Wednesday, June 1, 2011

KTM OH KTM.....

Isnin 30 Mei 2011

Saya bukan pelanggan tetap komuter. Maksudnya saya tidak menggunakan perkhidmatan komuter KTM setiap hari. Dalam sebulan mungkin dua kali, mungkin tiada langsung dan paling banyak sebulan lima kali. Itu pun hanya selepas saya berpindah ke Kajang awal tahun 2010. Setiap hari saya ke ofis menaiki kereta bersama suami. Hanya apabila suami saya bertugas di luar kawasan, saya menaiki komuter untuk ke ofis saya di Kuala Lumpur.

Saya pernah membaca di dalam akhbar mengenai kerosakan komuter. Pernah juga mendengar cerita dari kawan-kawan akan 'keperitan' mereka bila tiba-tiba komuter @ tren rosak di tengah perjalanan.

Hari Isnin 30 Mei 2011, dengan penuh semangat untuk pulang segera ke rumah, saya sampai di setesen komuter Bank Negara sekitar jam 5.30 petang. Penumpang ke Seremban begitu ramai menandakan tren yang sepatutnya tiba jam 5.20 tidak sampai lagi.

Maka 'berebut-rebutlah' kami semua menaiki tren yang tiba 5.35 petang. Seperti biasa la, kalau tren ke Seremban memang tak ada harapan nak dapat tempat duduk, apatah lagi kalau tren lewat, orang bertambah ramai. Aircond pula tidak begitu terasa.

Dan seperti biasa juga, di KL Sentral akan ada ramai orang tak dapat menaiki tren. Memang kasihan, lebih-lebih lagi yang mempunyai anak-anak kecil, yang perlu diambil dari nurseri atau di rumah jiran. Biasanya kalau di nurseri, lambat ambil anak, bayaran tambahan akan dicaj. Kalau di rumah jiran pula, tidak mustahil akan ada yang muka 'tidak mesra alam' menyambut kita datang untuk mengambil anak. Kita tak boleh salahkan mereka. Mereka juga ada kehidupan masing-masing, perlu berehat dan mengurus keluarga mereka sendiri. Cuma dalam segelintir jiran yang sedemikian, masih ramai yang berhati mulia, yang begitu memahami jerih-payah wanita yang bekerja.

Tren petang ini bagaikan tidak selaju biasa. Sehinggalah beberapa saat selepas melepasi stesen Salak Selatan, tren berhenti. Aircond juga berhenti kerana bekalan elektrik bagaikan telah terputus. Mulanya saya menyangka ini kejadian biasa, tren berhenti untuk memberi laluan kepada tren lain yang berada jauh di hadapan sana. Tetapi selepas beberapa minit penumpang mulai kecoh. Masing-masing kepanasan dan terdengar tangisan seorang bayi yang pastinya kerana panas yang mendadak.

Beberapa minit menunggu, tiada pengumuman apa-apa...Sebahagian penumpang menjadi marah. Ada yang merungut, malah menjerit-jerit minta dibukakan pintu. Ada yang berusaha untuk membuka sendiri pintu....Memang kalau berterusan begini akan ada yang pengsan, kelemasan, tak cukup udara untuk bernafas.

Akhirnya ada wanita yang 'perkasa' berjaya membuka pintu. Namun masih tidak mencukupi untuk kami yang beratus-ratus orang ini. Bayangkan ada beberapa wanita mengandung. Ada seorang wanita sebaya saya membuka tudungnya dek kepanasan yang tidak tertahankan lagi...........

Sebahagian kecil penumpang cuba untuk turun. Namun ketinggian tren agak menyukarkan, lebih-lebih lagi kedudukan tren yang betul-betul di tengah landasan. Kalau melompat dan jatuh di atas besi landasan, alangkah sakitnya.....Bayangkan pula wanita yang sarat mengandung.....!!


Kemudian pasukan bomba pun datang. Begitu juga dengan PGA. Saya juga memberanikan diri untuk turun setelah anggota bomba meletakkan dua batang kayu besar di bawah pintu tren. Kami hanya perlu duduk di muka pintu, julurkan kaki untuk berpijak ke atas batang kayu dan seterusnya turun ke landasan.

Ada seorang wanita yang hampir pengsan. Anggota bomba segera meletakkannya ke atas pengusung.


Anggota bomba bertungkus-lumus cuba membantu....

Beberapa minit kemudian kami diarahkan menaiki sebuah lagi tren yang tiba untuk menunda tren yang rosak kembali ke stesen Salak Selatan. Lama sungguh menunggu semua penumpang menaiki tren di sebabkan pintu masuknya terlalu kecil, muat-muat untuk seorang, tangganya juga kecil dengan tren yang tinggi di mana kami perlu berpaut di palang besi kiri dan kanan pintu. Kalau ada yang baik hati membantu menarik tangan kita ketika sampai di atas senang la sikit.

Dengan badan yang letih, masing-masing menggagahkan diri untuk naik. Saya sendiri mengumpul tenaga untuk memanjat tangga dan memaut palang besi dengan sekuat hati.


Akhirnya kami sampai di stesen Salak Selatan. Penumpang yang menunggu di sana bergegas naik kerana menyangkakan tren tersebut menuju ke Kuala Lumpur. Seminit kemudian pemandu tren membuat pengumuman supaya tren dikosongkan......

Kami menunggu tren dari Kuala Lumpur................


Orang terlalu ramai. Bayangkanlah, sejak pukul 6 petang laluan ke Seremban tidak boleh digunakan kerana dihalang oleh tren yang rosak dan sekarang sudah pukul 7.15...


Tren 6 gerabak yang biasanya untuk perjalanan KL-Ipoh pun tidak mampu menampung penumpang yang begitu ramai.

Akhirnya saya menaiki tren jam 7.30 petang @ malam dan turun di UKM Bangi pukul 8 malam.

(Ketika di dalam tren, hati saya meluap-luap untuk menulis di blog saya sebaik sampai di rumah. Malah saya ingin sekali menulis dalam facebook. Tetapi dek terlalu kepenatan, ditambah dengan saya berpuasa siang tadi, kemampuan untuk menulis tiada ada sama sekali. Malah untuk on laptop pun tidak ada keinginan langsung.....)



No comments:

Post a Comment