Ustaz Rizqon telah memaklumkan yang kami semua akan ke Madinah pada 20 Mei 2010. Bas akan berada di depan hotel dan akan bergerak sebelum jam 2 petang waktu Arab Saudi. Ustaz mengingatkan kami semua untuk melaksanakan tawaf Wida'.
Selepas bersarapan pagi, kami meneruskan tugas mengemas beg pakaian masing-masing. Selepas itu ada yang mengisi masa dengan bersiar-siar atau membeli barangan untuk dibawa pulang ke Malaysia.
Aku dan Jem melakukan tawaf Wida' usai melaksanakan solat Zuhur di masjid Al-Haram. Cuaca memang terlalu panas, kukira mencapai 45 darjah selsius.
Pusingan pertama dan kedua, tiada lagi rasa sedih di hatiku. Namun mulai pusingan keempat, hati mulai sebak. Airmata berlinangan tanpa mampu dibendung lagi. Memang aku rasa tersangat sedih untuk meninggalkan Kaabah. Ketika menamatkan pusingan ketujuh aku dan Jem menangis terus sambil berjalan bergandingan tangan. Peluh berjuraian membasahi seluruh badan. Habis basah baju yang dipakai.
Kami melakukan apa yang disarankan oleh ustaz sebelum ini, juga membaca doa-doa yang telah diajar oleh Ustaz Ridzwan ketika aku berkursus tiga minggu sebelum aku bertolak ke Makkah. Kami melangkah penuh longlai meninggalkan masjid dengan airmata yang tidak mahu berhenti mengalir............
No comments:
Post a Comment