunggu, jam sudah menghampiri 5 petang. Bila Cik Sahora sudah keluar, aku masih lagi rasa berbelah bagi.........Sehingga jam 5.30 aku masih tertoleh-toleh melihat ke biliknya sama ada Tuan Haji masih duduk di tempatnya atau sudah berkemas mahu pulang.....

Akhirnya aku angkat beg dan balik....Dan aku merungut sendiri, kenapa tidak saja aku masuk dan bercakap apa yang berbuku di hatiku? Kenapa aku jadi macam ni? Segan? Takut ? (Arghhh....aku rindukan saat-saat indah bersama ketua-ketuaku di tempat lama....Teringat En Fauzi yg sama jawatan dengan Tuan Haji, yang selalu aku usik-usik, yang sesekali aku puji bila En Fauzi berpakaian baru, malah aku suka mengusik benda-benda yang akan membuat dia menjegilkan mata.....hahaha....)

Kekadang aku sakit hati pada diriku sendiri, tidak bersungguh mahu melakukan sesuatu....Ohh...aku harap aku tidak terlambat.....


Monday, November 19, 2012

Berserabut....

Ohhh.........lamanya tidak menulis..............

Hari ini fikiranku sangat berserabut.... Bukanlah banyak sangat masalah yang ditanggung, malah cuma secubit sahaja....tapi kerana aku menganggapnya seumpama beban, maka inilah jadinya...serabut!! 

Entahlah, masuk sebulan lebih di tempat baru ini, aku rasa semakin tidak gembira. Bukan saja tidak seronok. Aku rasa bosan sebenarnya. Aku bukan tidak suka pada tempat ini, juga bukanlah tidak suka dengan warga kerja di sini. Semua ini tidak menjadi masalah bagi aku. Yang membosankan aku adalah tiadanya bebanan kerja yang perlu aku buat. Kerja aku tidak banyak, tidak sepadan langsung dengan jabatan yang penting ini. Kadang-kadang bila kerja yang diberikan kepada aku telah aku siapkan, aku termangu sendiri, tak tahu apa yang perlu aku lakukan lagi.

Aku rindukan suasana kerja di tempat lamaku. Kerja yang tidak pernah habis, tetapi aku sangat seronok melakukannya. Selalu saja kami terkejar-kejar menyiapkan kerja masing-masing. Kalau orang lain gembira melihat jam menunjukkan pukul 5 petang, namun kami selalunya akan berkata : "Alamak...dah pukul lima ke???"

Di sini, di tempat baru ini, suasana itu tidak ada pada aku. Tetapi rakan-rakan yang lain aku lihat sangat ralit bekerja. Aku rasa bersalah. Aku rasa tidak adil. Aku sepatutnya sibuk seperti mereka juga. Tetapi apalah yang mampu aku lakukan lagi. Berulangkali aku berfikir, malah sudah bulat tekadku untuk menghadap ketuaku, memaklumkan apa sebenarnya yang aku hadapi saban hari, tetapi tiba-tiba saja aku rasa seperti tidak ada keperluan untuk berbuat demikian. 

Kadang aku rasa seperti mahu tinggalkan saja tempat ini. Tapi hidup bukanlah semudah ini.

Kalau awal-awal dulu aku rasa kecewa kerana tidak ditunjuk ajar untuk melaksanakan kerja-kerja aku dan aku berusaha sendiri dengan bantuan "jiran" sebelahku, kini kekecewaan aku semakin bertambah bila sesekali tugas yang diberikan kepadaku tidak mampu aku lakukan dengan sempurna. Aku tidak mahu dikata tidak pandai membuat kerja. Yang sebenarnya aku tidak diajar.

Seperti apa yang berlaku hari ini selepas aku menghantar tugasan aku untuk disemak dan diluluskan oleh Tuan Haji, dia memanggil aku, menyoal aku tentang tugasan tersebut dan sangat malang...aku tidak mampu memberikan jawapan! Aku sudah membuatnya dengan begitu teliti, aku baca semua dokumen yang disertakan, namun kerana ianya melibatkan perintah mahkamah, maka Tuan Haji mahu memastikan perintah itu  tidak diingkari....

Selepas aku berbincang dengan Puan Zai dan masuk semula ke bilik Tuan Haji untuk memberikan penjelasan, ianya masih tidak memuaskan hati Tuan Haji. Lalu dia berjumpa Puan Zai dan mengarahkan Puan Zai membuat tindakan susulan berkenaan kes tersebut. Kenapa aku tidak diajar bagaimana mahu melakukan tugas-tugas tersebut? Kenapa Tuan Haji tidak menyuruh aku belajar daripada Puan Zai dan memberi peluang kepada aku untuk terus melibatkan diri dalam kes tersebut sehingga selesai? Bagaimana  aku mahu mempertingkatkan kemahiranku untuk melakukan tugas-tugasku kalau tidak ditunjuk ajar dan diberikan peluang meneroka bidang kerjaku dengan seluasnya? Arghh.....!!!

Aku dilihat seperti "tidak pandai buat kerja" dan aku rasa sangat hampa.......

Aku sedih....



Dan aku tambah berserabut hari ini bila kereta baru yang aku beli tidak sampai 8 bulan terpaksa diangkut naik trak untuk dihantar ke pusat servis Proton akibat enjin tidak boleh dihidupkan. Pertama kali aku membeli kereta baru dengan 100% duit gajiku sendiri..... Sebelum ini dua biji kereta baru yang aku beli secara berkongsi dengan suami, alhamdulillah, tidak pernah menimbulkan masalah. Malah kereta Proton Waja yang kami gunakan selama enam tahun sebelum ini, tidak pernah sekali pun bermalam di bengkel.

Ini adalah dugaan daripada Illahi. ALLAH mahu menguji tahap kesabaranku. ALLAH mahu menguji keimananku.

Aku redha YA ALLAH. Sesungguhnya ujian ini amatlah kecil....Ampunkan aku YA ALLAH.


KepadaMu Kekasih

KepadaMu Kekasih
Aku berserah
Kerana kutahu Kau lebih mengerti
Apa yang terlukis di cermin wajahku ini
Apa yang tersirat di hati bersama amali

KepadaMu Kekasih
Aku bertanya
Apakah Kau akan menerimaku kembali
Atau harus menghitung lagi segala jasa dan bakti
Atau harus mencampakku ke sisi tanpa harga diri

Hanya padaMu Kekasih
Aku tinggalkan
Jawapan yang belum kutemukan
Yang bakal aku nantikan
Bila malam menjemputku lena beradu

KepadaMu Kekasih
Aku serahkan jiwa dan raga jua segalanya
Apakah Kau akan menerima penyerahan ini
Apakah Kau akan menerimaku
Dalam keadaan begini




Monday, October 1, 2012

Hari pertamaku di sini.....

Hari ini hari pertamaku di Jabatan K………
Hmm……….nasibla……..kebetulan 1hb ini jatuh pada hari Isnin dan ada program perhimpunan bulanan.

Selepas bersalaman dengan setiausaha big boss, aku dipelawa duduk di tempat menunggu dan tak lama kemudian seorang lagi staf yang sama-sama melapor diri di sini, muncul di depan mata. Adam, seorang kawan lama yang telah aku kenal bertahun-tahun dulu malah pernah berjiran denganku di awal perkahwinan aku dulu.

Bila pengumuman melalui siaraya berkumandang, kami satu jabatan berkumpul di ruang legar dan sama-sama menyanyi lagu Negaraku diikuti dengan lagu rasmi organisasi.

Seperti yang aku jangkakan (dan sangat aku risaukan), selepas big boss menyampaikan ‘amanat’, staf yang baru melapor diri dijemput ke depan untuk memperkenalkan diri……….Aduhhh..!! Mujur Adam dengan rela hati menjadi orang yang pertama memperkenalkan diri.

Oleh kerana aku memang ada penyakit darah gemuruh yg sangat kronik, maka ucapan pengenalanku sangat ringkas, malah seperti tak terluah dari mulutku. Mujur big boss (namanya En Ghaus) tidak menyoal apa-apa, lagipun dia sudah mengenali aku.

Selepas itu En Karl, salah seorang pegawai kanan di sini, membawaku ‘tawaf’ satu jabatan dan bersalaman dengan semua staf wanita yang kukira lebih 50 orang, kemudian aku ditunjukkan tempat duduk aku.

Maka bermulalah dunia baruku……….

Hari yang berlalu penuh dengan kebosanan. Belum ada kerja yang diberikan kepada aku, sebaliknya aku diminta membaca ‘Manual Operasi’, perkara yang sangat tidak aku sukai….. Orang lain sibuk dengan tugasan masing-masing.

Oleh kerana tempatku paling tepi, sebelah kanan dan paling depan, jiran terdekat yang ada hanya di sebelah kiri aku. Meja belakang kosong. Di depan aku, sebelah kanan sedikit adalah Encik Halim, pegawai kanan yang juga penyelia aku yang sebenar.

Di depan aku ada 3 sederet wanita berjawatan Penolong Pegawai Kewangan, di mana seorang daripadanya akan mengatur dan mengagihkan tugas-tugas untuk aku.

Ramai juga yang memang sudah lama aku kenal, termasuklah jiran di kiriku, seorang lelaki, Bidin, berusia 54 tahun. Bidin la yang menunjuk ajar aku kerja-kerja yang sepatutnya aku lakukan.

Bidin sangat peramah. Hmm….sudah semestinya aku mengawal tingkah laku aku supaya tidak dilihat “over” oleh orang lain, lebih-lebih lagi oleh Bidin. Wanita seusia aku sewajarnya menjaga tatasusila dengan sebaiknya. Kalau sebelum ini, sebaik aku mendapat tahu harus berjiran dengan Bidin, aku rasa kurang gembira, kini aku perlu berterima kasih pada Bidin kerana dialah yang ringan tulang membantu, menurunkan ilmu dan menjadi teman berbual aku…….

Aku sangat berharap aku akan “bahagia” di sini sebagaimana bahagianya aku sebelum ini di Jabatan KK, juga di beberapa tempat lain sebelum ini. YA ALLAH, ENGKAULAH YANG MENGETAHUI ISI HATIKU….ENGKAU YANG MAHA PENGASIH DAN MAHA PENYAYANG.




Sunday, September 30, 2012

Saat indah bersama teman-teman

28 September 2012, Jumaat

Hari ini adalah hari terakhir saya menjadi kakitangan JKK. Rakan-rakan rapat membawa saya makan dan bersantai-santai di Gloria Jean's Coffee, Bangunan KWSP Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. Hmm....sempena pertukaran saya ke jabatan baru mulai 1 Oktober 2012.

Puan Idzma bersungguh-sungguh melayan saya memesan makanan dan membayar untuk saya. Pertama kali saya makan di sini, sementelah restoran ini pun baru saja dibuka dua bulan yang lepas.

 
Puan Nor Idzma, ketua saya yang sangat baik hati, yang juga sahabat @ BFF saya dan menerima saya sebagai kakaknya. Hanya ALLAH yang mengetahui betapa sayangnya saya terhadapnya dan saya tahu begitulah sebaliknya.



Azura Abas, orang pertama yang memanggil saya dengan panggilan "mak".....

Rosnita juga sudah menjadi "anak" saya. Puan Rowiyah yang dulunya adalah salah seorang pegawai yang saya segani tapi kini telah menjadi BFF saya juga.....
 




Berbelas tahun berada di Jabatan Komunikasi Korporat, berapa ramai pegawai yang bertukar ganti...semuanya menjadi kenangan paling indah dalam hidup ini. Di hujung perkhidmatan saya di jabatan ini, tiga orang pegawai di bahagian media adalah orang baru dan masih sangat muda, namun mereka sangat baik terhadap saya, juga begitu kuat bekerja tanpa mengharapkan bantuan staf bawahan.

Saya tahu saya akan merindui mereka..... Dan saya percaya kasih sayang tidak akan hilang ditelan waktu.




Saturday, August 11, 2012

Ramadhan yang tinggal seminggu lagi akan meninggalkan kita

Memang benar-benar tidak ada kesempatan untuk menulis! Saya juga tidak merasa ralat kerana tidak punya masa di sini, selama beberapa lama ini. Semua yang saya lakukan, yang mengambil sekian banyak waktu saya selama ini adalah lebih bermakna kepada saya.


(Gambar kanak-kanak comel ini memang tiada kaitan di sini, cuma sekadar untuk tatapan bersama)


Hari ini, selepas keluar membeli barangan keperluan dapur, saya duduk menghadap komputer. Kebetulan anak lelaki saya baru berehat daripada "padang permainan"nya di komputer ini. Kebiasaannya komputer "besar" ini seakan menjadi hak mutlak kepada si bujang seorang ini.

Saya sudah membuat dua jenis biskut....ya, walaupun baru dua jenis tetapi saya membuatnya beberapa balang. Bermula Ahad minggu lepas dengan biskut coklat cip dan mixed fruits cookies, malam tadi selepas pulang dari surau, saya dan dua orang anak gadis saya membuat lagi biskut yang sama cuma diubah bentuknya. Bak kata Fara, mencari bentuk-bentuk baru yang mungkin lebih menarik daripada yang biasa dibuat sebelum ini.

Biskut coklat cip ini memang menjadi kegemaran anak-anak saudara saya termasuk di sebelah suami. Jadi saya buat banyak-banyak untuk dibawa pulang ke kampung.

Petang ini, oleh kerana orang kuat saya, Fara teringin berbuka puasa di luar dengan beberapa orang kawannya yang telah lama tidak bertemu, tidak adalah aktiviti membuat biskut. Mungkin lewat malam ini kami akan membuat cornflake madu, itupun sekiranya Fara tidak keletihan. Ini satu lagi biskut @ cookies yang sangat disukai oleh anak-anak saudara saya.

Hmm...sedar tak sedar, rupanya saya kurang memasak sepanjang minggu ini, kecuali nasi goreng dan mihun goreng. Jadi hidangan berbuka hari ini, insyaALLAH saya akan memasak sepenuhnya. Antara menunya adalah kerabu sotong dan sambal udang, dua hidangan yang penuh dengan kolestrol!!

Sebenarnya Ramadhan kali ini banyak berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya. Salah satunya saya mulai rapat dan mengenali jiran-jiran setaman. (Memang memalukan kalau saya katakan sudah lebih dua tahun saya berpindah ke sini jiran yang saya kenal tak sampai 10 orang!)

Sehabis solat terawih di surau saya cuba meluangkan masa bersama mereka. Walaupun jemaah wanita yang menghabiskan solat terawih 20 rakaat hanya sekitar 10 orang, memadailah buat saya mengenali mereka dengan lebih rapat lagi. Rata-ratanya suri rumah sepenuh masa sambil ada yang berniaga kecil-kecilan daripada rumah.

Memang agak letih untuk saya bertahan sehingga sekitar jam 10.45 malam baru bergerak pulang ke rumah, namun saat-saat berjalan kaki bersama mereka adalah waktu yang menyeronokkan. Alhamdulillah, penerimaan mereka sangat baik dan menggembirakan.

Sesungguhnya ALLAH SWT telah mengurniakan kesihatan yang baik kepada saya, juga kekuatan fizikal untuk saya beribadah kepadaNYA. Mengapa tidak saya manfaatkan anugerah ALLAH ini dengan sebaik-baiknya sebagai bekalan saya di kemudian hari nanti?



Tuesday, July 17, 2012

Hati yang terluka.....

Pernahkah kita terasa hati dengan kata-kata atau perbuatan kawan kita tanpa mereka sedari?

(Barangkali juga ada rakan-rakan kita pernah terasa hati dengan kata-kata atau perbuatan kita tanpa kita sedari sama sekali, kerana kita menganggap kata-kata atau perbuatan kita itu biasa saja dan tidak ada niat sedikit pun mahu menyakiti).

Bertahun-tahun berkawan, seharusnya kalau ada perkara yang agak menyakitkan hati saya, selagi saya boleh abaikan, saya akan cuba abaikan. Saya tidak mahu menyimpannya dalam hati.

Tetapi kalau kerap berlaku, kerap kali hati terguris, mampukah saya untuk terus-terusan mengabaikan?



Apakah yang dinamakan sahabat? Apa pula maksud kawan?

Saya selalu percaya kawan yang baik akan menyimpan rahsia kita sehingga ke akhir hayatnya. Kawan yang baik juga tidak akan ada rasa irihati terhadap diri kita. Tidak akan curiga dengan kita.

Saya selalu cuba untuk menyenangkan hati semua orang. Kalau boleh saya tidak mahu walaupun sekali ada orang terasa hati dengan saya.

Kita hanya manusia biasa.........

Jika sudah berulang kali terasa hati, maka tiadalah mampu untuk saya mengabaikan rasa sakit itu begitu saja. Adakalanya memang terasa mencucuk-cucuk........payah sekali untuk melupakannya.



Sunday, July 15, 2012

Bukan sombong....tapi pemalu...

Awal bulan ini saya diarahkan berkursus dua hari di sebuah institut latihan di Kajang. Kursus ini dinamakan "Menghayati Keutamaan Pelanggan". Pesertanya 40 orang dengan majoriti adalah kumpulan sokongan. Ada dua tiga orang sahaja daripada kumpulan eksekutif. Ada pelbagai peringkat usia, ada yang awal dua puluhan dan ada yang telah mencecah setengah abad. Kami semua daripada organisasi yang sama dan bertugas di Wilayah Persekutuan dan Selangor.

Ramai juga di antara kami yang saling tidak mengenali. Yalah, kalau bekerja di PJ memang tidak kenal dengan staf yang bekerja di KL, kecuali staf-staf lama.

Seperti biasa kami akan dibahagikan mengikut grup. Semuanya cuba mengenali ahli kumpulan masing-masing. Kalau sebelum ini cuma kenal muka, kali ini mula berbual antara satu sama lain.

Waktu makan tengahari, dengan saiz meja bulat yang agak besar, memang kami akan berkongsi meja dengan sesiapa sahaja, sekali pun saling tidak mengenali. Namun apa yang saya perhatikan memang ada beberapa orang yang cukup selesa bercakap dengan kawan sendiri tanpa ambil peduli dengan orang di sekeliling mereka. Dengan kata lain mereka seperti tidak perlu lagi untuk berkenalan dengan peserta lain.

Dua wanita yang duduk betul-betul di depan saya (usia dalam pertengahan 30-an) begitu leka berbual berdua dengan mata yang langsung tidak memandang kepada saya dan tiga orang lagi rakan yang bersama saya. Beberapa kali saya memandang ke arah mereka namun tidak sekalipun mereka cuba membalas pandangan saya. Kelihatannya seperti "menutup" diri mereka daripada didekati.

Hmmm.........kalau dengan staf satu organisasi pun tidak "terbuka", bagaimana mahu melayan pelanggan dengan baik? 

Bolehkah saya membuat kesimpulan yang mereka bukanlah sombong, tetapi sangat pemalu?




Saturday, July 7, 2012

Tak ada masa untuk menulis?






Lamanya tidak menulis di sini....

Tidak ada kesempatan?

Tidak ada idea?

Ada kesempatan, ada idea, tapi ada sikap M ????

Adakalanya banyak idea yang datang, apatah lagi saban hari banyak peristiwa yang saya lihat dan ada yang saya alami sendiri. Berkobar-kobar semangat ingin menulis. Bila sampai di rumah, sesudah usai semua tugasan yang sewajarnya dilakukan oleh wanita seperti saya, kudrat sudah berkurangan, lantas semangat yang sebelum ini sangat membara, padam begitu saja.

Saya selalu kagum melihat orang lain yang bijak mengurus masa, yang masih berkesempatan menulis di blog, sekalipun bukan saban hari namun sekurang-kurangnya 3-4 kali dalam seminggu.

Melihat blog sendiri, muncul rasa malu. Bukan malu pada orang lain, tapi malu kepada diri sendiri.

Memang waktu yang ada agak terhad. Kadang-kadang bila tidak terlalu banyak dibebani kerja rumah, keletihan yang dialami sepanjang di pejabat dan menempuh perjalanan pulang ke rumah, membuatkan tubuh memerlukan rehat lebih awal. Jam 10 malam bantal sudah memanggil-manggil....

Saya yakin satu masa nanti saya akan mampu menulis dengan lebih banyak lagi, insyaALLAH.





Thursday, May 31, 2012

Pertama kali akan berjauhan dengan Adina

Pagi Sabtu ini, 2 Jun 2012, anak kedua saya Adina akan mendaftar masuk ke UiTM dan memulakan pengajiannya di peringkat diploma.

Sebelum ini saya dan keluarga menyangkakan sesi pengajian akan bermula pada bulan September. Saya tidak pasti daripada mana saya memperoleh maklumat yang tidak tepat ini. Jadi saya tidak membuat apa-apa persediaan seperti mana saya melakukannya kepada anak sulung saya enam tahun yang lepas. Saya tidak menempah pakaian (baju kurung). Malah saya sudah berangan-angan mahu bercuti ke Bandung sempena cuti persekolahan ini. 

Bila Adina dapat keputusan UPU dan perlu mendaftar pada 2 Jun, kami sekeluarga terkejut. Masa tu lah saya baru teringat macam-macam perkara, termasuk rancangan percutian yang sering tertangguh. Asalnya nak ke Bandung. Bila bincang-bincang dengan Fara, dia kata lain kali sajalah. Cuti dekat-dekat pun cukuplah. Lalu kami merancang untuk ke Sabah atau Sarawak. Berulang-ulang melayari laman web mencari promosi tiket kapalterbang, tapi tidak juga menempahnya.

Kalaulah tiket sudah ditempah, penginapan juga sudah dibayar dan kami terpaksa membatalkannya, tentulah rasa ralat. Anak-anak juga akan kecewa. 

Memandangkan masa yang agak singkat untuk membuat persiapan, saya membelikan Adina 3 pasang baju kurung yang telah siap. Sempat juga saya membeli kain dan menempah 3 pasang lagi. Adalah pakaian baru untuk memulakan dunia baru..........


Sejak dari kecil lagi saya tidak pernah berpisah dengan anak-anak. Sekolah menengah pun tinggal dengan saya. Jadi inilah kali pertama Adina akan hidup 'sendiri' dan berjauhan daripada keluarga.

Memang rasa sedih. Adina pula rasa teruja untuk memulakan pengajiannya.

Saya yakin semuanya akan berjalan lancar. Adina tahu membawa diri, insyaALLAH. Selama ini saya banyak menasihatinya mengenai kehidupan bersama kawan-kawan. Hampir setiap hari sebelum dia 'pergi', saya memberikan pelbagai pesanan.

Doa saya semoga Adina mendapat kawan-kawan yang baik, terutamanya rakan-rakan yang akan tinggal sebilik dengannya. Bagi saya rakan-rakan ini sangat penting untuk mencorakkan hidupnya sehari-hari nanti. 





Saturday, May 26, 2012

Tapau lauk...balik rumah masak nasi....

Bahagian 2

Bukan sedikit staf yang membeli lauk untuk dibawa pulang. Bukan juga hanya wanita yang membelinya. Ramai lelaki tak kira pangkat dan usia turut membelinya. Bila sesekali saya turun ke kafe dan melihat encik itu atau encik ini sedang membeli lauk bungkus, hati saya berkata-kata : bagusnya lelaki ini, pandai membeli lauk, bertuah isterinya.

Saya juga berfikir, begitu ramai suami yang memahami kesibukan isteri, yang boleh menerima kenyataan isteri tidak sempat memasak untuk mereka. 

Ingat tak dulu-dulu, bila lelaki mahu berkahwin, emak lelaki tersebut, dan mungkin juga kawan-kawan mereka akan mengatakan : eloklah kahwin, ada yang cucikan kain baju kau, yang masak untuk kau.... Pendek kata bila seseorang lelaki itu berkahwin, semua beranggapan isteri akan memasak untuk mereka. Malah bila ada yang tahu pasangan yang telah berkahwin masih makan di kedai atau membeli lauk dari kedai, ada yang menyindir - buat apa kawin kalau makan pun kat kedai?

Keadaan telah jauh berubah. Rata-rata isteri sama-sama bekerja dan menyumbang perbelanjaan untuk keluarga. Masa untuk memasak semakin terhad, apatah lagi kalau memiliki anak kecil. Lebih malang lagi kalau dapat suami yang berat tulang, atau bahasa mudahnya - pemalas!

Kembali kepada cerita tapau lauk.... Kalau sebelum ini saya agak segan untuk membungkus lauk, takut dikata orang (lebih-lebih lagi orang lelaki) saya ini isteri pemalas, namun selepas melihat begitu ramai rakan-rakan membelinya, saya dah hilang rasa segan. Cuma seperti yang saya katakan sebelum ini, saya tidaklah membeli banyak. Saya masih juga memasak di rumah.

Tetapi ada juga rakan-rakan lain yang saban hari membeli lauk. Malah ada seorang kawan lelaki yang kerap juga bila saya terserempak di kafe, sedang membeli lauk, berjenis-jenis pula tu dan setiap jenis dengan kuantiti yang agak banyak. Malah ada yang membeli sayur goreng juga. Pada saya sayur tak sedap dipanaskan semula. Bila tak dipanaskan, kurang selera pula untuk dimakan. Ada pula tu siap awal-awal lagi memberi senarai lauk kepada Siti, lepas tu turun untuk membayar dan mengambilnya.

Tertanya-tanya juga saya, tidak jemukah makan masakan dari kedai yang sama je setiap hari? Pernah juga tertanya-tanya : langsung tak masak ke di rumah? Takkan hari-hari cuma masak nasi je?

Apa pun masing-masing ada cara hidup masing-masing. Hidup bersuami-isteri perlu bertolak ansur. Suami pula kalau dah berat tulang nak membantu isteri, tak payahlah nak paksa isteri memasak. Lainlah ada pembantu rumah. Sekali pun pembantu tidak memasak, setidak-tidaknya ada yang tolong siang ikan, potong sayur, kemas dapur (banyak saya dengar pasangan yang tidak menyuruh pembantu memasak. Makanan yang nak masuk ke perut biarlah dimasak sendiri............beli bungkus tak apa!!)



Friday, May 25, 2012

Tapau lauk...balik rumah masak nasi....

Bahagian I

Di bangunan tempat saya bekerja ada kafe yang menempatkan 7 buah gerai. Ada gerai masakan ala-Cina, mamak, ala-barat, masakan padang @ minang, masakan kelantan dan masakan melayu...

Seawal  10 pagi gerai mamak sudah menyediakan lauk-pauk yang memang dimasak di situ, panas-panas dan berasap, biasanya sebaik sahaja menu sarapan pagi telah habis dijual. Lebih kurang 10.30 pagi gerai masakan melayu yang digelar Gerai Siti, mula menjual lauk-pauk yang dimasak di tempat lain tetapi didatangkan ke kafe dalam keadaan masih panas lagi. Maka ramailah yang makan nasi putih berlauk seawal jam 10 pagi.

Selain makan di situ, ramai juga yang membeli lauk untuk dibawa pulang ke rumah, biasanya untuk makan malam. Saya salah seorang daripadanya. Saya mula berjinak-jinak tapau lauk sejak beberapa bulan ni saja. Itu pun biasanya saya hanya membeli satu atau dua jenis sahaja, sama ada masakan ikan atau ayam. Sayur saya akan goreng sendiri di rumah. Begitu juga bila saya teringin makan sambal bilis cili api atau ikan goreng panas-panas bubuh cili api yang siap ditumis, saya akan memasaknya sendiri. Inilah salah satu lauk kegemaran saya dan keluarga dan ikan  yang paling sesuai dan sedap adalah ikan kembung.

Sebagai wanita, saya sebenarnya suka memasak. Suami dan anak-anak suka sambal yang saya buat. Macam-macam rupa sambal saya pernah masak (tetapi terhad untuk keluarga saya saja la). Biasanya saya membuat sambal cili api dimasak kering. Adakalanya cili api saya campur dengan cili merah, saya blend banyak-banyak dengan bawang besar, bawang putih dan tumis sampai agak kering, campurkan dengan bilis yang telah digoreng.

Pernah sekali saya memasak sambal ini sampai hampir hangus. Rupa-rupanya anak-anak saya suka memakannya dan sampai sekarang mereka menamakan sambal saya tu dengan nama sambal hitam. Sesekali mereka akan meng'order' - ibu, buatlah sambal hitam...hahaha....

Kembali kepada cerita tapau lauk. Sebagai isteri dan ibu saya akan rasa bersalah kalau tidak memasak. Sekalipun semua ahli keluarga tidak pernah komplen atau menolak makan lauk yang dibeli di luar, saya akan merasa lebih puas sekiranya dapat memasak untuk mereka, lebih-lebih lagi kalau saya dapat memasak lauk kegemaran mereka.

Memang setiap pagi saya akan menyediakan sarapan untuk anak-anak, sekalipun adakalanya sekadar sandwich telur atau tuna, lebih kerap - nasi goreng. Saya juga memasak 1 jenis lauk untuk mereka makan tengahari. Itu sajalah yang sempat saya buat sebelum saya keluar rumah jam 6.30 pagi untuk ke pejabat.





Tuesday, May 22, 2012

Air dicincang tidak akan putus

Saya baru membaca post ini dua jam yang lepas (http://aina-emir.blogspot.com/2012/05/air-dicincang-tak-putus.html). Terima kasih Aina Emir kerana mengingatkan saya kepada kakak, abang dan tiga orang adik-adik saya yang sangat saya sayangi. (Maaf kerana saya menggunakan tajuk yang sama).

Saya sedar sejak emak meninggal dunia lebih lima tahun yang lepas, kami adik-beradik semakin jarang dapat bertemu apalagi berkumpul bersama-sama. Tahun pertama pemergian emak, kami masih kerap berhubung, malah saya selalu juga pulang ke kampung menjenguk adik lelaki yang tinggal berseorangan di rumah pusaka.

Hari raya Aidilfitri saya cuba usahakan semua adik-beradik berkumpul di kampung. Tahun ketiga dan seterusnya, saya masih bersua muka dengan kakak, abang dan semua adik-adik cuma bezanya pertemuan itu tidak serentak. Malah pada tahun ketiga, kakak tidak sempat pulang ke kampung. Kami yang mengunjungi kakak di rumahnya.

Saya faham keadaan kakak. Kakak sudah ada keluarga besar di Kuala Krau sana, malah sudah ada dua besan. Pastinya kakak mempunyai program sendiri, dengan anak menantu yang akan datang berkunjung dan berkumpul di rumah kakak.

Kecuali kakak, yang lain-lainnya tinggal di Selangor. Abang di Klang, saya di Kajang dan dua adik perempuan saya tinggal di Bukit Beruntung dan Antara Gapi, tidak jauh dari Serendah. Percayakah kalau saya katakan dengan jarak yang tidak jauh mana ini, kami jarang berjumpa, jarang juga saling bertanya khabar melalui telefon, lebih-lebih lagi dengan abang saya.

Yang masih kerap saya hubungi adalah adik lelaki yang keseorangan di kampung. Sekali dalam sebulan, saya akan usahakan juga menjenguknya sekalipun sekadar balik hari.

Bila saya fikir-fikirkan, tidak sepatutnya perkara ini berlaku. Saya tidak salahkan sesiapa, saya salahkan diri saya sendiri. Saya yang tidak menghubungi kakak dan abang. Saya yang tidak sms adik-adik saya.

Saya tahu meskipun kami jarang berhubung, jarang berjumpa, kasih sayang kami tidak pernah putus dan insyaALLAH tidak akan putus. Antara kami memang saling menyayangi. Bukti jelas adalah ketika kami bercuti ke Pulau Jawa Indonesia pada Februari yang lepas. Berdampingan selama 6 hari 5 malam memang waktu yang sangat membahagiakan.

Demi ALLAH saya sangat sayangkan mereka!


Malam yang menguji kesabaran

Sekian lama saya tak ada semangat nak menulis di sini. Malam-malam yang tidak sibuk saya isi dengan duduk atau baring-baring di katil sambil membaca buku dan novel.Ini memang hobi saya sejak dulu, malah semakin menjadi-jadi kebelakangan ini sehinggakan saya sudah hilang minat untuk menonton tv.

Kalau dulu saya minat menonton drama-drama melayu seperti drama bersiri samarinda, kini satu-satunya rancangan tv yang masih setia diikuti adalah cerekarama di tv3.

Malam ini tiba-tiba saya rasa teruja untuk menulis. Malangnya talian internet bermasalah. Bukan sikit-sikit masalah, tapi memang mampu menghilangkan kesabaran saya (selama ini kesabaran saya berada ditahap yang memuaskan, insyaALLAH).

Mula-mula saya buka facebook. Walaupun agak perlahan tapi masih ok. Saya 'open a new tab', saya buka blog. Ok juga. Bila saya klik link blog teman lain, keluarlah SERVER NOT FOUND...TRY AGAIN. Saya cuba sign in ke blog sendiri. Ayat yang sama terpapar di skrin. Berulang kali saya cuba tapi masih tidak berjaya. Kemudian bila saya buka balik facebook, keluar juga ayat yang sama.

Saya baru menaiktaraf talian internet di rumah saya minggu lepas. Itupun selepas TM 'memujuk' kami dan dijanjikan selama tiga bulan bil akan dicaj dengan kadar lama. Dah namanya naiktaraf, sepatutnya lebih 'laju' daripada sebelumnya. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Anak-anak ada merungut juga sebelum ini tetapi saya diamkan saja. Paling tidak pun saya cakap kepada mereka, mungkin peringkat awal, slow sikit. Tunggulah sehari dua lagi. Jadi bila malam ini masalah ni saya yang menghadapi, baru terasa geram di hati.

Menjelang jam 10 malam, talian agak baik.... ALHAMDULILLAH.




Monday, May 14, 2012

Hidup ini penuh warna warni....

Dalam suka dan bahagia, adakalanya terselit rasa gundah gulana. Dalam kesyukuran masih tersimpan keraguan. Bukan meragui rezeki atau anugerah dari ALLAH, jauh sekali untuk tidak menghargai bahagia yang sentiasa bertamu dalam hidup ini.

Acap kali saya merasa seperti tidak gembira meski saya sendiri tidak pasti apa yang membuatkan saya berperasaan sedemikian. Kadang saya rasa sayu. Selalu saya cuba untuk tidak melayan perasaan sebegini, tapi sesekali bagai sengaja mencari-cari kekurangan yang ada di sekeliling...

Saya sayang keluarga saya. Merekalah harta yang paling berharga di dunia ini. Anak-anak....hanya ALLAH yang mengetahui betapa dalamnya kasih saya terhadap mereka.

Tetapi bila saya sering diduga dengan kerenah anak-anak, memang tidak dapat dinafikan ada rasa kecewa yang berbuku di hati.

Sebagai ibu, saya tidak pernah berhenti berdoa supaya anak-anak saya menjadi insan yang berjaya dalam hidup masing-masing.

Monday, April 9, 2012

Sesi Perkongsian Ilmu : Kurangkan pengambilan garam

Garam adalah mineral yang terdapat dalam makanan secara semulajadi atau ditambah semasa pemprosesan atau memasak.

Garam boleh didapati dalam bentuk garam halus atau kasar yang ditambah dalam makanan atau tersembunyi seperti yang terdapat dalam sos, kicap, taucu, mayonis, keju, ikan masin serta serbuk dan kiub perasa.

Garam diperlukan dalam jumlah kecil untuk kesihatan. Garam biasa yang digunakan dalam masakan mengandungi 99.9% natrium klorida (sodium chloride).

Kesan garam ke atas kesihatan
Pengambilan garam yang berlebihan meningkatkan risiko tekanan darah tinggi atau hipertensi.

Panduan mengurangkan pengambilan garam

* Gunakan perencah asli seperti jus limau dan rempah ratus.

* Kurangkan penggunaan garam, perisa tiruan, kicap dan taucu dalam masakan.

* Kurangkan pengambilan makanan yang diproses seperti makanan dalam tin, sosej, burger dan
   makanan segera.

* Kurangkan penggunaan mayonis dan keju dalam penyediaan makanan.

* Kurangkan makanan ringan yang masin seperti keropok dan kacang bergaram.

* Kurangkan makanan yang diawet seperti ikan masin, telur masin, belacan, cencaluk, budu serta
   jeruk asin buah-buahan dan sayuran.

* Baca label makanan dan elakkan membeli makanan yang kaya dengan natrium klorida dan
   monosodium glutamate (MSG).

* Hadkan pengambilan garam kepada 1 sudu teh (6 gram) garam atau 2400 mg natrium.






Friday, April 6, 2012

10 kunci persahabatan yang baik


1) Pilih orang yang mempunyai minat yang sama seperti anda supaya anda mempunyai persamaan, tetapi jangan mengetepikan orang yang langsung tidak mempunyai persamaan dengan anda, bersikap terbuka baik untuk anda.

2) Ingatlah pada satu pedoman penting iaitu berlaku baik terhadap orang lain sebagaimana anda suka diperlakukan. Sekiranya anda menghormati orang lain, orang lain akan menghormati anda juga.

3) Sedarlah bahawa tiada siapa yang sempurna, setiap orang mempunyai sifat-sifat aneh dan kecacatan, dan menerima kecacatan antara satu sama lain adalah kunci persahabatan yang baik.

4) Hargai pendapat satu sama lain.

5) Sedarlah bahawa kawan yang rapat sekalipun tidak dapat bersama 24 jam. Bina minat-minat yang lain dan jangan cemburu apabila kawan anda mempunyai minat-minat yang lain juga.

6) Komunikasi sangat penting, kawan anda tidak boleh membaca fikiran anda. Sekiranya ada sesuatu yang menjejaskan persahabatan anda, beritahulah. Jaga tuturkata bagi mengukuhkan silaturrahim.

7) Jangan biarkan faktor luaran seperti tekanan (stress) menjejaskan persahabatan anda. Kawan yang baik akan membenarkan anda melepaskan perasaan kepada mereka, tetapi jangan hanya mempergunakan mereka untuk melepaskan perasaan dan sebagai balasan anda sepatutnya bersedia untuk mendengar luahan perasaan mereka pula.

8) Belajar daripada satu sama lain.

9) Jangan mengata di belakang kawan anda.

10) Pilih kata-kata anda dengan bijaksana kerana dengan kata-kata itu manusia akan terpengaruh.






Thursday, April 5, 2012

Tidak insafkah aku?

Bertahun-tahun hidup tanpa kesusahan. Ada tempat tinggal yang sempurna walaupun tidak mewah. Sentiasa cukup makanan, malah adakalanya berlebihan. Pakaian tidak pernah tidak berganti, malah ada waktunya setiap bulan ada pakaian baru. Ke sana ke mari, ada pengangkutan, biar pun sekadar sebuah kereta jenama tempatan.

Duit sentiasa ada. Kalau pun ada waktunya hampir kekeringan, cukup bulan dapat habuan lagi. Sesekali melancong, mungkin dua kali dalam setahun biar pun sekadar di dalam negara. Adakah kita selalu mengucapkan syukur dengan adanya semua ini? Pernahkah kita berterima kasih kepada Yang Maha Kuasa yang menganugerahkan kepada kita segalanya ini?

Kita kerap mengatakan apa yang kita ada adalah kerana usaha kita. Setiap hari bekerja, maka sebab itulah kita mendapat gaji. Dengan gaji itulah kita berupaya memiliki segalanya ini. Lagi tinggi gaji yang kita perolehi, lagi banyak barang yang boleh kita miliki atau lagi mahal barang yang kita boleh beli.

Alangkah nikmatnya hidup ini bila kita mampu membeli dan memiliki barang-barang yang kita sukai. Kalau setengah orang untuk memiliki barang yang 'perlu' pun agak sukar untuk memperolehi, kita jauh lebih berkemampuan untuk mendapatkan barang-barang kesukaan kita, hingga ada kalanya kita membeli lebih kepada kemahuan, bukan lagi keperluan.

Itupun adakalanya kita masih tidak berpuas hati. Kita mahukan lebih lagi. Kita suka memandang orang lain yang berada di atas kita. Kita cemburu bila melihat kawan-kawan lain memiliki lebih dari apa yang kita ada. Kita tidak mahu melihat orang di bawah kita.

Sebahagian daripada kita sukar merasa puas dengan apa yang telah kita ada. Dan alangkah seronoknya bila kita juga akhirnya mampu memiliki biarpun dengan sedikit susah payah. ALLAH Maha Pemberi Rezeki.

Tetapi bila tiba-tiba kita mendapat musibah, kita rasa sangat sukar untuk menerimanya, apatah lagi untuk redha. Kita akan mengeluh, malah ada yang menyumpah kerana mendapat susah. Kita lupa telah berapa banyak kesenangan dan nikmat yang ALLAH telah beri kepada kita sejak sekian lamanya.

Kita lupa alangkah banyaknya kebahagiaan yang telah kita kecap selama ini dibandingkan dengan sedikit kesusahan yang menimpa kita. 

Sesungguhnya ujian daripada ALLAH itu bukan sekadar kesakitan sahaja. Kesenangan dan keindahan itu juga, selain ianya adalah nikmat, adalah juga sebagai ujian kepada kita sejauh mana kita tahu mensyukurinya.



Friday, March 30, 2012

Masih ramai lagi anak-anak muda yang budiman di KL ini

Tengahari tadi saya ke Maybank Jalan Raja Laut untuk bank-in cek. Seperti biasa saya dah siap tulis nama dan nombor akaun di belakang cek. Jadi saya terus saja ke mesin deposit cek. Ada seorang lelaki sedang berurusan di mesin. Saya berdiri di belakangnya.

Tak sampai 30 saat saya beratur, lelaki tersebut tertoleh-toleh ke arah saya. Seorang anak muda dengan muka yang biasa, tidaklah nampak sangat mesra alam, tapi tidak juga berwajah sombong. Saya buat tak tahu saja. Tiba-tiba dia bertanya : "kak, banyak ke cek akak?" Saya jawab : "tak adalah, dua je."

Dia beralih tempat. Masa ni lah saya nampak ada banyak cek di tangannya. Mungkin dia bank-in cek majikannya. "Akak buat la dulu. Saya punya banyak lagi ni." Hmm....dengan wajah yang sangat gembira dan segera mengucapkan terima kasih, saya terus ke depan mesin. Oleh kerana saya boleh menghafal nombor akaun saya, urusan menjadi cepat. Selesai saja sekali lagi saya tersenyum ke arah anak muda tadi dan mengucapkan terima kasih.

Hati berbunga-bunga...

Wednesday, March 28, 2012

Terpedaya atau tertipu?

Saya memang sangat teliti dengan harga barang yang saya nak beli. Kalau pergi ke pasaraya atau pasar mini atau mana-mana kedai sekali pun saya akan lihat dulu harga barang yang saya akan beli, biasanya barang-barang dapur la. Saya akan pastikan harga yang dipamerkan di rak adalah sama dengan harga yang akan di'scan' di kaunter nanti.

Kerap-kali saya terkena, sejak bertahun dulu. Kalau saya cepat sedar, saya akan tanya terus kepada juruwang. Pernah di Tesco Banting saya mengambil sekampit beras dengan harga di rak adalah RM22.90, harga promosi yang ditawarkan. (Ini kejadian lebih 10 tahun lepas. Tesco tu pun dah tak ada sekarang). Bila discan, harganya RM29.90!! Saya apalagi, memang rasa tak puas hati. Saya tanya kepada juruwang yang bertugas, dia minta saya jumpa kepada staf di dalam. Resit saya diambil, dibetulkan dan amaun perbezaan harga dikembalikan.

Cuba fikir berapa ramai pelanggan yang tidak menyedari benda-benda seperti ini. Berapa banyak keuntungan yang dikaut oleh pemilik pasaraya?

Ada ketikanya bila barangan yang saya beli banyak, saya hanya menyemak resit dalam kereta ketika perjalanan balik ke rumah dan dengan harapan semua harganya adalah sama dengan yang dipamerkan di rak. Memanglah mustahil nak ingat harga semua barang, apatah lagi kalau yang dibeli tu 1 troli penuh? Tapi ada barang-barang tertentu yang saya boleh ingat. Dan pernahlah beberapa kali saya terjumpa harganya tidak sama, ada yang berbeza RM2, RM3 atau lebih sikit. Kalau setakat jumlah seperti ini adalah tidak berbaloi untuk saya berpatah semula ke pasaraya dan menuntut hak saya.

Sejak saya berpindah ke sini, saya membeli barang dapur di pasaraya Giant. Beberapa lama kemudian bila saya menyedari harga sebahagian barang di sini lebih mahal dari kedai lain, saya beli juga di speedmart dan myMydin yang jaraknya sama saja jika saya ke Giant.

Di myMydin pula, kerap kali saya terkena harga yang discan tidak sama dengan harga di rak. Malah ada kalanya harga barang yang cuma RM3.50 di rak, bila discan menjadi lebih RM5. Pernah saya panggil staf dan tunjukkan perbezaan harga tersebut. Jawapan staf mudah saja : oh, itu harga lama kak.

Sejak itu setiap kali saya ke myMydin saya akan scan dulu barang-barang yang saya akan beli kecuali barang basah yang memang akan dilekatkan dengan harga atau barang-barang yang kita pilih dan timbang. Malangnya ada masa-masanya scanner pula rosak. Bila jadi macam ni saya akan hadkan barang yang saya beli, lagi pun saya boleh membelinya pada hari yang lain kerana myMydin akan saya lalui hampir setiap hari pulang dari kerja.

Baru-baru ini saya mahu membeli 2 botol sos tiram, satu untuk sayuran, satu untuk masakan ayam. Harga di rak RM4.29 untuk sayuran dan RM4.49 untuk ayam. Bila discan, kedua-duanya berharga RM5.10. Saya panggil seorang staf dan tunjukkan harga di rak. Dia jawab : "Hari tu kita susun banyak kat sini. Harga tak tukar lagi." Lepas tu dengan selambanya staf tu berlalu pergi. Saya memang marah dan sakit hati.

Masa tu semangat saya berkobar-kobar untuk membuat aduan dalam akhbar! Semangat kali kedua, selepas kali pertama saya terkena beberapa bulan yang lepas (yang kesudahannya tak buat apa-apa aduan pun!). Bagi saya kalau harga yang dipamerkan adalah RM5, semestinya bila discan harganya juga RM5.

Mungkin selepas ini saya akan buat aduan kepada HQ. Tentu orang-orang kuat di HQ tidak mengetahui masalah ini.

Mengenangkan kebaikan pemilik pasaraya mydin yang pernah saya baca di akhbar, saya rasa biarlah saya "menyembunyikan" masalah ini dahulu.