Saturday, May 29, 2010

Penyucian jiwa (Bahagian 1)

Tidak terfikir olehku sebelum ini untuk menunaikan umrah. Jangkaanku, aku hanya akan melakukan umrah apabila aku mengerjakan haji nanti. Aku memang sangat berharap untuk ke Makkah pada musim haji tahun 2010. Sejak awal tahun lepas aku telah merancangnya dan membuat persediaan dengan menghadiri kursus haji bersiri bersama suamiku.

Allah Yang Maha Bijaksana, Maha Mengetahui.....akhirnya membawa aku ke tanah suci Makkah & Madinah untuk mengerjakan umrah pada 11 Mei - 24 Mei 2010. Pintu hati yang tiba-tiba saja terbuka setelah melihat beberapa rakan menjejak kaki ke sana, ditambah dengan saranan Ustaz supaya mengerjakan umrah dahulu sebelum pergi menunaikan haji, ya, kepada sesiapa yang mampu.

Aku mula melayari laman web Andalusia Travel & Tours, dan berbincang dgn adik iparku, Jamaliah @ Jem dalam pemilihan tarikh, juga cuba menyesuaikan tarikh pemergian dengan tarikh "cuti bulanan" kami. Memandangkan kami pergi berdua, maka lebih mudah kami memilih tarikh yang sesuai dengan kami.

Rezeki datang dengan mudahnya, syukur Alhamdulillah. Kalau pada awalnya aku bercadang untuk mengeluarkan sedikit simpananku di Tabung Haji sebagai kos untuk ke sana, rupanya ada rezeki lain yang tiba di pangkuanku....mendapat bonus dan tunggakan gaji, yg jumlahnya melebihi dari kos yang diperlukan untuk menunaikan umrah.

Sebagai isteri pastinya aku mahu suami menyertaiku. Namun ALLAH belum memberi izin rupanya. Atas sedikit sebab yang tidak dapat dielakkan, aku perlu pergi tanpanya....namun dengan keizinannya.

Maka bermulalah perjalananku yang kumulai dengan doa yang tidak pernah putus, mohon dipermudahkan segala urusanku, urusan keluarga yang aku tinggalkan, juga urusan di tempat kerjaku.


No comments:

Post a Comment