Sunday, June 16, 2013

Petua untuk penghidap cacar air @ chicken pox

Bila anak-anak dah kena cacar air, saya mencari maklumat cara-cara untuk menangani penyakit ini, khususnya untuk menghilangkan parut cacar air dengan lebih cepat. 

Ini adalah petua yang saya perolehi daripada beberapa blog. Kebanyakannya memberi petua yang sama atau hampir-hampir sama.

Petua menghilangkan parut cacar:

1. Jangan makan kicap!

2. Sapukan bahagian dalam kulit pisang pada bekas cacar. Lendir pada kulit pisang dipercayai boleh menyembuhkan parut tersebut. Amalkan setiap hari. Manakala pada tanda hitam, kisar kacang hijau sehingga menjadi debu dan sapu pada bahagian tersebut seperti bedak.

3. Parut sebiji jagung muda sehingga lumat dan sapukan pada bekas campak. Amalkan selama beberapa hari.

4. Gosokkan isi tomato pada muka dan dibiarkan seketika sebelum mencuci.

5. Menggunakan losyen atau gel yang mengandungi vitamin E atau produk menghilangkan parut yang ada dijual di farmasi. Antara jenama yang disarankan : bio oil, gel vitamin E jenama organic aid dan krim mederma - untuk disapu dibahagian parut.

6. Makan vitamin E, tetapi perlu dirujuk kepada doktor / pakar perubatan terlebih dulu.

7. Tumbuk kulit kayu manis sampai hancur seperti serbuk, bancuh dengan air biasa, jangan terlalu cair. Sapukan pada tempat yang berparut.

8. Lumur asam jawa pada parut, biar sampai kering. Yang ni akan rasa sedikit pedih. Setelah kering bilas dengan air.

Ini satu lagi blog tentang penyakit cacar air.


Terima kasih kepada tuanpunya blog yang sudi memberi maklumat untuk dikongsi bersama.



Anak-anak kena chicken pox

Ketika Nadia diserang cacar air, ramai yang mengatakan akan ada adik-beradik lain yang akan mendapat penyakit yang sama. Saya sendiri memikirkan perkara yang sama.

Dan....selepas hampir dua minggu Nadia mendapat cacar air, Farah mula demam. Dia tidak memberitahu saya. Kebetulan saya sangat letih. Saya memintanya masak untuk makan malam. Bila melihat salah satu hasil masakannya, saya menegur Farah.

Saya menegurnya untuk kali kedua dan saya tahu Farah berkecil hati. Silap saya juga, sepatutnya saya memberitahu cara memasak yang betul, bukan merendahkan hasil masakannya.

Seperti selalunya, Farah jarang makan malam. Alasannya dia baru makan sebelum saya sampai di rumah, biasanya jam 5 petang dia akan makan.

Malam tu dia berkurung saja di biliknya. Saya mengandaikan dia merajuk dengan saya dan saya hanya membiarkan. 

Esoknya, pulang dari kerja, Farah memberitahu yang badannya ditumbuhi bintik-bintik merah. Sah la yang Farah mendapat cacar air. Lepas makan malam saya dan hb membawanya ke klinik.

Tengahari Jumaat 14 Jun 2013, Farah sms memberitahu yang Danial baru menelefonnya. Dia demam hari Rabu dan Khamis (sama seperti Farah) dan pagi Jumaat tu baru dia menyedari ada bintik-bintik merah di muka dan badannya. Warden asrama akan membawanya ke klinik selepas solat Jumaat dan sekiranya dia disahkan menghidap cacar air, maka saya perlu membawanya pulang ke rumah.

Petang itu dari pejabat saya dan hb terus ke asrama Danial untuk membawanya pulang.

Antara Farah dan Danial, nampaknya Farah yang lebih teruk keadaannya. Mukanya penuh dengan bintik-bintik merah sehingga rupanya menjadi lain. Di kelopak mata pun ada malah di dalam mulut lagi banyak. Keadaan ini membuatkan mulutnya merasa pedih, tekaknya sakit dan sukar untuk menelan makanan.

Jika Nadia sebelum ini masih berselera untuk makan, begitu juga dengan Danial. Danial juga masih boleh ketawa dan berjam-jam menghadap komputer, sedangkan Farah hanya terbaring kelesuan.

Tugas saya....sebagai emak, tentulah menjadi tanggungjawab saya memastikan hidangan yang disediakan sesuai dengan keadaan mereka yang tidak sihat. Tidak ada telur, tidak ada ikan yang 'gatal' dan tidak ada makanan laut. Begitu juga dengan kicap, salah satu kepantangan untuk penghidap cacar air.

Untuk Farah saya masakkan bubur nasi. Kesukarannya untuk menelan makanan membuatkannya tiada pilihan untuk makan selain bubur. Saya gorengkan ayam dan siat kecil-kecil.

Saya juga memberi mereka minum air kelapa. Orang kata untuk 'mengeluarkan' semua cacar yang ada.

Nampaknya anak kedua saya Adina, yang jauh di Seri Iskandar, Perak masih selamat. 

Menariknya dua hari lepas, seorang rakan sepejabat bercerita.... Dalam satu masa akan hanya tiga ahli keluarga yang diserang cacar air. Tidak akan berlaku lebih daripada jumlah itu. Maknanya ahli keluarga lain yang belum pernah mendapat cacar air tidak akan mendapat penyakit itu dalam tempoh masa yang sama.

Kalau pendapat ini benar, Adina tidak akan mendapat cacar air pada masa ini.




Saturday, May 25, 2013

Lima tanda suami curang

1. Berubah menjadi panas baran

Jika sebelum ini suami sentiasa berkata dengan lemah lembut dan sopan, tetapi secara tiba-tiba berubah menjadi bengis dan suka marah-marah. Malah isteri dimarahi dengan menjadikan alasan sikap isteri suka membebel memeningkannya padahal sebelum ini suami tidak bersikap sedemikian.

2. Tiba-tiba menjadi sibuk

Perubahan ketara suami yang sentiasa bertugas di luar dengan pelbagai alasan. Malah dalam keadaan tertentu suami hanya mengatakan dia sibuk menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) tanpa mahu bertemu dengan anda.

3. Sering berahsia

Segalanya tidak mahu dikongsi bersama, baik hal di pejabat mahupun kisah peribadi. Tambah mencurigakan, suami sering 'lari' sebaik menerima SMS. Bila telefonnya berdering suami menjawab di tempat jauh dan bercakap dengan cara berbisik-bisik.

4. Semakin bergaya

Penampilan suami yang dulunya biasa-biasa bertukar dengan drastik. Rambut baru, pakaian baru, berminyak wangi seperti di zaman bujang.

5. Menjadi bertambah penyayang

Ada setengah suami yang curang, jika sebelum ini payah mahu memeluk atau memanjakan anda, tiba-tiba menjadi keterlaluan daripada biasa. Ada kalanya akan membuat 'surprise' dengan memberi hadiah untuk mengaburi mata anda.

Jadi...awasilah suami anda!!




Friday, May 24, 2013

Amalan minum air panas

Perkongsian ilmu daripada insan yang prihatin. Terima kasih kepada yang menghantar emel kepada saya.

Baca dan kongsilah bersama teman dan kenalan anda.

Serangan jantung dan amalan meminum air panas.

Artikel ini berguna untuk semua, bukan saja mengenai amalan meminum air panas tetapi juga mengenai SERANGAN JANTUNG.

Secara logik mungkin ada kebenarannya. Orang-orang China dan Jepun mengamalkan minum teh panas sewaktu makan atau selepasnya, bukan minuman berAIS.

Mungkin sudah tiba masanya kita meniru amalan meminum air panas sewaktu menikmati hidangan. Kita tidak kehilangan apa-apa, malah akan mendapat faedah daripada amalan ini.

Kepada sesiapa yang suka minum berAIS, artikel ini sesuai untuk dibaca.

Sememangnya sedap minum air berAIS semasa atau selepas makan. Walau bagaimanapun ais akan membekukan makanan berminyak yang baru kita makan. Ini akan memperlahankan proses penghadaman kita. Bila lemak-lemak ini terbentuk di dalam usus, ia akan menyempitkan banyak saluran darah dan lama-kelamaan akan menyebabkan lemak berkumpul dan kita semakin gemuk dan menuju ke arah mendapat pelbagai penyakit. Jalan terbaik adalah meminum sup panas, air panas atau air suam selepas makan.

NOTA PENTING TENTANG SERANGAN JANTUNG.

Anda patut tahu bukan semua tanda-tanda serangan jantung akan mula terasa di sebelah tangan kiri. Berhati-hati juga pada permulaan sakit sedikit-sedikit pada bahagian atas dada. Anda mungkin tidak mengalami sakit dada pada serangan pertama serangan jantung.

Keletihan dan berpeluh-peluh adalah tanda-tanda biasa. Malah 60% penghidap sakit jantung tidak bangun selepas tidur. Marilah kita berwaspada dan berhati-hati. Lebih banyak kita tahu, lebih cerah peluang kita untuk terus hidup.