Thursday, February 28, 2013

Tiada tempat mengadu

Saat saya menulis di sini, saya sedang dilanda kerinduan pada kawan-kawan lama saya, termasuklah bos lama yang saya hormati, Encik F.

Dulu bila ada perkara yang kurang menggembirakan, atau yang mengguris hati, saya sering bercerita dengan "anak" saya, Ros atau pun ketua saya (merangkap BFF saya), Puan D. Adakalanya waktu tengahari bila kami tidak keluar makan, kami baring-baring di ruang kecil yang kami gunakan sebagai ruang solat, bercerita dan meluah rasa, sambil menunggu waktu solat.

Kadang-kadang kami hanya duduk menyandar, merehatkan badan tanpa diganggu oleh sesiapa.

Di sini, di tempat baru ini, saya belum memiliki seorang "teman" pun.... Saya selalu rasa kosong. Memang saya boleh bercerita dengan teman-teman lama saya, tetapi saya teringin mempunyai teman baru di sini, yang boleh mendengar cerita saya atau mungkin sesekali mendengar keluhan saya dan kemudian menyimpannya dengan baik.

Terlalu ramai kawan di sini tetapi saya belum berjumpa yang serasi dengan saya. Malah saya dengan bos di sini (yang jawatannya setaraf dengan Encik F), sangat jauh untuk dibuat perbandingan antara mereka. Saya suka bos yang serius waktu bekerja tetapi boleh bergurau pada waktu-waktu yang lain.

Suasana yang ceria akan membuatkan staf bekerja dengan rasa seronok dan gembira.

Semoga saya akan bertemu dengan apa yang saya inginkan suatu hari nanti.
 


Wednesday, February 20, 2013

Dapat bonus 4 bulan!!

Sebenarnya pekeliling mengenai pembayaran bonus ini telah keluar hari Isnin lepas. Sebelum ini pun dah dengar khabar angin mengenainya. Bila pekeliling keluar, maka sahihlah berita ini.

SYUKUR ALHAMDULILLAH. Ini bermakna ada lagi bonus 3 bulan yang bakal kami terima hujung bulan ini. Bonus sebulan telah dibayar sebelum Aidilfitri (setengah bulan) dan hujung Disember, setengah bulan lagi.

Hampir semua orang bercerita mengenainya. Tergambar rasa seronok yang begitu ketara daripada riak wajah mereka, mahupun nada suara masing-masing. Penat lelah bekerja selama ini mendapat balasan yang sangat menggembirakan.

Ramai yang telah membuat perancangan dengan duit bonus tersebut. Ada yang mahu melancong. Ada yang mahu membeli perkakasan rumah. Ada yang mahu menambah koleksi barang kemas. Ada yang mahu membeli kain yang lebih mahal. Ada juga yang mahu menyimpan sahaja dan ada yang masih tidak merancang apa-apa.

Apa pun perancangan masing-masing, sebaiknya bersyukurlah ke hadrat ALLAH yang telah memurahkan rezeki kita. Teruskanlah bekerja dengan bersungguh-sungguh, semoga rezeki yang kita terima diberkati oleh ALLAH.

Saya tahu ada yang tidak kisah dengan prestasi masing-masing memandangkan bonus yang diterima dibayar sama rata kepada semua staf, tak kiralah kita mendapat 60% atau kurang, mahupun 95%. Malah kalau ada yang mendapat 100% pun tetap menerima jumlah bonus yang sama.

Hanya kumpulan eksekutif (pegawai yang memiliki ijazah dan ke atas) akan dibayar bonus mengikut markah prestasi masing-masing.

Saya sendiri sering merasa terkilan melihat begitu ramainya orang yang bukan saja tidak bersyukur, malah tidak mahu menilai diri sendiri sama ada selama ini telah memberikan perkhidmatan yang sehabis baik atau sebaliknya.

Ramai di kalangan kita yang sering meminta-minta, mengharap kesenangan sahaja, sedangkan kita tidak berusaha untuk memberi atau membalas dengan kebaikan.

Bila difikirkan kebaikan yang saya perolehi bekerja di organisasi yang ternama ini, memang saya sangat bersyukur. Bayangkan seisi keluarga boleh mendapatkan rawatan di hospital pakar swasta sekiranya ditimpa sakit. Pilih saja nak hospital mana, Pantai Medical Centre, Ampang Puteri, semua rangkaian KPJ, Hospital Tawakal dan banyak lagi, selagi ada dalam senarai. 

Klinik panel pula, setiap staf diberi 2 klinik panel, satu berdekatan dengan rumah dan satu lagi berhampiran dengan lokasi bertugas. Kalau staf perempuan, suami pun boleh mendapatkan rawatan secara percuma. Ini saja sudah membuktikan betapa prihatinnya organisasi menjaga kebajikan anggota. Kakitangan kerajaan pun tidak mendapat kemudahan ini.

Ini belum termasuk kemudahan pinjaman perumahan, kenderaan, pinjaman peribadi dan pelbagai lagi. Tempat kerja juga sangat selesa. Cuti rehat tahunan pun banyak.

Oleh itu memang sangat wajar untuk kita semua bersyukur dengan rezeki ini. Bekerjalah dengan bersungguh-sungguh untuk memantapkan lagi organisasi kita ini dan sebagai tanda kita menghargai dan berterima kasih atas anugerah daripada ALLAH ini.




Tuesday, February 19, 2013

Kenapa tidak yakin?

Sudah 3 bulan saya bertugas di unit ini. Saya mengaku masih banyak yang belum saya pelajari. Tapi semua kerja yang saya diarahkan untuk melakukannya, saya cuba buat dengan sebaiknya. Saya sanggup pulang lewat, malah tanpa rasa bersalah terhadap suami, saya akan hantar sms kepadanya dan memaklumkan supaya menunggu saya pulang, tidak kiralah pukul berapa.

Saya cuba melaksanakan tugas-tugas saya dengan teliti supaya tidak berlaku kesilapan. Dalam masa yang sama saya cuba buat dengan pantas supaya tidak berlaku kelewatan.

Namun bila tiba-tiba berlaku sesuatu yang tidak diduga, yang telah mengaibkan unit ini dan menimbulkan kemarahan yang bukan sedikit oleh ketua saya, sekalipun saya tahu kesalahan itu bukan saya yang melakukannya, kenapa saya tetap rasa tidak tenang? Kenapa saya rasa seperti ada orang yang mungkin akan dengkikan saya?

Memang saya belum "kenal" kawan-kawan di sini. Malah selepas 3 bulan ini pun hanya ada seorang dua yang saya rasa ikhlas dengan saya. Yang lain-lain kelihatan biasa saja. Saya tidak salahkan mereka kalau tidak dapat menerima saya dengan hati terbuka, kerana saya sendiri pun tidak membuka "pintu rumah" saya dengan seluasnya.

Pagi tadi bila kami dipanggil untuk sesi perbincangan tergempar disebabkan oleh kejadian semalam, saya tidak bercakap sepatah pun. Saya hanya menumpukan sepenuh perhatian kepada kawan-kawan lain, mendengar perbincangan, juga sedikit pertelagahan antara mereka. Saya pun tidak ditanya apa-apa dan semua tahu yang sedang dibincangkan itu lebih berkaitan dengan mereka sebagai staf lama. 

Usai perbincangan, saya bertanya dari hati ke hati dengan sorang kawan yang saya boleh percayai, Zi : apakah alasan yang diberikan semalam atas kejadian yang mengaibkan unit itu? Saya tidak mahu orang mengata saya di belakang, saya tidak mahu dituduh atas perkara yang saya tidak lakukan.

Harap-harap kenyataan daripada mulut Zi adalah sesuatu yang benar.

Ya ALLAH, Engkau Maha Mengetahui segala-galanya.





Sunday, February 17, 2013

Danial pun kembali ke asrama

Hari ini ada majlis kenduri kahwin di kampung hb. Saya pergi berdua dengan hb, memandangkan anak-anak masih bertungkus-lumus menyudahkan kerja sekolah, lebih-lebih lagi Muhammad Danial yang perlu kembali ke asrama. Anak-anak saya ni,dah terbiasa buat kerja di saat-saat akhir. Bukan tidak diingatkan, bukan tidak dipesan hari-hari.....

Habis majlis kenduri saya kembali ke rumah dan sampai jam 4 petang. Hb menghantar Danial ke kedai gunting rambut. 

Masuk waktu Asar saya terus solat dan menyuruh Danial cepat solat dan bersiap..... Hmmm.....jam 5.19 baru kereta bergerak meninggalkan rumah. Perjalanan tanpa kesesakan biasanya mengambil masa hampir 30 minit. Marah juga saya pada Danial kerana melengah-lengahkan masa. Bayangkanlah kami perlu sampai di asrama sebelum jam 6 petang!

Syukur kerana hanya sedikit kesesakan yang kami tempuhi. Kami sampai di pintu masuk kawasan asrama jam 5.51 petang. Saya sempat melihat pengawal keselamatan melihat-lihat jam tangannya.

Kereta berpusu-pusu masuk ke kawasan asrama.

Selepas Danial menghantar beg dan barang-barangnya naik ke atas, dia turun semula untuk bersalaman dengan kami. Seperti biasa sambil memeluknya, saya menasihatinya supaya belajar bersungguh-sungguh dan jangan tinggal solat....

Seperti tadi, oleh kerana masa begitu suntuk, kereta berpusu-pusu untuk keluar pula. Bila saya berpaling, saya sudah tidak melihat Danial. Tidak seperti KakNa, Danial tidak melambaikan tangannya kepada kami, malah tidak melihat pun kami pergi, sama seperti kali pertama kami menghantarnya.

Saya tidak pasti apa yang ada di dalam hatinya. Apakah dia malu pada kawan-kawannya, atau dia sedih untuk melihat kami pergi.... Apakah begitu sikap anak lelaki?




Saturday, February 16, 2013

KakNa balik kolej

Seminggu bukanlah satu jangka masa yang lama.

Cuti Adina @ KakNa kali ini dibebani dengan kerja-kerja lukisan. Dua hari berturut-turut, bila saya bangun pagi, saya menghidu bau yang pelik dalam rumah. Cepat-cepat saya mencari datangnya bau tersebut. Rupanya bau cat minyak. KakNa melukis.

Saya katakan padanya : bukankah tak elok terperap dalam bilik dan tidur dengan pintu tertutup, menghidu bau yang begitu? Sepanjang tidur bernafas dengan menyedut bahan kimia? Maaf la, saya tidak tahu sangat tentang cat minyak, tetapi menghidu baunya sudah cukup membuatkan saya rasa tidak selesa. Macam mana la KakNa boleh tahan sepanjang 2 - 3 malam tidur ditemani bahan tersebut.

Esoknya saya melihat KakNa melukis di luar rumah, berdekatan dengan pintu. Kasihan pula saya melihatnya. Sampai ke tengah malam pun masih duduk di luar. Risau dengan keselamatannya, saya memintanya masuk ke dalam dan menyambung kerja lukisannya esok siang.

Kesibukan anak-anak rupanya tidak memberi peluang untuk saya memanjakan mereka, lebih-lebih lagi KakNa. Hampir sepanjang masa dia duduk di biliknya. Dia hanya akan keluar bilik untuk menonton tv, itupun sekali sekala, untuk makan, mandi dan melayari internet.Sekiranya line internet "laju", dia akan akses dari dalam bilik sahaja.


Pagi tadi kami menghantarnya kembali ke kolej. Rasanya saya tidak puas bercakap dengannya, apatah lagi untuk memeluknya sepanjang cuti seminggu itu.

Kesedihan itu sangat terasa bila kereta bergerak meninggalkan kolej diiringi lambaian KakNa.....




Sunday, February 3, 2013

Melawat Muhammad Danial di asrama

Hari ini masuk hari ke-6 Danial tinggal di asrama....

Petang Khamis 31 Januari 2013, Danial menghubungi saya memaklumkan hujung minggu ni tak dibenarkan balik rumah (istilah sebenar - balik kampung...hehehe...). Alasan : lagi seminggu cuti panjang sempena tahun baru cina.

Hmm...ikutkan warga Kuala Lumpur, 1 Februari adalah cuti umum. Hari tu Danial dah berangan-angan mahu pulang ke rumah, sama ada petang Khamis atau pagi Jumaat. Tak apalah, bukan lama pun, dalam seminggu je lagi.

Danial meminta saya membelikannya dua helai seluar panjang hitam dan minta dihantar padanya hujung minggu ini. Tiga empat kali Danial berpesan supaya datang antara jam 2 - 3 petang. Katanya kalau lewat sangat, ramai ibubapa yang datang, mungkin sesak dan tiada tempat untuk duduk-duduk.

Lepas Zuhur kami bertolak ke KL. Saya bercadang untuk membelikan makanan kesukaannya. Rupanya tidak ada restoran yang menjual makanan tersebut di Tesco extra Cheras. Setelah beberapa minit menaiki kereta meredah kesesakan jalanraya, kami menjumpai restoran tersebut di setesen minyak BHP.

Wahhh.....panjangnya Q untuk drive-thru...........

Masa terus berjalan dan saya terbayang Danial sedang ternanti-nanti kedatangan kami kerana saya menganggarkan akan sampai sekitar jam 3 petang. Sebenarnya kalau kami tidak singgah di mana-mana, jam 2.30 petang kami sudah boleh sampai di asrama.

Ketika sampai hampir jam 3.30 petang, kami tercari-cari Danial. Dua minit kemudian nampak dia sedang mengangkat barang bersama kawan-kawannya.

Kami menemani Danial makan. Nampak sungguh berselera sekalipun katanya, mereka baru saja makan tengahari jam 2 petang tadi.

Kami berbual-bual sehingga azan Asar berkumandang. Saya dapat rasakan yang Danial mahu kami berlama-lama lagi, walau pun ayahnya sudah menyebut mahu pulang sebaik Danial ke surau untuk solat berjemaah.

"Takpalah, pergilah solat. Ibu tunggu kat sini." Sebagai ibu saya boleh membaca perasaan anak-anak. Tidak seperti ayahnya, yang kurang peka akan apa yang ada di hati anak-anak.

Hampir 5.30 petang, kami bergerak pulang. Danial tidak menunggu kami pergi mahupun melambaikan tangan kepada kami. Dia terus berjalan menuju ke dorm tanpa memandang ke belakang. Saya yang terasa sayu dan sedih. Saya dapat merasakan Danial juga berperasaan sama dengan saya.

Saya tahu anak lelaki saya yang seorang ini, walaupun fizikalnya besar dan kuat, berwajah keras dan jarang bercakap dengan nada lembut terhadap saya, dia sayangkan saya dan sedih kerana perlu berpisah dengan saya dan keluarga.






Friday, February 1, 2013

Muhammad Danial - buat pertama kalinya masuk sekolah berasrama - SMTKL

Selepas percubaan kali pertama untuk masuk ke sekolah berasrama penuh pada tahun 2010 tidak berjaya (waktu itu Danial sendiri sebenarnya belum cukup bersedia untuk tinggal di asrama. Permohonan dibuat kerana ada kawan rapat yang sama-sama memohon ke sekolah yang sama), ini kali kedua kami membuat permohonan. Danial sudah "besar", sudah lebih 15 tahun usianya dan dia sendiri seperti sudah bersedia untuk berdiri di atas kaki sendiri....

Saya sendiri mahu memberinya peluang tinggal di asrama, biar dia tahu menguruskan diri sendiri. Saya mahu dia hidup berdikari, tidak seperti tinggal di rumah sendiri, cuma tahu menggosok baju, itupun kerana terpaksa.

Oleh kerana keputusan peperiksaan percubaan PMR agak 'teruk', kami cuma memohon untuk ke kolej vokasional. Danial memilih kolej di Seri Iskandar dengan alasan - dekat dengan kakak keduanya, nanti ayah senang nak hantar dan ambil....

Bila keputusan PMR diumumkan, kami membatalkan permohonan awal ke kolej vokasional bagi membolehkan kami membuat permohonan baru. Pilihan kami kali ini adalah SM Teknik, memandangkan keputusan Danial yang memberangsangkan dan di luar jangkaan kami...

Diringkaskan cerita, pada 29 Januari 2013 bersamaan hari Selasa, Muhammad Danial mendaftar di Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur (SMTKL) dengan memilih jurusan kejuruteraan awam. 

Awal pagi lagi kami ke sekolah lamanya untuk mengambil sijil berhenti sekolah. Kemudian berjumpa dengan guru kaunseling untuk mengisi borang maklumat "pencapaian cemerlang" untuk rekod sekolah. Semasa menunggu Danial mengisi borang tersebut, saya dan Farah ditunjukkan rekod-rekod cemerlang pelajar-pelajar sebelum ini. Ada yang sebelum ini hanya mendapat 2A3B dalam UPSR boleh mendapat 8A dalam PMR.

Bersama Puan Jemiat Md Ali, salah seorang tenaga pengajar di SMK JR yang sangat peramah dan berbudi bahasa.


Akhirnya kami sampai di SMTKL sekitar jam 9.55 pagi, sedangkan waktu pendaftaran adalah 8.30 pagi. Ramai ibubapa yang sudah selesai menguruskan kemasukan anak-anak mereka ke asrama, hanya menunggu untuk mendengar taklimat daripada pihak sekolah yang dijadualkan pada jam 10.30 pagi.


Pelajar baru sedang membaca ikrar
Ibubapa juga membaca ikrar
Bila sampai giliran untuk memilih katil di dorm, hanya tinggal 6 katil yang kosong dan sudah tentulah tingkat atas! Tak apalah, ini cabaran pertama untuk Danial, memanjat katil setiap hari dengan berat badannya 90kg!

Saya dan Farah membantu memasang cadar, sarung bantal dan selimut, sementara Danial mengemaskan pakaiannya masuk ke dalam almari kecil.

Saya nampak kerisauan di wajah Danial............ 

Di pihak saya sendiri, macam-macam yang saya fikirkan, namun yang paling utama kerisauan saya adalah - macam mana lah dia nak bangun seawal 5.00 - 5.30 pagi? Sedangkan di rumah sendiri, nak bangun pukul 6 pun sampai hampir 10 kali saya mengejutkannya. Itu belum lagi nak berebut ke bilik air, belum lagi nak "membuang" seperti kebiasaan di rumah.... 

Kalau di rumah, capai tuala dan terus masuk ke bilik air. Nak buang air pun tak payah nak tunggu-tunggu.... Lepas mandi, masuk bilik, tutup pintu bilik dan terus bersiap. Nak pakai seluar dalam pun tak perlu nak selindung...

Sebagai ibu adalah menjadi tanggungjawab saya memberikan semangat dan kekuatan kepadanya. Macam-macam nasihat keluar daripada mulut saya. Antaranya : Ramai anak orang kaya masuk sekolah ni. Dia orang hidup senang, bilik ada aircond, rumah besar, tapi dia orang sanggup duduk kat sini. 

Lagi satu nasihat saya dari sekian banyak nasihat : Danial dah cukup besar untuk berdikari. Bayangkan Afiq (sepupunya) tingkatan satu dah duduk asrama. Dulu Alif (seorang lagi sepupunya) pun sama, tingkatan satu dah masuk asrama. Happy je dia...

Kami tinggalkan Danial petang itu dengan pelukan, ciuman dan kata-kata semangat....

Di rumah, selama 3 malam berturut-turut saya mengerjakan solat hajat khas untuk Danial, memohon semoga ALLAH mempermudahkan segala urusannya, memberikannya kekuatan dan mampu menyesuaikan diri dengan suasana yang serba baru, redha dengan sedikit kekurangan dan kesulitan yang perlu dihadapinya.

Saya yakin dia akan mampu menghadapinya.