Friday, July 15, 2011

Macam-macam ragam...

Seperti yang pernah saya tulis sebelum ini, saya bukanlah pelanggan tetap KTM komuter. Hanya sesekali saya menaikinya.

Pagi tadi saya menaiki tren seawal 6.35 pagi di stesen UKM Bangi. Tidak semua penumpang mendapat tempat duduk, termasuklah saya. Tak apalah pagi-pagi begini tenaga masih banyak, berdiri pun tidak mengapa, walaupun sebenarnya menginginkan tempat duduk untuk merehatkan badan, apatah lagi perjalanan agak jauh, lebih 45 minit.

Pelbagai ragam yang boleh dilihat di koc wanita ini. Agak kelakar, rupanya kaum wanita juga ada yang berdengkur ketika tidur. Kroohh....kroohh.....dan ini akan membuat yang mendengar akan menoleh, mencari-cari siapakah empunya dengkuran tersebut.

Terfikir juga di hati saya, apakah saya juga tidur berdengkur? Sekiranya saya mendapat tempat duduk ketika balik dari kerja, memang saya kerap tertidur. Saya sedar juga adakalanya kepala saya terlentok ke kiri atau kanan, kadang tersengguk-sengguk ke depan, malah saya pernah tersedar saya tersenyum dalam tidur.............Bayangkanlah kalau dilihat orang!

Kerap juga saya melihat orang berebutkan tempat duduk. Bila ada penumpang yang bangun, akan ada penumpang yang berdiri agak jauh dari tempat duduk tersebut, cepat-cepat cop tempat tu dengan cara meletakkan beg, malah pernah saya tengok seorang wanita melemparkan begnya ke tempat duduk tersebut bagi memastikan tiada orang lain yang akan duduk di situ. Kemudian dia akan meloloskan diri di celah orang yang bersesak-sesak lalu duduk di tempat yang telah dicopnya tadi. Kadang-kadang rasa kasihan kepada penumpang yang berdiri di depan penumpang yang bangun & turun itu. Seharusnya dia yang duduk di situ.

Saya terkilan juga kerana yang merebut tempat bukanlah yang berusia, sebaliknya wanita muda, malah pernah sekali di depan mata saya, yang merebut tempat itu seorang gadis sangat muda dan nampak bertenaga.

Barangkali beginilah dunia kita sekarang. Masing-masing memikirkan diri sendiri. Yang muda akan berkata : "Saya pun penat, saya pun ada hak nak duduk".



Thursday, July 14, 2011

Mengharap sinar menelan kabus

Sejak awal pagi tadi, hati saya agak rusuh. Entah la kenapa saya harus marah-marah pada hb yang sedikitpun tidak bersalah. Akibatnya saya tertinggal tren 6.52 pagi, ya, hanya beberapa saat...!!

Memang selepas saya melangkah keluar rumah, terdetik di hati akan ada sesuatu berlaku yang bakal membuat saya 'padan muka' sebagai balasan perbuatan saya yang kasar terhadap hb. Dan...tertinggal tren itulah yang saya anggap sebagai balasannya...!!

Menjelang jam 9 pagi Fara sms, memaklumkan dia diterima menyertai SL1M. Seharusnya saya gembira, setidak-tidaknya Fara akan mendapat pengalaman bekerja, biar pun sekadar menerima elaun sahaja.

Banyak perkara yang saya fikirkan. Paling utama, kalau sebelum ini, Fara banyak membantu saya menguruskan adik bongsunya, Nad, selepas ini tak tahulah bagaimana...... Sebab itulah saya mengharapkan Fara mendapat kerja di sekitar Bandar Baru Bangi atau Kajang.

Tempat kerja saya yang jauh memaksa saya untuk keluar awal pagi. Saya tinggalkan Nad untuk di'urus'kan oleh kakaknya, Fara. Jadi bila Fara juga perlu keluar awal pagi, sekali dengan saya dan hb untuk bekerja, sudah tentu timbul kesulitan untuk menguruskan Nad. Untuk menghantarnya ke sekolah seawal 6.35 pagi adalah tidak munasabah. Siapa yang ada di sekolah seawal itu? Siapa yang akan menjadi teman Nad di sekolah pagi-pagi macam tu?


Untuk ditinggalkan Nad sorang-sorang mengurus diri sendiri, tidaklah rumit sangat, tp membiarkan dia keseorangan keluar dari rumah dan duduk menunggu bas sekolah jam 7 pagi, hati saya cuak juga. Anak perempuanlah katakan....

Masalah lain pula, tempat Fara akan bertugas nanti, di ibupejabat Tabung Haji, agak jauh dari tempat kerja saya. Dia akan berkejar menaiki Putra LRT. Dari stesen perlu berjalan agak jauh juga untuk ke pejabat. Sempatkah dia untuk sampai sebelum 8.30 pagi?


Sunday, July 10, 2011

HaPPy BirTHdaY.....NuR NaDYa.....

Esok baru Nadya genap 12 tahun. Memandangkan hari ni ada kelapangan, saya membuat keputusan untuk meraikannya hari ini.

Tempat pilihan Nadya adalah Restoran Secret Recipe. Walaupun di Seksyen 9 Bandar Baru Bangi ada cawangan Secret Recipe, saya membawa mereka ke Alamanda Putrajaya. Meriahlah sikit, kan.....