Ketika Nadia diserang cacar air, ramai yang mengatakan akan ada adik-beradik lain yang akan mendapat penyakit yang sama. Saya sendiri memikirkan perkara yang sama.
Dan....selepas hampir dua minggu Nadia mendapat cacar air, Farah mula demam. Dia tidak memberitahu saya. Kebetulan saya sangat letih. Saya memintanya masak untuk makan malam. Bila melihat salah satu hasil masakannya, saya menegur Farah.
Saya menegurnya untuk kali kedua dan saya tahu Farah berkecil hati. Silap saya juga, sepatutnya saya memberitahu cara memasak yang betul, bukan merendahkan hasil masakannya.
Seperti selalunya, Farah jarang makan malam. Alasannya dia baru makan sebelum saya sampai di rumah, biasanya jam 5 petang dia akan makan.
Malam tu dia berkurung saja di biliknya. Saya mengandaikan dia merajuk dengan saya dan saya hanya membiarkan.
Esoknya, pulang dari kerja, Farah memberitahu yang badannya ditumbuhi bintik-bintik merah. Sah la yang Farah mendapat cacar air. Lepas makan malam saya dan hb membawanya ke klinik.
Tengahari Jumaat 14 Jun 2013, Farah sms memberitahu yang Danial baru menelefonnya. Dia demam hari Rabu dan Khamis (sama seperti Farah) dan pagi Jumaat tu baru dia menyedari ada bintik-bintik merah di muka dan badannya. Warden asrama akan membawanya ke klinik selepas solat Jumaat dan sekiranya dia disahkan menghidap cacar air, maka saya perlu membawanya pulang ke rumah.
Petang itu dari pejabat saya dan hb terus ke asrama Danial untuk membawanya pulang.
Antara Farah dan Danial, nampaknya Farah yang lebih teruk keadaannya. Mukanya penuh dengan bintik-bintik merah sehingga rupanya menjadi lain. Di kelopak mata pun ada malah di dalam mulut lagi banyak. Keadaan ini membuatkan mulutnya merasa pedih, tekaknya sakit dan sukar untuk menelan makanan.
Jika Nadia sebelum ini masih berselera untuk makan, begitu juga dengan Danial. Danial juga masih boleh ketawa dan berjam-jam menghadap komputer, sedangkan Farah hanya terbaring kelesuan.
Tugas saya....sebagai emak, tentulah menjadi tanggungjawab saya memastikan hidangan yang disediakan sesuai dengan keadaan mereka yang tidak sihat. Tidak ada telur, tidak ada ikan yang 'gatal' dan tidak ada makanan laut. Begitu juga dengan kicap, salah satu kepantangan untuk penghidap cacar air.
Untuk Farah saya masakkan bubur nasi. Kesukarannya untuk menelan makanan membuatkannya tiada pilihan untuk makan selain bubur. Saya gorengkan ayam dan siat kecil-kecil.
Saya juga memberi mereka minum air kelapa. Orang kata untuk 'mengeluarkan' semua cacar yang ada.
Nampaknya anak kedua saya Adina, yang jauh di Seri Iskandar, Perak masih selamat.
Menariknya dua hari lepas, seorang rakan sepejabat bercerita.... Dalam satu masa akan hanya tiga ahli keluarga yang diserang cacar air. Tidak akan berlaku lebih daripada jumlah itu. Maknanya ahli keluarga lain yang belum pernah mendapat cacar air tidak akan mendapat penyakit itu dalam tempoh masa yang sama.
Kalau pendapat ini benar, Adina tidak akan mendapat cacar air pada masa ini.
No comments:
Post a Comment