Thursday, June 10, 2010

Penyucian jiwa (Bahagian 6)

16 Mei 2010

Seperti biasa, selepas solat Maghrib, kami mengisi masa yang ada dengan membaca Al-Quran sementara menanti masuknya waktu Isyak. Namun, bila mata terasa pedih dan letih, aku akan berdiri dan memandang Ka'abah sambil membaca pelbagai doa. Bukankah dengan memandang Ka'abah sahaja kita akan mendapat 20 pahala?

Sejak aku dan Jem 'menemui' ruang bersolat di tingkat 1, setiap waktu kami akan menunaikan solat di situ. Meski pun cuacanya agak panas, tetapi hati begitu puas kerana dapat memandang Ka'abah.

Malam ini solat Isyak telah meninggalkan kenangan amat syahdu dalam hidupku. Ketika Imam membaca surah di rakaat kedua, Imam tersebut menangis..........bacaannya tersekat-sekat 2-3 kali dek esakannya........Bayangkanlah.....betapa hibanya hati....Aku yang tidak dapat menangkap surah apa, malah tidak faham maksud surah tersebut, boleh ikut sebak dan bergenang airmata..............Apa yang ada dalam fikiranku adalah - betapa tawaduknya Imam tersebut menghayati bacaannya, yang sudah pasti beliau memahami sepenuhnya maksud surah yang dibacanya itu. Pastinya beliau berada dalam keadaan penuh rendah hati dan benar-benar menghambakan diri terhadap ALLAH SWT....

Alangkah bagusnya kalau aku juga mampu menghayati dan menginsafi akan kekerdilanku sebagai hamba............

Malam ini, bersama beberapa jemaah lain, kami meminta jasa baik Ustaz Rizqon membimbing kami melakukan umrah sunat ke 4. Jam 11 malam waktu Arab Saudi, dengan menaiki van, kami berlapan termasuk ustaz menuju ke Tana'im untuk berniat ihram.

Terasa nyaman sekali bertawaf di tengah malam..........cuma untuk menghabiskan sai'e aku merasa agak keletihan ketika di pusingan ke 6. Namun, kukumpul tenaga yang bersisa untuk menghabiskan umrahku.

Kami bergunting sekitar jam 1.20 malam.

Sebelum kembali ke hotel, Jem membelanja kami semua makan aiskrim........Memang di sini banyak kedai menjual aiskrim dan air buah (segelas SR8) yang sungguh sedap. Walaupun tengah malam, keletihan melaksanakan ibadah umrah membuatkan aiskrim yang dimakan menjadi 3 kali lebih nikmat dari biasa........

Kami kembali ke hotel dan terus tidur. Ralatnya, aku dan Jem tidak berjemaah di masjid untuk solat subuh dek kepenatan. Bayangkan kami tidur selepas jam 2 pagi dan waktu subuh masuk pukul 4.15 pagi. Kebiasaannya kami akan ke masjid sekitar jam 3.30 pagi....

Kami solat subuh di bilik hotel sahaja....


No comments:

Post a Comment