Sunday, March 4, 2012

Kembara ke Pulau Jawa, Indonesia - 4

23 Februari 2012

Jam 7 pagi kami bergerak ke Telaga Ngebel, sebuah kawasan perbukitan. Perjalanan memakan masa 45 minit.

Memandangkan tengahari nanti kami akan ke rumah Kak Misiam untuk majlis tahlil, saya dan Yah memakai baju kurung, jadi kami tak perlu menukar pakaian kerana bimbang tidak ada kesempatan.

Wah, pemandangan yang sangat menarik! Walau pun tidak sama seperti yang digambarkan oleh pemandu van sebelum ini, namun kami tetap berpuas hati. Kami duduk sebentar sambil makan kacang goreng yang banyak dijual di situ. Oleh kerana hari masih sangat pagi, tasik ini belum dikunjungi orang ramai kecuali kami berenam. Tetapi beberapa orang penjual sudah mula berjualan.

Kami memesan dua biji kelapa muda. Hmmm...nikmatnya makan isi kelapa muda. Teringat semasa kecil dulu saya sanggup mengait kelapa untuk makan isinya.


Tidak sampai 45 minit, kami meninggalkan tasik @ telaga Ngebel untuk check-out dan terus ke rumah kak Misiam. Destinasi kami selepas itu adalah untuk ke Surabaya. Memandangkan perjalanan ke Surabaya memakan masa agak panjang, kami perlu meninggalkan Ponorogo secepat yang boleh supaya kami boleh sampai ke Surabaya sebelum malam.

Ketika sampai di rumah kak Misiam, mereka sedang memasak. Bau ayam goreng begitu membuka selera kami. Seni membawa kami melihat kebun peninggalan Allahyarham datuk kami. Saling tak tumpah seperti kampung kami, yang membezakannya di sini ada sawah padi sementara di kampung kami ada ladang kopi.

Sawah padi dan kebun jagung di sebelah rumah Kak Misiam

Majlis tahlil kecil-kecilan ini bermula jam 12.30 tengahari, diketuai oleh imam surau yang juga ada pertalian persaudaraan dengan kami. Sesuatu yang berbeza dengan majlis doa selamat di tempat kami, di sini ada yang tidak menutup aurat, ada dua orang lelaki yang memakai seluar separas lutut. Wanitanya juga ada yang tidak bertudung. Mungkin di sini adalah perkara biasa.

Hidangannya hampir seperti nasi ambeng. Ayam yang digoreng seekor-seekor dipatahkan dan dibahagi kepada beberapa bahagian. Nasi juga dibahagi-bahagi dan diletak di atas daun palas yang saiznya sebesar dulang. Lauk akan diletak di atas nasi. Mereka menjamah sedikit makanan tersebut dan selebihnya dibungkus begitu saja tanpa perlu diikat atau dimasukkan ke dalam beg plastik untuk dibawa pulang ke rumah masing-masing.

Kami pula dihidangkan nasi di dalam pinggan. Ada kerabu dan sambal tempe, makanan tradisi masyarakat Jawa. Kak Misiam menghidangkan lauk istimewanya - kari ayam kampung, khas untuk kami! Alangkah sedapnya!! Tak sangka kakak sepupu kami ni handal memasak. Kami tanpa rasa malu, menambah nasi, tidak peduli pada mata yang memandang, sementelah perut tengah kelaparan.

Kak Misiam mahu membekalkan kami makanan untuk dimakan dalam perjalanan nanti. Kami terpaksa menolaknya memandangkan kami akan menaiki bas. Perjalanan pula jauh. Kalau disimpan untuk dimakan di hotel nanti, mungkin sudah basi.


Kami berkejar ke stesen bas Ponorogo menaiki van yang kami sewa. Seperti yang kami jangkakan, pemandu van meminta bayaran penuh, 400,000 rupiah, walaupun kami menggunakannya hanya beberapa jam.

Sampai di stesen bas, pemandu van membantu kami menunjukkan bas yang perlu kami naiki. Meskipun kami kurang berpuas hati dengan kerenah pemandu van tersebut, saya dengan rendah hati mengucapkan terima kasih kepadanya.

Bas bergerak tepat jam 2.05 petang. Pemandu bas memberitahu saya, perjalanan memakan masa empat jam setengah. Lega hati kami kerana sebelum ini kami dimaklumkan oleh pemandu van, perjalanan mengambil masa 6 atau 7 jam.

Selepas 1 jam perjalanan, saya dan Yah dihampiri oleh konduktor bas dan menanyakan asal kami. Bila saya menyatakan kami dari Malaysia, dia tersenyum girang dan menyebut nama Siti Nurhaliza! Usiknya lagi : bahasa yang kami tuturkan kedengaran begitu indah sekali!...




Kembara ke Pulau Jawa, Indonesia - 3

Di stesen bas Ponorogo kami diserbu oleh kumpulan pemandu teksi. Mereka cuba menarik beg kami untuk dibawa ke teksi mereka. Asakan dan paksaan daripada mereka membuatkan abang usu kepanasan. Kata abang usu kepada mereka : "Takpa, bagi kami duduk dan berbincang dulu."

Kami sedang bermesyuarat...

Akhirnya kami memilih sebuah van untuk disewa bersama pemandunya. Kalau ikutkan abang usu mahukan "Kijang" kerana saiznya yang besar, tetapi tidak ada "Kijang" di sini. (Kijang adalah gantinama kepada Toyota Innova).


Van ini memang sempit, ditambah dengan seorang lagi teman kepada pemandu.....Sesak nafas dibuatnya, namun kami sudah tidak ada pilihan. Lebih mengharukan apabila pemandu van menghisap rokok....

Abang usu minta dibawa ke hotel yang ada kemudahan kedai makan dan berdekatan dengan masjid. Lalu kami dibawa ke hotel Kencana Dewi, Ponorogo. Seperti sebelumnya, kali ini kami menyewa 2 bilik juga dengan kadar sewanya 145,000 rupiah sebilik - RM50.

Kaklong kepenatan....hehehe...

Berbincang dengan pemandu van sewa untuk program seterusnya

Selepas check-in, kami makan tengahari. Kedua-dua pemandu van juga kami ajak makan sekali, cuma mereka mengambil meja yang berlainan, mungkin kerana mereka mahu merokok. Saya memilih ayam penyet bakar dan pilihan saya diikuti oleh dua adik saya. Kos untuk makan 8 orang cuma 134,000 rupiah!! Sangat murah...berbaloi-baloi....

Selepas makan, kami berehat sebentar di bilik hotel.

Jam 1.30 kami memulakan misi kami untuk jejak kasih. Berpandukan alamat yang dibawa oleh wak dan ditambah dengan daya ingatan adik K yang pernah ke sana 12 tahun lalu, kami memulakan perjalanan. Pemandu van menjangkakan masa yang diambil adalah 1 jam. Namun baru melepasi setengah jam perjalanan, K menjerit kecil : eh, macam dah terlepas la! Van berundur sedikit. Abang usu turun dan menuju ke sebuah rumah, bertanyakan tentang orang yang ingin kami temui.

Benarlah, kami telah menjumpai kampung yang kami cari. Kami bergerak ke dalam sedikit melalui sebuah lorong yang agak sempit. Di situ kami terserempak dengan seorang wanita dan K segera menegurnya. Reaksi kegembiraan terpancar di wajah wanita itu. Namanya Seni. Seni menjemput kami masuk ke rumah. Rumah yang luas tapi kosong, nampak seperti mahu dibesarkan tetapi belum siap berdinding. Seni membentang tikar mengkuang dan mempelawa kami duduk.

Rupanya Allahyarham emak ada 6 adik-beradik, di mana lima daripadanya termasuk emak telah dibawa masuk oleh nenek ke Malaysia pada zaman Jepun dahulu. Anak kedua nenek yang bernama Kasran tinggal di Indonesia bersama bapanya Haron, datuk kami. Kasran, bapa saudara kami itu mempunyai beberapa orang anak yang merupakan sepupu kami. Seni adalah isteri Parmun, anak kedua kepada Pak Kasran.

Kehidupan Seni begitu sederhana, malah nampak kekurangan dari segi material. Tidak kelihatan barangan elektrik seperti kipas angin atau pun tv. Cuaca yang berbahang di luar membuatkan kami berpeluh-peluh.

Kemudian Seni mengarahkan anaknya memanggil saudara kami yang lain. Tidak lama kemudian seorang wanita yang saya kira berusia beberapa tahun tua daripada kaklong, datang menyapa kami. Rupanya dia adalah anak sulung kepada Pak Kasran. Namanya Misiam. Berseluar separas lutut dan ber-tshirt agak lusuh, suara dan gaya bertuturnya persis mak saudara kami yang berada di Malaysia. Lebih-lebih lagi beliau menghisap rokok, caranya membuang habuk rokok juga mengundang tawa saya dan Yah. Saling tak tumpah seperti Wak Katiam, mak saudara kami yang sudah menjadi arwah tiga tahun selepas pemergian emak.

Saya tidak dapat memaparkan gambarnya di sini memandangkan Kak Misiam tidak menutup auratnya. Biarlah saya sebagai saudaranya menjaga kehormatannya.

Selang beberapa minit kemudian, datang pula seorang lelaki yang hampir seusia Wak Mubarak. Saudara kami juga. Lama kami bersembang dan kaklong meminta saya mencatatkan nama-nama sepupu kami, juga anak-anak saudara kami. Ramai di antara mereka bekerja di Malaysia, sehinggakan saya terfikir, barangkali kami pernah terjumpa dengan mereka di mana-mana tetapi tidak mengenali di antara satu sama lain.

Menurut Seni dan Kak Misiam, rata-rata mereka bekerja di ladang kelapa sawit, bukan menjadi buruh binaan.

Kak Misiam mengajak kami singgah ke rumahnya. Rumah yang agak besar dan sempurna. Ada sawah padi di sebelah rumah! Di sekeliling rumah dipenuhi dengan tumbuhan hijau. Ada kolam ternakan ikan keli.

Kami menyeberangi parit besar ini untuk ke rumah kak Misiam

Di sini kami berbincang untuk mengadakan sedikit majlis tahlil keesokannya dengan perbelanjaan ditanggung oleh kami.

Kami pulang ke hotel. Di tengah perjalanan pemandu van singgah di stesen minyak dan meminta abang usu membayar harga minyak yang diisi.

Sampai di hotel jam 6 petang. Setelah berbincang dengan pemandu van untuk keluar makan malam jam 7 nanti, kami mahu terus berlalu masuk ke bilik kami. Tiba-tiba pemandu van memanggil kami dan meminta kami melunaskan bayaran sewa sebanyak 400,000 rupiah. Kami keliru sebab ketika perbincangan awal kami, tempoh penyewaan adalah 24 jam, bermula di stesen bas Ponorogo jam 11 pagi.

Pemandu van menjelaskan yang mereka perlu mendaftar masuk @ merekodkan pemulangan van. Selepas itu dia boleh lagi memandu van tersebut untuk membawa kami keluar makan malam dan bersiar-siar atas sebab minyak yang diisi masih berbaki lagi. Upah membawa kami, terpulang atas budi bicara kami. Kami merasa diperdayakan, tetapi saya melihat wajah pemandu van itu menjadi sedikit bengis, seolah-olah tidak mahu berkompromi.

Dalam keadaan kami memerlukan van untuk ke rumah Kak Misiam esoknya, abang usu menyerahkan wang RM400,000 kepada lelaki itu. Pesan kami, jangan bawa kawan untuk mengambil kami nanti sebab van itu terlalu kecil untuk diisi 8 orang.

Kami berkumpul di lobi hotel dan berbincang tentang penyewaan van itu untuk program keesokannya. Dalam rasa tak puas hati, kami bersepakat untuk menggunakan khidmat pemandu van yang sama esoknya.



Kembara ke Pulau Jawa, Indonesia - 2

22 Februari 2012. Selepas bersarapan di hotel (menu : nasi rames), kami terus ke stesen bas yang terletak bersebelahan hotel penginapan kami. Hujan agak kasar. Kami tergesa-gesa berjalan sambil menarik beg masing-masing sehingga saya terlupa untuk merakam gambar nama stesen bas tersebut...Memandangkan nama stesen bas itu hanya sempat saya lihat sekali sahaja ketika saya turun dari teksi malam semalam, agak sukar untuk saya mengingatinya.

Hari inilah misi utama kami! Menjejak saudara kami yang tidak pernah saya lihat sejak dari kecil, kecuali adik saya, K yang pernah ke sana pada tahun 2000.

Tiada bas terus dari bandar Surakarta ini untuk sampai ke Ponorogo. Kami perlu bertukar bas di stesen Madiun nanti.

Bas bergerak tepat jam 6.30 pagi waktu Indonesia. Hmm...pengalaman pertama menaiki bas di Indonesia! Di sepanjang perjalanan, bila bas berhenti untuk mengambil dan menurunkan penumpang, akan ada orang yang naik ke dalam bas dan menjual barangan kecil untuk kudapan seperti kekacang. Tidak ketinggalan yang sangat popular - asam halia atau dipanggil jeruk jahe. Mereka akan menghulurkan barang jualan mereka ke tangan penumpang atau meletakkan terus di atas riba sekiranya penumpang tidak menyambut huluran mereka. Selepas habis sampai ke penumpang paling belakang, penjual ini akan bergerak ke depan semula. Mereka akan mengutip wang jualan atau mengambil semula barang jualan itu sekiranya penumpang tidak mahu membelinya.

Kadang-kadang ada anak-anak muda yang menaiki bas dan menyumbangkan suara sambil bermain sejenis alat muzik seperti gitar. Selepas menyanyikan dua atau tiga lagu, mereka akan mengutip duit daripada penumpang bas. Dari apa yang saya perhatikan, hal ini sudah menjadi satu kebiasaan. Pemandu bas tidak akan menghalang mereka menjalankan aktiviti masing-masing dan juga tidak mengenakan tambang. Mereka akan turun selepas habis menyanyi dan berjualan.

Sepanjang perjalanan, kami (saya duduk dengan Yah) tidak melelapkan mata kerana ingin melihat dan menikmati pemandangan di luar sana. Solo atau juga dikenali dengan nama Surakarta adalah tempat asal Allahyarham bapa kami.

Kami sampai ke Madiun pukul 9.30 pagi, bermakna perjalanan kami mengambil masa 3 jam. Turun daripada bas, kami terus mencari bas untuk ke Ponorogo pula. Bas bersaiz seperti bas mini di Malaysia ini agak uzur.

Tambang bas hanya 5000 rupiah dan pelekat mengenai harga tambang ditampal begitu besar di sepanjang dinding dalam bas. Sebelum ini kami telah bersetuju abang usu yang akan menguruskan semua bayaran dan kami akan membayar kepadanya kemudian. Namun belum sempat abang usu mengeluarkan duit untuk membayar harga tiket, Wak Mubarak begitu pantas mengeluarkan 2 keping not 100,000 rupiah. Konduktor terus mengambil wang tersebut dan memberitahu wak, tambang bas adalah 10,000 rupiah untuk seorang. Alasan yang diberi - ini adalah harga baru. Dan tanpa mengembalikan wang baki 40,000 konduktor bas itu berlalu begitu saja. Saya yang duduk di bangku sebelah mengandaikan dia belum ada wang kecil untuk mengembalikan bakinya.

Abang usu tidak berkata apa-apa. Dia telah memberitahu wak yang dia akan menguruskan semuanya, jadi bila wak masih mahu juga membayar sendiri, abang usu membiarkan saja. Masakan nak bertelagah dengan orang tua?

Tak sampai 5 minit, wak bertanya pada abang usu, kenapa konduktor bas belum lagi mengembalikan wangnya. Dengan berat hati abang usu bangun dan mendapatkan konduktor bas tersebut. Saya kira usianya baru awal dua puluhan.

Abang usu tidak mahu mempertikaikan harga tambang yang "naik" 100 % secara tiba-tiba. Abang usu cuma meminta wang baki 40,000 rupiah. Tempat orang, tak mahulah mencari gaduh. Bila turun daripada bas, abang usu "menasihatkan" wak supaya lebih berhati-hati selepas ini dan menyerahkan urusan pembayaran kepadanya.

Sebenarnya saya dan Yah juga "marah" pada wak kerana tidak mendengar pesanan daripada abang usu. Saya tahu wak tidak bersalah, wak mahu menggunakan wangnya memandangkan sejak tiba semalam, belum sesen pun wang wak dibelanjakan.




Saturday, March 3, 2012

Kembara ke Pulau Jawa, Indonesia - 1

Kala kaklong menziarahi hb di IJN hujung tahun lepas, kaklong ada menyatakan hasratnya untuk melawat saudara kami sebelah emak yang berada di Jawa Timur. Kaklong mempelawa saya untuk turut serta. Saya terus setuju. Namun bukanlah 'melawat saudara' yang menjadi tarikan utama, sebaliknya adalah disebabkan saya teringin nak melancong luar dari Malaysia. Lagipun sejak lahir hinggalah usia saya setengah abad ini, saya tidak pernah terfikir yang saya masih ada saudara rapat di Jawa.

Beberapa hari sebelum berangkat, hati rasa tidak gembira. Pastinya disebabkan saya terpaksa meninggalkan anak-anak bersama hb. Kasihan pada anak-anak kerana tidak membawa mereka bercuti bersama. Bukan sengaja saya meninggalkan mereka, tetapi percutian ini lebih kepada "pencarian". Rasanya lebih sesuai pemergian ini hanya melibatkan saya dan adik-beradik, kerana bukan masanya untuk bersantai-santai. Hb sendiri menolak bila saya mempelawanya untuk turut serta.

Untuk memujuk hati yang rawan, saya berjanji dengan anak-anak yang saya akan membawa mereka bercuti ke Indonesia selepas ini. Bukan janji kosong, sebaliknya saya memang bersungguh-sungguh akan melaksanakannya, hanya bergantung pada kelapangan kami semua.

Perjalanan kami bermula pada 21 Februari 2012. Kami pergi berenam dengan satu-satunya adik-beradik emak yang masih hidup, iaitu Wak Mubarak, kaklong dan suaminya - Abang Usu, saya, adik lelaki saya, K dan adik bongsu saya Yah.

Kami menaiki kapalterbang Air Asia di LCCT untuk ke Bandar Udara Adi Soemarmo, Solo. Penerbangan hanya memakan masa dua jam lebih sedikit. Saat kami keluar daripada kapalterbang kedengaran azan Maghrib berkumandang. Baru teringat yang waktu di Indonesia lambat 1 jam dari Malaysia. Kami bergegas mencari teksi untuk ke hotel yang telah ditempah oleh abang usu. Kami mengambil 2 teksi dan abang usu meminta saya menaiki teksi bersama K dan Wak Mubarak.

Saya mengaku ada kerisauan di hati ini. Bayangkan kalau teksi ini tersesat dan saya tidak berjumpa semula dengan kak long nanti.....

Tapi, kenapa saya seperti tidak percaya pada takdir? Dan bukankah bersama saya, ada wak dan adik lelaki saya? Kenapa perlu risau?

Perjalanan memang agak jauh, sehingga saya terfikir hotel apakah yang ditempah oleh abang usu yang bagaikan berada di pedalaman sahaja?

Rupanya hotel ini dipilih supaya senang untuk kami bertolak ke destinasi seterusnya pagi-pagi esok. Hotel Surya ini berdekatan dengan stesen bas. (Saya agak ralat kerana tidak dapat mencatat dan merakam gambar tempat-tempat yang kami kunjungi. Keadaan yang seringkali kalut membuatkan saya tidak sempat untuk memegang kamera atau mencapai handphone dari dalam beg sandang saya.)

Kami mengambil dua bilik sahaja. Sebilik untuk lelaki, sebilik untuk wanita. Sewa untuk 1 bilik adalah 180,000 rupiah, lebih kurang RM60. Setiap bilik kongsi 3 orang. Kata kaklong, kita bukan nak bersantai-santai di bilik, kami hanya perlukan tempat bermalam sebelum menyambung perjalanan kami. Tak mengapalah menginap di hotel yang murah sahaja.


Kami check-in dulu. Selepas membersihkan diri seadanya (tanpa mandi), kami turun ke bawah untuk makan malam. Memandangkan hujan gerimis dan tempat makan agak jauh untuk berjalan kaki, kami makan di hotel sahaja. Harganya juga berpatutan. Untuk menu seperti di bawah ini, 6 orang makan hanya 120,000 rupiah - RM40.

Selepas makan, kami masuk ke bilik....berehat dan tidur.