Pulang daripada pejabat, bila saya dapat tempat duduk di dalam komuter, kebiasaannya saya akan tertidur. Perjalanan yang memakan masa selama 50 minit dengan tubuh yang letih selepas seharian bekerja, memang sesuai untuk melelapkan mata dan merehatkan badan.
Biasanya saya akan niatkan dalam hati supaya terjaga paling lewat pun sebelum sampai di stesen Kajang. Selalunya sampai Serdang saya sudah terjaga.
Petang ini beberapa saat selepas terjaga daripada tidur, pandangan mata saya menangkap kepada sesusuk tubuh wanita kurus dan tinggi lampai berdiri tidak jauh di hadapan saya. Bertudung dan memakai blaus polka dot warna biru muda dengan tali pinggang putih berukuran dalam 2 cm dililit di bahagian pinggang. Nampak agak bergaya.
Rupanya gadis itu turun sama stesen dengan saya. Apa yang saya lihat agak mengejutkan saya. Kalau di dalam tren tadi saya tidak dapat melihat kasutnya, sekarang jelas di depan mata, dia memakai kasut bertumit tinggi dan runcing yang saya rasa mencapai 10 cm! Dengan kasut itulah dia mendaki anak-anak tangga yang bukan sedikit untuk pergi ke platform sebelah dan kemudian menuruni tangga pula.
Saya pula yang rasa 'ngilu' melihatnya. Memang jarang saya melihat wanita berkasut tumit tinggi dan runcing menaiki komuter. Rata-ratanya memakai sandal atau kasut bertumit rendah. Saya sendiri menyarung sandal dan hanya berkasut 'cantik' bila berada di pejabat, itupun tumit sederhana tinggi.
No comments:
Post a Comment