Friday, June 18, 2010

Penyucian jiwa (Bahagian 9)

20 Mei 2010. Sepanjang perjalanan ke Madinah, aku dan Jem kerap juga terlelap. Pendingin udara yang berfungsi dengan begitu baik, membuat hampir semua jemaah terlena, termasuk mutawwif kami....

Kami singgah di Yamaan Restaurant untuk makan dan menunaikan solat Asar.

(Nasi Mandy bersama ikan goreng dan ayam tandoori. Selepas pulang dari umrah aku tercari-cari menu yang sama di Kuala Lumpur, aku sangat menyukai makanan ini walaupun kering tanpa kuah. Aku pernah makan di Al-Rawsha, tapi keenakan ayamnya tak sama dengan yang aku makan di sana)
2 mutawwif ini makan di luar...wah wah....1 dulang untuk 2 orang je?

Kami sampai di Madinah sekitar jam 9.45 malam.

Kami mendaftar masuk ke Hotel Durrat Al-Fayroz. Agak lama juga kami menunggu beg pakaian kami sampai, disebabkan ada beg yang dihantar ke tingkat yang salah. Ramai jemaah yang merehatkan badan di bilik masing-masing kecuali beberapa jemaah lelaki yang pergi ke Masjid Nabawi untuk bersolat. Memang hatiku juga meronta-ronta untuk ke sana, namun setelah berbincang dengan Jem, kami mengambil keputusan untuk ke masjid sebelum subuh esok.

Pemeriksaan di pintu masuk Masjid Nabawi begitu ketat sekali. Jemaah berasak-asak masuk, hingga adakalanya terlepas seorang dua. Melihat petugas mengambil handphone dari jemaah dan memasukkannya ke dalam satu peti berhampiran pintu masjid membuatkan aku cemas. Sebenarnya bukan handphone yg menjadi larangan tetapi kamera yang tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam masjid dan hampir semua handphone ada kamera di dalamnya.

Aku terdengar seseorang bertikam lidah dengan petugas dan menegaskan yang handphonenya tidak ada kamera, tetapi tidak diendahkan. Lagipun takkan petugas perlu membelek setiap handphone tersebut. Aku mengaku membawa handphone di dalam beg bimbit. Aku berdoa semoga petugas tidak menjumpai handphone tersebut dan aku berjaya.

21.5.2010 (Jumaat)
Ustaz membawa kami menziarahi sekitar Masjid Nabawi, termasuk perkuburan Baqi' yang menempatkan jenazah para syuhada. Kami juga menziarahi Makam Rasulullah, Saiyidina Abu Bakar dan Saiyidina 'Umar.

Untuk jemaah wanita, kami memasuki Masjid Nabawi untuk solat dan berdoa di Raudhah. Kami diminta duduk mengikut negara masing-masing dan jemaah dari Indonesia berada bersebelahan dengan kami. Bila diberikan keizinan untuk ke Raudhah, masing-masing berkejar malah ada yang berlari. Suasana begitu sesak, sampaikan aku sendiri tidak pasti di mana harus aku bersolat. Melihat jemaah di kiri kanan menunaikan solat di tengah kesesakan, aku turut melakukan perkara yang sama. Aku tidak dapat menghampiri Raudhah kerana orang terlalu ramai.

Setelah solat dan berdoa, kami diminta keluar bagi memberi laluan kepada orang lain, malah berdiri di luar kawasan Raudhah juga tidak dibenarkan. Petugas memaksa kami keluar. Kami beredar dan menjumpai satu kawasan agak lapang di dalam masjid lalu kami duduk di situ untuk seketika.

Petangnya aku dan Jem berjalan-jalan tidak jauh dari hotel penginapan kami. Memang Madinah bandar yang sangat cantik, menarik dan bersih. Pusat membeli belah juga begitu banyak. Kami memasuki beberapa kedai, membeli cenderamata untuk keluarga dan kawan-kawan.

(bersambung........)





No comments:

Post a Comment