Sunday, May 30, 2010

Penyucian jiwa (Bahagian 2)

11 Mei 2010

Pukul 11 pagi aku sudah berada di KLIA. Keempat-empat anakku turut sama menghantarku dengan tiga daripadanya ponteng sekolah!

Ketika pihak Andalusia mengarahkan kami untuk memasuki balai berlepas, aku terasa sangat hiba......belum pernah aku berjauhan dengan anak-anakku untuk tempoh yang lama seperti ini. Aku tahu anak-anakku juga sedih. Anak bongsu Jem yang berusia 3 tahun meraung-raung......bertambahlah sedih di hati kami.....


Kapalterbang Saudi Airlines berlepas pukul 3 petang. Aku harus mengaku yang aku agak takut menaiki kapalterbang, namun demi perjalanan yang sangat berharga ini, aku lupakan semua ketakutan itu. Aku duduk berdua bersama Jem, ya, sekurang-kurangnya aku ada teman untuk mengurangkan kengerianku...

Kami cuba untuk melelapkan mata, namun tidak berhasil. Barangkali adalah dua puluh minit kami terlelap, terjaga semula, berbual-bual, melihat pemandangan di luar.... Kemudian berbincang tentang doa-doa yang akan dipohon di sana. Meskipun aku telah membuat persiapan, namun tidak menyediakan doa dengan lebih teratur. Lalu aku dan Jam sama-sama mengeluarkan buku nota.....mulai menulis doa-doa yang perlu kami pohon dari ALLAH SWT.

Hidangan pertama, sejam setelah berlepas....

Pemandangan dari udara

Memandangkan waktu di Arab Saudi lambat 5 jam dari waktu Malaysia, sudah pasti menunggu gelap amat lambat sekali. Selepas 6 jam terbang, cuaca di luar masih cerah dan panas terik........

Hidangan kedua...

Kami mengikuti maklumat yang terpapar di skrin kecil di depan kami....Lagi 1 jam akan sampai di Jeddah........kenapa tiada pengumuman supaya berniat ihram? Takkan Ustaz Daud memberi maklumat yang salah? Akhirnya aku berbincang dengan Jem dan terus berniat....bukankah lebih awal itu lebih baik daripada terlepas ?

Rupanya kapalterbang transit di Riyadh....mengambil barang, mengambil penumpang........dan mengisi minyak juga barangkali....Selepas hampir 1 jam setengah, barulah kami meneruskan perjalanan. Tak lama kemudian pengumuman pun dibuat untuk berniat ihram....Ustaz Daud tak bersalah, cuma kami yang tidak tahu kapalterbang akan singgah di Riyadh........

Lebih kurang pukul 7.30 malam waktu Arab Saudi, kapalterbang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah.

Kami menghabiskan masa yang agak lama di sini kerana pemeriksaan yang ketat oleh petugas, ditambah dengan ramainya jemaah yang sampai dari negara-negara lain pada masa yang sama. Melihat kepada ketegasan petugas tersebut, timbul juga kegusaran di hati, apatah lagi kami tidak ditemani muhrim. Terdengar di telinga kami orang bercakap dan bertanya tentang mahram........

Di Lapangan Terbang King Abdul Aziz Jeddah

Sampai giliranku, dengan sopan aku mengucapkan salam.........dan alangkah bersyukurnya, petugas berkenaan (yang kukira berusia dua puluhan) melayanku dengan sangat baik, dengan senyuman dan sedikit gurauan dan melepaskan aku tanpa mengambil gambar dan cap jari, sedangkan sebelum itu aku perhatikan jemaah-jemaah dari negara lain di depan kami melalui proses tersebut. Begitu juga dengan Jem, cukup dengan hanya melihat paspot dan slip perjalanan....

Kami menaiki bas untuk ke hotel di Makkah. Di sini kami diperkenalkan dengan mutawwif kami, Ustaz Rizqon Saleh. Masih muda dan masih belajar lagi, orang Indonesia. Ustaz mengingatkan kami tentang lafaz niat ihram.

Dalam perjalanan, Ustaz mengajak kami bertalbiah..........Rasa sayu meresap ke hati...

Sampai di Hotel Abeer, kami diberi masa selama 1 jam untuk naik ke bilik, membersihkan diri, berwuduk dan memakai pakaian ihram. Sebahagian besarnya telah memakai pakaian ihram dari rumah lagi. Ustaz akan membimbing kami melakukan umrah yang pertama.



Saturday, May 29, 2010

Penyucian jiwa (Bahagian 1)

Tidak terfikir olehku sebelum ini untuk menunaikan umrah. Jangkaanku, aku hanya akan melakukan umrah apabila aku mengerjakan haji nanti. Aku memang sangat berharap untuk ke Makkah pada musim haji tahun 2010. Sejak awal tahun lepas aku telah merancangnya dan membuat persediaan dengan menghadiri kursus haji bersiri bersama suamiku.

Allah Yang Maha Bijaksana, Maha Mengetahui.....akhirnya membawa aku ke tanah suci Makkah & Madinah untuk mengerjakan umrah pada 11 Mei - 24 Mei 2010. Pintu hati yang tiba-tiba saja terbuka setelah melihat beberapa rakan menjejak kaki ke sana, ditambah dengan saranan Ustaz supaya mengerjakan umrah dahulu sebelum pergi menunaikan haji, ya, kepada sesiapa yang mampu.

Aku mula melayari laman web Andalusia Travel & Tours, dan berbincang dgn adik iparku, Jamaliah @ Jem dalam pemilihan tarikh, juga cuba menyesuaikan tarikh pemergian dengan tarikh "cuti bulanan" kami. Memandangkan kami pergi berdua, maka lebih mudah kami memilih tarikh yang sesuai dengan kami.

Rezeki datang dengan mudahnya, syukur Alhamdulillah. Kalau pada awalnya aku bercadang untuk mengeluarkan sedikit simpananku di Tabung Haji sebagai kos untuk ke sana, rupanya ada rezeki lain yang tiba di pangkuanku....mendapat bonus dan tunggakan gaji, yg jumlahnya melebihi dari kos yang diperlukan untuk menunaikan umrah.

Sebagai isteri pastinya aku mahu suami menyertaiku. Namun ALLAH belum memberi izin rupanya. Atas sedikit sebab yang tidak dapat dielakkan, aku perlu pergi tanpanya....namun dengan keizinannya.

Maka bermulalah perjalananku yang kumulai dengan doa yang tidak pernah putus, mohon dipermudahkan segala urusanku, urusan keluarga yang aku tinggalkan, juga urusan di tempat kerjaku.


Saturday, May 1, 2010

Majlis Konvokesyen Mohd Dinul Syamil - UUM 28 Mac 2010

28 Mac 2010 - Hari konvokesyen Syamil di UUM.

Jarak yang begitu jauh tidak memungkinkan saya untuk menghadirkan diri. Saya hanya mengucapkan tahniah melalui sms.

Tahniah Syamil dan terima kasih kerana sudi berkongsi kegembiraan dengan memberikan kepada ibu gambar-gambar sekitar majlis gemilang ini.


Syamil di kelilingi mak, mak saudara dan ahli keluarga yang lain.