7 Januari 2013
Sekitar jam 10 pagi telefon bimbitku berbunyi. Tertera nombor +60111........ Aku tidak menjawab panggilan itu, sebab nombor itu sekali pandang kelihatan agak pelik. Tidak berapa saat kemudian ianya berbunyi lagi, nombor yang sama. Memandangkan aku sedang kalut dengan tugasan pejabat, sekali lagi aku abaikan panggilan itu, namun segera aku menghantar sms : "Siapa ni?". Aku tidak perlu menunggu lama untuk mendapat balasan : "Seorg yg dtg dr jauh bu. sy rizqon. betul ke ni ibu nuril..?"......... Aduh!! Aku sangat terharu dan seakan mahu menitis airmataku.
Aku mengamati semula nombor telefonnya. Hmm...nombor Malaysia rupanya, cuma bermula 4 digit di depannya, tidak seperti kebiasaan, 3 digit.
Walau hati terlonjak kegirangan, aku tidak segera menghubunginya. Pastinya tugas yang sedang aku depani ini memerlukan tindakan segera. Aku menghantar sms lagi sekali : "Riz ada di Msia ya?"... dan jawapannya : "ya bu, ada di msia ni."
Selang beberapa minit kemudian, aku terus menghubunginya. Dua kali panggilanku tidak mendapat jawapan. Aku menyambung tugasanku, kemudian turun pula menghantar dokumen ke bank di tingkat bawah. Bila aku naik semula ke tempatku, ada dua missed call daripada Riz. Aku terus menelefonnya. Lunak suaranya menjawab salamku.....
Selepas berbulan-bulan tidak mendengar suaranya, berbulan-bulan juga Riz tidak menjawab pesanan di facebook, aku seakan terpaksa merestui kehilangannya. Memang sangat sedih. Aku hanya mampu membaca coretannya di fb, itupun hanya sesekali dia mengemaskini laman sosial tersebut.
Akhirnya kami menetapkan waktu untuk bertemu. Rabu 9 Januari, selepas Maghrib.
Tiba hari yang dijanjikan, beban tugasku masih belum selesai sekalipun waktu sudah menghampiri jam 5.15 petang. Aku hanya mampu keluar dari pejabat jam 6.20 petang. Hujan yang turun sekitar jam 5 petang tadi, walaupun hanya sekejap dan tidak lebat mana pun, seperti biasa akan membuatkan jalanraya di KL ini lebih sesak daripada biasa.
Aku pasrah dan sempat menghantar sms kepada Riz..."mungkin ibu datang jumpa Riz dalam jam 9 malam. Jalan macet...entah jam berapa ibu boleh sampai di rumah."
Aku serba salah bila Riz menjawab : "Bu, kalau awal sikit boleh tak ibu?"
YA ALLAH, Kau permudahkanlah perjalanan kami ini. Kau restuilah hajatku untuk bertemu anak yang datang dari jauh.... Akhirnya, sebaik habis azan Maghrib berkumandang di radio, aku dan suami telah sampai di depan rumah.
Tanpa mandi dan bertukar pakaian, kami terus saja menunaikan solat Maghrib. Dengan ditemani anak bujangku, Muhammad Danial, kami menuju ke Sungai Ramal Dalam untuk bertemu dan mengambil Riz.
Riz kelihatan tidak sabar-sabar dan terus memeluk suamiku sebaik kami turun daripada kereta. Ohh...aku pun sangat merindukannya. Selepas bertemu buat pertama kali dan berkenalan sewaktu menunaikan umrah pada Mei 2010, baru inilah aku dapat bertemu Riz semula. Ketika umrah itulah, masing-masing saling mengenali dan ramai di kalangan jemaah yang begitu senang dengan layanan Ustaz Rizqon sebagai mutawif. Ramai di antara kami terutama yang seusia denganku telah menganggap Riz sebagai anak dan Riz dengan gembiranya memanggil kami dengan panggilan ibu atau mak dan meneruskan ikatan silatulrahim menerusi laman sosial facebook selain sering juga berhubungan melalui emel dan telefon.
Riz telah usai kuliahnya di Makkah. Selepas bercuti di kampung halamannya di Indonesia, dia singgah di Malaysia sebelum kembali semula ke Makkah pada 11 Januari 2013 untuk bekerja sementara. Riz berhasrat untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana di Malaysia pula.
Kalau sebelum ini aku dan suami telah berbincang untuk membawa Riz makan di restoran kegemaran kami, entah apa nasib kami, kedua-dua restoran berkenaan tutup pula. Memang hampa sungguh! Dalam tercari-cari di mana tempat yang sesuai, akhirnya kami masuk ke sebuah restoran yang "terbuka". Walaupun kami biasa makan di sini dan makanannya juga sedap, sebenarnya kami mahu tempat yang lebih selesa untuk Riz dan temannya.
Selama beberapa hari ini terbelenggu dan tertekan dengan tugas-tugas di pejabat, aku tidak punya masa untuk memikirkan tempat pertemuan kami, sedangkan di Bandar Baru Bangi ini begitu banyak restoran, yang mewah, yang sederhana dan yang biasa, malah tidak terfikir pun untuk membawa Riz menikmati sate Kajang Hj Samuri!
Maafkan ibu Riz kerana tidak meraikan kamu dengan sebaiknya.....
(Maaf juga sebab gambarnya tidak begitu "cantik"....Ibu belum biasa mengambil gambar menggunakan tab. Bukan tab yang bersalah tapi yang mengambil gambar....!)
|
Kawan Riz yang tinggal di Kajang |
|
Riz
memang pandai mengambil hati. Muhammad Danial pun jadi ringan mulut
untuk berbual-bual dengan Riz. Tapi teman Riz ini sangat pendiam.
Barangkali segan baru pertama kali bertemu. |
|
Inilah kali pertama suamiku bertemu dengan Riz. Di depan rumah teman Riz, rumah yang Riz menginap setiap kali datang bercuti di Malaysia. |
Rupanya Riz ada temujanji dengan temannya jam 10.30 malam. Mujur kami sempat menghantar Riz pulang awal. Sewaktu kami menyambung perbualan di depan rumah, temannya sampai jam 10.26 malam.
Riz, semoga ada jodoh untuk kita bertemu lagi, kalau tidak di Makkah, tentunya di Malaysia.
Hari Riz dijadualkan terbang semula ke Makkah, hatiku dirundung sayu. Sedari pagi aku teringat-ingat padanya, terdengar-dengar suara Riz yang lembut, teringat lawak jenakanya.... Betapa aku mengasihinya bagaikan anakku sendiri....Kalau dulu aku teringin sekali anak lelakiku menjadi tahfiz, menjadi anak yang mencintai masjid dan ianya tidak menjadi kenyataan, cukuplah ALLAH mendatangkan Riz untuk kami. Walaupun hanya seketika, kenangan itu sangat bermakna kepadaku.
Dengan hati yang sendu, aku cuba menghubungi Riz, namun panggilanku tidak berjawab. Barangkali Riz sibuk kerana aku telah dimaklumkan dia akan terbang dengan membawa bersamanya jemaah umrah daripada Andalusia Travel.
Aku hanya sempat menitipkan doa melalui sms.
.