Monday, March 7, 2011

Jalan-jalan di pantai Bagan Lalang

6 Mac 2011

Kami menerima jemputan menghadiri majlis perkahwinan salah seorang saudara kami yang tinggal berdekatan dengan pantai Bagan Lalang.

Selepas makan, saya, suami, dua orang anak dara kami dan dua orang anak saudara singgah di pantai.
Hanya beberapa minit kami berdiri di tepi pantai, sambil melihat air laut yang begitu jauh ke tengah, bagaikan tidak tercapai, dek cuaca yang begitu panas, ditambah dengan pakaian kami yang tidak begitu sesuai untuk bermain air laut.

Kami bergerak ke sebuah gerai yang menjual cucur udang dan minuman sejuk. Bukan lapar pun, sementelah baru saja makan nasi kenduri. Namun melihat cendol dan air batu campur, selera terus membuak-buak untuk menikmatinya.



Thursday, March 3, 2011

Makan tengahari di Zam Zam Restaurant bersama pelajar praktikal


Diam tak diam, Wan dah nak habis praktikal. Kami berlima bercadang nak ajak mereka makan-makan.

Mulanya saya cadangkan makan di Restoran Insaf. Bila Pn R sebut nak makan di Zam Zam....wow....mengapa tidak? Tidak terfikir pula saya.

Hari ini, 3 Mac 2011, kami berlapan menjamu selera untuk pertama kalinya di restoran ini.


Sunday, February 27, 2011

Mari bersenamrobik

Lama sungguh tidak bersenam. Saiz badan pun dah semakin naik. Setiap hari risau dengan berat badan yang bertambah tanpa mengambil tindakan apa-apa, tak ada gunanya.

Satu hari kami terpandang banner di tepi jalan, di depan Kompleks PKNS Bangi. Ada larian perdana dan senamrobik. Masing-masing teruja untuk turut serta.

27 Februari 2011, saya berserta suami dan dua anak dara saya menyertai senamrobik di Taman Tasik Cempaka, Bandar Baru Bangi. Ramai yang mengambil bahagian dalam larian perdana yang telah mendaftar terlebih dahulu. Bagaimanapun kami tidak menyertai larian tersebut dengan mengambil kira tahap kemampuan kami yang berada di paras tidak memuaskan (hehe...). Manalah tau, tiba-tiba pengsan, tak ke haru....

Friday, February 11, 2011

Ibu, engkaulah ratu hatiku....

10 Februari 2011
Ikut tahun masihi, hari ini genap 4 tahun mak meninggalkan alam yang fana ini.

Beberapa hari sebelum ini, saya kerap terkenangkan mak. Memang saya mengaku, saya kadangkala "lupa" pada mak. Saya hanyut dengan urusan dunia. Seawal 5 pagi saya bangun untuk memulakan kerja-kerja menguruskan rumahtangga, dimulai dengan memasak sarapan pagi untuk anak-anak yang akan bersekolah, memasak untuk hidangan tengahari, bersiap-siap ke pejabat dan sekitar 7 petang saya akan kembali ke rumah semula.

Masuk waktu Maghrib saya mengerjakan solat secara asas. Berdoa seadanya. Kerap kali tidak sempat menghadiahkan apa-apa untuk arwah mak dan bapa. Sedangkan bila difikirkan semula, ada banyak waktu untuk saya melakukannya.

Beberapa hari ini memang saya diserang rasa rindu, pilu malah rasa berdosa yang amat sangat. Saya rasa saya anak yang kejam. Setelah ALLAH mengurniakan berbagai-bagai nikmat kepada saya sekeluarga, saya hanya tahu bersyukur menerusi lisan.

Bukankah mak telah banyak berkorban untuk saya?

Mak yang menjadi manusia terbaik menjadikan saya seperti saya hari ini. Mak yang penuh kasih sayang. Mak yang penuh sabar dan reda. Mak yang kemudian menderita kerana diuji oleh ALLAH menghidap kanser payudara selama tiga tahun.

Mak, ampunkan saya.

ALFATIHAH untuk mak.