Sunday, January 1, 2012

Institut Jantung Negara, 3 - 16 Disember 2011

Bahagian 4

Kasih sayang tidak boleh dijual beli

12 Disember 2011

Tengahari ini ketika saya sedang berehat-rehat di wad, saya menerima sms daripada adik lelaki saya K, bertanyakan waktu melawat di IJN.

Sekitar jam 3.30 petang K muncul di depan pintu bilik. Sebelum ini dua-tiga kali saya berpesan pada K agar tidak perlu merasa risau akan keadaan hb. Saya tidak mahu K bersusah-payah datang dari kampung untuk menziarahi hb memandangkan K tidak begitu mahir dengan KL, lebih-lebih lagi jika datang dengan menaiki bas.

Inilah yang dinamakan kasih-sayang dan pertalian persaudaraan. Kesanggupan K bertolak seawal pagi dari kampung dengan menaiki bas dan tersangkut 2 jam di Klang untuk menyambung perjalanan ke KL amat menyentuh hati saya. Bayangkan perjalanan dari kampung ke KL, jika menaiki kereta sendiri hanya mengambil masa satu setengah jam.

Saya tidak sanggup bertanya bagaimana adik sampai ke IJN ini. (Pernah sebelum ini adik berjalan kaki dari Hentian Klang, KL ke Hospital Kuala Lumpur untuk melawat emak dengan alasan tidak tahu untuk menaiki pengangkutan awam, selain teksi. Saya sendiri setelah sekian lama tidak menaiki bas, tidak tahu bas apa yang perlu dinaiki untuk ke satu-satu tempat. Memang di depan setiap bas akan dinyatakan arah tuju destinasi bas berkenaan, malah kalau kita kurang pasti, boleh bertanya kepada pemandu bas ataupun orang awam. Tetapi saya selalu tidak begitu yakin dengan cara begini. Saya takut tersesat.)

Setelah berbual beberapa minit, K memohon diri untuk pulang semula ke kampung. Apa yang saya kesalkan, saya tidak membantu adik untuk memudahkan perjalanannya, saya tidak memberi panduan supaya adik mengambil teksi sahaja.

Lewat malam itu saya menghubungi K dan dia memaklumkan telah selamat sampai di kampung sekitar jam 10 malam!



No comments:

Post a Comment