Siapa yang tidak rindukan emak?
Emak yang telah empat tahun pergi meninggalkan dunia ini, emak yang sering aku rindui kehadirannya, emak yang tidak puas untuk menerima kasih sayang dan perhatian daripada aku...
Aku selalu saja dengan sengaja mengelakkan diri daripada mengingati emak. Bukanlah aku ini anak yang kejam, jauh sekali untuk menjadi anak derhaka.........Tapi aku tidak mahu dihantui oleh dosa-dosaku yang tidak menjaga emak dengan sewajarnya, terutamanya sejak emak dikesan menghidap kanser payudara.
Aku tahu daripada mulut adik bongsuku, emak gembira dan terharu dengan apa yang telah aku lakukan kepada emak. Aku yang mengambil cuti dan menghantar emak ke hospital hampir setiap kali emak menjalani rawatan kemoterapi. Tetapi aku tidak pernah menemani emak dan membantu emak mendepani kesan-kesan rawatan tersebut yang begitu menyakitkan. Aku hantar emak pulang ke kampung sehabis rawatan. Selepas itu aku akan kembali ke rumahku, menguruskan keluargaku sendiri.
Aku sedar emak perlukan seseorang untuk temankan emak. Kesan rawatan kemoterapi mengambil masa tiga ke empat hari untuk kembali normal. Selama tempoh tersebut pesakit akan mengalami kepayahan, tidak berselera makan malah tidak mampu bergerak dengan sempurna. Pernah seorang pesakit memberitahu aku, dia terpaksa mengambil pembantu rumah sejak dia mula menjalani rawatan kemoterapi kerana adakalanya dia tidak mampu untuk bangun dan berjalan sendiri. Terlalu lemah, tidak berdaya.......
Bayangkanlah emak....yang berusia hampir 70 tahun..........
Memang ada adik lelaki yang tinggal dengan emak, yang begitu setia menjaga emak, menjaga keperluan emak. Tapi aku tahu, jauh di sudut hati emak, tentu emak mahukan anak perempuannya berada di sisi........Tentu saja emak nak anak perempuan emak yang bawa emak ke bilik air, yang membantu emak mandi dan membersihkan tubuh emak.....Emak tidak pernah mahu menyusahkan anak-anak....Malah setiap kali aku dan suami menghantar emak ke hospital, emak akan rasa sangat bersalah, terutama kepada menantunya. Puas sudah kami menjelaskan kepada emak yang kami lebih mudah mendapat cuti dibandingkan adik-beradik yang lain, namun emak tetap dengan pendirian emak. Emak yang diam-diam merisik meminta Abang Ngah, anak lelaki emak yang tua, mengambil giliran menghantar emak. Kata emak, sepatutnya anak lelaki emak yang uruskan emak....
(bersambung...)
No comments:
Post a Comment