Saturday, March 3, 2012

Kembara ke Pulau Jawa, Indonesia - 1

Kala kaklong menziarahi hb di IJN hujung tahun lepas, kaklong ada menyatakan hasratnya untuk melawat saudara kami sebelah emak yang berada di Jawa Timur. Kaklong mempelawa saya untuk turut serta. Saya terus setuju. Namun bukanlah 'melawat saudara' yang menjadi tarikan utama, sebaliknya adalah disebabkan saya teringin nak melancong luar dari Malaysia. Lagipun sejak lahir hinggalah usia saya setengah abad ini, saya tidak pernah terfikir yang saya masih ada saudara rapat di Jawa.

Beberapa hari sebelum berangkat, hati rasa tidak gembira. Pastinya disebabkan saya terpaksa meninggalkan anak-anak bersama hb. Kasihan pada anak-anak kerana tidak membawa mereka bercuti bersama. Bukan sengaja saya meninggalkan mereka, tetapi percutian ini lebih kepada "pencarian". Rasanya lebih sesuai pemergian ini hanya melibatkan saya dan adik-beradik, kerana bukan masanya untuk bersantai-santai. Hb sendiri menolak bila saya mempelawanya untuk turut serta.

Untuk memujuk hati yang rawan, saya berjanji dengan anak-anak yang saya akan membawa mereka bercuti ke Indonesia selepas ini. Bukan janji kosong, sebaliknya saya memang bersungguh-sungguh akan melaksanakannya, hanya bergantung pada kelapangan kami semua.

Perjalanan kami bermula pada 21 Februari 2012. Kami pergi berenam dengan satu-satunya adik-beradik emak yang masih hidup, iaitu Wak Mubarak, kaklong dan suaminya - Abang Usu, saya, adik lelaki saya, K dan adik bongsu saya Yah.

Kami menaiki kapalterbang Air Asia di LCCT untuk ke Bandar Udara Adi Soemarmo, Solo. Penerbangan hanya memakan masa dua jam lebih sedikit. Saat kami keluar daripada kapalterbang kedengaran azan Maghrib berkumandang. Baru teringat yang waktu di Indonesia lambat 1 jam dari Malaysia. Kami bergegas mencari teksi untuk ke hotel yang telah ditempah oleh abang usu. Kami mengambil 2 teksi dan abang usu meminta saya menaiki teksi bersama K dan Wak Mubarak.

Saya mengaku ada kerisauan di hati ini. Bayangkan kalau teksi ini tersesat dan saya tidak berjumpa semula dengan kak long nanti.....

Tapi, kenapa saya seperti tidak percaya pada takdir? Dan bukankah bersama saya, ada wak dan adik lelaki saya? Kenapa perlu risau?

Perjalanan memang agak jauh, sehingga saya terfikir hotel apakah yang ditempah oleh abang usu yang bagaikan berada di pedalaman sahaja?

Rupanya hotel ini dipilih supaya senang untuk kami bertolak ke destinasi seterusnya pagi-pagi esok. Hotel Surya ini berdekatan dengan stesen bas. (Saya agak ralat kerana tidak dapat mencatat dan merakam gambar tempat-tempat yang kami kunjungi. Keadaan yang seringkali kalut membuatkan saya tidak sempat untuk memegang kamera atau mencapai handphone dari dalam beg sandang saya.)

Kami mengambil dua bilik sahaja. Sebilik untuk lelaki, sebilik untuk wanita. Sewa untuk 1 bilik adalah 180,000 rupiah, lebih kurang RM60. Setiap bilik kongsi 3 orang. Kata kaklong, kita bukan nak bersantai-santai di bilik, kami hanya perlukan tempat bermalam sebelum menyambung perjalanan kami. Tak mengapalah menginap di hotel yang murah sahaja.


Kami check-in dulu. Selepas membersihkan diri seadanya (tanpa mandi), kami turun ke bawah untuk makan malam. Memandangkan hujan gerimis dan tempat makan agak jauh untuk berjalan kaki, kami makan di hotel sahaja. Harganya juga berpatutan. Untuk menu seperti di bawah ini, 6 orang makan hanya 120,000 rupiah - RM40.

Selepas makan, kami masuk ke bilik....berehat dan tidur.





Sunday, January 22, 2012

Cuti panjang untuk berehat

Cuti tahun baru cina pada tahun ini jatuh pada hari Isnin dan Selasa, bermakna panjanglah tempoh cuti, 4 hari termasuk Sabtu dan Ahad.

Dua minggu lepas dah melayari laman web 'cuti-cuti Malaysia'. Tapi hati berbelah bagi untuk menempah hotel. Sebabnya : hb masih belum boleh memandu. Sekali pun Fara boleh mengambil alih tugas memandu, namun saya menganggap memandu di tempat-tempat yang kita tidak biasa, bukan satu perkara mudah. Pergi bercuti bukan sekadar memandu dari rumah ke hotel penginapan, tetapi lebih daripada itu.

Saya masih ingat lagi ketika kami bercuti di Melaka tahun lepas (rasanya percutian kali ke 4 ke Melaka), selepas berjalan-jalan di Jonker Walk untuk pertama kalinya, kami tersesat ketika mahu pulang ke hotel. Jauh dan lama juga kami berpusing-pusing, baru jumpa semula hotel penginapan kami.

Di Pulau Pinang juga kami mengalami peristiwa yang sama. Malah lebih lucu lagi kami sesat beberapa kali di waktu malam di simpang yang sama.

Diringkaskan cerita, cuti 4 hari ini, kami mengambil keputusan untuk duduk di rumah sahaja. Kalau keluar pun, sekadar keluar makan malam atau window shopping di tempat berdekatan.

Rupanya ada hikmah yang tersembunyi. Hb tiba-tiba saja demam teruk pada hari Jumaat 20 Januari. Kaki kiri kesan pembedahan berdarah semula dan tapak kaki membengkak. Hari ini saya membawanya ke klinik. Walau pun demamnya sudah pulih, tetapi kakinya masih terlalu sakit untuk menapak.

Mujur anak-anak faham. Masing-masing menghabiskan masa dengan menonton tv, bermain games di komputer, berfacebook selain membuat kerja-kerja rumah yang dibekalkan oleh guru masing-masing.

Sunday, January 1, 2012

Institut Jantung Negara, 3 - 16 Disember 2011

Bahagian 5

Gambar-gambar di IJN....



Ini tempat untuk mencuci pakaian menggunakan mesin basuh. Ye la kalau dah berhari-hari berumahtangga
di hospital, pakaian perlulah di cuci....Saya tidak tahu menggunakan mesin ni, petugas pengendali mesin pula bercuti, jadi saya cuci secara manual sahaja dan gantung di dalam bilik ini.

Bilik gimnasium kegunaan pesakit. Pakar phisioterapi akan menunjuk ajar pesakit bersenam dan menggunakan peralatan di bilik ini. Bukan sekadar suka-suka tetapi salah satu rawatan / latihan yang mesti dijalani oleh pesakit dan diambil rekodnya.

Menu yang dijual di tingkat 1 kafe, makanan kesukaan anak-anak saya. Di sinilah kami makan
tengahari setiap kali berada di di sini. Harganya juga amat berpatutan.


16 Disember 2011

Masa yang ditunggu-tunggu pun tiba. Hb discaj hari ini. Fara datang menjemput kami.........

Terima kasih kepada semua warga kerja IJN terutamanya yang terlibat dengan rawatan hb, juga kepada semua staf nurse, nurse, petugas kaunter, juga pengawal keselamatan yang semuanya baik-baik belaka. Layanan mereka memang mengkagumkan saya!



Institut Jantung Negara, 3 - 16 Disember 2011

Bahagian 4

Kasih sayang tidak boleh dijual beli

12 Disember 2011

Tengahari ini ketika saya sedang berehat-rehat di wad, saya menerima sms daripada adik lelaki saya K, bertanyakan waktu melawat di IJN.

Sekitar jam 3.30 petang K muncul di depan pintu bilik. Sebelum ini dua-tiga kali saya berpesan pada K agar tidak perlu merasa risau akan keadaan hb. Saya tidak mahu K bersusah-payah datang dari kampung untuk menziarahi hb memandangkan K tidak begitu mahir dengan KL, lebih-lebih lagi jika datang dengan menaiki bas.

Inilah yang dinamakan kasih-sayang dan pertalian persaudaraan. Kesanggupan K bertolak seawal pagi dari kampung dengan menaiki bas dan tersangkut 2 jam di Klang untuk menyambung perjalanan ke KL amat menyentuh hati saya. Bayangkan perjalanan dari kampung ke KL, jika menaiki kereta sendiri hanya mengambil masa satu setengah jam.

Saya tidak sanggup bertanya bagaimana adik sampai ke IJN ini. (Pernah sebelum ini adik berjalan kaki dari Hentian Klang, KL ke Hospital Kuala Lumpur untuk melawat emak dengan alasan tidak tahu untuk menaiki pengangkutan awam, selain teksi. Saya sendiri setelah sekian lama tidak menaiki bas, tidak tahu bas apa yang perlu dinaiki untuk ke satu-satu tempat. Memang di depan setiap bas akan dinyatakan arah tuju destinasi bas berkenaan, malah kalau kita kurang pasti, boleh bertanya kepada pemandu bas ataupun orang awam. Tetapi saya selalu tidak begitu yakin dengan cara begini. Saya takut tersesat.)

Setelah berbual beberapa minit, K memohon diri untuk pulang semula ke kampung. Apa yang saya kesalkan, saya tidak membantu adik untuk memudahkan perjalanannya, saya tidak memberi panduan supaya adik mengambil teksi sahaja.

Lewat malam itu saya menghubungi K dan dia memaklumkan telah selamat sampai di kampung sekitar jam 10 malam!