Sunday, February 3, 2013

Melawat Muhammad Danial di asrama

Hari ini masuk hari ke-6 Danial tinggal di asrama....

Petang Khamis 31 Januari 2013, Danial menghubungi saya memaklumkan hujung minggu ni tak dibenarkan balik rumah (istilah sebenar - balik kampung...hehehe...). Alasan : lagi seminggu cuti panjang sempena tahun baru cina.

Hmm...ikutkan warga Kuala Lumpur, 1 Februari adalah cuti umum. Hari tu Danial dah berangan-angan mahu pulang ke rumah, sama ada petang Khamis atau pagi Jumaat. Tak apalah, bukan lama pun, dalam seminggu je lagi.

Danial meminta saya membelikannya dua helai seluar panjang hitam dan minta dihantar padanya hujung minggu ini. Tiga empat kali Danial berpesan supaya datang antara jam 2 - 3 petang. Katanya kalau lewat sangat, ramai ibubapa yang datang, mungkin sesak dan tiada tempat untuk duduk-duduk.

Lepas Zuhur kami bertolak ke KL. Saya bercadang untuk membelikan makanan kesukaannya. Rupanya tidak ada restoran yang menjual makanan tersebut di Tesco extra Cheras. Setelah beberapa minit menaiki kereta meredah kesesakan jalanraya, kami menjumpai restoran tersebut di setesen minyak BHP.

Wahhh.....panjangnya Q untuk drive-thru...........

Masa terus berjalan dan saya terbayang Danial sedang ternanti-nanti kedatangan kami kerana saya menganggarkan akan sampai sekitar jam 3 petang. Sebenarnya kalau kami tidak singgah di mana-mana, jam 2.30 petang kami sudah boleh sampai di asrama.

Ketika sampai hampir jam 3.30 petang, kami tercari-cari Danial. Dua minit kemudian nampak dia sedang mengangkat barang bersama kawan-kawannya.

Kami menemani Danial makan. Nampak sungguh berselera sekalipun katanya, mereka baru saja makan tengahari jam 2 petang tadi.

Kami berbual-bual sehingga azan Asar berkumandang. Saya dapat rasakan yang Danial mahu kami berlama-lama lagi, walau pun ayahnya sudah menyebut mahu pulang sebaik Danial ke surau untuk solat berjemaah.

"Takpalah, pergilah solat. Ibu tunggu kat sini." Sebagai ibu saya boleh membaca perasaan anak-anak. Tidak seperti ayahnya, yang kurang peka akan apa yang ada di hati anak-anak.

Hampir 5.30 petang, kami bergerak pulang. Danial tidak menunggu kami pergi mahupun melambaikan tangan kepada kami. Dia terus berjalan menuju ke dorm tanpa memandang ke belakang. Saya yang terasa sayu dan sedih. Saya dapat merasakan Danial juga berperasaan sama dengan saya.

Saya tahu anak lelaki saya yang seorang ini, walaupun fizikalnya besar dan kuat, berwajah keras dan jarang bercakap dengan nada lembut terhadap saya, dia sayangkan saya dan sedih kerana perlu berpisah dengan saya dan keluarga.






Friday, February 1, 2013

Muhammad Danial - buat pertama kalinya masuk sekolah berasrama - SMTKL

Selepas percubaan kali pertama untuk masuk ke sekolah berasrama penuh pada tahun 2010 tidak berjaya (waktu itu Danial sendiri sebenarnya belum cukup bersedia untuk tinggal di asrama. Permohonan dibuat kerana ada kawan rapat yang sama-sama memohon ke sekolah yang sama), ini kali kedua kami membuat permohonan. Danial sudah "besar", sudah lebih 15 tahun usianya dan dia sendiri seperti sudah bersedia untuk berdiri di atas kaki sendiri....

Saya sendiri mahu memberinya peluang tinggal di asrama, biar dia tahu menguruskan diri sendiri. Saya mahu dia hidup berdikari, tidak seperti tinggal di rumah sendiri, cuma tahu menggosok baju, itupun kerana terpaksa.

Oleh kerana keputusan peperiksaan percubaan PMR agak 'teruk', kami cuma memohon untuk ke kolej vokasional. Danial memilih kolej di Seri Iskandar dengan alasan - dekat dengan kakak keduanya, nanti ayah senang nak hantar dan ambil....

Bila keputusan PMR diumumkan, kami membatalkan permohonan awal ke kolej vokasional bagi membolehkan kami membuat permohonan baru. Pilihan kami kali ini adalah SM Teknik, memandangkan keputusan Danial yang memberangsangkan dan di luar jangkaan kami...

Diringkaskan cerita, pada 29 Januari 2013 bersamaan hari Selasa, Muhammad Danial mendaftar di Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur (SMTKL) dengan memilih jurusan kejuruteraan awam. 

Awal pagi lagi kami ke sekolah lamanya untuk mengambil sijil berhenti sekolah. Kemudian berjumpa dengan guru kaunseling untuk mengisi borang maklumat "pencapaian cemerlang" untuk rekod sekolah. Semasa menunggu Danial mengisi borang tersebut, saya dan Farah ditunjukkan rekod-rekod cemerlang pelajar-pelajar sebelum ini. Ada yang sebelum ini hanya mendapat 2A3B dalam UPSR boleh mendapat 8A dalam PMR.

Bersama Puan Jemiat Md Ali, salah seorang tenaga pengajar di SMK JR yang sangat peramah dan berbudi bahasa.


Akhirnya kami sampai di SMTKL sekitar jam 9.55 pagi, sedangkan waktu pendaftaran adalah 8.30 pagi. Ramai ibubapa yang sudah selesai menguruskan kemasukan anak-anak mereka ke asrama, hanya menunggu untuk mendengar taklimat daripada pihak sekolah yang dijadualkan pada jam 10.30 pagi.


Pelajar baru sedang membaca ikrar
Ibubapa juga membaca ikrar
Bila sampai giliran untuk memilih katil di dorm, hanya tinggal 6 katil yang kosong dan sudah tentulah tingkat atas! Tak apalah, ini cabaran pertama untuk Danial, memanjat katil setiap hari dengan berat badannya 90kg!

Saya dan Farah membantu memasang cadar, sarung bantal dan selimut, sementara Danial mengemaskan pakaiannya masuk ke dalam almari kecil.

Saya nampak kerisauan di wajah Danial............ 

Di pihak saya sendiri, macam-macam yang saya fikirkan, namun yang paling utama kerisauan saya adalah - macam mana lah dia nak bangun seawal 5.00 - 5.30 pagi? Sedangkan di rumah sendiri, nak bangun pukul 6 pun sampai hampir 10 kali saya mengejutkannya. Itu belum lagi nak berebut ke bilik air, belum lagi nak "membuang" seperti kebiasaan di rumah.... 

Kalau di rumah, capai tuala dan terus masuk ke bilik air. Nak buang air pun tak payah nak tunggu-tunggu.... Lepas mandi, masuk bilik, tutup pintu bilik dan terus bersiap. Nak pakai seluar dalam pun tak perlu nak selindung...

Sebagai ibu adalah menjadi tanggungjawab saya memberikan semangat dan kekuatan kepadanya. Macam-macam nasihat keluar daripada mulut saya. Antaranya : Ramai anak orang kaya masuk sekolah ni. Dia orang hidup senang, bilik ada aircond, rumah besar, tapi dia orang sanggup duduk kat sini. 

Lagi satu nasihat saya dari sekian banyak nasihat : Danial dah cukup besar untuk berdikari. Bayangkan Afiq (sepupunya) tingkatan satu dah duduk asrama. Dulu Alif (seorang lagi sepupunya) pun sama, tingkatan satu dah masuk asrama. Happy je dia...

Kami tinggalkan Danial petang itu dengan pelukan, ciuman dan kata-kata semangat....

Di rumah, selama 3 malam berturut-turut saya mengerjakan solat hajat khas untuk Danial, memohon semoga ALLAH mempermudahkan segala urusannya, memberikannya kekuatan dan mampu menyesuaikan diri dengan suasana yang serba baru, redha dengan sedikit kekurangan dan kesulitan yang perlu dihadapinya.

Saya yakin dia akan mampu menghadapinya.



Monday, January 21, 2013

Teringin ke Makkah....

Dalam seminggu ini, saya asyik terkenang-kenang pengalaman saya waktu mengerjakan umrah hampir tiga tahun yang lepas.

Selepas berjumpa dengan anakanda Ustaz Rizqon 7 Januari 2013, kenangan di tanah suci itu tidaklah begitu terasa, hinggalah pada suatu malam saya bermimpi sedang bersiap-siap untuk bertolak ke KLIA dengan tujuan untuk menunaikan umrah.

Sejak pagi itu, sebaik bangun tidur, saya terasa sangat rindu dengan tempat suci itu. Saya membuka komputer, melihat semula gambar-gambar yang saya ambil sepanjang berada di Mekah dan Madinah. Sayunya hati hanya ALLAH Yang Maha Mengetahui.

Saya melayari laman web Andalusia, melihat-lihat pakej umrah 2013. Teringin mengajak suami pergi. Berangan untuk ambil pakej Umrah Istanbul....

Kalau dulu saya memilih penerbangan yang terus ke Arab Saudi. Walaupun ada penerbangan yang transit di Dubai atau Bahrain, juga Doha (mengikut syarikat penerbangan yang dipilih), saya memilih untuk tidak transit di mana-mana. Masa tu saya membayangkan alangkah penatnya kalau berhenti di Bahrain selama 6 jam, kemudian menyambung perjalanan ke Jeddah, seterusnya ke Mekah untuk melaksanakan ibadah umrah. Lalu saya memilih Saudi Airlines dengan penerbangan terus ke Jeddah.

Yalah, baru pertama kali nak menjejakkan kaki ke tempat paling suci dan paling indah, kenapa perlu "membuang masa" singgah di tempat-tempat lain...Bukankah lebih baik terbang terus ke Jeddah kalau dah memang berniat untuk beribadah? Itu yang saya fikirkan sebelum ini.

Rupanya tidaklah rugi kalau kita transit di negara lain, malah kita beruntung kerana dapat melihat keindahan tempat orang. Seorang kawan bercerita tentang keseronokannya melihat keindahan Dubai semasa singgah 1 malam dalam perjalanan untuk ke Madinah.

Kini saya sedang memikirkan tarikh yang sesuai untuk merealisasikan keinginan saya ini.... Walau pun suami belum menunjukkan keinginan untuk pergi, saya berdoa ke hadrat ALLAH SWT, sekiranya rancangan ini baik untuk kami dan keluarga kami, maka tunjukkanlah jalan untuk kami pergi, permudahkanlah urusan kami ini. Namun sekiranya belum ada izinMU untuk saya pergi sekali lagi, berilah peluang kepada kami menunaikan ibadah haji pada tahun ini.



Friday, January 11, 2013

Selepas hampir 3 tahun tidak bertemu...


7 Januari 2013

Sekitar jam 10 pagi telefon bimbitku berbunyi. Tertera nombor +60111........ Aku tidak menjawab panggilan itu, sebab nombor itu sekali pandang kelihatan agak pelik. Tidak berapa saat kemudian ianya berbunyi lagi, nombor yang sama. Memandangkan aku sedang kalut dengan tugasan pejabat, sekali lagi aku abaikan panggilan itu, namun segera aku menghantar sms : "Siapa ni?". Aku tidak perlu menunggu lama untuk mendapat balasan : "Seorg yg dtg dr jauh bu. sy rizqon. betul ke ni ibu nuril..?"......... Aduh!! Aku sangat terharu dan seakan mahu menitis airmataku.

Aku mengamati semula nombor telefonnya. Hmm...nombor Malaysia rupanya, cuma bermula 4 digit di depannya, tidak seperti kebiasaan, 3 digit.

Walau hati terlonjak kegirangan, aku tidak segera menghubunginya. Pastinya tugas yang sedang aku depani ini memerlukan tindakan segera. Aku menghantar sms lagi sekali : "Riz ada di Msia ya?"... dan jawapannya : "ya bu, ada di msia ni."

Selang beberapa minit kemudian, aku terus menghubunginya. Dua kali panggilanku tidak mendapat jawapan. Aku menyambung tugasanku, kemudian turun pula menghantar dokumen ke bank di tingkat bawah. Bila aku naik semula ke tempatku, ada dua missed call daripada Riz. Aku terus menelefonnya. Lunak suaranya menjawab salamku.....

Selepas berbulan-bulan tidak mendengar suaranya, berbulan-bulan juga Riz tidak menjawab pesanan di facebook, aku seakan terpaksa merestui kehilangannya. Memang sangat sedih. Aku hanya mampu membaca coretannya di fb, itupun hanya sesekali dia mengemaskini laman sosial tersebut.

Akhirnya kami menetapkan waktu untuk bertemu. Rabu 9 Januari, selepas Maghrib.

Tiba hari yang dijanjikan, beban tugasku masih belum selesai sekalipun waktu sudah menghampiri jam 5.15 petang. Aku hanya mampu keluar dari pejabat jam 6.20 petang. Hujan yang turun sekitar jam 5 petang tadi, walaupun hanya sekejap dan tidak lebat mana pun, seperti biasa akan membuatkan jalanraya di KL ini lebih sesak daripada biasa.

Aku pasrah dan sempat menghantar sms kepada Riz..."mungkin ibu datang jumpa Riz dalam jam 9 malam. Jalan macet...entah jam berapa ibu boleh sampai di rumah."

Aku serba salah bila Riz menjawab : "Bu, kalau awal sikit boleh tak ibu?"

YA ALLAH, Kau permudahkanlah perjalanan kami ini. Kau restuilah hajatku untuk bertemu anak yang datang dari jauh.... Akhirnya, sebaik habis azan Maghrib berkumandang di radio, aku dan suami telah sampai di depan rumah.

Tanpa mandi dan bertukar pakaian, kami terus saja menunaikan solat Maghrib. Dengan ditemani anak bujangku, Muhammad Danial, kami menuju ke Sungai Ramal Dalam untuk bertemu dan mengambil Riz.

Riz kelihatan tidak sabar-sabar dan terus memeluk suamiku sebaik kami turun daripada kereta. Ohh...aku pun sangat merindukannya. Selepas bertemu buat pertama kali dan berkenalan sewaktu menunaikan umrah pada Mei 2010, baru inilah aku dapat bertemu Riz semula. Ketika umrah itulah, masing-masing saling mengenali dan ramai di kalangan jemaah yang begitu senang dengan layanan Ustaz Rizqon sebagai mutawif. Ramai di antara kami terutama yang seusia denganku telah menganggap Riz sebagai anak dan Riz dengan gembiranya memanggil kami dengan panggilan ibu atau mak dan meneruskan ikatan silatulrahim menerusi laman sosial facebook selain sering juga berhubungan melalui emel dan telefon.

Riz telah usai kuliahnya di Makkah. Selepas bercuti di kampung halamannya di Indonesia, dia singgah di Malaysia sebelum kembali semula ke Makkah pada 11 Januari 2013 untuk bekerja sementara. Riz berhasrat untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana di Malaysia pula.

Kalau sebelum ini aku dan suami telah berbincang untuk membawa Riz makan di restoran kegemaran kami, entah apa nasib kami, kedua-dua restoran berkenaan tutup pula. Memang hampa sungguh! Dalam tercari-cari di mana tempat yang sesuai, akhirnya kami masuk ke sebuah restoran yang "terbuka". Walaupun kami biasa makan di sini dan makanannya juga sedap, sebenarnya kami mahu tempat yang lebih selesa untuk Riz dan temannya.

Selama beberapa hari ini terbelenggu dan tertekan dengan tugas-tugas di pejabat, aku tidak punya masa untuk memikirkan tempat pertemuan kami, sedangkan di Bandar Baru Bangi ini begitu banyak restoran, yang mewah, yang sederhana dan yang biasa, malah tidak terfikir pun untuk membawa Riz menikmati sate Kajang Hj Samuri!

Maafkan ibu Riz kerana tidak meraikan kamu dengan sebaiknya.....

(Maaf juga sebab gambarnya tidak begitu "cantik"....Ibu belum biasa mengambil gambar menggunakan tab. Bukan tab yang bersalah tapi yang mengambil gambar....!)

Kawan Riz yang tinggal di Kajang
Riz memang pandai mengambil hati. Muhammad Danial pun jadi ringan mulut untuk berbual-bual dengan Riz. Tapi teman Riz ini sangat pendiam. Barangkali segan baru pertama kali bertemu.

 Inilah kali pertama suamiku bertemu dengan Riz. Di depan rumah teman Riz, rumah yang Riz menginap setiap kali datang bercuti di Malaysia.



Rupanya Riz ada temujanji dengan temannya jam 10.30 malam. Mujur kami sempat menghantar Riz pulang awal. Sewaktu kami menyambung perbualan di depan rumah, temannya sampai jam 10.26 malam. 

Riz, semoga ada jodoh untuk kita bertemu lagi, kalau tidak di Makkah, tentunya di Malaysia.

Hari Riz dijadualkan terbang semula ke Makkah, hatiku dirundung sayu. Sedari pagi aku teringat-ingat padanya, terdengar-dengar suara Riz yang lembut, teringat lawak jenakanya.... Betapa aku mengasihinya bagaikan anakku sendiri....Kalau dulu aku teringin sekali anak lelakiku menjadi tahfiz, menjadi anak yang mencintai masjid dan ianya tidak menjadi kenyataan, cukuplah ALLAH mendatangkan Riz untuk kami. Walaupun hanya seketika, kenangan itu sangat bermakna kepadaku.

Dengan hati yang sendu, aku cuba menghubungi Riz, namun panggilanku tidak berjawab. Barangkali Riz sibuk kerana aku telah dimaklumkan dia akan terbang dengan membawa bersamanya jemaah umrah daripada Andalusia Travel.

Aku hanya sempat menitipkan doa melalui sms.

.