Tuesday, May 17, 2011

Dalam mencari kata putus

Dah 13 Jamadilakhir.....tak lama lagi Ramadhan akan menjelma....diikuti oleh Syawal...bulan haji pun akan bermula.

Hati masih berbelah-bagi. Bukan tidak bersungguh-sungguh. Bukan tidak sedar akan kewajipan yang terpikul di bahu.

Jika sebelum ini aku & suami sudah membuat keputusan untuk mengikut muassasah, mengikut 'saiz kewangan' yang ada, namun selepas beberapa kali mendengar cadangan ustaz yang memberikan kursus asas haji, hati mula berbolak-balik. Dalam keadaan suami yang tidak sihat sepenuhnya, bukankah lebih baik kami menggunakan pakej swasta?

Memandangkan hujung tahun lepas kami berdua telah menyusutkan sejumlah wang simpanan kami demi satu 'keperluan lain', maka kemampuan untuk mengikuti pakej swasta menjadi agak terhad, sementelah dari awal lagi suami telah memilih untuk mengikut muassasah. Namun bila difikirkan semula dan dicongak, insyaALLAH kemampuan itu ada. Bukankah wang boleh dicari? Malah ustaz selalu mengingatkan, rezeki akan bertambah bila kita ikhlas mengerjakan haji. Jangan sesekali bimbang akan simpanan yang susut bila digunakan untuk menunaikan rukun Islam yang kelima ini.

Masalahnya di sini, dengan keadaan kesihatan suami yang mengalami salur darah tersumbat dan menunggu panggilan IJN untuk menjalani pembedahan pintasan / bypass, saya tidak pasti bagaimana harus saya membuat keputusan. Kami boleh memohon penangguhan pembedahan, namun masalahnya apakah suami saya akan mendapat kelulusan untuk mengerjakan haji dalam keadaan kesihatannya yang sedemikian?

Mengikut pemeriksaan kesihatan tahun lepas setelah kami mendapat panggilan 'standby', suami TIDAK LULUS. Oleh kerana standby hanya tinggal standby, maka kami tidak membuat rayuan.

Hmm....saya telah meneliti beberapa pakej swasta termasuk kelolaan Tabung Haji. Namun...sehingga hari ini saya belum mendaftar lagi....

Saya harap saya tidak terlewat. Semoga ALLAH segera memberikan petunjukNYA.



No comments:

Post a Comment