Tuesday, March 27, 2012

Masanya akan sampai jua....



Minggu lepas, tiga hari berturut-turut saya disapa oleh 3 orang yang berlainan tetapi bercakap perkara yang sama. Kata mereka - saya pekerja yang setia kerana begitu lama berada di jabatan yang sama sejak lebih 10 tahun yang lalu.

Hahaha....setiakah saya? Kalau pun setia, setia kepada siapa?

Saya hanya kumpulan sokongan. Walaupun di jabatan yang sama, tetapi saya tidaklah melakukan tugas yang sama sahaja sejak dulu. Cuma kerja yang saya lakukan sekarang ini, yang paling lama saya buat. Bosan? Tidak adil kalau saya katakan saya bosan dengan kerja-kerja saya. Apatah lagi kerja ini adalah ibadah dan gaji yang saya dapat inilah yang saya gunakan untuk perbelanjaan saya dan anak-anak.

Saya tahu memang saya patut pergi dari sini. Saya perlu merasa tempat baru dan mendapat kawan-kawan baru. Namun kalau saya pergi sekalipun bukanlah kerana saya perlukan suasana baru, apatah lagi kawan-kawan baru.

Memang sejak saya berpindah ke kediaman baru pada 1.1.2010, saya telah bertekad untuk bertukar tempat kerja. Bagi saya perjalanan yang jauh dari tempat kediaman ke pejabat memang meletihkan.  Setiap pagi saya mengambil masa lebih 1 jam untuk sampai di pejabat, begitu juga untuk balik ke rumah. Bulan Ramadhan lagi la mencabar. Kesesakan jalan tidak perlu dipertikaikan lagi, memang sangat memenatkan!

Saya tahu ramai lagi yang melalui  rutin sebegini, malah ada yang berada lebih lama di jalanraya untuk ke tempat kerja berbanding saya. Malah saya tidak memandu pun, hanya duduk di sebelah 'pemandu'! Ikutkan, saya boleh berehat, malah boleh tidur pun sepanjang perjalanan. Tapi kerana saya ada pilihan untuk bekerja di tempat yang berdekatan dengan rumah saya, saya merasakan adalah wajar saya memilih untuk bertukar @ berpindah.

Saya mensasarkan untuk bertukar pada tahun 2011. Tidak disangka sekitar Ogos 2010, ada berlaku masalah dalam jabatan kami, yang bila difikir-fikirkan, memang tidak wajar untuk saya menghantar borang permohonan pertukaran. Sudah semestinya saya sayangkan seksyen saya, ketua saya dan kawan-kawan saya. Saya tidak akan biarkan ketua saya yang sangat baik hati itu terbeban dengan pertukaran saya nanti.

(Entry yang saya tulis sebelum ini....aku-dalam-dilema-html)

Saya bukan perasan bagus. Tapi saya tahu untuk mengambil alih dan mempelajari kerja-kerja baru, tidak semudah yang disangka. Biarlah tidak siapa yang tahu apa yang ada dalam hati saya, tetapi saya tahu ketua saya sangat memahami masalah yang sedang seksyen kami hadapi. Saya mahu menjadi pekerja yang bertanggungjawab, yang sama-sama mendepani sebarang kepayahan dan kesukaran.

Masa berlalu. Masalah telah dapat diatasi. Kehadiran dua orang pegawai baru telah memantapkan lagi seksyen perhubungan media. Kerja-kerja berjalan dengan begitu lancar. Kebetulan HR mengeluarkan pekeliling menawarkan kakitangan yang mahu bertukar, mengemukakan permohonan. Memang saat yang ditunggu-tunggu kerana dengan cara ini saya tidak perlu memohon pertukaran melalui ketua jabatan saya. Jadi big bos tidak perlu memanggil saya, menyoal saya dan tidak tahu mengenai permohonan pertukaran saya. Biarlah bila arahan pertukaran dikeluarkan nanti, big bos akan tahu dengan sendiri melalui emel yang sampai kepadanya.

Saya memang sayangkan tempat kerja saya sekarang ini. Saya sangat sayangkan penyelia saya (di mana dalam masa yang sama sentiasa menjadi seorang kawan kepada saya). Dan yang akan membuat saya selalu terkenang adalah saat-saat kami meronda di kedai-kedai kain di Jalan Masjid India....Kami kerap membeli kain yang sama corak tetapi berlainan warna!!. (Siapa sangka seorang wanita elit sudi membeli kain yang sama harga dengan kain saya....).Saya juga sayang kawan-kawan saya, terutamanya "anak" saya si bunga mawar. Saya tahu saya akan rindukan mereka.....
Saya tahu bila saya dah bertukar nanti saya akan sangat jarang dapat bertemu mereka. Tempat kerja baru yang saya pilih memang jauh dari Kuala Lumpur. Orang KL hanya akan datang ke sini bila diarahkan berkursus. Masa itulah nanti, kalau ada rakan-rakan datang berkursus, barulah saya dapat berjumpa mereka. Itu pun jika saya tidak bercuti.
Jadi sekarang ini saya sedang menunggu arahan untuk ditukarkan. Saya tidak mahu memikirkan sangat tempat baru atau kerja baru. Saya akan hadapi dengan hati yang terbuka. Yang pasti satu perkara yang benar-benar membuat saya teruja - saya hanya memerlukan tidak lebih 15 minit untuk sampai ke pejabat dan tidak lebih 15 minit untuk sampai ke rumah. Bayangkan, berapa banyak masa yang boleh saya luangkan bersama anak-anak, juga untuk membuat kerja-kerja rumah?


Saturday, March 24, 2012

Batuk yang mengganggu seisi rumah

Sebenarnya dua tiga hari selepas saya pulang dari Jawa, Indonesia, saya diserang sakit tekak. Saya mula minum madu yang dibancuh dengan air suam. Saya banyakkan minum air masak. Alhamdulillah dengan izinNYA batuk saya hilang dalam masa tiga empat hari saja.

Saya tahu salah satu punca saya kena sakit tekak adalah bila saya kurang tidur lebih dari 3 hari. Kalau setengah orang, kurang tidur akan menyebabkan badan lesu atau sakit kepala, saya pula akan sakit tekak dan batuk-batuk. Sepanjang saya berada di sana, oleh kerana terlalu seronok dapat meluangkan masa dengan kaklong dan adik perempuan bongsu saya, saya banyak menghabiskan masa berborak-borak dengan mereka sebelum kami tidur.

Terlelap jam 1 pagi adalah perkara biasa bagi kami. Cuma kaklong biasanya akan lelap lebih awal daripada kami. Malah malam terakhir di Solo saya dan Yah tidur pukul 2.15 pagi! Itupun saya sedar bila perbualan saya tidak disampuk oleh adik...hehehe...rupanya dia dah hanyut...

Waktu Subuh pula 1 jam awal dari waktu Malaysia. Kaklong akan bangun sebelum masuk waktu subuh dan dengan sendirinya saya juga akan terjaga sebaik kaklong siap mandi dan bersedia untuk bersolat Subuh. Jadi waktu tidur kami hanya sekitar 3 jam sahaja.

Hari ini dah lima hari saya diserang sakit tekak lagi. Kali ini makin hari semakin teruk. Malam-malam saya sering terjaga dan terbatuk-batuk. Tekak saya terasa begitu gatal. Di pejabat lagilah mencabar. Kadang-kadang tengah bercakap dengan kawan, tekak terasa gatal yang teramat sangat, maka terbatuk-batuklah saya sampai terkeluar airmata dibuatnya.

Entah berapa banyak madu yang saya minum, termasuklah madu arab yang dicampur dengan habbatussauda.

Oleh kerana saya malas untuk ke klinik (sebab doktor pun akan memberi ubat batuk), saya beli ubat batuk dari kedai sahaja. Saya minum bukan setakat waktu malam tetapi siang hari juga. Bagusnya ubat batuk yang saya minum ini tidak membuatkan saya mengantuk seperti mana ubat batuk yang selalu saya ambil dari klinik. Jadi saya masih mampu membuat kerja-kerja rumah seperti biasa.

Tetapi bila batuk mula menyerang, terutama di waktu malam, tidur yang lena pun akan terganggu. Bukan setakat diri sendiri, tetapi hb pun ikut terjaga dek kuatnya saya batuk.

Sekejap tadi saya mencari-cari di laman web petua untuk mengatasi sakit tekak dan batuk. Saya akan mencubanya nanti. Mudah-mudahan dengan izin ALLAH, batuk saya akan sembuh.



Wednesday, March 21, 2012

Tahniah Nur Adina

Oleh kerana sejak di sekolah rendah lagi anak kedua saya, Nur Adina tidak begitu menyerlah dalam akademik, saya tidak mahu mengharapkan keputusan yang "sangat baik" apatah lagi "cemerlang" dalam peperiksaan SPMnya. Namun sebagai ibu saya sentiasa mendoakan yang terbaik untuk semua anak-anaknya.

Saya memberikannya semangat dan kekuatan. Namun saya tidak pernah memintanya mendapatkan banyak "A". Saya tidak mahu memberikannya tekanan.

Sebagai ibu, saya tidak lupa untuk berdoa memohon ke hadrat Allah semoga anak-anak saya mendapat kejayaan. Saya dan hb bergilir-gilir mengambil cuti untuk menghantarnya ke sekolah semasa menduduki peperiksaan SPM. Malah ketika saya tidak dapat bercuti dan pada masa yang sama hb pula out-station, kakaknya Fara mengambil cuti sehari untuk menghantar dan mengambil Nur Adina.

Hari ini bila keputusan SPM diumumkan, saya melepaskan Nur Adina dengan senyuman ikhlas. Hb mengambil cuti untuk menghantarnya ke sekolah.

Jam 12.00 tengahari bila Nur Adina sms saya dan memaklumkan keputusan SPMnya, saya rasa tidak percaya. Saya bersyukur kepada ALLAH kerana mengurniakan keputusan yang baik ini kepada anak saya. Memang bukan straight As, tetapi kepada kami keputusan ini memang di luar jangkaan. Malah yang melucukan, Nur Adina sendiri tidak percaya, berulang kali dia membaca nama yang tertera di atas slip.

Sekali lagi SYUKUR ALHAMDULILLAH.

Malam ini kami makan sate Hj Samuri di Bangunan Dato' Nazir, sebelah Stadium Kajang. Kebetulan dah lama juga kami tidak makan di sini.





Tuesday, March 20, 2012

Seronok ke bila anak-anak dah besar?

Tengahari ini saya terjumpa seorang teman lama. Biasalah emak-emak....bila jumpa tak ada cerita lain melainkan cerita pasal anak-anak. Teman lama ni pun dulu memang sangat rapat dengan saya, semasa kami sama-sama bertugas dalam satu jabatan, berbelas tahun dulu. Saya dianggap seperti kakaknya sementelah dia tiada kakak. Punyalah rapatnya dia dengan saya sehingga anak sulungnya dinamakan seperti nama anak sulung saya yang ketika itu sudah berusia 6 tahun.

Sedang kami berbual, datang seorang teman lain. Selepas mendengar topik yang sedang kami bualkan, dia berkata : "Seronoknya anak-anak dah besar! Saya ni masih sibuk nak beranak!" Jawab saya : "Tunggulah dulu. Akak pun dulu anak kecik je. Sekarang ni baru merasa anak-anak dah besar."


"Seronok kan anak-anak dah besar?" soal kawan tadi.

"Memanglah seronok, kena pulak anak perempuan. Paling seronok boleh pergi jalan sama-sama, shopping ke, tengok wayang...".

Memang seronok! Dulu masa Fara belum ada lesen, kami keluar menaiki bas atau LRT. Kerap saya ambil cuti setengah hari untuk berjalan-jalan dengan Fara masa dia cuti daripada kuliah. Kami meluangkan masa bersama dengan makan-makan atau menonton wayang. Kadang-kadang shopping.

Bila Fara dah ada lesen, lagi la panjang langkah kami. Hb tidak pernah menghalang, malah suatu kelebihan pula buatnya yang tidak perlu menemankan saya berlama-lama memilih dan membeli pakaian.

Tetapi betul ke satu keseronokan bila anak-anak dah besar? Yang berbeza, anak-anak boleh menguruskan diri sendiri, boleh tolong emak buat kerja rumah, boleh ditinggalkan di rumah bila saya keluar bekerja.

Tanggungjawab emak terhadap anak-anak semakin besar sebenarnya. Bukan mudah mengendalikan anak-anak remaja. Bukan keperluan makan pakai sahaja, banyak lagi yang perlu diberi perhatian.

Kewajipan anak-anak terhadap suruhan agama antara perkara penting yang perlu saya perhatikan. Memang beruntung kalau mempunyai anak-anak yang baik. Tetapi kalau sebaliknya, bukanlah diri tidak beruntung tetapi satu dugaan dan cabaran yang amat besar untuk mengatasinya.

Siapa tidak mahu memiliki kehidupan yang sempurna? Tetapi bukan semudah bercakap. Kekadang di mata orang, hidup kita bagaikan cukup serba-serbi. Bagaikan tidak ada cacat celanya. Hanya yang empunya diri saja yang mengetahuinya.

Saya tidak mahu terlalu memikirkan masa depan anak-anak. Apa yang saya buat sekarang adalah memberi panduan, bimbingan kepada mereka, memberitahu apa yang salah dan tidak patut dilakukan....dan berbagai perkara lagi...

Apa yang pasti dan saya amat yakin sekali, sebagai ibu, selagi ada hayat, selagi itulah kita akan mengambil tahu dan mengambil berat hal mereka. Sekalipun bila anak-anak telah ada kehidupan sendiri, emak tidak akan "melupakan" mereka. Percayalah, tidak ada ibu yang boleh tidur lena selagi anak-anaknya tidak bahagia...

Dan saya juga tidak menafikan, akan ada anak-anak yang melupakan...mengabaikan ibubapa mereka bila telah ada kehidupan sendiri. Ada anak-anak yang lupa untuk mendoakan ibubapa mereka, tetapi ibubapa tidak pernah lupa mendoakan kebahagiaan anak-anak....