Saturday, December 31, 2011

Institut Jantung Negara, 3 - 16 Disember 2011

Bahagian 3

Betullah seperti yang saya harapkan, menjejakkan kaki di ofis mengurangkan kesedihan saya. Saya masih mampu ketawa dan membuat jenaka.

Saya memohon cuti untuk seminggu.

Jam 4.30 petang saya kembali ke IJN. Pembedahan dijangka selesai sekitar jam 6.30 petang. Saya ke kafe, mencari makanan untuk mengalas perut. Tidak terasa lapar pun. Saya memaksa diri untuk menelan nasi yang telah terhidang di depan mata. Air soya sejuk pun bagaikan tidak mampu untuk ditelan. Saya sangat sedih dan kerisauan begitu mencengkam hati saya. YA ALLAH YA RAHMAN YA RAHIM....KAU PERMUDAHKANLAH URUSAN KAMI, SELAMATKANLAH SUAMIKU DARIPADA SEBARANG BENCANA....YA ALLAH...BERILAH PELUANG KEPADA SUAMIKU UNTUK MENERUSKAN HIDUP....BERILAH PELUANG KEPADA KAMI MENJALANI KEHIDUPAN SEPERTI SEBELUM INI....

Saya naik ke tingkat 1 dan duduk menunggu di ruang yang disediakan. Kegelisahan tidak perlu digambarkan lagi. Doa tidak putus saya lafazkan dalam hati. Beberapa orang wanita datang dan duduk berhampiran saya. Dua daripadanya warga Indonesia dan seorang lagi wanita Inggeris yang begitu tenang duduk betul-betul di sebelah kanan saya sambil membaca buku.

Saya merasa serba tidak kena. Fara pula tak sampai-sampai lagi.......YA RABBI, TENANGKANLAH HATI HAMBAMU YANG LEMAH INI...

Tepat jam 6.35 petang saya terdengar seseorang menyebut nama hb. Saya berdiri dan dan terus mendapatkan petugas yang sedang mencari saya. Saya diminta masuk ke bilik ICU untuk melihat hb..........

ALHAMDULILLAH...hb selamat melepasi saat-saat genting sebentar tadi. Masih tidak sedarkan diri. Nurse memberitahu saya mungkin hb hanya akan sedar semula tengah malam nanti. Saya merenung wajah hb. Leher dan dadanya dipenuhi wayar. Hb bernafas dengan bantuan oksigen.

Saya sentuh tangan hb. Tidak ada respon. Saya tatap wajahnya lama-lama....

Fara sampai. Saya bertanya kepada nurse sama ada saya perlu tinggal di hospital atau boleh pulang ke rumah. Kalau diikutkan adalah lebih baik saya tinggal di hospital atau setidak-tidaknya berdekatan dengan kawasan hospital supaya senang untuk datang sekiranya berlaku kecemasan. Keadaan hb memang belum stabil dan risiko untuk serangan strok memang tinggi.

Nurse memberitahu saya IJN ada menyediakan tempat penginapan atau dipanggil dorm untuk waris pesakit bermalam sekiranya tempat tinggal jauh dari hospital.

Apa yang saya tahu, memang ada asrama untuk keluarga pesakit menginap, tetapi di Jalan Semarak, bukan di IJN. Setelah berbincang dengan Fara, saya mengambil keputusan untuk pulang ke rumah. Saya bertawakal kepada ALLAH dan berdoa semoga tidak berlaku apa-apa musibah yang tidak kami ingini.

Kami menaiki teksi ke stesen Putra untuk mengambil komuter pulang ke Bangi.


6 Disember 2011

Fara mengambil cuti. Kami lima beranak bergerak ke IJN untuk menziarahi hb. Memang peraturan ketat di ICU, pelawat hanya boleh datang melawat dari jam 12.30 ke 1.30 tengahari dan dari 4.30 ke 8.00 malam.

Kami bergilir-gilir masuk. Hanya 2 pelawat dibenarkan masuk dalam satu masa. Hb dah sedar tapi belum 100%. Saya boleh bayangkan berapa banyak bius yang digunakan sepanjang tempoh pembedahan. Begitu juga dengan antibiotik yang perlu diambil bagi mengelakkan sebarang jangkitan.

Hb tak berselera makan. Wajahnya kusam. Kami belikan hb anggur hitam. Banyak hb makan.

Rupanya anggur adalah makanan yang perlu dielakkan oleh hb dalam tempoh pemulihannya. Selain mengandungi kadar gula yang tinggi (hb ada diabetes), anggur juga boleh menyebabkan batuk. Pesakit yang menjalani pembedahan pintasan koronari akan mengalami kesakitan yang teramat sangat sekiranya diserang batuk. Sebab itu setiap pesakit mesti ada satu bantal kecil untuk dipeluk rapat ke dada sekiranya mereka batuk. Tujuannya adalah untuk mengurangkan tahap kesakitan mereka.

Saya ingin sekali merakamkan gambar kenangan hb berada di ICU, tetapi peraturan di sini tidak membenarkan sama sekali penggunaan kamera.

Selepas habis waktu melawat, kami check-in di Hotel Putra yang terletak tidak jauh dari bangunan IJN, hanya perlu melintas jalan atau menaiki jejantas untuk ke sana.



7 Disember 2011 - 11 Disember 2011

Gambar diambil sekitar jam 7 pagi dari tingkat 6, Hotel Putra

Hb dipindahkan ke HDU (High dependency unit) setelah 3 malam berada di ICU. Di HDU keadaannya lebih sempit kerana kedudukan katil yang agak rapat di antara satu sama lain. Walaupun hanya ada 5 katil @ pesakit di HDU tetapi kerana saiz biliknya lebih kecil daripada ICU, terasa agak sempit.

Hb mengadu punggung dan belakang badannya sakit. Ye la dah berapa hari hanya mampu duduk dan baring, duduk pun setempat sahaja, baring pula tidak boleh mengiring, apatah lagi untuk bangun dan berjalan-jalan.

Petang Sabtu, 10 Disember 2011, jam 4.45 petang, barulah hb dipindahkan ke wad biasa. Anak-anak pulang ke rumah, setelah 4 malam tidur di hotel dan berulang-alik ke hospital. Saya berpindah tinggal di hospital, temankan hb.

Menariknya IJN ni, waris yang menemani pesakit di wad (kecuali bilik ber-4) diberikan kemudahan katil lipat dengan tilamnya yang agak tebal dan selesa, juga bantal dan selimut tebal, sama seperti yang digunakan oleh pesakit. Malah nurse datang menghantar katil itu ke bilik kami.


Tugas saya di hospital tentunya menjaga keselamatan dan kebajikan hb. Hb belum boleh dibiarkan berjalan sendiri apatah lagi untuk ke tandas berseorangan. Memandangkan kesan pembedahan di kaki kiri amat panjang, iaitu dari paha hingga ke atas buku lali ditambah dengan hb yang menghidap kencing manis, proses pemulihan sangat lambat. Malah amat berisiko sebenarnya kerana jika tidak dirawat dengan sempurna, kesan pembedahan akan dijangkiti kuman.

Di sini juga cara pemakanan saya berubah. Saya hanya makan roti semasa bersarapan. Tengahari saya akan membeli makanan di cafe dan makan bersama hb. Malam saya tidak makan, sehinggakan saya tidak sabar untuk mengukur berat badan saya. Mudah-mudahan berkuranganlah kilogram saya!!




Institut Jantung Negara, 3 - 16 Disember 2011

Bahagian Dua

4 Disember 2011, jam 5.00 petang saya bertolak ke IJN, dihantar oleh Fara dan Dina. Saya perlu menemani hb dan memberikannya semangat serta kekuatan untuk menghadapi hari yang sangat penting...... Saya tahu risiko pembedahan tersebut, apatah lagi dalam keadaan hb yang memiliki penyakit 3 serangkai.

Pihak IJN menyediakan katil lipat yang hampir menyerupai kerusi malas untuk kegunaan ahli keluarga yang menemani pesakit di waktu malam. Alhamdulillah....Tidaklah saya tidur bersandar di kerusi sahaja, walaupun sebelumnya saya sudah memikirkan sedemikian dan tidak menganggapnya sebagai satu masalah.

Dalam syahdu dan debaran menanti hari esok, saya sempat mengirim sms kepada Rosnita : "Selama kawin, belum pernah pergi bercuti berdua-duaan, akhirnya malam ini baru kami dapat honeymoon...!!" Ya.......berbulan madu di Institut Jantung Negara!!

Hb diarahkan berpuasa bermula jam 10 malam.

5 Disember 2011. Pembedahan dijangkakan jam 1 tengahari dan hb merupakan 'pesakit' yang ketiga.

Jam 12.20 hb diminta membuat 'ultrasound'. Menjelang 1 tengahari seorang jururawat memaklumkan kepada kami bahawa doktor yang akan melakukan pembedahan telah 'mencari' hb. Jururawat tergesa-gesa menghantar saya dan hb kembali ke wad. Hb memohon untuk bersolat Zuhur dahulu sebelum bertukar pakaian.

Saya membantu hb memakai pakaian yang telah dikhaskan untuk proses pembedahan tersebut. Kemudian saya berkejar untuk menyimpan beg pakaian kami di setor memandangkan wad yang kami huni sebelum ini perlu dikosongkan.

Hb baring di atas katil dengan ditolak oleh jururawat. Saya mengikut mereka sehingga sampai ke Blok A, Bahagian Pembedahan. Di situ hb dipindahkan ke katil lain untuk dibawa masuk ke dewan bedah. Saya menatap wajah hb dan menyalaminya. Wajah yang kelihatan begitu bersih (yang kemudiannya baru saya terfikir - wajah yang pucat sebenarnya). Sempat saya cium pipinya dan mengucapkan padanya : "Kuatkan semangat abang. InsyaALLAH semuanya akan selamat. Saya tunggu abang." Saat ini airmata saya bergenang tapi saya tahan sekuat hati. Saya tidak mahu hb menjadi lemah melihat saya....

(Waktu ini saya sempat mengambil gambar hb 3 kali menggunakan handphone. Malangnya belum sempat saya transfer gambar ke laptop, hp saya diserang virus, habis hilang semua yang ada di dalam memory card).

Saya lepaskan tangan hb dan sebaik pintu ditutup saya terus turun ke tingkat bawah. Di satu penjuru, di kerusi paling tepi, saya duduk keseorangan dan menangis.....

Saya kuatkan semangat saya. Saya lap airmata yang mengalir di pipi. Kemudian saya menuju ke hentian teksi. Saya mengambil keputusan untuk ke ofis. Niat saya selain untuk memohon cuti, saya perlukan teman-teman untuk mengubati kesedihan saya.



Friday, December 30, 2011

Institut Jantung Negara, 3 - 16 Disember 2011

Bahagian Satu

Petang 30 November 2011, saya mendapat panggilan daripada hb yang ketika itu berada di Kuala Terengganu atas urusan kerja. Beritahu hb, IJN telah menghubunginya dan memaklumkan supaya hb menjalani pembedahan pintasan jantung koronari pada minggu depan, dijangka hari Selasa 6 Disember. Hb perlu masuk wad pada 3 Disember 2011 untuk tujuan persediaan dan pemantauan memandangkan hb menghidap kencing manis dan darah tinggi selain kadar kolestrol yang boleh tahan tingginya.

Saya tanya hb : apakah hb telah bersedia menjalani pembedahan tersebut? (Sebenarnya selama tempoh 'penantian' untuk dipanggil menjalani pembedahan oleh pihak IJN, kami telah berusaha mendapatkan rawatan alternatif, termasuklah yang terkini di Pusat Rawatan Al-Hidayah).

Saya tahu hati hb rusuh, begitu juga hati saya. Kalau setahun dulu sewaktu kami dimaklumkan tentang keadaan kesihatan hb oleh pihak IJN, kami telah bersedia sepenuhnya untuk menjalani pembedahan tersebut. Namun selepas mendengar pendapat daripada beberapa ahli keluarga, kami mengharapkan rawatan alternatif akan mampu menyembuhkan hb dan menghindarkannya daripada menjalani pembedahan.

Diringkaskan cerita, hb bersetuju untuk menjalani pembedahan tersebut....

2 Disember 2011 - Hari ulangtahun kelahiran saya dan Fara. Malam ini kami meraikannya di Restoran MFC, BB Bangi. Kami makan dengan penuh kegembiraan tanpa mahu memikirkan tentang hari esok.

3 Disember 2011, jam 10.00 pagi kami bertolak ke IJN, Kuala Lumpur. Hb, saya, Fara dan Dina. Sebaik sampai hb terus mendaftar masuk ke wad di kaunter pendaftaran kemasukan wad.

Hb di tempatkan di Wad Kenanga.

Memandangkan tarikh pembedahan belum dipastikan lagi, saya tidak menemani hb di hospital malam ini. Jadi sekitar jam 3 petang saya pulang ke rumah bersama anak-anak.

4 Disember 2011, saya meluangkan masa menghadiri majlis menyambut menantu anak saudara saya di Seksyen 4 BB Bangi. Itu pun selepas puas saya berfikir akan kewajaran saya menghadiri majlis tersebut memandangkan hb keseorangan dan pastinya dalam keresahan di IJN.

Sekitar jam 3 petang saya menerima sms daripada hb memaklumkan dia akan dibedah esok........