Bahagian I
Di bangunan tempat saya bekerja ada kafe yang menempatkan 7 buah gerai. Ada gerai masakan ala-Cina, mamak, ala-barat, masakan padang @ minang, masakan kelantan dan masakan melayu...
Seawal 10 pagi gerai mamak sudah menyediakan lauk-pauk yang memang dimasak di situ, panas-panas dan berasap, biasanya sebaik sahaja menu sarapan pagi telah habis dijual. Lebih kurang 10.30 pagi gerai masakan melayu yang digelar Gerai Siti, mula menjual lauk-pauk yang dimasak di tempat lain tetapi didatangkan ke kafe dalam keadaan masih panas lagi. Maka ramailah yang makan nasi putih berlauk seawal jam 10 pagi.
Selain makan di situ, ramai juga yang membeli lauk untuk dibawa pulang ke rumah, biasanya untuk makan malam. Saya salah seorang daripadanya. Saya mula berjinak-jinak tapau lauk sejak beberapa bulan ni saja. Itu pun biasanya saya hanya membeli satu atau dua jenis sahaja, sama ada masakan ikan atau ayam. Sayur saya akan goreng sendiri di rumah. Begitu juga bila saya teringin makan sambal bilis cili api atau ikan goreng panas-panas bubuh cili api yang siap ditumis, saya akan memasaknya sendiri. Inilah salah satu lauk kegemaran saya dan keluarga dan ikan yang paling sesuai dan sedap adalah ikan kembung.
Sebagai wanita, saya sebenarnya suka memasak. Suami dan anak-anak suka sambal yang saya buat. Macam-macam rupa sambal saya pernah masak (tetapi terhad untuk keluarga saya saja la). Biasanya saya membuat sambal cili api dimasak kering. Adakalanya cili api saya campur dengan cili merah, saya blend banyak-banyak dengan bawang besar, bawang putih dan tumis sampai agak kering, campurkan dengan bilis yang telah digoreng.
Pernah sekali saya memasak sambal ini sampai hampir hangus. Rupa-rupanya anak-anak saya suka memakannya dan sampai sekarang mereka menamakan sambal saya tu dengan nama sambal hitam. Sesekali mereka akan meng'order' - ibu, buatlah sambal hitam...hahaha....
Kembali kepada cerita tapau lauk. Sebagai isteri dan ibu saya akan rasa bersalah kalau tidak memasak. Sekalipun semua ahli keluarga tidak pernah komplen atau menolak makan lauk yang dibeli di luar, saya akan merasa lebih puas sekiranya dapat memasak untuk mereka, lebih-lebih lagi kalau saya dapat memasak lauk kegemaran mereka.
Memang setiap pagi saya akan menyediakan sarapan untuk anak-anak, sekalipun adakalanya sekadar sandwich telur atau tuna, lebih kerap - nasi goreng. Saya juga memasak 1 jenis lauk untuk mereka makan tengahari. Itu sajalah yang sempat saya buat sebelum saya keluar rumah jam 6.30 pagi untuk ke pejabat.
No comments:
Post a Comment