Friday, March 16, 2012

Kancilku sayang....

Kalaulah bukan kerana hb ditukarkan ke Daerah Kuala Selangor hampir 5 tahun yang lalu, tentu saja si comel Kancil berwarna putih ini tidak menjadi milik saya. Belum ada keperluan untuk kami memiliki kereta kedua. Namun bila hb dihantar bertugas di Pasir Panjang Kuala Selangor, saya yang ditinggalkan dengan anak-anak yang masih kecil, tentunya memerlukan kenderaan untuk menguruskan mereka, terutamanya membawa ke klinik sekiranya ada anak-anak yang kurang sihat.

Maka dengan simpanan yang ada, saya membeli sebuah Kancil terpakai. Pilihan saya adalah model lama yang berlampu empat segi. Saya tidak berminat dengan model yang baru yang berlampu bulat.

Oleh kerana begitu lama tidak memandu, saya terpaksa menguji semula kebolehan saya. Dengan hb duduk di sebelah, saya memandu sekitar kawasan perumahan kami. Hari pertama....mujur tidak terlajak masuk ke sungai bila di satu selekoh saya lambat menekan brek. Tapi saya tidak pula panik. Kereta berhenti dan kemudian saya tekan minyak semula untuk meneruskan perjalanan.

Saya hanya menggunakan kereta untuk ke stesen Putra Jelatek. Adalah 10 minit perjalanan dari rumah. Hari keempat, tidak jauh dari stesen Putra, ketika memandu pulang dari kerja, saya lambat memusing semula setereng ke kanan ketika melepasi selekoh. Kereta terbabas ke tepi kiri dan melanggar batu-batu besar, juga pokok bunga kepunyaan penduduk di taman perumahan di situ. Puas saya menekan minyak untuk meneruskan perjalanan tapi tidak berjaya. Rupanya beberapa ketul batu yang agak besar berada di bawah kereta saya.

Akhirnya dengan bantuan tuan punya pokok bunga itu, saya berjaya membawa kereta saya pulang ke rumah. Lelaki tersebut memarahi saya kerana merosakkan pokok bunganya.

Selepas Fara memiliki lesen memandu, dia yang kerap memandu sicomel itu. Hb pula sudah kembali bertugas di KL. Semakin jaranglah saya memandu, hinggalah pada suatu hari ketika Fara menjemput adik-adiknya pulang dari sekolah, berlaku kemalangan di mana Fara melanggar kereta di depannya. Teruk jugalah rupa kancil saya tu.......

Kini selepas hampir 5 tahun saya menggunakan kancil yang comel itu, saya terpaksa menjualnya memandangkan "kesihatannya" yang tidak stabil. Memang saya rasa begitu sayang untuk melepaskan kereta pertama saya, sementelah harga yang ditawarkan sangat rendah dibandingkan dengan harga ketika saya membelinya. Susut 60 peratus! Namun untuk terus menyimpannya adalah tidak wajar. Saya selalu merasa tertekan bila terpaksa memandu, bimbang enjin mati di tengah jalan.

Hari ini, dengan rasminya kereta kancil saya berpindah milik.........16 Mac 2012, jam 7 petang. Saya rasa amat sedih, bagaikan berpisah dengan seseorang yang saya sayang............

Terima kasih kerana bersamaku selama ini. Semoga comelku serasi dengan pemilik baru, itu harapan saya....(sedih....)

Gambar ini diambil pada malam terakhir Kancil ini bermalam di depan rumah kami.





Sunday, March 11, 2012

Sandal kesihatan

Ketika dalam perjalanan menaiki bas dari Ponorogo ke Surabaya, seperti biasa akan ada ramai penjual yang menaiki bas untuk menjual barang jualan mereka.

Kira-kira setengah jam sebelum sampai ke bandar Surabaya, seorang lelaki menaiki bas dan menjual selipar ini. Dia menamakannya "healthy sandal". Harganya sangat murah, cuma 10,000 rupiah, bersamaan RM3.30. Kaklong, adik saya K dan Yah, juga saya, masing-masing membeli sepasang seorang.



Saya memakainya setiap kali berada di dapur. Lama-lama tapak kaki menjadi agak sakit. Kata orang itu tandanya di tubuh kita ada menghidap apa-apa penyakit (hehehehe...)



Kembara ke Pulau Jawa, Indonesia - 7 (Akhir)

26 Februari 2012

Kami bersarapan di hotel jam 6.30 pagi.







Dengan menaiki van, jam 7.10 pagi kami menuju ke satu kawasan peranginan yang dinamakan Grojogan Sewu di Tawangmangu. Grojogan Sewu adalah bahasa Jawa yang bermaksud air terjun seribu. Perjalanan memakan masa lebih 1 jam.

Hampir sampai ke puncak kami melihat begitu ramai orang berkerumun. Kami sangkakan ada pesta memandangkan hari ini adalah hari minggu. Rupanya ada sebuah bas yang tergolek di tebing bukit. Lokasi kejadian memang tidak memungkinkan sebuah jentera pengangkut datang dan mengangkat bas tersebut. Apa yang dilakukan adalah mengetuk dan mengumpil dinding bas, tentunya untuk mengeluarkan mangsa yang terperangkap di dalamnya. Kami membuat kesimpulan sendiri. Kedudukan bas itu seolah mahu turun ke bawah, bermakna semua penumpang sudah turun di puncak untuk ke Grojogan Sewu. Kami berharap tidak ada sesiapa di dalam bas tersebut kecuali pemandu dan konduktor. Rasa sangat kasihan sekiranya ada kanak-kanak terperangkap di dalamnya.

Sampai di puncak, van perlu menuruni bukit curam untuk sampai ke pintu masuk kawasan air terjun. Saya memejamkan mata kengerian, bimbang van jatuh terjunam.

Rupanya untuk sampai ke air terjun @ grojogan, kami perlu mendaki bukit dan menempuh perjalanan yang agak jauh. Memandangkan usia kami berada dalam kategori otai, kecuali menantu saudara abang usu, termengah-mengahlah kami mendaki bukit tersebut.





 



Dari jauh lagi sudah kedengaran "riuh" bunyi air terjun. Bertambah teruja kami dibuatnya.
Kami berhenti sebentar, melepaskan lelah mendaki bukit.....Pak Usu yang nampak sangat capek..hehehe....

 



Memang sangat menakjubkan! Saya ingin mengambil gambar sepuas hati, namun kemilau sinar matahari yang datang dari sebalik pepohonan tinggi, membuat mata saya kesilauan. Ditambah dengan tiupan angin yang dingin dan mendamaikan, membawa percikan air terjun ke arah kami, membuat saya berulangkali mengelap lensa kamera kecil saya.

Setelah lebih sejam kami berada di sini, terpaksalah kami turun kembali untuk rencana kami seterusnya. Ikutkan hati mahu saja saya berkelah dan berlama-lama di sini, bermain air....namun kekangan waktu memaksa saya meninggalkan tempat indah ini, tempat yang barangkali tidak akan saya jejak lagi.


 
   






 
 
 
 
 
 
 
Di puncak ini juga terdapat beberapa orang peniaga yang menjual sate ayam dan arnab (kelinci). Memandangkan tidak ada di antara kami yang teringin menikmati sate, mungkin disebabkan perut yang masih kenyang, kami meneruskan perjalanan.....turun semula ke bawah.
 
11.00 pagi kami berada di Pasar Beteng, Solo. Wak mahu menambah oleh-olenya untuk diberi kepada anak menantu. Wak mahu membeli telekung lagi. Kalau semalam kami membeli telekung di Pasar Klewer, hari ini kami mahu membeli di Pasar Beteng pula sebab kami dimaklumkan banyak kedai yang tutup pada hari minggu di Pasar Klewer.
Tidak banyak kedai menjual telekung, ditambah dengan masa yang suntuk, cuaca pula begitu panas, kami bergegas keluar dari pasar dan kembali ke hotel. Kami singgah di Restoran Kinasih untuk makan tengahari. Kami memesan menu yang hampir sama dengan makan malam kami semalam, cuma ditambah dengan sapi masak lada hitam.Hmm.............sedap!

12.30 tengahari kami kembali ke bilik penginapan kami, berkemas dan solat. Tepat jam 1 tengahari kami check-out. Petang ini kami kembali semula ke Malaysia...................

Antara kesimpulan yang saya perolehi sepanjang kembara kami ini, ada risikonya bila kita melancong secara persendirian tanpa "ilmu". Selain beberapa kali "diperdayakan", kami juga kekurangan maklumat tentang tempat-tempat bersejarah yang seharusnya kami lawati. Dalam hal ini, saya kira adalah salah kami sendiri kerana tidak membuat persiapan awal dengan mendapatkan maklumat dari internet atau risalah pelancongan. Cuma Fara sempat mencatatkan tempat-tempat menarik di Solo, tapi tidak di Surabaya. Saya sendiri dihambat kesibukan dengan tugas-tugas di pejabat menjelang pemergian kami ini.

Selain itu kami sebenarnya kekurangan masa memandangkan ada 3 tempat yang kami tuju : Ponorogo (inilah tujuan utama kami - menjejak saudara kami), Surabaya dan Solo. Jarak antara ketiga-tiga tempat ini memang jauh. Saya mengibaratkan perjalanan kami ini umpama dari Port Dickson ke Kuantan, kemudian ke Pulau Pinang dan balik semula ke Port Dickson atau mungkin lebih jauh lagi. Bezanya di Malaysia kita akan melalui lebuhraya yang selesa, tetapi semua tempat yang saya kunjungi itu melalui jalan raya biasa dan dua hala.

Pemandu kenderaan akan selalu membunyikan hon, bukan kerana marah sebaliknya untuk memberitahu atau meminta laluan. Saya sempat memerhatikan wajah pemandu-pemandu bas yang saya naiki melalui cermin di depan pemandu, semuanya berwajah ceria, tidak ada yang marah-marah. Walaupun cara pemanduan agak bahaya, saya beranggapan itulah cara mereka memandu. Alhamdulillah kami semua selamat.

Setakat ini tidak dapat saya jangkakan sama ada saya akan kembali mengunjungi tempat itu lagi. Memang ada rasa sedikit terkilan kerana tidak sempat sampai ke salah satu tempat menarik iaitu Makam Wali Songo. Indonesia yang sangat luas itu menjanjikan banyak tempat untuk dikunjungi. Mungkin saya akan membawa anak-anak ke Bandung selepas ini atau mungkin ke Medan dan Padang.


Sunday, March 4, 2012

Kembara ke Pulau Jawa, Indonesia - 6

Selesai bersarapan, sekitar jam 6.45 kami check-out dan terus bertolak ke stesen bas Surabaya dengan menaiki teksi. Jam 7.30 pagi bas ekspres EKA yang naiki muka bergerak menuju ke Solo. Menariknya bas ini tidak berhenti mengambil penumpang, maka tidak adalah "penyanyi" yang akan menghiburkan kami, juga tiada penjual yang akan menaiki bas dan menjual makanan ringan untuk kami.

Seperti biasa saya duduk dengan Yah. Tanpa dirancang kami bergilir-gilir melelapkan mata, tentunya untuk memastikan keselamatan kami.

Perjalanan yang paling jauh dan lama. Namun apa yang pasti, di mana-mana pun kami akan melihat kanan kiri jalan dipenuhi dengan sawah padi. Kami dapat melihat orang ramai bekerja membanting padi. Ada yang menjemur padi di depan rumah atau di tepi jalan raya.

Jam 12.00 tengahari bas berhenti di sebuah restoran. Semuanya dijemput menjamu selera yang mana kosnya telah dimasukkan sekali dalam tiket perjalanan kami.

Jam 1.30 tengahari kami tiba di bandar Solo. Abang Usu awal-awal lagi telah menempah Hotel Sanashtri. Hotel yang sederhana tapi di kelilingi dengan pohon-pohon hijau. Begitu sejuk mata memandang....Rupanya sebelum ini sudah dua kali Abang Usu datang ke sini kerana salah seorang anak saudaranya bertemu jodoh dengan gadis Solo. Malah pemergiannya kali kedua baru 3 minggu yang lepas.



Selepas check-in kami solat dan berehat sebentar sebelum terus ke Pasar Klewer. Saya membeli beberapa helai t-shirt "Solo" sebagai ole-ole untuk hb, anak-anak dan ipar duai saya. Tidak ketinggalan tentunya pakaian batik kerana di sini batik sangat popular. Saya membeli beberapa helai pakaian tidur dari batik untuk saya dan anak-anak gadis saya.

Suasana di pasar Klewer

Pukul 5.40 petang kami ke Restoran Kinasih yang terletak bersebelahan Hotel Sanashtri untuk makan malam. Kami makan nasi putih berlaukkan udang goreng tepung, cumi masak pedas, ayam masak sos dan sayur cap cai. Tidak ketinggalan minuman faveret - jus alpukat. Semuanya hanya 131,000 rupiah.

Gadis pekerja restoran yang begitu comel sekali dan baru berusia 16 tahun. Adik lelaki saya yang masih bujang itu tersipu-sipu mahu mengajak gadis itu bergambar bersamanya....hehehe....

Hampir selesai makan, hujan turun dengan begitu lebat sekali. Kami menunggu beberapa ketika. Gadis comel pekerja restoran menawarkan payung besar untuk kami. Abang Usu mengambil payung itu dan membawa kaklong balik ke hotel.

Air mula bertakung. Kalau saya redah, tentu saja kasut saya akan dimasuki air. Takkan sempat kering. Akhirnya saya membuat keputusan untuk berkaki ayam! Kasut saya jinjing dan berjalanlah saya balik ke hotel tanpa memakai kasut di depan ramai orang....Kalau sebelum ini begitu ramai saya temui orang tidak memakai kasut sepanjang beberapa hari ini, kali ini saya juga seperti mereka.

Malamnya selepas hujan agak reda, saya dan Yah ke hypermarket yang terletak di seberang jalan. Pengawal yang bertugas di pondok keselamatan hotel menawarkan payung kepada kami. Saya mengambil payung itu dan pengawal berlari melintasi jalan dalam hujan untuk mengambil kembali payung yang dipinjamkan untuk kami. Saya merasa begitu tersentuh dengan kebaikannya.

Berjalan berdua memudahkan kami untuk membeli barang-barang yang kami perlukan. Sekali lagi saya membeli beberapa gaun tidur dan seluar panjang batik. Satu hanya berharga 35,000 rupiah, dengan kainnya yang tebal dan coraknya yang menarik memang berbaloi membelinya.

Suasana di dalam hypermarket. Ada promosi kereta termasuk kereta nasional kita.