Saturday, April 27, 2013

Tersilap langkah...

Dalam usia yang sudah setengah abad, adakalanya seseorang itu boleh hanyut oleh perasaan. 

Sejak beberapa lama ini, Ain boleh merasakan yang seorang lelaki ini, yang juga jirannya, suka kepadanya. Bukan la sampai terpikat, tapi sekadar suka...suka untuk berkawan dan jika ada peluang, lelaki ini seperti ingin berbual dengan Ain.

Tidaklah menjadi kesalahan kalau sesama jiran, mereka saling berbaik, namun memandangkan Ain seorang wanita yang agak 'tertutup', tentulah agak janggal untuk Ain dan jiran berkenaan berbual sesuka hati. Apatah lagi Ain ada suami (Fahmi) dan jiran berkenaan, (Yusuf) mempunyai isteri yang juga 'tertutup' seperti Ain. 

'Tertutup' di sini saya maksudkan sebagai seorang yang banyak duduk di dalam rumah jika tidak keluar bekerja. Bukan seorang yang suka bercampur dengan jiran-jiran dan berbual sebebasnya dengan mereka. Tidak boleh juga dikatakan sombong kerana Ain, seperti juga isteri Yusuf (Rina), mereka masih mengenali dan dikenali oleh jiran-jiran mereka.

Gerak hati Ain yang merasakan Yusuf suka kepadanya, tanpa sedar telah membuatkan Ain merasakan perkara yang sama. Dalam diam Ain tertarik juga kepada Yusuf. Tidak pasti atas alasan apa, yang nyata Ain suka melihat Yusuf. Tetapi antara mereka tidak pernah berlaku pertemuan secara berdua, tidak pernah berkomunikasi secara berdua, malah tidak pernah berlaku apa-apapun yang boleh menimbulkan kecurigaan orang lain.

Sebagai jiran, dengan izin suami, Ain memang menyimpan nombor telefon beberapa orang jiran terdekat.

Lima bulan yang lepas Yusuf dan keluarganya telah berpindah ke Brunei atas urusan perniagaan. Hanya sesekali Yusuf pulang untuk menjengah rumahnya, juga menguruskan salah satu bisnesnya di sini.

Suatu hari bila Ain tahu Yusuf pulang ke rumahnya, Ain menghantar sms kepada Yusuf, sekadar bertanya khabar ahli keluarganya yang berada di Brunei. Seperti yang dijangka Yusuf tidak mengenali nombor Ain, sebaliknya terus menghubungi nombor yang tertera. Sudah pasti Ain tidak berani menjawabnya!

Dua hari selepas itu, ketika Ain sedang bersiap-siap untuk keluar daripada pejabat, telefonnya berdering, tertera nama Yusuf. Dengan teragak-agak Ain menjawab panggilan. Malangnya Ain tidak cam suara Yusuf malah tidak percaya Yusuf yang menelefonnya, apatah lagi Yusuf tidak mengaku nama sebenarnya, sebaliknya memberitahu namanya adalah Mohamad.

Memang kelakar!

Selepas dua minit, baru Yusuf mengaku dan memberitahu memang namanya Mohamad Yusuf. Lama juga mereka berbual, bertanya khabar anak-anak.

Yusuf minta disampaikan salam kepada Fahmi. Ain serba-salah. Bukan mahu merahsiakan perbualannya dengan Yusuf daripada Fahmi, namun tidak mustahil sekiranya Fahmi tahu, akan timbul tanda tanya di hati Fahmi. Selama ini Fahmi tidak pernah cemburu, tidak pernah mengongkong Ain, tetapi bukan perkara mustahil kalau tiba-tiba Fahmi menjadi curiga, apatah lagi sebelum ini Ain pernah bercakap tentang 'kebaikan' Yusuf. Di depan Fahmi dan anak-anak, Ain bercerita tentang keluarga Yusuf yang begitu menitikberatkan ajaran Islam.

Selang dua hari kemudian, Ain menghantar sms lagi kepada Yusuf, sekadar berkongsi cita-cita dan harapan Ain terhadap keluarganya, betapa Ain begitu mengingini keluarga yang bahagia dan anak-anak yang soleh. Yusuf membalas sms Ain. Masing-masing saling mendoakan kebahagiaan dan kejayaan anak-anak.

Esoknya Ain menghantar sms lagi, sementelah Yusuf akan kembali ke Brunei pada petangnya. Yusuf tidak menjawab sms tersebut. Menjelang tengahari Ain menghantar sms lagi, mengucapkan selamat jalan kepada Yusuf dan memohon maaf atas apa-apa kesalahan. Sekali lagi Yusuf tidak membalas. Ain menjadi resah dan akhirnya timbul rasa malu yang amat sangat terhadap Yusuf.

Barulah Ain terfikir, betapa bodohnya dia berulang menghantar sms kepada Yusuf. Sekalipun tiada niat yang tidak baik, apatah lagi untuk berlaku curang, namun apabila seorang isteri berhubungan dengan lelaki lain di belakang suaminya, bukankah ianya satu perbuatan yang tidak elok?

Tentu sekali Yusuf tidak membalas sms tersebut demi menjaga maruah Ain, dan maruahnya juga. Sebagai seorang lelaki yang beriman, selain menjaga keimanannya, Yusuf juga bertanggungjawab untuk mengelakkan Ain daripada mendapat dosa. Dia juga tentu saja tidak mahu berdosa, tentu saja  mahu menjadi seorang suami yang baik dan bertanggungjawab.



Ain menyesali tindakannya yang dirasakan tidak matang. Malu usah dikira lagi. Mujur dalam beberapa bulan ini Yusuf tidak akan pulang ke sini. Namun...bagaimana Ain mahu menghadapi Yusuf bila dia pulang nanti? Sebagai jiran peluang mereka untuk terserempak adalah besar.

Semoga ALLAH mengampunkan dosa-dosaku....begitulah doa Ain saban waktu....

Dan semoga Yusuf akan melupakan insiden kiriman sms tersebut....


No comments:

Post a Comment