Ohhh.........lamanya tidak menulis..............
Hari ini fikiranku sangat berserabut.... Bukanlah banyak sangat
masalah yang ditanggung, malah cuma secubit sahaja....tapi kerana aku
menganggapnya seumpama beban, maka inilah jadinya...serabut!!
Entahlah, masuk sebulan lebih di tempat baru ini, aku rasa semakin
tidak gembira. Bukan saja tidak seronok. Aku rasa bosan sebenarnya. Aku bukan
tidak suka pada tempat ini, juga bukanlah tidak suka dengan warga kerja di
sini. Semua ini tidak menjadi masalah bagi aku. Yang membosankan aku adalah
tiadanya bebanan kerja yang perlu aku buat. Kerja aku tidak banyak, tidak
sepadan langsung dengan jabatan yang penting ini. Kadang-kadang bila kerja yang
diberikan kepada aku telah aku siapkan, aku termangu sendiri, tak tahu apa yang
perlu aku lakukan lagi.
Aku rindukan suasana kerja di tempat lamaku. Kerja yang tidak pernah habis,
tetapi aku sangat seronok melakukannya. Selalu saja kami terkejar-kejar
menyiapkan kerja masing-masing. Kalau orang lain gembira melihat jam
menunjukkan pukul 5 petang, namun kami selalunya akan berkata :
"Alamak...dah pukul lima ke???"
Di sini, di tempat baru ini, suasana itu tidak ada pada aku. Tetapi rakan-rakan
yang lain aku lihat sangat ralit bekerja. Aku rasa bersalah. Aku rasa tidak
adil. Aku sepatutnya sibuk seperti mereka juga. Tetapi apalah yang mampu aku
lakukan lagi. Berulangkali aku berfikir, malah sudah bulat tekadku untuk
menghadap ketuaku, memaklumkan apa sebenarnya yang aku hadapi saban hari,
tetapi tiba-tiba saja aku rasa seperti tidak ada keperluan untuk berbuat
demikian.
Kadang aku rasa seperti mahu tinggalkan saja tempat ini. Tapi hidup bukanlah
semudah ini.
Kalau awal-awal dulu aku rasa kecewa kerana tidak ditunjuk ajar
untuk melaksanakan kerja-kerja aku dan aku berusaha sendiri dengan bantuan
"jiran" sebelahku, kini kekecewaan aku semakin bertambah bila
sesekali tugas yang diberikan kepadaku tidak mampu aku lakukan dengan sempurna.
Aku tidak mahu dikata tidak pandai membuat kerja. Yang sebenarnya aku tidak
diajar.
Seperti apa yang berlaku hari ini selepas aku menghantar tugasan
aku untuk disemak dan diluluskan oleh Tuan Haji, dia memanggil aku, menyoal aku
tentang tugasan tersebut dan sangat malang...aku tidak mampu memberikan
jawapan! Aku sudah membuatnya dengan begitu teliti, aku baca semua dokumen yang
disertakan, namun kerana ianya melibatkan perintah mahkamah, maka Tuan Haji
mahu memastikan perintah itu tidak diingkari....
Selepas aku berbincang dengan Puan Zai dan masuk semula ke bilik
Tuan Haji untuk memberikan penjelasan, ianya masih tidak memuaskan hati Tuan
Haji. Lalu dia berjumpa Puan Zai dan mengarahkan Puan Zai membuat tindakan
susulan berkenaan kes tersebut. Kenapa aku tidak diajar bagaimana mahu
melakukan tugas-tugas tersebut? Kenapa Tuan Haji tidak menyuruh aku belajar
daripada Puan Zai dan memberi peluang kepada aku untuk terus melibatkan diri
dalam kes tersebut sehingga selesai? Bagaimana aku mahu mempertingkatkan kemahiranku
untuk melakukan tugas-tugasku kalau tidak ditunjuk ajar dan diberikan peluang
meneroka bidang kerjaku dengan seluasnya? Arghh.....!!!
Aku dilihat seperti "tidak pandai buat kerja" dan aku rasa sangat
hampa.......
Aku sedih....
Dan aku tambah berserabut hari ini bila kereta baru yang aku beli
tidak sampai 8 bulan terpaksa diangkut naik trak untuk dihantar ke pusat servis
Proton akibat enjin tidak boleh dihidupkan. Pertama kali aku membeli kereta
baru dengan 100% duit gajiku sendiri..... Sebelum ini dua biji kereta baru yang
aku beli secara berkongsi dengan suami, alhamdulillah, tidak pernah menimbulkan
masalah. Malah kereta Proton Waja yang kami gunakan selama enam tahun sebelum
ini, tidak pernah sekali pun bermalam di bengkel.
Ini adalah dugaan daripada Illahi. ALLAH mahu menguji tahap
kesabaranku. ALLAH mahu menguji keimananku.
Aku redha YA ALLAH. Sesungguhnya ujian ini amatlah kecil....Ampunkan aku YA
ALLAH.