Monday, December 6, 2010

Fara - Konvokesyen UiTM 6 Disember 2010

Setelah enam bulan menamatkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda, hari ini Fara menghadiri Majlis Konvokesyen UiTM.
Oleh kerana hb ada temujanji di IJN, hanya saya dan Dina yang menemani Fara dan masuk ke dalam dewan. Hmm...rezeki saya dan Dina, tempat duduk kami begitu 'cantik' sekali, betul-betul di bahagian tengah dan dapat melihat dengan jelas tempat duduk para graduan di tingkat bawah dan pentas di depan mata.




Wednesday, November 17, 2010

Sambutan Aidiladha dan ibadah korban

Tahun ini Hari Raya Aidiladha disambut pada hari Rabu, 17 November 2010. Buat pertama kalinya keluarga saya beraya di rumah sendiri, sementelah cuti hanya sehari dan di pertengahan minggu pula. Kebetulan pula ini tahun pertama kami tinggal di taman ini, maka saya dan hb mengambil keputusan untuk menyambutnya bersama penduduk taman perumahan.

Selepas solat sunat Aidiladha kami berkumpul di surau. Kaum wanita memulakan tugas menyediakan sarapan, manakala kaum lelaki akan menyembelih lembu korban diketuai oleh Pak Imam Hj Mustafa.


Sebahagian daging korban diagih-agihkan kepada penduduk taman dan sebahagiannya dimasak dan kami makan beramai-ramai di laman surau. Ini satu pengalaman menarik kepada saya dan anak-anak kerana selama ini kami menyambut di kampung dan tidak pernah terlibat dengan suasana penyembelihan binatang korban.




Friday, October 15, 2010

Kasih anak kepada ibu....

(Pertama kali saya membaca kisah ini melalui kiriman emel dari seseorang. Selepas itu sekali lagi saya membaca kisah ini, juga melalui kiriman emel dari teman yang lain. Saya ingin berkongsi kisah ini di sini, semoga dapat dijadikan panduan kepada anak-anak muda sekarang).
Seorang ibu tua dibawa oleh anak lelakinya yang tinggal di bandar, menziarahi ahli keluarga di sebuah kampung. Sekembali dari tempat ziarah, si ibu kelihatan terkocoh-kocoh, pantas berlari keluar dari kereta.

Langkahnya agak tergopoh-gopoh menaiki anak tangga rumah. Fikir si anak yang masih belum sempat menarik handbrake keretanya, pasti si ibu bergegas untuk segera menunaikan solat Maghrib kerana azan telah berkumandang di surau yang berdekatan.

Tapi, bila dia mula menjejaki anak tangga, 'Subhanallah!' Si anak terkejut melihat najis bejejeran di anak tangga dan di laman rumah.

'Mak sakit perut rupanya,' bisik hatinya. Tanpa berlengah segera disinsingnya lengan baju dan kaki seluar. Najis disodok dan dibuangkan. Getah paip ditarik lalu dialirkan air menuruni anak tangga.

Ibu yang sudah selesai membersihkan diri dan solat Maghrib terkocoh-kocoh sekali lagi menanggalkan telekung, mencapai baldi dan gayung dalam langkah yang terhencut-hencut cuba menuruni anak tangga.

Terpana si ibu di muka pintu melihat anak-anak tangga sudah dimop bersih, seperti hilang akal sejenak.

'Tak sembahyang Maghrib ke?' Tanya si ibu kepada si anak dalam keadaan serba-salah.

'Tak apalah mak, saya musafir, Maghrib tu di jamak takhir dengan Isyak nanti.' Si ibu tak terkata apa.

Tangan kanan masih memegang baldi. Tangan kiri pula memaut grill pintu. Matanya terus memerhatikan si anak, dalam hati penuh sebak dan keharuan, mengucap puji syukur pada Allah kerana anak yang diasuh dari sebesar dua tapak jari, dicucikan najisnya setiap hari itu, buat pertama kalinya menyucikan najis ibunya pula hari ini.

'Ya Allah! begini mulia rahmatmu mengurniakan hamba mu ini anak yang soleh, dia mengenang jasa Ya Allah! dan membalas budi, aku bersyukur padamu.....aku bersyukur pada mu Ya Allah!' sempat si ibu memanjatkan doa dalam hati.

Terasa benar maruahnya dihargai, tawadhuk sungguh mengecapi nikmat kasih.......

Rentetan dari peristiwa itu, dapat dilihat keberkatan dalam hidup si anak kerana apa saja kerja yang dibuat terasa dipermudahkan oleh Allah.

Inilah yang dikatakan keberkatan memuliakan insan yang dimuliakan oleh Allah SWT.



Sunday, September 19, 2010

Dugaan 6 Syawal 1431H

15 September 2010 

Aku menemani hb memenuhi temujanji di IJN untuk buat Angiogram. Seawal 7.15 pagi kami sudah berada di kaunter Jabatan Kecemasan IJN. Aku bawa sekali anak sulung kami, Farah. Hb kata, kalau dia kena admit, Farah boleh memandu kerana aku kurang mahir untuk memandu di waktu malam.
 
Dalam menanti hb keluar dari bilik rawatan, seorang pesakit lelaki yg telah selesai menjalani rawatan yang sama memberitahu aku yg hb ada sedikit masalah. Sudah tentu aku rasa cemas dan aku pujuk hatiku untuk bersabar menantikan cerita dari mulut hb sendiri.

Dan....siapa sangka, rupanya masalah hb sudah begitu teruk. 3 saluran darah hampir tersumbat termasuk 1 salur darah utama. Hanya 1 pilihan rawatan yang ada iaitu pembedahan bypass.

Doktor memaklumkan kpd kami risiko yang bakal dihadapi oleh hb memandangkan hb juga menghidap darah tinggi dan diabetes. Angin ahmar, strok, jangkitan kuman dan yang paling 'dahsyat'...menemui ajal semasa atau sejurus selepas pembedahan....

Tarikh pembedahan belum dipastikan lagi memandangkan jadual doktor @ hospital yg begitu padat, tetapi doktor berjanji untuk melakukannya pada tahun ini juga.

Dalam keadaan hb sekarang ini, beliau boleh diserang sakit jantung bila2 masa pun. Sebagai isteri, selain memastikan pemakanan hb dalam keadaan terkawal, aku juga perlu 'mendidik' anak-anak bagaimana untuk menjaga 'kesihatan' ayah, terutamanya mengelakkan hb berada dalam keadaan tertekan.





Wednesday, August 25, 2010

Akankah ada kad jemputan untukku?

Hari ini dah 14 Ramadhan......tinggal beberapa hari saja lagi untuk bakal2 haji menerima surat panggilan untuk menunaikan rukun Islam yg ke 5. Aku dimaklumkan surat dihantar secara berperingkat2.

Dalam pasrah, hati masih ragu, kenapa TH contact centre memaklumkan namaku dan suami masih ber'taging' - Tiada jawapan sedangkan jawapan telah dihantar lama dulu?

Bila aku emel kpd Tuan Haji Mazlan, beliau memberi jawapan yg hampir sama, sedangkan aku pernah menghubungi THWP untuk menyemak namaku & suami dan aku dimaklumkan nama kami ada dalam senarai...

ALLAH MAHA PENGASIH, MAHA MENDENGAR DAN MAHA MENGASIHANI.

Sekiranya tidak ada kad jemputan untuk kami pada tahun ini, tentulah ada sebab dan hikmahnya.

Sunday, August 8, 2010

Ayam penyet Restoran Wong Solo, Seksyen 9 Bandar Baru Bangi


7 Ogos 2010

Pertama kali masuk ke restoran ni, kami makan berempat, saya, Fara, Dina dan Nadia. Saja nak mencuba menu yang sering diperkatakan orang : ayam penyet. (Sampaikan semasa saya berkunjung ke Singapura hujung tahun 2008, menu ini juga disebut-sebut dan kami bercadang untuk menikmati hidangan ini di sana. Malangnya, Q yang begitu panjang membatalkan hasrat kami untuk memasuki restoran berkenaan).

Oleh kerana berpuas hati dengan kesedapan ayam penyet tersebut, saya mengajak suami makan di situ. Mulanya suami keberatan memandangkan sebelum ini dia pernah makan ayam penyet yang sama sekali tidak kena dengan seleranya. Sudah pasti dia tidak mahu pisang berbuah dua kali.

Saya tidak mahu memaksa. Sebelum kami masuk ke Wong Solo (kami berdua saja, pulang dari kerja), saya memberi peluang kepada suami untuk memilih restoran lain. Saya tidak mahu suami menyalahkan saya sekiranya ayam penyet Wong Solo ini tidak menepati citarasa suami saya.

Akhirnya kami masuk juga ke Wong Solo....

Hmm...nampaknya suami berpuas hati dengan menu yang dihidangkan.

Tempe dan tahu goreng. Bukankah tempe dan jawa tidak dapat dipisahkan, bagaikan irama dan lagu...? (Saya sangat bangga menjadi orang jawa!)

Kangkung goreng

Ayam kampung yang dijadikan ayam penyet (setengah restoran menggunakan ayam daging)



Monday, July 5, 2010

Penutup Kursus Haji Bersiri 1431H

Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi.

Alhamdulillah, kursus selama 17 siri berakhir pada 3 Julai 2010. Semoga ALLAH memberkati segala usaha kami ini.



Saturday, June 26, 2010

Hadiah Pelajar Cemerlang Tahun 2010

Barangkali sudah menjadi rezeki anak lelaki saya - Muhammad Danial bila kami menerima borang daripada Persatuan Penduduk Taman Sri Intan untuk menamakan anak-anak yang berjaya dalam peperiksaan tahun lepas. Kalau diikutkan tahun lepas kami belum tinggal di sini dan Danial sendiri bersekolah di tempat lain.

Kami isi borang tersebut dan menyerahkan kepada AJK persatuan. Terpulanglah kepada mereka untuk menentukan sama ada Danial layak untuk menerima hadiah atau sebaliknya.

Akhirnya jemputan diterima dan kami dengan rasa syukur serta berbesar hati menghadirkan diri ke majlis tersebut.


Friday, June 18, 2010

Penyucian jiwa (Bahagian 9)

20 Mei 2010. Sepanjang perjalanan ke Madinah, aku dan Jem kerap juga terlelap. Pendingin udara yang berfungsi dengan begitu baik, membuat hampir semua jemaah terlena, termasuk mutawwif kami....

Kami singgah di Yamaan Restaurant untuk makan dan menunaikan solat Asar.

(Nasi Mandy bersama ikan goreng dan ayam tandoori. Selepas pulang dari umrah aku tercari-cari menu yang sama di Kuala Lumpur, aku sangat menyukai makanan ini walaupun kering tanpa kuah. Aku pernah makan di Al-Rawsha, tapi keenakan ayamnya tak sama dengan yang aku makan di sana)
2 mutawwif ini makan di luar...wah wah....1 dulang untuk 2 orang je?

Kami sampai di Madinah sekitar jam 9.45 malam.

Kami mendaftar masuk ke Hotel Durrat Al-Fayroz. Agak lama juga kami menunggu beg pakaian kami sampai, disebabkan ada beg yang dihantar ke tingkat yang salah. Ramai jemaah yang merehatkan badan di bilik masing-masing kecuali beberapa jemaah lelaki yang pergi ke Masjid Nabawi untuk bersolat. Memang hatiku juga meronta-ronta untuk ke sana, namun setelah berbincang dengan Jem, kami mengambil keputusan untuk ke masjid sebelum subuh esok.

Pemeriksaan di pintu masuk Masjid Nabawi begitu ketat sekali. Jemaah berasak-asak masuk, hingga adakalanya terlepas seorang dua. Melihat petugas mengambil handphone dari jemaah dan memasukkannya ke dalam satu peti berhampiran pintu masjid membuatkan aku cemas. Sebenarnya bukan handphone yg menjadi larangan tetapi kamera yang tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam masjid dan hampir semua handphone ada kamera di dalamnya.

Aku terdengar seseorang bertikam lidah dengan petugas dan menegaskan yang handphonenya tidak ada kamera, tetapi tidak diendahkan. Lagipun takkan petugas perlu membelek setiap handphone tersebut. Aku mengaku membawa handphone di dalam beg bimbit. Aku berdoa semoga petugas tidak menjumpai handphone tersebut dan aku berjaya.

21.5.2010 (Jumaat)
Ustaz membawa kami menziarahi sekitar Masjid Nabawi, termasuk perkuburan Baqi' yang menempatkan jenazah para syuhada. Kami juga menziarahi Makam Rasulullah, Saiyidina Abu Bakar dan Saiyidina 'Umar.

Untuk jemaah wanita, kami memasuki Masjid Nabawi untuk solat dan berdoa di Raudhah. Kami diminta duduk mengikut negara masing-masing dan jemaah dari Indonesia berada bersebelahan dengan kami. Bila diberikan keizinan untuk ke Raudhah, masing-masing berkejar malah ada yang berlari. Suasana begitu sesak, sampaikan aku sendiri tidak pasti di mana harus aku bersolat. Melihat jemaah di kiri kanan menunaikan solat di tengah kesesakan, aku turut melakukan perkara yang sama. Aku tidak dapat menghampiri Raudhah kerana orang terlalu ramai.

Setelah solat dan berdoa, kami diminta keluar bagi memberi laluan kepada orang lain, malah berdiri di luar kawasan Raudhah juga tidak dibenarkan. Petugas memaksa kami keluar. Kami beredar dan menjumpai satu kawasan agak lapang di dalam masjid lalu kami duduk di situ untuk seketika.

Petangnya aku dan Jem berjalan-jalan tidak jauh dari hotel penginapan kami. Memang Madinah bandar yang sangat cantik, menarik dan bersih. Pusat membeli belah juga begitu banyak. Kami memasuki beberapa kedai, membeli cenderamata untuk keluarga dan kawan-kawan.

(bersambung........)





Saturday, June 12, 2010

Penyucian jiwa (Bahagian 8)

20 Mei 2010 - Selamat tinggal Makkah, semoga aku dapat kembali lagi ke sini....


(Malam terakhir di MasjidilHaram)


Ustaz Rizqon telah memaklumkan yang kami semua akan ke Madinah pada 20 Mei 2010. Bas akan berada di depan hotel dan akan bergerak sebelum jam 2 petang waktu Arab Saudi. Ustaz mengingatkan kami semua untuk melaksanakan tawaf Wida'.

Selepas bersarapan pagi, kami meneruskan tugas mengemas beg pakaian masing-masing. Selepas itu ada yang mengisi masa dengan bersiar-siar atau membeli barangan untuk dibawa pulang ke Malaysia.

Aku dan Jem melakukan tawaf Wida' usai melaksanakan solat Zuhur di masjid Al-Haram. Cuaca memang terlalu panas, kukira mencapai 45 darjah selsius.

Pusingan pertama dan kedua, tiada lagi rasa sedih di hatiku. Namun mulai pusingan keempat, hati mulai sebak. Airmata berlinangan tanpa mampu dibendung lagi. Memang aku rasa tersangat sedih untuk meninggalkan Kaabah. Ketika menamatkan pusingan ketujuh aku dan Jem menangis terus sambil berjalan bergandingan tangan. Peluh berjuraian membasahi seluruh badan. Habis basah baju yang dipakai.

Kami melakukan apa yang disarankan oleh ustaz sebelum ini, juga membaca doa-doa yang telah diajar oleh Ustaz Ridzwan ketika aku berkursus tiga minggu sebelum aku bertolak ke Makkah. Kami melangkah penuh longlai meninggalkan masjid dengan airmata yang tidak mahu berhenti mengalir............



Friday, June 11, 2010

Penyucian jiwa (Bahagian 7 - Gua Hira')

Sebelum berangkat ke Makkah, aku pernah mendengar perlunya seseorang itu memiliki cukup tenaga untuk mendaki Jabal Nur di mana terletaknya Gua Hira'. Memandangkan hari yang dicadangkan untuk mendaki Gua Hira' itu aku 'kekurangan tenaga' setelah dari selepas Subuh aku tidak berselera untuk menjamah makanan, sekadar minum segelas kecil air, aku membuat keputusan untuk tidak turut serta. Aku tidak mahu menyusahkan orang lain sekiranya berlaku apa-apa kepadaku, atau barangkali aku tidak mampu mendaki hingga ke puncak.

Jem beria-ia mahu pergi, begitu bersemangat sekali. Begitu juga dengan beberapa orang jemaah yang lebih berusia daripadaku, turut mendaftarkan nama masing-masing. Semua itu membuatkan aku mendapat semangat untuk turut serta, malah ada yang memberi nasihat, sekiranya tidak mampu untuk sampai ke atas, berhentilah di mana-mana, jangan memaksa diri.

Sebelum bertolak, mutawwif kami telah berpesan supaya kami menunaikan solat sunat di dalam Gua Hira', secara bergilir-gilir. Ruang yang ada boleh dimasuki oleh 2 orang.

Kami menaiki 3 van besar untuk ke sana. Kami bertolak dari hotel sekitar jam 11 malam. Pendakian tidak dilakukan pada waktu siang kerana mengelakkan cuaca yang panas terik.

Sebelum mendaki, Ustaz Rizqon mencadangkan kami membeli tongkat. Semasa mula mendaki bukit yang agak curam, hatiku berbelah bagi, bagaimana waktu nak turun nanti? Tak henti-henti aku berdoa semoga dipermudahkan usaha dan perjalanan kami.

Belum setengah perjalanan, aku sudah mulai tercungap-cungap. Seharian aku hanya menjamah sesuap dua makanan, tenagaku seakan tidak cukup untuk aku meneruskan perjalanan. Aku nampak Jem sudah jauh di atas...

Rasanya sudah tinggi bukit yang didaki, tetapi masih jauh untuk sampai ke puncak...YA ALLAH berilah aku kekuatan untuk meneruskan pendakianku ini....Aku benar-benar keletihan, sukar untuk bernafas dengan sempurna. Terasa mahu saja aku berhenti di pertengahan jalan, namun kegelapan yang menyelubungi alam, ditambah dengan keinginan untuk sampai ke puncak, kugagahkan juga kakiku untuk melangkah.

Hampir-hampir sampai ke puncak, aku berhenti. Aku menjauhi rakan-rakan lain. Saat itu aku bagaikan kehabisan tenaga, malah amat sukar untuk aku bernafas. Aku seperti akan kehilangan nyawa.....sampaikan aku berdoa mohon dipanjangkan usia....Aku terbayang wajah anak-anakku. Aku menangis di dalam hati..........

Perutku bergelodak, nafasku semakin tidak teratur dan tanpa dapat kutahankan lagi, aku termuntah....,muntah dan muntah lagi, mengeluarkan cecair yang walau pun tidak banyak, namun berupaya melegakan perutku..........

Aku rasa berdosa kerana muntah di tempat suci itu, namun apalah dayaku.........

Aku meneruskan perjalanan dan kami melalui satu lorong yang begitu sempit untuk sampai ke pintu gua. Rakan-rakan lain mula bergilir-gilir menunaikan solat sunat, yang tidak ada wuduk, mengambil wuduk menggunakan air mineral yang dibawa.

Saat ini aku merasa amat sedih kerana tidak mampu mengerjakan solat. Pakaianku telah tercemar dengan percikan muntahku tadi. Aku hanya mampu menadah tangan memohon doa daripada ALLAH SWT....Hatiku turut berbisik memohon maaf daripada Rasulullah SAW....Barangkali ada sebab kenapa aku tidak 'diizinkan' bersolat di sini........AMPUNKAN DOSA-DOSAKU YA ALLAH.....Aku merintih dalam hati...

Ustaz Rizqon menyampaikan sedikit ucapan dan pesanan selepas semuanya selesai bersolat sunat. Kemudian kami berehat seketika sambil menikmati minuman yang boleh dibeli dipuncak Jabal Nur. Suasana memang gelap, hanya diterangi cahaya lampu kecil peniaga di situ.

Kami menikmati pemandangan bandar Makkah ditemani tiupan angin yang begitu tenang dan nyaman....

Kami mula menuruni Jabal Nur sekitar jam 2 pagi. Beberapa rakan menghubungi anak-anak di tanah air dan dengan gembiranya menyatakan bahawa kami dalam perjalanan turun dari Gua Hira'...

Bila sampai di bawah, ada yang berkata : kalaulah kita mendaki di siang hari, mungkin ramai yang tidak berani memandangkan bukitnya yang tinggi dan curam....Barangkali itu antara sebabnya kenapa pendakian dilakukan di waktu malam....




Thursday, June 10, 2010

Penyucian jiwa (Bahagian 6)

16 Mei 2010

Seperti biasa, selepas solat Maghrib, kami mengisi masa yang ada dengan membaca Al-Quran sementara menanti masuknya waktu Isyak. Namun, bila mata terasa pedih dan letih, aku akan berdiri dan memandang Ka'abah sambil membaca pelbagai doa. Bukankah dengan memandang Ka'abah sahaja kita akan mendapat 20 pahala?

Sejak aku dan Jem 'menemui' ruang bersolat di tingkat 1, setiap waktu kami akan menunaikan solat di situ. Meski pun cuacanya agak panas, tetapi hati begitu puas kerana dapat memandang Ka'abah.

Malam ini solat Isyak telah meninggalkan kenangan amat syahdu dalam hidupku. Ketika Imam membaca surah di rakaat kedua, Imam tersebut menangis..........bacaannya tersekat-sekat 2-3 kali dek esakannya........Bayangkanlah.....betapa hibanya hati....Aku yang tidak dapat menangkap surah apa, malah tidak faham maksud surah tersebut, boleh ikut sebak dan bergenang airmata..............Apa yang ada dalam fikiranku adalah - betapa tawaduknya Imam tersebut menghayati bacaannya, yang sudah pasti beliau memahami sepenuhnya maksud surah yang dibacanya itu. Pastinya beliau berada dalam keadaan penuh rendah hati dan benar-benar menghambakan diri terhadap ALLAH SWT....

Alangkah bagusnya kalau aku juga mampu menghayati dan menginsafi akan kekerdilanku sebagai hamba............

Malam ini, bersama beberapa jemaah lain, kami meminta jasa baik Ustaz Rizqon membimbing kami melakukan umrah sunat ke 4. Jam 11 malam waktu Arab Saudi, dengan menaiki van, kami berlapan termasuk ustaz menuju ke Tana'im untuk berniat ihram.

Terasa nyaman sekali bertawaf di tengah malam..........cuma untuk menghabiskan sai'e aku merasa agak keletihan ketika di pusingan ke 6. Namun, kukumpul tenaga yang bersisa untuk menghabiskan umrahku.

Kami bergunting sekitar jam 1.20 malam.

Sebelum kembali ke hotel, Jem membelanja kami semua makan aiskrim........Memang di sini banyak kedai menjual aiskrim dan air buah (segelas SR8) yang sungguh sedap. Walaupun tengah malam, keletihan melaksanakan ibadah umrah membuatkan aiskrim yang dimakan menjadi 3 kali lebih nikmat dari biasa........

Kami kembali ke hotel dan terus tidur. Ralatnya, aku dan Jem tidak berjemaah di masjid untuk solat subuh dek kepenatan. Bayangkan kami tidur selepas jam 2 pagi dan waktu subuh masuk pukul 4.15 pagi. Kebiasaannya kami akan ke masjid sekitar jam 3.30 pagi....

Kami solat subuh di bilik hotel sahaja....


Sunday, June 6, 2010

Penyucian jiwa (Bahagian 5)

15 Mei 2010

Kami melawat Jabal Rahmah hari ini.....

Dari Jabal Rahmah kami dibawa melawat tempat-tempat lain termasuk Mina dan Arafah...namun kami hanya dapat memandang dari dalam bas sahaja.


Sebelum masuk waktu Zuhur, Ustaz Rizqon membimbing kami melakukan umrah sunat ke 3, di tengah bahang terik matahari. Memang pipi terasa agak perit. Peluh berjuraian membasahi baju, namun semangat untuk menghambakan diri kepada Yang Maha Pencipta menghilangkan semua dugaan yang dihadapi. Selesai tawaf kami melakukan sa'ie hingga tiba panggilan untuk menunaikan solat Zuhur saat sa'ie berbaki 2 pusingan lagi.

Kami memasuki masjid untuk bersolat. Kemudian kami menghabiskan baki sa'ie dan terus bergunting.
Mukaku yang gelap akibat pancaran sinar matahari, ditambah dengan sikap malasku untuk menyapu sunblock, sedangkan sebelum pergi aku telah membeli set khas penjagaan diri untuk jemaah umrah iaitu losyen muka, pelembap bibir, syampu rambut, syampu badan dan losyen untuk tapak kaki.



Saturday, June 5, 2010

Penyucian jiwa (Bahagian 4)

13 Mei 2010 (Khamis)

Aktiviti kami bermula seawal 6.30 pagi, waktu Arab Saudi. Kami menuju ke Tana'im dengan menaiki bas untuk berniat ihram.

Mutawwif Ustaz Haji Rizqon Saleh.

Ketika aku menuruni tangga bas untuk memasuki Masjidil Haram, tiba-tiba pintu bas seperti mahu tertutup. Mujur aku sempat berhenti, kalau tidak mungkin aku akan terkena hentakan pintu bas tersebut.

Bila aku selamat menjejakkan kaki ke tanah, aku dapati begitu banyak belalang berterbangan dan seekor daripadanya hinggap di mukaku. Begitu pantas tanganku menepisnya sehingga hampir terjatuh cermin mataku.

Ustaz Rizqon membimbing kami melakukan umrah kedua @ sunat. Cuaca agak nyaman dalam waktu sekitar 8.30 pagi.

Petangnya, selepas solat Asar, Yusron dan Thohir membawa kami berjalan-jalan ke pusat membeli-belah.

Tak sangka di Arab Saudi pun ada tulisan Melayu!

Teringin nak berehat sekejap melepaskan penat sambil minum2 di restoran, tapi mengenangkan ini bukan Malaysia, ditambah dengan saranan Yusron agar mengelak diri daripada berada di tempat awam, sewajarnya aku menghormati peraturan di sini. Lagi pun bila difikirkan, elok juga kaum wanita tidak dibiarkan bebas ke mana-mana tanpa ada yang melindungi.