Thursday, July 14, 2011

Mengharap sinar menelan kabus

Sejak awal pagi tadi, hati saya agak rusuh. Entah la kenapa saya harus marah-marah pada hb yang sedikitpun tidak bersalah. Akibatnya saya tertinggal tren 6.52 pagi, ya, hanya beberapa saat...!!

Memang selepas saya melangkah keluar rumah, terdetik di hati akan ada sesuatu berlaku yang bakal membuat saya 'padan muka' sebagai balasan perbuatan saya yang kasar terhadap hb. Dan...tertinggal tren itulah yang saya anggap sebagai balasannya...!!

Menjelang jam 9 pagi Fara sms, memaklumkan dia diterima menyertai SL1M. Seharusnya saya gembira, setidak-tidaknya Fara akan mendapat pengalaman bekerja, biar pun sekadar menerima elaun sahaja.

Banyak perkara yang saya fikirkan. Paling utama, kalau sebelum ini, Fara banyak membantu saya menguruskan adik bongsunya, Nad, selepas ini tak tahulah bagaimana...... Sebab itulah saya mengharapkan Fara mendapat kerja di sekitar Bandar Baru Bangi atau Kajang.

Tempat kerja saya yang jauh memaksa saya untuk keluar awal pagi. Saya tinggalkan Nad untuk di'urus'kan oleh kakaknya, Fara. Jadi bila Fara juga perlu keluar awal pagi, sekali dengan saya dan hb untuk bekerja, sudah tentu timbul kesulitan untuk menguruskan Nad. Untuk menghantarnya ke sekolah seawal 6.35 pagi adalah tidak munasabah. Siapa yang ada di sekolah seawal itu? Siapa yang akan menjadi teman Nad di sekolah pagi-pagi macam tu?


Untuk ditinggalkan Nad sorang-sorang mengurus diri sendiri, tidaklah rumit sangat, tp membiarkan dia keseorangan keluar dari rumah dan duduk menunggu bas sekolah jam 7 pagi, hati saya cuak juga. Anak perempuanlah katakan....

Masalah lain pula, tempat Fara akan bertugas nanti, di ibupejabat Tabung Haji, agak jauh dari tempat kerja saya. Dia akan berkejar menaiki Putra LRT. Dari stesen perlu berjalan agak jauh juga untuk ke pejabat. Sempatkah dia untuk sampai sebelum 8.30 pagi?


Sunday, July 10, 2011

HaPPy BirTHdaY.....NuR NaDYa.....

Esok baru Nadya genap 12 tahun. Memandangkan hari ni ada kelapangan, saya membuat keputusan untuk meraikannya hari ini.

Tempat pilihan Nadya adalah Restoran Secret Recipe. Walaupun di Seksyen 9 Bandar Baru Bangi ada cawangan Secret Recipe, saya membawa mereka ke Alamanda Putrajaya. Meriahlah sikit, kan.....
















Thursday, June 30, 2011

SEMOGA HIDUPMU AKAN LEBIH BAHAGIA DAN BERMAKNA

29 Jun 2011

Dinul Syamil datang ke ofis pagi ini. Rupanya dia dah mendapat kerja baru sebagai tutor di Kolej Islam Darul Ridzuan dan akan melapor diri pada 1 Julai 2011. Saya tumpang gembira dan bersyukur sangat atas rezeki yang diterimanya.

Kali ini Syamil meluangkan banyak masa di ofis dengan kawan-kawan lama. Bak kata orang, tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat 'praktikal'....Ya lah, lepas ni entah bila akan datang lagi ke sini. Memanglah Kuala Kangsar dengan Kuala Lumpur tidak jauh mana, tapi dengan waktu kerja yang sama dengan kami di sini, tentulah sukar untuk kami bertemu di ofis. Kalau sebelum ini Syamil bekerja di Zoo Negara dan waktu cutinya adalah hari Rabu, memang mudah untuk dia datang ke ofis dan jumpa semua orang sekali gus.

Sebagai 'ibu' saya mahu meluangkan masa dengannya sebelum dia pergi. Namun perkara ini tidak sempat berlaku atas sebab-sebab yang saya sendiri tidak pasti. Memang saya berkecil hati namun sebagai 'ibu' saya kena terima keadaan 'anak' saya seadanya.

Selepas Syamil meninggalkan ofis, saya terasa kehilangan. Saya sedih dan saya merasakan hari ini adalah hari terakhir saya melihatnya.

Syamil, doa ibu semoga hidup Syamil akan lebih cemerlang selepas ini. Syamil dah dapat kerja yang bagus dan yang paling penting yang sekian lama Syamil idam-idamkan, dapat tinggal bersama ibubapa. Selepas ini ibu harap tidak akan mendengar lagi keluhan Syamil. Ibu harap segalanya akan berubah dengan penuh keindahan dan kebahagiaan.


Kalau ada rezeki, memanglah ibu mahu Syamil terus menjadi anak ibu hingga akhir hayat dan ibu pun nak Syamil jadi seperti yang selalu Syamil ucapkan kepada ibu dulu.

Selamat bertugas di tempat baru, semoga berpanjangan.........



Wednesday, June 29, 2011

HATI SEORANG IBU

Anak-anakku, jangan pinggirkan ibu!

Entah mengapa, hati seorang perempuan yang bernama ibu ini cukup sensitif lebih-lebih lagi terhadap anak-anak. Entah mengapa, hati seorang perempuan yang bernama ibu ini tetap akan memaafkan anak-anak mereka walau pun berkali-kali hati dilukai!

Ya, mungkin kerana kasih sayang yang terlalu mendalam terhadap insan-insan yang pernah dikandung di dalam rahim mereka. Insan-insan itu tetap didoakan kebahagiaan dan kesejahteraan mereka dunia akhirat. Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan kasih sayang seorang ibu kepada anak-anaknya!

Namun, mengapa terlalu mudah seorang anak itu melukai dan menyakiti hati ibu tua ini? Pasti ada sahaja kata-kata berbisa yang terlontar dari bibir mereka, yang menyebabkan hati ini luka dan berdarah. Begitu pun, tidak pernah dipujuk, sebaliknya ibu tua ini juga yang terpaksa merawat sendiri hati yang terluka. Menjahit dan menampal kembali luka itu. Walau pun darahnya sudah terhenti, namun parut luka itu kekal di situ!

Apakah terlalu sukar seseorang anak menghormati dan menyayangi ibu mereka seikhlas dan setulus hati? Apakah terlalu sulit untuk menyayangi seorang wanita yang telah menyabung nyawa melahirkan mereka ke dunia ini? Apakah terlalu perit untuk mereka menjaga hati dan perasaan seorang perempuan yang dari hari ke hari, makin dimamah usia ini? Yang entah sampai bila nyawa dikandung badan?

Benar dan tepat sekali! Seorang ibu boleh menjaga sepuluh orang anak, namun 10 orang anak belum tentu dapat menjaga seorang ibu! Pelik kan? Namun itulah hakikat yang banyak terjadi pada hari ini, termasuk di dalam keluargaku sendiri. Memiliki tujuh orang anak yang masing-masing sudah berkeluarga membuatkan aku lebih banyak bersikap 'tak kisah', 'tak mengapa'. Kesibukan anak-anak membuatkan aku terasa diri ini makin terpinggir. Apatah lagi aku tinggal seorang diri sejak kematian suami 10 tahun lepas. Walau pun hidup di kelilingi jiran-jiran yang prihatin, namun jiwaku sebenarnya kesepian dan kosong. Keramahan, kemesraan dan kebaikan hati jiran-jiran tidak dapat mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh anak cucu. Pun begitu, aku sering memujuk hati sendiri; Ah! Anak-anak bukan tak sayang aku, tetapi mereka sibuk hingga tak sempat jenguk aku! Ya, itulah kata-kata yang sering kubisikkan pada diri sendiri setiap kali rindu bertandang. Namun, jauh di sudut hati, terselit rasa kecewa, terkilan, tersinggung dan berkecil hati. Takkan mereka lupakan ibu tua yang tinggal seorang diri ini? Selalunya aku yang akan telefon mereka bila rindu untuk bertanya khabar. Tetapi, biarlah, sebagai ibu aku tetap risau dan prihatin dengan anak-anak. Tak kisahlah kalau aku yang kena telefon mereka....Sekali lagi, aku pujuk diri sendiri!

Anak-anak, payah sangatkah hendak menjenguk ibu kalian ini walau sebulan sekali? Tak pun telefonlah sesekali untuk tanya khabar. Sihatkah ibu, makan tak dia...ini, masing-masing mengharapkan adik-beradik untuk bertanya dan ambil kisah. Sedangkan bagiku, aku adalah ibu kepada setiap orang daripada mereka. Jadi masing-masing punya tanggungjawab yang sama rata terhadap diriku. Tak timbul anak yang sulung atau yang bongsu sahaja yang perlu lebih ambil berat. Dek kerana tak nak menyusahkan anak-anak, aku lebih suka buat hal sendiri, selain nak mengubat kesunyian. Nasib baik ada teman-teman senasib yang ke mana sahaja bersama seperti mengikuti kelas mengaji dan sebagainya. Bila aku sibuk dengan hal sendiri, eh ada pula yang merungut kononnya susah nak balik rumah kerana ibu sibuk dengan aktiviti sendiri! Pernah ke mereka selami perasaanku yang sunyi hidup sendirian, jauh daripada anak-anak (walau pun dalam negeri yang sama!).

Anak-anak ibu, ketahuilah. Ibu tak mengharapkan wang tunai daripada kalian semua kerana ibu sendiri ada duit pencen ibu dan arwah ayah untuk menyara ibu seorang. Tetapi ibu berdoa agar diri ibu tak dipinggirkan (walau pun mungkin kalian tidak sedar).

Hanya kasih sayang dan perhatian yang ibu dambakan....! Pun begitu, ibu sentiasa mendoakan kebahagiaan kalian dunia akhirat, Amin!



Kisah di atas saya ambil daripada majalah MIDI keluaran 1 Julai 2011 (terbitan Grup Majalah Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd).

Maaf, saya mencatatkannya di sini tanpa izin penerbit. Saya sangat tersentuh dengan kisah tersebut, sehinggakan dua tiga kali saya membacanya. Saya ingin berkongsi kisah ini dengan rakan-rakan lain yang tidak sempat membaca MIDI.

Saya sangat bersimpati dengan nasib ibu tersebut. Alangkah tergamaknya anak-anak membiarkan ibu itu keseorangan dan sakit kerinduan!! Membaca kisah ini, saya terkenang kepada arwah emak saya yang sebelum ini juga sering kesunyian dan rindukan anak-anak serta cucunya. Kisah ini seolah-olah luahan hati arwah emak......Cuma bezanya mak tinggal bersama adik lelaki dan kami anak-anak sering juga melawatinya. Namun, kami tidak begitu kerap pulang ke kampung, malah pernah dalam sebulan hanya seorang anak yang pulang menjenguknya, sekalipun empat di antara kami tinggal sama negeri....!!

Setelah emak pergi.........saya menginsafi 'kekejaman' saya yang tidak selalu mendampingi emak...Saya sedih, namun semuanya telah terlambat....

Selepas apa yang berlaku kepada saya (sekalipun emak selalu cakap, emak memahami kesibukan anak-anak), saya sering menasihatkan rakan-rakan lain yang masih mempunyai ibubapa di kampung supaya kerap menziarahi mereka. Ucap saya kepada mereka : SAYANGI DAN BERBAKTILAH KEPADA IBUBAPA SEMENTARA MEREKA MASIH ADA...............