Tuesday, May 31, 2011

Makan-makan di Manhattan Fish Market, Sogo

Setelah tertangguh beberapa kali dek kesibukan masing-masing, akhirnya hari ini kami satu jabatan berkumpul untuk makan tengahari sempena hari ulangtahun kelahiran Azhan, Zura, Sharul & En F. Tempat pilihan - Manhattan Fish Market di Sogo Kuala Lumpur.

Tempahan telah dibuat lebih awal, namun ketika kami sampai, 1 hidangan pun belum siap. Mungkin sebab pelanggan terlalu ramai, mereka tidak sempat menyiapkan pesanan kami seperti yang diharapkan.

Ada di antara kami, terutamanya Pn W yang telah mengeluarkan arahan untuk mempastikan segalanya berjalan lancar mulai hangat. Bukan mementingkan diri, namun kami semua hanya ada masa 1 jam untuk keluar makan tengahari termasuk masa perjalanan dari ofis ke Sogo, lebih kurang 10 minit. Malah kami telah merancang hampir seminggu lebih awal dengan mengambil menu pilihan dari semua staf dan menghantar senarai pesanan kepada restoran tersebut.

Satu demi satu pesanan tiba dengan yang terakhir menu berasaskan ayam yang dipesan oleh En K dan Zura dan menjadi bahan jenaka kami. Bukan kerana tak sedap, tetapi : "DAH MASUK KEDAI IKAN, MAKAN JE LA IKAN...!!"

Tak sempat nak ambil gambar makanan orang lain, sebab masing-masing dah lapar.......



Wednesday, May 25, 2011

Patutkah saling menyalahkan? (Bahagian ll)

Pernahkah kita jumpa suami @ isteri yang telah bercerai, beria-ia bercerita mengapa mereka bercerai. Wah...ramai pula yang menjadi pendengar dan tidak kurang juga yang akan menyebarkan cerita itu kepada yang lain pula........

Kalau lelaki, keburukan bekas isterilah yang dicanang. Bagaikan diri sendiri tidak ada sedikit salah pun. Siapalah yang nak mengaku ada kurap di badan sendiri kan? Selagi boleh tutup, akan ditutup serapatnya.

Alangkah baiknya, semua keaiban disimpan saja dalam hati. Kalau ada yang perlu dikongsi, kongsilah hanya dengan orang yang sewajarnya. Bukankah dengan meluahkan masalah yang terpendam, akan mengurangkan beban penanggungan?

Kalau perlu bercerita dengan rakan yang senasib, berceritalah, sebagai satu perkongsian ilmu, mungkin boleh dijadikan panduan, tetapi tidak perlulah dengan cara memburukkan bekas pasangan. Sebaiknya kajilah kekurangan diri sendiri. Selalunya sesuatu yang berlaku ada punca atau sebabnya....dan mungkin kitalah yang menjadi penyebab kepada sesuatu kejadian itu......





Tuesday, May 24, 2011

Patutkah saling menyalahkan? (Bahagian l)

Selalu sangat kita dengar bila berlaku perceraian, pasangan saling menyalahkan antara satu sama lain. Tidak menghairankan kalau cerita buruk pasangan diwar-warkan. Hilang semua kebaikan dan kemanisan. Isteri @ suami yang sebelum ini dicintai setengah mati, berubah menjadi manusia yang sangat dibenci.


Adilkah?

Orang sekeliling akan bertanya : kenapa mereka bercerai? Malah saya sendiri, bila mendengar seorang rakan sepejabat bercerai, mahu tahu apakah puncanya.

Memang semuanya adalah takdir.

Saya amat benci kalau bekas suami bercerita tentang keburukan isterinya. Isteri malas la, suka membebel la dan macam-macam lagi. Kita pula tidak akan sanggup bertanya sikap si suami yang sebenar. Entah-entah si suami sepuluh kali pemalas daripada isteri. Bukan saya tak pernah dengar cerita, ada suami yang bila balik kerja, tersandar depan tv. Isteri terkejar-kejar mengurus anak, memasak, basuh kain dan macam-macam lagi.

Malah suami tanpa rasa kasihan, mengarah pula isteri yang sama-sama penat balik kerja untuk membuatkan minuman.Berapa ramai isteri-isteri di sekeliling saya yang mempunyai suami yang "berat tulang". Sudahlah tidak membantu mengemas rumah, pakaian sendiri pun tidak mampu nak uruskan. Lepas baca akhbar, letak ikut suka. Minum depan tv, cawan tinggal je. (Bukanlah bermaksud kami kaum wanita suka menjaja cerita rumahtangga kepada kawan-kawan. Sekadar berkongsi pengalaman).
Saya ingat lagi, dulu-dulu, ada lelaki yang bila berkahwin saja, mereka akan dapat "pengurus" yang akan menguruskan segala keperluan mereka. Ayat yang lazim didengar : kalau kahwin, adalah yang uruskan makan pakai aku.

Seronoknya! Ada tukang masak, tukang cuci kain, tukang urut badan, tukang kemas rumah...Suami buat apa?

Tak perlulah nak mencontohi ayah dan mak, yang mana dulu-dulu hampir semua emak adalah suri rumah sepenuh masa. Sekarang ni, hampir semua isteri sama-sama keluar rumah mencari rezeki, menyumbang pendapatan untuk keluarga. Apatah lagi kalau suami bergaji kecil.

Dulu ayah seorang saja yang bekerja. Emak duduk rumah. Kalau yang ada kebun, emak akan turun juga tolong ayah. Tapi kalau ada anak-anak kecil yang perlukan pengawasan rapi, emak-emak memang akan berada di rumah, mengendalikan segala urusan rumah. Emak yang masak, kemas rumah, cuci kain.......






(bersambung)






Saturday, May 21, 2011

Terima kasih


20 Mei 2011

Pagi ini sekitar jam 9.30 pagi saya menerima satu bungkusan kecil yang mengandungi sebuah buku. Buku ini ditulis sendiri oleh pengirim bungkusan tersebut, biarlah saya namakannya sebagai Encik Z.

Selepas mengucapkan terima kasih kepada insan yang baik hati menyampaikan bungkusan itu kepada saya, saya membuka dan membaca tulisan tangan yang tercatat di muka surat pertama buku tersebut. Saya tersenyum, gembira dan hampir tidak percaya saya akan menerima buku tersebut daripada Encik Z. (Ketika hari terakhir En Z berada bersama kami, ada beberapa teman yang menerima buku tersebut daripadanya, di depan saya).

Selama Encik Z bekerja di bawah satu organisasi, saya akui saya tidak rapat dengannya. Kerja saya sendiri belum pernah yang memerlukan saya berhubung terus dengannya. Meskipun setiap kali terserempak, bibir masing-masing menguntumkan senyuman dan saling bertegur sapa, di luar waktu itu, saya dan Encik Z bagaikan orang asing yang saling tidak mengenal antara satu sama lain.

Saya akui Encik Z seorang yang sangat peramah dan sering meletakkan dirinya sebaris dengan staf-staf bawahannya, selalu bergurau dan membuat jenaka. Malah adakalanya dengan begitu selamba membuat aksi-aksi yang melucukan di depan kami.

Maafkan saya, sebagai manusia biasa, adakalanya aksi Encik Z tidak berkenan di mata saya. Sekalipun saya sedar, siapalah saya untuk mengatakan sedemikian, hakikatnya perkara inilah yang menjadikan saya 'jauh' daripadanya.

Barangkali Encik Z juga menyedari sikap saya. Sebagai manusia biasa juga, seperti saya, bukanlah perkara yang mustahil untuk beliau tidak menyenangi atau tidak menyukai orang lain. Saya tidak akan berkecil hati sedikitpun kalau saya tahu, Encik Z tidak sukakan saya, cuma saya tidaklah sampai hilang rasa hormat terhadapnya, terutamanya sebagai bos besar saya.

Harijadi saya sejak 2 tahun lepas, Encik Z menghantar ucapan melalui emel. Meski saya tahu beliau melakukan perkara yang sama kepada staf yang lain sejak beberapa tahun dulu, emel tersebut sungguh membuat saya tersenyum kegembiraan.

Sebelum saya simpan buku tersebut, saya menghantar ucapan terima kasih kepada En Z melalui sms. Saya juga terharu dengan doa yang ditulisnya buat saya.

En Z, saya tidak pernah membenci. Apa yang En Z lihat saya selama ini, itulah saya yang sebenar. Saya yang tidak pandai berpura-pura....

Barangkali kita akan lebih 'baik' selepas tidak berada di bawah bumbung yang sama.

Wednesday, May 18, 2011

Selalu terkenang...dan terasa bersalah

Siapa yang tidak sayang emak?


Siapa yang tidak rindukan emak?

Emak yang telah empat tahun pergi meninggalkan dunia ini, emak yang sering aku rindui kehadirannya, emak yang tidak puas untuk menerima kasih sayang dan perhatian daripada aku...




Kalaulah emak masih ada.................


Aku selalu saja dengan sengaja mengelakkan diri daripada mengingati emak. Bukanlah aku ini anak yang kejam, jauh sekali untuk menjadi anak derhaka.........Tapi aku tidak mahu dihantui oleh dosa-dosaku yang tidak menjaga emak dengan sewajarnya, terutamanya sejak emak dikesan menghidap kanser payudara.

Aku tahu daripada mulut adik bongsuku, emak gembira dan terharu dengan apa yang telah aku lakukan kepada emak. Aku yang mengambil cuti dan menghantar emak ke hospital hampir setiap kali emak menjalani rawatan kemoterapi. Tetapi aku tidak pernah menemani emak dan membantu emak mendepani kesan-kesan rawatan tersebut yang begitu menyakitkan. Aku hantar emak pulang ke kampung sehabis rawatan. Selepas itu aku akan kembali ke rumahku, menguruskan keluargaku sendiri.

Aku sedar emak perlukan seseorang untuk temankan emak. Kesan rawatan kemoterapi mengambil masa tiga ke empat hari untuk kembali normal. Selama tempoh tersebut pesakit akan mengalami kepayahan, tidak berselera makan malah tidak mampu bergerak dengan sempurna. Pernah seorang pesakit memberitahu aku, dia terpaksa mengambil pembantu rumah sejak dia mula menjalani rawatan kemoterapi kerana adakalanya dia tidak mampu untuk bangun dan berjalan sendiri. Terlalu lemah, tidak berdaya.......

Bayangkanlah emak....yang berusia hampir 70 tahun..........

Memang ada adik lelaki yang tinggal dengan emak, yang begitu setia menjaga emak, menjaga keperluan emak. Tapi aku tahu, jauh di sudut hati emak, tentu emak mahukan anak perempuannya berada di sisi........Tentu saja emak nak anak perempuan emak yang bawa emak ke bilik air, yang membantu emak mandi dan membersihkan tubuh emak.....Emak tidak pernah mahu menyusahkan anak-anak....Malah setiap kali aku dan suami menghantar emak ke hospital, emak akan rasa sangat bersalah, terutama kepada menantunya. Puas sudah kami menjelaskan kepada emak yang kami lebih mudah mendapat cuti dibandingkan adik-beradik yang lain, namun emak tetap dengan pendirian emak. Emak yang diam-diam merisik meminta Abang Ngah, anak lelaki emak yang tua, mengambil giliran menghantar emak. Kata emak, sepatutnya anak lelaki emak yang uruskan emak....




(bersambung...)



Tuesday, May 17, 2011

Dalam mencari kata putus

Dah 13 Jamadilakhir.....tak lama lagi Ramadhan akan menjelma....diikuti oleh Syawal...bulan haji pun akan bermula.

Hati masih berbelah-bagi. Bukan tidak bersungguh-sungguh. Bukan tidak sedar akan kewajipan yang terpikul di bahu.

Jika sebelum ini aku & suami sudah membuat keputusan untuk mengikut muassasah, mengikut 'saiz kewangan' yang ada, namun selepas beberapa kali mendengar cadangan ustaz yang memberikan kursus asas haji, hati mula berbolak-balik. Dalam keadaan suami yang tidak sihat sepenuhnya, bukankah lebih baik kami menggunakan pakej swasta?

Memandangkan hujung tahun lepas kami berdua telah menyusutkan sejumlah wang simpanan kami demi satu 'keperluan lain', maka kemampuan untuk mengikuti pakej swasta menjadi agak terhad, sementelah dari awal lagi suami telah memilih untuk mengikut muassasah. Namun bila difikirkan semula dan dicongak, insyaALLAH kemampuan itu ada. Bukankah wang boleh dicari? Malah ustaz selalu mengingatkan, rezeki akan bertambah bila kita ikhlas mengerjakan haji. Jangan sesekali bimbang akan simpanan yang susut bila digunakan untuk menunaikan rukun Islam yang kelima ini.

Masalahnya di sini, dengan keadaan kesihatan suami yang mengalami salur darah tersumbat dan menunggu panggilan IJN untuk menjalani pembedahan pintasan / bypass, saya tidak pasti bagaimana harus saya membuat keputusan. Kami boleh memohon penangguhan pembedahan, namun masalahnya apakah suami saya akan mendapat kelulusan untuk mengerjakan haji dalam keadaan kesihatannya yang sedemikian?

Mengikut pemeriksaan kesihatan tahun lepas setelah kami mendapat panggilan 'standby', suami TIDAK LULUS. Oleh kerana standby hanya tinggal standby, maka kami tidak membuat rayuan.

Hmm....saya telah meneliti beberapa pakej swasta termasuk kelolaan Tabung Haji. Namun...sehingga hari ini saya belum mendaftar lagi....

Saya harap saya tidak terlewat. Semoga ALLAH segera memberikan petunjukNYA.