Saturday, June 11, 2011
Saturday, June 4, 2011
Amalan Supaya Anak Tidak Degil
Amalan Supaya Anak Tidak Degil
by Pak Ngah - Farit Ismeth Emir on Saturday, May 14, 2011 at 4:27pm
1. Semasa anak, isteri atau suami sedang tidur inilah waktu yang paling sesuai terutamanya di waktu dua pertiga malam, kerana fikiran bawah sedarnya (subconscius mind) adalah paling optimum ketika ini. Yang tidur hanyalah conscius mind (minda sedar).
2. Sentuhkan ibu jari anda ke langit-langit dan kemudian sentuhlah dengan halus ibu jari anda ke ubun-ubun orang yang ingin anda nasihati.
3. Semasa ibu jari di atas ubun-ubun, selawatlah ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW dan bacalah surah al Fatihah. Kemudian terus dengan berzikir di dalam hati dan jangan putuskan zikir anda.
4. Angkat ibu jari anda atau kalau boleh janganlah diputuskan zikir di dalam hati dan bercakaplah dengan suara yang agak perlahan agar tidak sampai mengejutkanya. Beritahulah apa yang ingin anda beritahunya. Kebiasaannya nasihatinya agar tidak selalu melewatkan solat, banyakkan berselawat, banyak bersabar, atau apa sahaja. Nasihatilah orang yang anda sayangi dengan apa sahaja nasihat yang anda inginkan. Jangan putuskan zikir anda, supaya zikir itu masuk bersama dengan nasihat anda.
5. Anda akan dapat melihat reaksi yang dia sedang menerima pernyataan anda iaitu kelopak matanya bergerak-gerak. InsyaAllah anda berjaya dengan kaedah ini dengan pertolongan Allah SWT.
Thursday, June 2, 2011
Senyum itu satu sedekah
Dari jauh nampak ada beberapa petak tempat letak kereta yang masih kosong. Tak nampak orang berjalan-jalan pun, yang menunjukkan tidak ramai orang mendatangi Kompleks Diamond pada masa ini.
Sungguh mengujakan, hanya ada tidak lebih 6 orang pelanggan di ruang kaunter! Cepat-cepat saya dan anak saya Farah mengisi borang pertukaran maklumat ahli dan borang penamaan.
Sampai giliran saya, saya terus ke kaunter dan mengucapkan salam kepada kakitangan wanita yang bertugas. Saya tahu, dia tidak perlu menjawab dengan suara yang kuat untuk saya mendengarnya.
Seperti di mana-mana kaunter perkhidmatan yang pernah saya pergi, di tepi kiri kaunter ada 'stand' kecil bertulis : SILA MASUKKAN TIKET NO GILIRAN ANDA KE DALAM PETAK BERSESUAIAN untuk pelanggan menilai 'prestasi' layanan yang diberikan oleh petugas kaunter. Bezanya di kaunter ini, cuma ada 2 pilihan iaitu MEMUASKAN dan TIDAK MEMUASKAN.
Terus-terang, saya kurang berpuas hati dengan sikapnya yang sedikit pun tidak tersenyum kepada kami. Suaranya juga kurang jelas. Namun saya, sebagai seorang yang telah berusia, saya tidak mahu terus menyalahkan petugas tersebut. Dengan wajahnya yang nampak seperti keletihan, saya mengandaikan yang dia tidak cukup sihat. Atau mungkin tidak cukup tidur, manalah tahu beliau perlu berjaga malam menjaga anak...
Saya tidak sampai hati memasukkan tiket ke petak TIDAK MEMUASKAN. Lalu Farah meletakkannya ke dalam bakul buluh kecil di sebelah kanan kaunter.
Sepatutnya ada satu petak lagi untuk KURANG MEMUASKAN.
Saya pernah bertugas di kaunter. Memang waktu kita letih atau tertekan, adakalanya sukar untuk bermanis muka dengan pelanggan, tetapi saya akan sentiasa berusaha untuk memuaskan hati mereka. Saya akan tersenyum dan memandang setiap wajah pelanggan.
Saya tidak berniat sedikitpun untuk mengaibkan petugas tersebut dengan menulis ceritanya di sini. Saya percaya ramai di kalangan kita yang pernah mengalami dilayan oleh petugas kaunter dengan cara yang kurang memuaskan. Kalau tidak pernah pun, mungkin mengalaminya di pasaraya terutamanya dengan cashier. Saya pernah berurusan dengan gadis cashier yang masih remaja di sebuah hypermarket di Hulu Klang, yang sudahlah bermuka masam, langsung tidak mengangkat muka.
Wednesday, June 1, 2011
KTM OH KTM.....
Saya bukan pelanggan tetap komuter. Maksudnya saya tidak menggunakan perkhidmatan komuter KTM setiap hari. Dalam sebulan mungkin dua kali, mungkin tiada langsung dan paling banyak sebulan lima kali. Itu pun hanya selepas saya berpindah ke Kajang awal tahun 2010. Setiap hari saya ke ofis menaiki kereta bersama suami. Hanya apabila suami saya bertugas di luar kawasan, saya menaiki komuter untuk ke ofis saya di Kuala Lumpur.
Saya pernah membaca di dalam akhbar mengenai kerosakan komuter. Pernah juga mendengar cerita dari kawan-kawan akan 'keperitan' mereka bila tiba-tiba komuter @ tren rosak di tengah perjalanan.
Hari Isnin 30 Mei 2011, dengan penuh semangat untuk pulang segera ke rumah, saya sampai di setesen komuter Bank Negara sekitar jam 5.30 petang. Penumpang ke Seremban begitu ramai menandakan tren yang sepatutnya tiba jam 5.20 tidak sampai lagi.
Maka 'berebut-rebutlah' kami semua menaiki tren yang tiba 5.35 petang. Seperti biasa la, kalau tren ke Seremban memang tak ada harapan nak dapat tempat duduk, apatah lagi kalau tren lewat, orang bertambah ramai. Aircond pula tidak begitu terasa.
Dan seperti biasa juga, di KL Sentral akan ada ramai orang tak dapat menaiki tren. Memang kasihan, lebih-lebih lagi yang mempunyai anak-anak kecil, yang perlu diambil dari nurseri atau di rumah jiran. Biasanya kalau di nurseri, lambat ambil anak, bayaran tambahan akan dicaj. Kalau di rumah jiran pula, tidak mustahil akan ada yang muka 'tidak mesra alam' menyambut kita datang untuk mengambil anak. Kita tak boleh salahkan mereka. Mereka juga ada kehidupan masing-masing, perlu berehat dan mengurus keluarga mereka sendiri. Cuma dalam segelintir jiran yang sedemikian, masih ramai yang berhati mulia, yang begitu memahami jerih-payah wanita yang bekerja.
Tren petang ini bagaikan tidak selaju biasa. Sehinggalah beberapa saat selepas melepasi stesen Salak Selatan, tren berhenti. Aircond juga berhenti kerana bekalan elektrik bagaikan telah terputus. Mulanya saya menyangka ini kejadian biasa, tren berhenti untuk memberi laluan kepada tren lain yang berada jauh di hadapan sana. Tetapi selepas beberapa minit penumpang mulai kecoh. Masing-masing kepanasan dan terdengar tangisan seorang bayi yang pastinya kerana panas yang mendadak.
Beberapa minit menunggu, tiada pengumuman apa-apa...Sebahagian penumpang menjadi marah. Ada yang merungut, malah menjerit-jerit minta dibukakan pintu. Ada yang berusaha untuk membuka sendiri pintu....Memang kalau berterusan begini akan ada yang pengsan, kelemasan, tak cukup udara untuk bernafas.
Akhirnya ada wanita yang 'perkasa' berjaya membuka pintu. Namun masih tidak mencukupi untuk kami yang beratus-ratus orang ini. Bayangkan ada beberapa wanita mengandung. Ada seorang wanita sebaya saya membuka tudungnya dek kepanasan yang tidak tertahankan lagi...........
Sebahagian kecil penumpang cuba untuk turun. Namun ketinggian tren agak menyukarkan, lebih-lebih lagi kedudukan tren yang betul-betul di tengah landasan. Kalau melompat dan jatuh di atas besi landasan, alangkah sakitnya.....Bayangkan pula wanita yang sarat mengandung.....!!
Kemudian pasukan bomba pun datang. Begitu juga dengan PGA. Saya juga memberanikan diri untuk turun setelah anggota bomba meletakkan dua batang kayu besar di bawah pintu tren. Kami hanya perlu duduk di muka pintu, julurkan kaki untuk berpijak ke atas batang kayu dan seterusnya turun ke landasan.
Ada seorang wanita yang hampir pengsan. Anggota bomba segera meletakkannya ke atas pengusung.
Anggota bomba bertungkus-lumus cuba membantu....
Beberapa minit kemudian kami diarahkan menaiki sebuah lagi tren yang tiba untuk menunda tren yang rosak kembali ke stesen Salak Selatan. Lama sungguh menunggu semua penumpang menaiki tren di sebabkan pintu masuknya terlalu kecil, muat-muat untuk seorang, tangganya juga kecil dengan tren yang tinggi di mana kami perlu berpaut di palang besi kiri dan kanan pintu. Kalau ada yang baik hati membantu menarik tangan kita ketika sampai di atas senang la sikit.
Dengan badan yang letih, masing-masing menggagahkan diri untuk naik. Saya sendiri mengumpul tenaga untuk memanjat tangga dan memaut palang besi dengan sekuat hati.
Akhirnya kami sampai di stesen Salak Selatan. Penumpang yang menunggu di sana bergegas naik kerana menyangkakan tren tersebut menuju ke Kuala Lumpur. Seminit kemudian pemandu tren membuat pengumuman supaya tren dikosongkan......
Kami menunggu tren dari Kuala Lumpur................
Orang terlalu ramai. Bayangkanlah, sejak pukul 6 petang laluan ke Seremban tidak boleh digunakan kerana dihalang oleh tren yang rosak dan sekarang sudah pukul 7.15...
Tren 6 gerabak yang biasanya untuk perjalanan KL-Ipoh pun tidak mampu menampung penumpang yang begitu ramai.
Akhirnya saya menaiki tren jam 7.30 petang @ malam dan turun di UKM Bangi pukul 8 malam.
(Ketika di dalam tren, hati saya meluap-luap untuk menulis di blog saya sebaik sampai di rumah. Malah saya ingin sekali menulis dalam facebook. Tetapi dek terlalu kepenatan, ditambah dengan saya berpuasa siang tadi, kemampuan untuk menulis tiada ada sama sekali. Malah untuk on laptop pun tidak ada keinginan langsung.....)