Saturday, December 31, 2011

Institut Jantung Negara, 3 - 16 Disember 2011

Bahagian 3

Betullah seperti yang saya harapkan, menjejakkan kaki di ofis mengurangkan kesedihan saya. Saya masih mampu ketawa dan membuat jenaka.

Saya memohon cuti untuk seminggu.

Jam 4.30 petang saya kembali ke IJN. Pembedahan dijangka selesai sekitar jam 6.30 petang. Saya ke kafe, mencari makanan untuk mengalas perut. Tidak terasa lapar pun. Saya memaksa diri untuk menelan nasi yang telah terhidang di depan mata. Air soya sejuk pun bagaikan tidak mampu untuk ditelan. Saya sangat sedih dan kerisauan begitu mencengkam hati saya. YA ALLAH YA RAHMAN YA RAHIM....KAU PERMUDAHKANLAH URUSAN KAMI, SELAMATKANLAH SUAMIKU DARIPADA SEBARANG BENCANA....YA ALLAH...BERILAH PELUANG KEPADA SUAMIKU UNTUK MENERUSKAN HIDUP....BERILAH PELUANG KEPADA KAMI MENJALANI KEHIDUPAN SEPERTI SEBELUM INI....

Saya naik ke tingkat 1 dan duduk menunggu di ruang yang disediakan. Kegelisahan tidak perlu digambarkan lagi. Doa tidak putus saya lafazkan dalam hati. Beberapa orang wanita datang dan duduk berhampiran saya. Dua daripadanya warga Indonesia dan seorang lagi wanita Inggeris yang begitu tenang duduk betul-betul di sebelah kanan saya sambil membaca buku.

Saya merasa serba tidak kena. Fara pula tak sampai-sampai lagi.......YA RABBI, TENANGKANLAH HATI HAMBAMU YANG LEMAH INI...

Tepat jam 6.35 petang saya terdengar seseorang menyebut nama hb. Saya berdiri dan dan terus mendapatkan petugas yang sedang mencari saya. Saya diminta masuk ke bilik ICU untuk melihat hb..........

ALHAMDULILLAH...hb selamat melepasi saat-saat genting sebentar tadi. Masih tidak sedarkan diri. Nurse memberitahu saya mungkin hb hanya akan sedar semula tengah malam nanti. Saya merenung wajah hb. Leher dan dadanya dipenuhi wayar. Hb bernafas dengan bantuan oksigen.

Saya sentuh tangan hb. Tidak ada respon. Saya tatap wajahnya lama-lama....

Fara sampai. Saya bertanya kepada nurse sama ada saya perlu tinggal di hospital atau boleh pulang ke rumah. Kalau diikutkan adalah lebih baik saya tinggal di hospital atau setidak-tidaknya berdekatan dengan kawasan hospital supaya senang untuk datang sekiranya berlaku kecemasan. Keadaan hb memang belum stabil dan risiko untuk serangan strok memang tinggi.

Nurse memberitahu saya IJN ada menyediakan tempat penginapan atau dipanggil dorm untuk waris pesakit bermalam sekiranya tempat tinggal jauh dari hospital.

Apa yang saya tahu, memang ada asrama untuk keluarga pesakit menginap, tetapi di Jalan Semarak, bukan di IJN. Setelah berbincang dengan Fara, saya mengambil keputusan untuk pulang ke rumah. Saya bertawakal kepada ALLAH dan berdoa semoga tidak berlaku apa-apa musibah yang tidak kami ingini.

Kami menaiki teksi ke stesen Putra untuk mengambil komuter pulang ke Bangi.


6 Disember 2011

Fara mengambil cuti. Kami lima beranak bergerak ke IJN untuk menziarahi hb. Memang peraturan ketat di ICU, pelawat hanya boleh datang melawat dari jam 12.30 ke 1.30 tengahari dan dari 4.30 ke 8.00 malam.

Kami bergilir-gilir masuk. Hanya 2 pelawat dibenarkan masuk dalam satu masa. Hb dah sedar tapi belum 100%. Saya boleh bayangkan berapa banyak bius yang digunakan sepanjang tempoh pembedahan. Begitu juga dengan antibiotik yang perlu diambil bagi mengelakkan sebarang jangkitan.

Hb tak berselera makan. Wajahnya kusam. Kami belikan hb anggur hitam. Banyak hb makan.

Rupanya anggur adalah makanan yang perlu dielakkan oleh hb dalam tempoh pemulihannya. Selain mengandungi kadar gula yang tinggi (hb ada diabetes), anggur juga boleh menyebabkan batuk. Pesakit yang menjalani pembedahan pintasan koronari akan mengalami kesakitan yang teramat sangat sekiranya diserang batuk. Sebab itu setiap pesakit mesti ada satu bantal kecil untuk dipeluk rapat ke dada sekiranya mereka batuk. Tujuannya adalah untuk mengurangkan tahap kesakitan mereka.

Saya ingin sekali merakamkan gambar kenangan hb berada di ICU, tetapi peraturan di sini tidak membenarkan sama sekali penggunaan kamera.

Selepas habis waktu melawat, kami check-in di Hotel Putra yang terletak tidak jauh dari bangunan IJN, hanya perlu melintas jalan atau menaiki jejantas untuk ke sana.



7 Disember 2011 - 11 Disember 2011

Gambar diambil sekitar jam 7 pagi dari tingkat 6, Hotel Putra

Hb dipindahkan ke HDU (High dependency unit) setelah 3 malam berada di ICU. Di HDU keadaannya lebih sempit kerana kedudukan katil yang agak rapat di antara satu sama lain. Walaupun hanya ada 5 katil @ pesakit di HDU tetapi kerana saiz biliknya lebih kecil daripada ICU, terasa agak sempit.

Hb mengadu punggung dan belakang badannya sakit. Ye la dah berapa hari hanya mampu duduk dan baring, duduk pun setempat sahaja, baring pula tidak boleh mengiring, apatah lagi untuk bangun dan berjalan-jalan.

Petang Sabtu, 10 Disember 2011, jam 4.45 petang, barulah hb dipindahkan ke wad biasa. Anak-anak pulang ke rumah, setelah 4 malam tidur di hotel dan berulang-alik ke hospital. Saya berpindah tinggal di hospital, temankan hb.

Menariknya IJN ni, waris yang menemani pesakit di wad (kecuali bilik ber-4) diberikan kemudahan katil lipat dengan tilamnya yang agak tebal dan selesa, juga bantal dan selimut tebal, sama seperti yang digunakan oleh pesakit. Malah nurse datang menghantar katil itu ke bilik kami.


Tugas saya di hospital tentunya menjaga keselamatan dan kebajikan hb. Hb belum boleh dibiarkan berjalan sendiri apatah lagi untuk ke tandas berseorangan. Memandangkan kesan pembedahan di kaki kiri amat panjang, iaitu dari paha hingga ke atas buku lali ditambah dengan hb yang menghidap kencing manis, proses pemulihan sangat lambat. Malah amat berisiko sebenarnya kerana jika tidak dirawat dengan sempurna, kesan pembedahan akan dijangkiti kuman.

Di sini juga cara pemakanan saya berubah. Saya hanya makan roti semasa bersarapan. Tengahari saya akan membeli makanan di cafe dan makan bersama hb. Malam saya tidak makan, sehinggakan saya tidak sabar untuk mengukur berat badan saya. Mudah-mudahan berkuranganlah kilogram saya!!




Institut Jantung Negara, 3 - 16 Disember 2011

Bahagian Dua

4 Disember 2011, jam 5.00 petang saya bertolak ke IJN, dihantar oleh Fara dan Dina. Saya perlu menemani hb dan memberikannya semangat serta kekuatan untuk menghadapi hari yang sangat penting...... Saya tahu risiko pembedahan tersebut, apatah lagi dalam keadaan hb yang memiliki penyakit 3 serangkai.

Pihak IJN menyediakan katil lipat yang hampir menyerupai kerusi malas untuk kegunaan ahli keluarga yang menemani pesakit di waktu malam. Alhamdulillah....Tidaklah saya tidur bersandar di kerusi sahaja, walaupun sebelumnya saya sudah memikirkan sedemikian dan tidak menganggapnya sebagai satu masalah.

Dalam syahdu dan debaran menanti hari esok, saya sempat mengirim sms kepada Rosnita : "Selama kawin, belum pernah pergi bercuti berdua-duaan, akhirnya malam ini baru kami dapat honeymoon...!!" Ya.......berbulan madu di Institut Jantung Negara!!

Hb diarahkan berpuasa bermula jam 10 malam.

5 Disember 2011. Pembedahan dijangkakan jam 1 tengahari dan hb merupakan 'pesakit' yang ketiga.

Jam 12.20 hb diminta membuat 'ultrasound'. Menjelang 1 tengahari seorang jururawat memaklumkan kepada kami bahawa doktor yang akan melakukan pembedahan telah 'mencari' hb. Jururawat tergesa-gesa menghantar saya dan hb kembali ke wad. Hb memohon untuk bersolat Zuhur dahulu sebelum bertukar pakaian.

Saya membantu hb memakai pakaian yang telah dikhaskan untuk proses pembedahan tersebut. Kemudian saya berkejar untuk menyimpan beg pakaian kami di setor memandangkan wad yang kami huni sebelum ini perlu dikosongkan.

Hb baring di atas katil dengan ditolak oleh jururawat. Saya mengikut mereka sehingga sampai ke Blok A, Bahagian Pembedahan. Di situ hb dipindahkan ke katil lain untuk dibawa masuk ke dewan bedah. Saya menatap wajah hb dan menyalaminya. Wajah yang kelihatan begitu bersih (yang kemudiannya baru saya terfikir - wajah yang pucat sebenarnya). Sempat saya cium pipinya dan mengucapkan padanya : "Kuatkan semangat abang. InsyaALLAH semuanya akan selamat. Saya tunggu abang." Saat ini airmata saya bergenang tapi saya tahan sekuat hati. Saya tidak mahu hb menjadi lemah melihat saya....

(Waktu ini saya sempat mengambil gambar hb 3 kali menggunakan handphone. Malangnya belum sempat saya transfer gambar ke laptop, hp saya diserang virus, habis hilang semua yang ada di dalam memory card).

Saya lepaskan tangan hb dan sebaik pintu ditutup saya terus turun ke tingkat bawah. Di satu penjuru, di kerusi paling tepi, saya duduk keseorangan dan menangis.....

Saya kuatkan semangat saya. Saya lap airmata yang mengalir di pipi. Kemudian saya menuju ke hentian teksi. Saya mengambil keputusan untuk ke ofis. Niat saya selain untuk memohon cuti, saya perlukan teman-teman untuk mengubati kesedihan saya.



Friday, December 30, 2011

Institut Jantung Negara, 3 - 16 Disember 2011

Bahagian Satu

Petang 30 November 2011, saya mendapat panggilan daripada hb yang ketika itu berada di Kuala Terengganu atas urusan kerja. Beritahu hb, IJN telah menghubunginya dan memaklumkan supaya hb menjalani pembedahan pintasan jantung koronari pada minggu depan, dijangka hari Selasa 6 Disember. Hb perlu masuk wad pada 3 Disember 2011 untuk tujuan persediaan dan pemantauan memandangkan hb menghidap kencing manis dan darah tinggi selain kadar kolestrol yang boleh tahan tingginya.

Saya tanya hb : apakah hb telah bersedia menjalani pembedahan tersebut? (Sebenarnya selama tempoh 'penantian' untuk dipanggil menjalani pembedahan oleh pihak IJN, kami telah berusaha mendapatkan rawatan alternatif, termasuklah yang terkini di Pusat Rawatan Al-Hidayah).

Saya tahu hati hb rusuh, begitu juga hati saya. Kalau setahun dulu sewaktu kami dimaklumkan tentang keadaan kesihatan hb oleh pihak IJN, kami telah bersedia sepenuhnya untuk menjalani pembedahan tersebut. Namun selepas mendengar pendapat daripada beberapa ahli keluarga, kami mengharapkan rawatan alternatif akan mampu menyembuhkan hb dan menghindarkannya daripada menjalani pembedahan.

Diringkaskan cerita, hb bersetuju untuk menjalani pembedahan tersebut....

2 Disember 2011 - Hari ulangtahun kelahiran saya dan Fara. Malam ini kami meraikannya di Restoran MFC, BB Bangi. Kami makan dengan penuh kegembiraan tanpa mahu memikirkan tentang hari esok.

3 Disember 2011, jam 10.00 pagi kami bertolak ke IJN, Kuala Lumpur. Hb, saya, Fara dan Dina. Sebaik sampai hb terus mendaftar masuk ke wad di kaunter pendaftaran kemasukan wad.

Hb di tempatkan di Wad Kenanga.

Memandangkan tarikh pembedahan belum dipastikan lagi, saya tidak menemani hb di hospital malam ini. Jadi sekitar jam 3 petang saya pulang ke rumah bersama anak-anak.

4 Disember 2011, saya meluangkan masa menghadiri majlis menyambut menantu anak saudara saya di Seksyen 4 BB Bangi. Itu pun selepas puas saya berfikir akan kewajaran saya menghadiri majlis tersebut memandangkan hb keseorangan dan pastinya dalam keresahan di IJN.

Sekitar jam 3 petang saya menerima sms daripada hb memaklumkan dia akan dibedah esok........



Thursday, November 17, 2011

Hari yang sibuk, tapi penuh kegembiraan.....

Jam 11.2o setelah Nad memaklumkan keputusan UPSR sudah diperolehi, saya terus ke sekolah. Nad menunggu di pintu pagar, memeluk saya dengan gembira.

Melihat saki-baki suasana kegembiraan guru-guru Tahun 6, saya rasa terkilan kerana tidak turut bersama Nad menanti penuh debaran keputusan diumumkan. Tak sangka pula begitu ramai ibu-bapa yang datang meraikan anak masing-masing. Nad cakap, ada mak yang melompat-lompat kegirangan bila anaknya mendapat keputusan cemerlang. Malah ada yang terus memberikan hadiah kepada si anak di situ juga, yang menurut Nad, sama ada i-pad atau tab. Fuhh....dasyatnya!!

Cadangan asal saya hanya akan datang bila Nad telah dapat keputusan, itu pun sekiranya 5A. Bila difikirkan semula, rasa bersalah pula pada Nad. Mendengar Nad bercerita macam mana pelajar dan guru-guru bersorak kegembiraan....Guru-guru dengan perasaan penuh syukur dan bangga dengan pencapaian tahun ini.........

Setelah mengambil gambar Nad, saya ke sekolah Dina untuk menjemputnya pulang setelah SPMnya selesai sekitar jam 12.30. Oleh kerana saya sampai di SMK Jalan Tiga jam 12.15, saya menunggu hampir setengah jam di dalam kereta, dengan cuaca di luar begitu panas dan berbahang...sementelah kereta kecil kami sudah agak lama usianya....aircon pun tak cukup dingin....

Kami pulang ke rumah untuk mengambil Danial pula. Tugas saya seterusnya adalah ke SMK Jalan Reko untuk mengambil wang RM100.

Agenda seterusnya............makan di Secret Recipe sebagai memenuhi janji saya pada Nad.....


Syukur ALHAMDULILLAH dengan segala kurniaan dari Ilahi........

Sedang bercuti tapi tak sihat la pulak...

Malam semalam saya, Fara & Dina keluar makan. Alasannya lepas SPM hari ke 2, Dina sebut-sebut kat Fara nak makan roti john sadin spesel, tapi Fara tak pergi sebab dah sampai rumah pun masa tu.


Bila saya balik kerja dan Fara bercerita hal ni, saya ajak mereka keluar. Biarlah....tengah demam exam ni saya penuhi keinginan anak-anak.

Saya order air kopi special, panas........Bila minuman saya sampai, ada warna coklat kat sebelah atas. Saya tegur : ni kopi ke? Waiter tu jawab : Eh ada teh kat atas ni.... Dia pun bawa air tu ke belakang, keluarkan warna coklat yang dikatakan "teh" tadi dan hidangkan semula kepada saya. Seminit lepas tu, Fara tegur saya : Eh, bukan ibu minta kopi panas ke? Saya jawab : Eh, yelah....tak apalah, minum je lah. Tadi pun dah silap, malas la nak panggil lagi.

Saya pun menikmati kopi special yang pada tekak saya, kurang sedap. Tidak seperti kopi yang saya minum di restoran cawangannya 2 hari lepas.

Malamnya, tiba-tiba je saya selsema. Semakin lewat malam, saya terbatuk-batuk pula. Saya kata pada Farah sambil gelak : Entah-entah pasal minum kopi ais tadi.......

Semalam, menjelang tengahari saya rasa badan saya kurang selesa. Nak kata demam, tak demam pun. Saya tidak memasak untuk makan tengahari, sebaliknya makan di kedai selepas mengambil Nad dari sekolah.

Hmmm....nasi kukus ni kenapalah basah sangat? Masuk air ke? Saya memang tidak gemar makan nasi berkuah. Bila saya dah bubuh lauk kerabu perut, lagilah "basah" nasi saya. Hmm...rezeki jangan dirungut.....

Saya tak mampu menghabiskan nasi saya. Mungkin selera saya yang tidak seperti selalu. Sebenarnya pun, nasi basah tu juga menyumbang kepada ketidakhabisannya......

Agak petang, saya sms Fara, minta dia singgah beli nasi kukus ayam berempah yang selalu kami beli tak jauh dari simpang ke rumah saya. Saya memang tak ada "mood' nak masak.

Kedai nasi kukus tak beroperasi............hmmm...........takpa lah, biarlah dapur saya yang beroperasi. Saya masak sambal sadin, goreng telur dan ulam timun...

Pagi ini, bila terjaga dari tidur, selsema saya semakin teruk, tekak perit.

Dalam perjalanan pulang dari menghantar Dina, di simpang tiga yang sibuk, saya nyaris-nyaris melanggar motor yang saya sangka akan membelok ke kiri. Mujur dia mengelak dan saya juga sempat menekan brek. Menggigil badan saya....Bila keluar daripada simpang, dalam keadaan saya yang sedang berdebar-debar, roda belakang sebelah kanan terlanggar divider.......dan saya masuk lorong dengan kelam-kabut tanpa melihat ke belakang. Alhamdulillah selamat.

Menghampiri simpang masuk ke taman perumahan saya, saya terserempak dengan eksiden yang nampak seperti baru berlaku....Tangan yang masih sejuk, terasa bertambah sejuk.......

Sampai di depan rumah, selepas mematikan enjin, saya duduk beberapa saat di dalam kereta, menenangkan fikiran saya........


Wednesday, November 16, 2011

Bantuan khas awal persekolahan RM100

Seperti mana yang diumumkan dalam bajet 2012 yang dibentangkan pada 7 Oktober 2011, hari ini SKS7 Bandar Baru Bangi mulai menyerahkan wang bantuan tersebut kepada ibubapa pelajar.

Semalam surat pekeliling telah diedarkan dan untuk murid sesi pagi, ibubapa dikehendaki datang mulai jam 10.30 pagi hingga 3.00 petang sementara untuk sesi petang mulai 12.00 tengahari hingga 6.30 petang di kelas anak masing-masing.

Memanglah kepada setengah orang terutamanya yang berada @ bergaji besar, wang RM100 tidaklah sebesar mana. Malah Yang Dipertua PIBG ketika berucap pada hari Anugerah Kecemerlangan pada Sabtu lepas mencadangkan kepada sesiapa yang tidak perlukan wang itu supaya mendermakan saja ke tabung PIBG. YDP juga menyatakan yang beliau sendiri akan berbuat demikian.

Terpulang kepada diri masing-masing. Ada yang berpendapat : orang dah bagi, ambil sajalah. Lagipun terserahlah kepada kita untuk apa wang itu akan digunakan. Kalau kita nak menderma sekalipun, kita berhak memilih siapa yang patut menerima derma kita. Mungkin boleh beri kepada anak-anak saudara yang kurang berkemampuan atau kepada anak-anak yatim yang miskin.

Saya bercadang untuk ke sekolah Nad sebelum jam 12.oo nanti. Dah kebetulan saya bercuti hari ini, biarlah saya uruskan hal-hal yang seperti ini.


Saturday, November 12, 2011

Nadya - SKS7, Bandar Baru Bangi

Pagi ini saya menghadiri Majlis Anugerah Kecemerlangan SKS7 Tahun 2011 di sekolah Nad. Nad mendapat tempat ketiga di dalam kelasnya dengan markah 90.0 peratus. Alhamdulillah.


Semoga keputusan UPSR yang akan diumumkan pada 17 November 2011 memberikan kegembiraan kepada kami, mudah-mudahan, insyaALLAH.



Sunday, October 30, 2011

Kalumpang Resort & Training Centre


Kursus JKK's Mental & Inner Boost-up, 29 & 30 Oktober 2011

Beberapa minggu sebelum program ini berlangsung, saya memang tidak gembira untuk menyertainya. Meredah hutan, mandi sungai, memang sudah lama saya lupakan. Membayangkan pacat dan lintah, sudah membuatkan saya resah teramat sangat. Namun mengenangkan program @ kursus ini diwajibkan kepada semua staf JKK, saya tidak mampu berbuat apa-apa selain akur dan "saya yang menurut perintah".

Kami bertolak menaiki bas ofis. Kepada yang tinggal tidak jauh dari KRTC, mereka menggunakan kereta masing-masing untuk ke tempat tersebut.

Selepas bersarapan nasi lemak yang teramatlah menyelerakan, kami check-in di bilik masing-masing.

Program dimulakan dengan permainan boling kelapa. Wahhh......gamat sungguh suasana dengan gelak ketawa kami.......Masing-masing berasa seronok, hilang semua gundah gulana beberapa minggu sebelum ini.

Selepas makan tengahari dan bersolat Zuhur, maka bermulalah acara meredah sungai........Oleh kerana saya berada di Kumpulan 1, maka kamilah yang mendahului perjuangan ini. Saya mengaku saya melakukannya dengan penuh semangat, tanpa sedikitpun rasa bimbang. Arus yang deras berjaya saya harungi dengan kudrat yang ada.

Kami melalui 4 peringkat, termasuklah satu daripadanya yang begitu menyukarkan. Saya hampir tidak mampu untuk naik ke atas batu besar dengan cara mendaratkan punggung, sebaliknya saya memanjat dan berpijak di atas batu tersebut di mana cara itu adalah bahaya kerana kemungkinan kita boleh jatuh terhentak akibat batu yang licin. Alhamdulillah semuanya selamat dan kami mengakhirinya dengan bermandi manda sepuas-puas hati kami.

Pagi hari kedua, selepas bersenam ala poco-poco, kami bermain air kolam dengan acara pertama pukul bantal....Setiap pasukan menampilkan 4 peserta untuk beradu tenaga. Gamatnya tidak terkata dengan sorakan dan jeritan...

Kemudian kami bermain bola jaring pula...........

Acara berakhir sekitar jam 12.30 tengahari.........

Sesungguhnya peristiwa ini sangat manis untuk dikenang. Inilah kali pertama saya merasa benar-benar gembira menjalani aktiviti luar pejabat. Inilah juga kali pertama aktiviti luar disertai oleh semua staf termasuklah setiausaha yang terpaksa meninggalkan bayinya yang baru berusia 4 bulan.........Malam ketiadaan mamanya, si bayi terpaksa tidur diselimuti baju mama yang belum dicuci.......







Monday, October 17, 2011

Sekadar catatan

Setelah lebih setahun tak memandu kereta, pagi ini saya terpaksa memandu untuk ke setesen komuter UKM. Hb outstation 4 hari. Fara pula bertugas di Kelana Jaya.

Hehe...terkial-kial saya nak keluarkan kereta dari laman rumah. Dan terkial-kial juga nak park di stesen komuter tu. Mujur masih banyak tempat kosong dan mujur juga tren 6 koc lewat tiba hari ini, kalau tidak melepaslah nak naik dan lambat la saya sampai ke ofis.

Petangnya saya sampai di stesen Bank Negara pukul 5.50. Orang ramai sangat. Tren lambat. Bila tren 6 koc sampai, terpampang perkataan Kajang di depan tren, maksudnya tren hanya sampai ke stesen Kajang. Memandangkan tren tak ramai orang, saya pun naik. Setidak-tidaknya saya boleh duduk dengan selesa dan turun di Kajang daripada saya berhimpit-himpit dalam tren yang selepasnya.

Rupa-rupanya bila sampai di stesen Kajang, semua yang ada dalam tren turun dengan lebih 90% daripadanya akan menaiki tren berikutnya. Selebihnya adalah penumpang yang memang turun di Kajang. Maka berduyun-duyunlah manusia menaiki tangga untuk ke rel sebelah. Penuh sesak sampai tak boleh nak melangkah, terpaksalah bersabar, sampaikan semasa tren berikutnya sampai, ramai lagi yang masih berada di atas jejantas.

Tren penuh sesak, ramai penumpang tak dapat naik. Mujur tren selepas itu tiba hanya selang 5 minit. Tetapi saya berjanji pada diri sendiri saya tak akan naik lagi tren Kajang. Biarlah saya tunggu tren Sg Gadut @ Seremban atau Bangi di stesen Bank Negara dan terus sampai ke destinasi yang dituju. Serik juga melalui pengalaman berasak-asak menaiki jejantas...




Tuesday, October 4, 2011

...sedang teringat pada mak..........

Lepas Maghrib tadi aku teringat sgt pada Allahyarham mak, ingatan yg lebih dari biasa. Aku teringat betapa dulu emak selalu kesunyian, rindukan anak cucunya.........Aku teringat betapa berdosanya aku membiarkan mak kerinduan...Mak yang memiliki 6 orang anak dan 26 cucu, yg 5 daripadanya tinggal 1 negeri dgn mak, tetapi tidak mampu bergilir berjumpa mak seminggu sekali.....


Aku tau mak sedih. Aku sedar mak selalu memendam rasa, menanggung rindu yg sarat. Aku berusaha mengaturkan jadual utk bertemu dgn mak sesama adik-adikku. Namun seringkali ada yang gagal mematuhi jadual dgn alasan ada urusan keluarga, hal anak-anak, anak ada sukan lah, suami out station lah, anak ada kelas tambahan dan pelbagai lagi........Aku sering cuba menghubungi mak. Mak selalu mengatakan mak faham kesibukan anak-anak. Tetapi selepas mak pergi, aku tahu betapa kejamnya aku membuat mak begitu kurang meluangkan masa bersama cucu-cucunya disebabkan anak-anak tidak selalu pulang ke kampung.

Mak, maafkan saya mak.....






Wednesday, September 14, 2011

UPSR 2011

14 September 2011

Smlm saya bercuti, memang khas untuk memberi semangat kepada Nad dalam menghadapi UPSR. Entahlah macam mana saya boleh tak terfikir langsung untuk menghantar Nad hingga ke dalam kawasan sekolah. Saya & hb hanya menurunkan Nad di luar pagar, memeluk & menciumnya dan melihat dia melangkah masuk....Kemudian saya pulang ke rumah.

Tengahari tu Nad bercerita mengenai rakannya yang ditemani ibu mereka sehingga mereka memasuki dewan peperiksaan. Hmm...esok saya sepatutnya bekerja. Saya hanya mengambil cuti sehari sebab hb telah bercuti selama 3 hari. Pada saya memadailah hb seorang yang menghantar & mengambil Nad.

Setelah berfikir dua tiga kali saya mengambil keputusan untuk memohon cuti setengah hari pada esoknya.

Saya menghantar Nad hingga ke kawasan sekolah. Saya duduk di kantin sambil mendengar taklimat yang diberikan oleh Guru Besar.

Jam 8.00 pagi semua murid bergerak masuk ke dalam dewan secara bergilir-gilir. Di sekolah ini dewan tidak cukup untuk menampung semua murid, jadi sebahagiannya di tempatkan di dalam kelas.

Semoga Nad beroleh kejayaan, insyaALLAH.

Friday, July 15, 2011

Macam-macam ragam...

Seperti yang pernah saya tulis sebelum ini, saya bukanlah pelanggan tetap KTM komuter. Hanya sesekali saya menaikinya.

Pagi tadi saya menaiki tren seawal 6.35 pagi di stesen UKM Bangi. Tidak semua penumpang mendapat tempat duduk, termasuklah saya. Tak apalah pagi-pagi begini tenaga masih banyak, berdiri pun tidak mengapa, walaupun sebenarnya menginginkan tempat duduk untuk merehatkan badan, apatah lagi perjalanan agak jauh, lebih 45 minit.

Pelbagai ragam yang boleh dilihat di koc wanita ini. Agak kelakar, rupanya kaum wanita juga ada yang berdengkur ketika tidur. Kroohh....kroohh.....dan ini akan membuat yang mendengar akan menoleh, mencari-cari siapakah empunya dengkuran tersebut.

Terfikir juga di hati saya, apakah saya juga tidur berdengkur? Sekiranya saya mendapat tempat duduk ketika balik dari kerja, memang saya kerap tertidur. Saya sedar juga adakalanya kepala saya terlentok ke kiri atau kanan, kadang tersengguk-sengguk ke depan, malah saya pernah tersedar saya tersenyum dalam tidur.............Bayangkanlah kalau dilihat orang!

Kerap juga saya melihat orang berebutkan tempat duduk. Bila ada penumpang yang bangun, akan ada penumpang yang berdiri agak jauh dari tempat duduk tersebut, cepat-cepat cop tempat tu dengan cara meletakkan beg, malah pernah saya tengok seorang wanita melemparkan begnya ke tempat duduk tersebut bagi memastikan tiada orang lain yang akan duduk di situ. Kemudian dia akan meloloskan diri di celah orang yang bersesak-sesak lalu duduk di tempat yang telah dicopnya tadi. Kadang-kadang rasa kasihan kepada penumpang yang berdiri di depan penumpang yang bangun & turun itu. Seharusnya dia yang duduk di situ.

Saya terkilan juga kerana yang merebut tempat bukanlah yang berusia, sebaliknya wanita muda, malah pernah sekali di depan mata saya, yang merebut tempat itu seorang gadis sangat muda dan nampak bertenaga.

Barangkali beginilah dunia kita sekarang. Masing-masing memikirkan diri sendiri. Yang muda akan berkata : "Saya pun penat, saya pun ada hak nak duduk".



Thursday, July 14, 2011

Mengharap sinar menelan kabus

Sejak awal pagi tadi, hati saya agak rusuh. Entah la kenapa saya harus marah-marah pada hb yang sedikitpun tidak bersalah. Akibatnya saya tertinggal tren 6.52 pagi, ya, hanya beberapa saat...!!

Memang selepas saya melangkah keluar rumah, terdetik di hati akan ada sesuatu berlaku yang bakal membuat saya 'padan muka' sebagai balasan perbuatan saya yang kasar terhadap hb. Dan...tertinggal tren itulah yang saya anggap sebagai balasannya...!!

Menjelang jam 9 pagi Fara sms, memaklumkan dia diterima menyertai SL1M. Seharusnya saya gembira, setidak-tidaknya Fara akan mendapat pengalaman bekerja, biar pun sekadar menerima elaun sahaja.

Banyak perkara yang saya fikirkan. Paling utama, kalau sebelum ini, Fara banyak membantu saya menguruskan adik bongsunya, Nad, selepas ini tak tahulah bagaimana...... Sebab itulah saya mengharapkan Fara mendapat kerja di sekitar Bandar Baru Bangi atau Kajang.

Tempat kerja saya yang jauh memaksa saya untuk keluar awal pagi. Saya tinggalkan Nad untuk di'urus'kan oleh kakaknya, Fara. Jadi bila Fara juga perlu keluar awal pagi, sekali dengan saya dan hb untuk bekerja, sudah tentu timbul kesulitan untuk menguruskan Nad. Untuk menghantarnya ke sekolah seawal 6.35 pagi adalah tidak munasabah. Siapa yang ada di sekolah seawal itu? Siapa yang akan menjadi teman Nad di sekolah pagi-pagi macam tu?


Untuk ditinggalkan Nad sorang-sorang mengurus diri sendiri, tidaklah rumit sangat, tp membiarkan dia keseorangan keluar dari rumah dan duduk menunggu bas sekolah jam 7 pagi, hati saya cuak juga. Anak perempuanlah katakan....

Masalah lain pula, tempat Fara akan bertugas nanti, di ibupejabat Tabung Haji, agak jauh dari tempat kerja saya. Dia akan berkejar menaiki Putra LRT. Dari stesen perlu berjalan agak jauh juga untuk ke pejabat. Sempatkah dia untuk sampai sebelum 8.30 pagi?


Sunday, July 10, 2011

HaPPy BirTHdaY.....NuR NaDYa.....

Esok baru Nadya genap 12 tahun. Memandangkan hari ni ada kelapangan, saya membuat keputusan untuk meraikannya hari ini.

Tempat pilihan Nadya adalah Restoran Secret Recipe. Walaupun di Seksyen 9 Bandar Baru Bangi ada cawangan Secret Recipe, saya membawa mereka ke Alamanda Putrajaya. Meriahlah sikit, kan.....
















Thursday, June 30, 2011

SEMOGA HIDUPMU AKAN LEBIH BAHAGIA DAN BERMAKNA

29 Jun 2011

Dinul Syamil datang ke ofis pagi ini. Rupanya dia dah mendapat kerja baru sebagai tutor di Kolej Islam Darul Ridzuan dan akan melapor diri pada 1 Julai 2011. Saya tumpang gembira dan bersyukur sangat atas rezeki yang diterimanya.

Kali ini Syamil meluangkan banyak masa di ofis dengan kawan-kawan lama. Bak kata orang, tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat 'praktikal'....Ya lah, lepas ni entah bila akan datang lagi ke sini. Memanglah Kuala Kangsar dengan Kuala Lumpur tidak jauh mana, tapi dengan waktu kerja yang sama dengan kami di sini, tentulah sukar untuk kami bertemu di ofis. Kalau sebelum ini Syamil bekerja di Zoo Negara dan waktu cutinya adalah hari Rabu, memang mudah untuk dia datang ke ofis dan jumpa semua orang sekali gus.

Sebagai 'ibu' saya mahu meluangkan masa dengannya sebelum dia pergi. Namun perkara ini tidak sempat berlaku atas sebab-sebab yang saya sendiri tidak pasti. Memang saya berkecil hati namun sebagai 'ibu' saya kena terima keadaan 'anak' saya seadanya.

Selepas Syamil meninggalkan ofis, saya terasa kehilangan. Saya sedih dan saya merasakan hari ini adalah hari terakhir saya melihatnya.

Syamil, doa ibu semoga hidup Syamil akan lebih cemerlang selepas ini. Syamil dah dapat kerja yang bagus dan yang paling penting yang sekian lama Syamil idam-idamkan, dapat tinggal bersama ibubapa. Selepas ini ibu harap tidak akan mendengar lagi keluhan Syamil. Ibu harap segalanya akan berubah dengan penuh keindahan dan kebahagiaan.


Kalau ada rezeki, memanglah ibu mahu Syamil terus menjadi anak ibu hingga akhir hayat dan ibu pun nak Syamil jadi seperti yang selalu Syamil ucapkan kepada ibu dulu.

Selamat bertugas di tempat baru, semoga berpanjangan.........



Wednesday, June 29, 2011

HATI SEORANG IBU

Anak-anakku, jangan pinggirkan ibu!

Entah mengapa, hati seorang perempuan yang bernama ibu ini cukup sensitif lebih-lebih lagi terhadap anak-anak. Entah mengapa, hati seorang perempuan yang bernama ibu ini tetap akan memaafkan anak-anak mereka walau pun berkali-kali hati dilukai!

Ya, mungkin kerana kasih sayang yang terlalu mendalam terhadap insan-insan yang pernah dikandung di dalam rahim mereka. Insan-insan itu tetap didoakan kebahagiaan dan kesejahteraan mereka dunia akhirat. Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan kasih sayang seorang ibu kepada anak-anaknya!

Namun, mengapa terlalu mudah seorang anak itu melukai dan menyakiti hati ibu tua ini? Pasti ada sahaja kata-kata berbisa yang terlontar dari bibir mereka, yang menyebabkan hati ini luka dan berdarah. Begitu pun, tidak pernah dipujuk, sebaliknya ibu tua ini juga yang terpaksa merawat sendiri hati yang terluka. Menjahit dan menampal kembali luka itu. Walau pun darahnya sudah terhenti, namun parut luka itu kekal di situ!

Apakah terlalu sukar seseorang anak menghormati dan menyayangi ibu mereka seikhlas dan setulus hati? Apakah terlalu sulit untuk menyayangi seorang wanita yang telah menyabung nyawa melahirkan mereka ke dunia ini? Apakah terlalu perit untuk mereka menjaga hati dan perasaan seorang perempuan yang dari hari ke hari, makin dimamah usia ini? Yang entah sampai bila nyawa dikandung badan?

Benar dan tepat sekali! Seorang ibu boleh menjaga sepuluh orang anak, namun 10 orang anak belum tentu dapat menjaga seorang ibu! Pelik kan? Namun itulah hakikat yang banyak terjadi pada hari ini, termasuk di dalam keluargaku sendiri. Memiliki tujuh orang anak yang masing-masing sudah berkeluarga membuatkan aku lebih banyak bersikap 'tak kisah', 'tak mengapa'. Kesibukan anak-anak membuatkan aku terasa diri ini makin terpinggir. Apatah lagi aku tinggal seorang diri sejak kematian suami 10 tahun lepas. Walau pun hidup di kelilingi jiran-jiran yang prihatin, namun jiwaku sebenarnya kesepian dan kosong. Keramahan, kemesraan dan kebaikan hati jiran-jiran tidak dapat mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh anak cucu. Pun begitu, aku sering memujuk hati sendiri; Ah! Anak-anak bukan tak sayang aku, tetapi mereka sibuk hingga tak sempat jenguk aku! Ya, itulah kata-kata yang sering kubisikkan pada diri sendiri setiap kali rindu bertandang. Namun, jauh di sudut hati, terselit rasa kecewa, terkilan, tersinggung dan berkecil hati. Takkan mereka lupakan ibu tua yang tinggal seorang diri ini? Selalunya aku yang akan telefon mereka bila rindu untuk bertanya khabar. Tetapi, biarlah, sebagai ibu aku tetap risau dan prihatin dengan anak-anak. Tak kisahlah kalau aku yang kena telefon mereka....Sekali lagi, aku pujuk diri sendiri!

Anak-anak, payah sangatkah hendak menjenguk ibu kalian ini walau sebulan sekali? Tak pun telefonlah sesekali untuk tanya khabar. Sihatkah ibu, makan tak dia...ini, masing-masing mengharapkan adik-beradik untuk bertanya dan ambil kisah. Sedangkan bagiku, aku adalah ibu kepada setiap orang daripada mereka. Jadi masing-masing punya tanggungjawab yang sama rata terhadap diriku. Tak timbul anak yang sulung atau yang bongsu sahaja yang perlu lebih ambil berat. Dek kerana tak nak menyusahkan anak-anak, aku lebih suka buat hal sendiri, selain nak mengubat kesunyian. Nasib baik ada teman-teman senasib yang ke mana sahaja bersama seperti mengikuti kelas mengaji dan sebagainya. Bila aku sibuk dengan hal sendiri, eh ada pula yang merungut kononnya susah nak balik rumah kerana ibu sibuk dengan aktiviti sendiri! Pernah ke mereka selami perasaanku yang sunyi hidup sendirian, jauh daripada anak-anak (walau pun dalam negeri yang sama!).

Anak-anak ibu, ketahuilah. Ibu tak mengharapkan wang tunai daripada kalian semua kerana ibu sendiri ada duit pencen ibu dan arwah ayah untuk menyara ibu seorang. Tetapi ibu berdoa agar diri ibu tak dipinggirkan (walau pun mungkin kalian tidak sedar).

Hanya kasih sayang dan perhatian yang ibu dambakan....! Pun begitu, ibu sentiasa mendoakan kebahagiaan kalian dunia akhirat, Amin!



Kisah di atas saya ambil daripada majalah MIDI keluaran 1 Julai 2011 (terbitan Grup Majalah Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd).

Maaf, saya mencatatkannya di sini tanpa izin penerbit. Saya sangat tersentuh dengan kisah tersebut, sehinggakan dua tiga kali saya membacanya. Saya ingin berkongsi kisah ini dengan rakan-rakan lain yang tidak sempat membaca MIDI.

Saya sangat bersimpati dengan nasib ibu tersebut. Alangkah tergamaknya anak-anak membiarkan ibu itu keseorangan dan sakit kerinduan!! Membaca kisah ini, saya terkenang kepada arwah emak saya yang sebelum ini juga sering kesunyian dan rindukan anak-anak serta cucunya. Kisah ini seolah-olah luahan hati arwah emak......Cuma bezanya mak tinggal bersama adik lelaki dan kami anak-anak sering juga melawatinya. Namun, kami tidak begitu kerap pulang ke kampung, malah pernah dalam sebulan hanya seorang anak yang pulang menjenguknya, sekalipun empat di antara kami tinggal sama negeri....!!

Setelah emak pergi.........saya menginsafi 'kekejaman' saya yang tidak selalu mendampingi emak...Saya sedih, namun semuanya telah terlambat....

Selepas apa yang berlaku kepada saya (sekalipun emak selalu cakap, emak memahami kesibukan anak-anak), saya sering menasihatkan rakan-rakan lain yang masih mempunyai ibubapa di kampung supaya kerap menziarahi mereka. Ucap saya kepada mereka : SAYANGI DAN BERBAKTILAH KEPADA IBUBAPA SEMENTARA MEREKA MASIH ADA...............