Masih 11 Mei 2010 - ikut tarikh di Arab Saudi
Buat pertama kalinya dalam hidupku, aku menjejakkan kaki ke dalam Masjid Al-Haram........dan melihat Ka'abah.......Aku terpegun dan terpaku, bagaikan tidak percaya aku telah berada di sini.. terasa bagaikan ingin menangis...namun airmata tertahan di kolamnya....
YA ALLAH YA RAHMAN YA RAHIM......aku bersyukur ke hadratMU kerana telah membawaku ke sini..YA ALLAH...
Selama ini aku hanya menatap gambar Ka'abah melalui bahan bacaan dan TV. Kini ia ada di depan mataku, begitu indah sekali..........Sukar sekali untuk ku alihkan pandangan mataku....YA ALLAH Yang Maha Pemurah, yang telah memberi izin aku ke tanah suci ini. Terima kasih YA ALLAH...
Kami selesai melakukan umrah pertama lebih kurang pukul 11.30 malam. Syahdunya perasaanku saat melakukan tawaf beramai-ramai dengan bimbingan Ustaz Rizqon, bersai'e dan kemudian bergunting. Setiap waktu bibir melafazkan doa, memohon segala kebaikan dari ALLAH.
12 Mei 2010 (Rabu)
Memandangkan kami telah menempuh perjalanan yang agak jauh, tidak cukup rehat, hari ini Ustaz Rizqon memberikan kami 'aktiviti bebas'.
Selepas menunaikan solat Subuh di masjid, kami kembali ke hotel untuk bersarapan. Selesai bersarapan kami naik ke bilik masing-masing, berkenal-kenalan dengan rakan sebilik dan bilik sebelah, ada 6 orang termasuk kami. Alhamdulillah, semuanya baik-baik belaka, terutamanya Hajah Saniah yang begitu ketara sifat keibuannya. Aku memanggilnya kakak kerana usianya yang tidak begitu jauh dengan usiaku.
Kemudian kami berehat, menghilangkan penat........dan tidur........
Lebih kurang sejam sebelum masuk waktu Zuhur, aku dan Jem bertolak ke masjid. Kami teringin untuk melihat Masjidil Haram dengan lebih puas lagi memandangkan sebelum ini, dua kali kami ke sana dalam suasana malam dan subuh.
Aku terlupa untuk menukar tarikh & masa di kamera Selepas solat, kami kembali ke hotel untuk makan tengahari dan berehat. Ada yang mengambil kesempatan untuk mencuci pakaian. Kami menggantung pakaian kami yang telah dicuci, di dalam bilik air. Bila air tidak menitik lagi, kami memindahkan pakaian tersebut ke dalam bilik dan memberi laluan kepada rakan lain untuk mencuci pakaian dan menggantungnya di bilik air. Syukur aku mendapat rakan-rakan yang baik dan bertolak-ansur.
Menjelang waktu Asar kami pergi semula ke Masjid Al-Haram untuk bersolat. Alangkah nikmatnya dapat bersolat di dalam masjid yang mulia ini bersama ribuan manusia pelbagai bangsa dan menjadi makmum kepada imam besar masjid ini.
Deretan tong air zam-zam di dalam masjid Usai solat Asar, aku dan Jem mengaturkan pertemuan dengan seorang kenalan, pelajar dari Indonesia yang menuntut di Arab Saudi, yang juga salah seorang mutawwif kepada Lembaga Tabung Haji Malaysia. Memandangkan kami belum pernah bertemunya sebelum ini dan dalam keadaan yang sesak dengan jemaah yang baru selesai menunaikan solat, agak sukar untuk saling mencari.
Kami hanya memberitahunya melalui handphone agar mencari kami di depan pintu 1, pintu King Abdul Aziz. Setelah beberapa kali berbalas-balas panggilan, akhirnya kami bertemu. Yusron, hampir sebaya dengan anak sulungku, begitu tertib dan tutur katanya begitu sopan sekali.
Memandangkan di Makkah, kaum wanita tidak dibenarkan sesuka hati makan di tempat umum, Jem membeli makanan untuk Yusron dan kawannya, Thohir dan kami duduk di lobi hotel, berkenalan dan berbual-bual.
Yusron berjanji akan membawa kami melawat sekitar kawasan Masjidil Haram selepas solat Isyak malam ini.
Yang tidak memakai kopiah adalah Yusron, sebelahnya Thohir.