9 Mac 2013 yang lepas, tercapailah hajat kami adik-beradik untuk berkumpul di rumah pusaka. Kami buat majlis tahlil untuk Allahyarham mak dan bapa. Jemput anak-anak yatim lebih-kurang 50 orang.
Kami ada enam beradik, 4 perempuan dan 2 lelaki. Hanya abang ngah yang tidak dapat hadir kerana dihantar berkursus di Alor Setar di saat-saat akhir. Tapi kakak ipar, anak-anak dan menantu perempuannya ada bersama.
Percaya atau tidak, sejak hari raya aidilfitri tahun lepas, baru kali inilah kami bertemu semula, kecuali adik lelaki yang memang menetap di rumah pusaka. Hmmm....sejak mak tiada, masing-masing sangat jarang pulang ke kampung, malah ada yang hanya pulang pada hari raya sahaja.
Bila sudah berkumpul, masing-masing bercerita sambil melepas rindu. Sambil memasak kami adik-beradik dan kakak ipar bergurau senda, bertanya khabar anak masing-masing. Dan yang paling lucu, bercerita tentang saiz badan... Nampaknya badan saya yang paling besar antara kami berlima!!
Pagi esoknya, oleh kerana kakak ipar tidak bermalam di kampung, kami empat beradik perempuan menyambung pula sembang pagi.... Hahaha....sambil memasak nasi goreng tomyam, menu pilihan abang ipar, tak habis-habis kami bergelak ketawa.
Saya sangat bersyukur kerana pertalian kami masih sangat utuh, meski pun jarang berjumpa malah jarang juga berhubung disebabkan masing-masing terikat dengan tugas seharian dan sibuk menguruskan anak-anak, apatah lagi kepada yang bekerja.
Semoga kasih-sayang sesama kami berpanjangan hingga ke akhir hayat.