Monday, April 29, 2013

Gelagat seorang pengguna komuter - II

Pulang daripada pejabat, bila saya dapat tempat duduk di dalam komuter, kebiasaannya saya akan tertidur. Perjalanan yang memakan masa selama 50 minit dengan tubuh yang letih selepas seharian bekerja, memang sesuai untuk melelapkan mata dan merehatkan badan.

Biasanya saya akan niatkan dalam hati supaya terjaga paling lewat pun sebelum sampai di stesen Kajang. Selalunya sampai Serdang saya sudah terjaga.

Petang ini beberapa saat selepas terjaga daripada tidur, pandangan mata saya menangkap kepada sesusuk tubuh wanita kurus dan tinggi lampai berdiri tidak jauh di hadapan saya. Bertudung dan memakai blaus polka dot warna biru muda dengan tali pinggang putih berukuran dalam 2 cm dililit di bahagian pinggang. Nampak agak bergaya.

Rupanya gadis itu turun sama stesen dengan saya. Apa yang saya lihat agak mengejutkan saya. Kalau di dalam tren tadi saya tidak dapat melihat kasutnya, sekarang jelas di depan mata, dia memakai kasut bertumit tinggi dan runcing yang saya rasa mencapai 10 cm! Dengan kasut itulah dia mendaki anak-anak tangga yang bukan sedikit untuk pergi ke platform sebelah dan kemudian menuruni tangga pula.

Saya pula yang rasa 'ngilu' melihatnya. Memang jarang saya melihat wanita berkasut tumit tinggi dan runcing menaiki komuter. Rata-ratanya memakai sandal atau kasut bertumit rendah. Saya sendiri menyarung sandal dan hanya berkasut 'cantik' bila berada di pejabat, itupun tumit sederhana tinggi. 


Gelagat seorang pengguna komuter - I

29 April 2013

Oleh kerana hb bertugas di luar daerah, hari ini saya pergi dan balik dari pejabat menggunakan perkhidmatan komuter.

Ketika mahu melangkah keluar daripada tren di stesen UKM Bangi, seorang gadis yang berjalan di hadapan saya masih leka dengan telefon pintarnya yang berjenama Galaxy Y. Kelihatan sedang ber'facebook'.... Hmm...kalaulah terlepas hp daripada tangan dan jatuh di celah antara tren dan platform, tak ke naya?

Dia kemudian menutup hp dan melangkah keluar. Oleh kerana sebelum tu hujan turun dengan lebatnya, maka basahlah lantai dan ada air yang bertakung sedikit di sana sini. Gadis tadi rupanya menyambung aktiviti fb sebaik berada di luar tren sambil berjalan.

Sekali lagi hati saya berkata-kata : Kalaulah dia terjatuh disebabkan lantai yang licin, tak ke naya? Bukanlah saya mendoakan yang tidak baik, tapi saya cukup tidak suka melihat orang yang leka sangat dengan fb atau apa-apa laman sosial sehingga tidak boleh berehat pada waktu-waktu tertentu. Apalah salahnya memberi perhatian kepada setiap langkah kakinya, terutamanya dalam keadaan basah dan mungkin licin yang memungkinkan seseorang itu boleh terjatuh?


Saturday, April 27, 2013

Tersilap langkah...

Dalam usia yang sudah setengah abad, adakalanya seseorang itu boleh hanyut oleh perasaan. 

Sejak beberapa lama ini, Ain boleh merasakan yang seorang lelaki ini, yang juga jirannya, suka kepadanya. Bukan la sampai terpikat, tapi sekadar suka...suka untuk berkawan dan jika ada peluang, lelaki ini seperti ingin berbual dengan Ain.

Tidaklah menjadi kesalahan kalau sesama jiran, mereka saling berbaik, namun memandangkan Ain seorang wanita yang agak 'tertutup', tentulah agak janggal untuk Ain dan jiran berkenaan berbual sesuka hati. Apatah lagi Ain ada suami (Fahmi) dan jiran berkenaan, (Yusuf) mempunyai isteri yang juga 'tertutup' seperti Ain. 

'Tertutup' di sini saya maksudkan sebagai seorang yang banyak duduk di dalam rumah jika tidak keluar bekerja. Bukan seorang yang suka bercampur dengan jiran-jiran dan berbual sebebasnya dengan mereka. Tidak boleh juga dikatakan sombong kerana Ain, seperti juga isteri Yusuf (Rina), mereka masih mengenali dan dikenali oleh jiran-jiran mereka.

Gerak hati Ain yang merasakan Yusuf suka kepadanya, tanpa sedar telah membuatkan Ain merasakan perkara yang sama. Dalam diam Ain tertarik juga kepada Yusuf. Tidak pasti atas alasan apa, yang nyata Ain suka melihat Yusuf. Tetapi antara mereka tidak pernah berlaku pertemuan secara berdua, tidak pernah berkomunikasi secara berdua, malah tidak pernah berlaku apa-apapun yang boleh menimbulkan kecurigaan orang lain.

Sebagai jiran, dengan izin suami, Ain memang menyimpan nombor telefon beberapa orang jiran terdekat.

Lima bulan yang lepas Yusuf dan keluarganya telah berpindah ke Brunei atas urusan perniagaan. Hanya sesekali Yusuf pulang untuk menjengah rumahnya, juga menguruskan salah satu bisnesnya di sini.

Suatu hari bila Ain tahu Yusuf pulang ke rumahnya, Ain menghantar sms kepada Yusuf, sekadar bertanya khabar ahli keluarganya yang berada di Brunei. Seperti yang dijangka Yusuf tidak mengenali nombor Ain, sebaliknya terus menghubungi nombor yang tertera. Sudah pasti Ain tidak berani menjawabnya!

Dua hari selepas itu, ketika Ain sedang bersiap-siap untuk keluar daripada pejabat, telefonnya berdering, tertera nama Yusuf. Dengan teragak-agak Ain menjawab panggilan. Malangnya Ain tidak cam suara Yusuf malah tidak percaya Yusuf yang menelefonnya, apatah lagi Yusuf tidak mengaku nama sebenarnya, sebaliknya memberitahu namanya adalah Mohamad.

Memang kelakar!

Selepas dua minit, baru Yusuf mengaku dan memberitahu memang namanya Mohamad Yusuf. Lama juga mereka berbual, bertanya khabar anak-anak.

Yusuf minta disampaikan salam kepada Fahmi. Ain serba-salah. Bukan mahu merahsiakan perbualannya dengan Yusuf daripada Fahmi, namun tidak mustahil sekiranya Fahmi tahu, akan timbul tanda tanya di hati Fahmi. Selama ini Fahmi tidak pernah cemburu, tidak pernah mengongkong Ain, tetapi bukan perkara mustahil kalau tiba-tiba Fahmi menjadi curiga, apatah lagi sebelum ini Ain pernah bercakap tentang 'kebaikan' Yusuf. Di depan Fahmi dan anak-anak, Ain bercerita tentang keluarga Yusuf yang begitu menitikberatkan ajaran Islam.

Selang dua hari kemudian, Ain menghantar sms lagi kepada Yusuf, sekadar berkongsi cita-cita dan harapan Ain terhadap keluarganya, betapa Ain begitu mengingini keluarga yang bahagia dan anak-anak yang soleh. Yusuf membalas sms Ain. Masing-masing saling mendoakan kebahagiaan dan kejayaan anak-anak.

Esoknya Ain menghantar sms lagi, sementelah Yusuf akan kembali ke Brunei pada petangnya. Yusuf tidak menjawab sms tersebut. Menjelang tengahari Ain menghantar sms lagi, mengucapkan selamat jalan kepada Yusuf dan memohon maaf atas apa-apa kesalahan. Sekali lagi Yusuf tidak membalas. Ain menjadi resah dan akhirnya timbul rasa malu yang amat sangat terhadap Yusuf.

Barulah Ain terfikir, betapa bodohnya dia berulang menghantar sms kepada Yusuf. Sekalipun tiada niat yang tidak baik, apatah lagi untuk berlaku curang, namun apabila seorang isteri berhubungan dengan lelaki lain di belakang suaminya, bukankah ianya satu perbuatan yang tidak elok?

Tentu sekali Yusuf tidak membalas sms tersebut demi menjaga maruah Ain, dan maruahnya juga. Sebagai seorang lelaki yang beriman, selain menjaga keimanannya, Yusuf juga bertanggungjawab untuk mengelakkan Ain daripada mendapat dosa. Dia juga tentu saja tidak mahu berdosa, tentu saja  mahu menjadi seorang suami yang baik dan bertanggungjawab.



Ain menyesali tindakannya yang dirasakan tidak matang. Malu usah dikira lagi. Mujur dalam beberapa bulan ini Yusuf tidak akan pulang ke sini. Namun...bagaimana Ain mahu menghadapi Yusuf bila dia pulang nanti? Sebagai jiran peluang mereka untuk terserempak adalah besar.

Semoga ALLAH mengampunkan dosa-dosaku....begitulah doa Ain saban waktu....

Dan semoga Yusuf akan melupakan insiden kiriman sms tersebut....


Tuesday, April 23, 2013

Semoga kesabaran sentiasa ada....

Saya suka melakukan kerja-kerja saya. Dan semestinya saya suka orang lain pun membuat kerja mereka masing-masing dengan sebaik yang boleh. Bukankah semuanya telah diamanahkan untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing? 

Kerja ini dibayar gaji. Gaji yang kita terima adalah sebagai upah atau ganjaran kerana kita telah menjalankan kerja-kerja yang diberikan kepada kita.

Hari ini saya sangat terkilan dengan sikap seorang rakan sekerja. Rasanya belum pernah hati saya sesakit ini disebabkan oleh perbuatan seorang manusia yang saya kira sungguh tidak bertanggungjawab!

Macam mana seorang yang waras boleh dengan selambanya mengatakan dia "lupa" untuk membuat kerja rutinnya? Dan dengan tiada rasa bersalah melepaskan beban kerja itu kepada saya? Alasannya dia ada kerja yang lebih penting untuk dibuat segera.

Kalau dah tahu ada kerja penting, kenapa dari awal pagi sebaik waktu pejabat bermula, dia tidak memulakan tugasnya? Kenapa membuang masa bercakap perkara yang tidak penting, kemudian boleh pula pergi minum pagi melebihi masa yang ditetapkan? 

Bukan saya tidak nampak pukul berapa dia keluar minum dan pukul berapa masuk semula ke pejabat.

Kalau orang lain boleh menyelesaikan kerja masing-masing, kenapa dia tidak? Kalau orang lain sanggup tidak keluar minum kerana mahu menyiapkan tugasan penting, kenapa dia perlu melebih-lebihkan waktu minum pagi?

Memang saya tersangat marah! Lebih malang kerana saya tidak dapat mengelak daripada melakukan kerja tersebut.

Hanya ALLAH yang tahu betapa sakitnya hati saya.

Memang malang mempunyai rakan yang sebegitu dalam pasukan kerja saya! Ini bukan kali pertama, cuma bezanya yang berlaku kali ini jauh lebih menyakitkan daripada sebelum ini.

Saya akan rela hati membantu orang lain sekiranya dia tidak mampu menyiapkannya sekalipun sudah diusahakan bersungguh-sungguh. Tetapi saya sakit hati bila ada orang yang membuat kerja sambil lewa dan bila tidak siap diminta orang lain menyiapkannya.

Entah berapa ratus kali saya berselawat dan beristighfar memohon supaya saya diberi kesabaran yang sempurna oleh ALLAH SWT.



Tuesday, April 16, 2013

Buka Mata Buka Hati

Buka Mata Buka Hati - Opick

Buka mataku buka hatiku
Allah terangilah
Hidupku dengan sinarMu

Aku meraba tak berdaya
Tanpa rahmat-Mu aku hina

Beribu dosa telah terjadi
Mewarnai langkahku
Hitam diri
Hitamlah hari yang lalu

Bila tanpa cahayaMu
Gelap seluruh hidupku
Tak berdaya tak berarti
Sia-sia

Tak mungkin bisa ku sempurna
Mencintai-Mu seperti ke-Maha-an-Mu
Diri yang hina berlumur noda
Hanya bersimpuh
Memohon belas kasihMu

Beribu dosa telah terjadi
Mewarnai langkahku
Hitam diri
Hitamlah hari yang lalu

Bila tanpa cahayaMu
Gelap seluruh hidupku
Tak berdaya tak berarti
Sia-sia


Beribu dosa telah terjadi
Mewarnai langkahku
Hitam diri
Hitamlah hari yang lalu

Buka mataku buka hatiku
Allah terangilah
Hidupku dengan sinarMu

(Aku sedang diselubungi kesedihan, aku seperti kehilangan....
seperti tidak dipedulikan.....)