Saturday, January 15, 2011

Jangan sangka mati itu senang


Ada orang menyangka mati itu senang
Apabila mati kita ditanam, kemudian jadi tanah..habis cerita
Yang susah hanya di dunia, apabila mati selesailah masalah

Orang ini tak pernah belajar, dia anggap mati itu mudah
Padahal kalau tidak ada iman, syariat diabaikan mati sangat menyakitkan

Dia akan menempuh 4 babak yang sangat menakutkan
Kesakitan mati macam pukulan tiga ratus pedang yang tajam
Di dalam kubur pula dipukul dan dibelasah oleh mungkar nakir sangat sakitnya
Makin lama kiamat, makin lamalah masa menerima azab kubur

Dia diazab tidak ada ringan-ringan
Dipukul dipalu oleh malaikat amat ganasnya
Terpekik terlolong tidak ada siapa yang menolongnya

Di padang mahsyar dibiarkan beratus-ratus tahun
Di dalam keadaan tidak berpakaian matahari di atas ubun yang amat panas
Terlontar terbiar macam cacing kepanasan tiada siapa yang menolongnya
Masing-masing tidak memperduli, masing-masing jaga diri

Akhir sekali meniti sirotolmustaqim, kemudian berguguranlah ke dalam api
Di dalam neraka yang panas dirantai dipukul, dibelenggu, makan buah zaqum yang panas

Dengan bau busuknya kalau terbau oleh makhluk dunia semuanya mati
Di dalam neraka kekal abadi tidak akan diukur oleh masa lagi

Marilah kita insaf dengan cerita ini dan marilah kita menyiapkan diri
Agar kita selamat dengan penderitaan yang diceritakan tadi..
Dipetik dari Komuniti/Persatuan Kakitangan Islam KWSP

Monday, December 6, 2010

Fara - Konvokesyen UiTM 6 Disember 2010

Setelah enam bulan menamatkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda, hari ini Fara menghadiri Majlis Konvokesyen UiTM.
Oleh kerana hb ada temujanji di IJN, hanya saya dan Dina yang menemani Fara dan masuk ke dalam dewan. Hmm...rezeki saya dan Dina, tempat duduk kami begitu 'cantik' sekali, betul-betul di bahagian tengah dan dapat melihat dengan jelas tempat duduk para graduan di tingkat bawah dan pentas di depan mata.




Wednesday, November 17, 2010

Sambutan Aidiladha dan ibadah korban

Tahun ini Hari Raya Aidiladha disambut pada hari Rabu, 17 November 2010. Buat pertama kalinya keluarga saya beraya di rumah sendiri, sementelah cuti hanya sehari dan di pertengahan minggu pula. Kebetulan pula ini tahun pertama kami tinggal di taman ini, maka saya dan hb mengambil keputusan untuk menyambutnya bersama penduduk taman perumahan.

Selepas solat sunat Aidiladha kami berkumpul di surau. Kaum wanita memulakan tugas menyediakan sarapan, manakala kaum lelaki akan menyembelih lembu korban diketuai oleh Pak Imam Hj Mustafa.


Sebahagian daging korban diagih-agihkan kepada penduduk taman dan sebahagiannya dimasak dan kami makan beramai-ramai di laman surau. Ini satu pengalaman menarik kepada saya dan anak-anak kerana selama ini kami menyambut di kampung dan tidak pernah terlibat dengan suasana penyembelihan binatang korban.




Friday, October 15, 2010

Kasih anak kepada ibu....

(Pertama kali saya membaca kisah ini melalui kiriman emel dari seseorang. Selepas itu sekali lagi saya membaca kisah ini, juga melalui kiriman emel dari teman yang lain. Saya ingin berkongsi kisah ini di sini, semoga dapat dijadikan panduan kepada anak-anak muda sekarang).
Seorang ibu tua dibawa oleh anak lelakinya yang tinggal di bandar, menziarahi ahli keluarga di sebuah kampung. Sekembali dari tempat ziarah, si ibu kelihatan terkocoh-kocoh, pantas berlari keluar dari kereta.

Langkahnya agak tergopoh-gopoh menaiki anak tangga rumah. Fikir si anak yang masih belum sempat menarik handbrake keretanya, pasti si ibu bergegas untuk segera menunaikan solat Maghrib kerana azan telah berkumandang di surau yang berdekatan.

Tapi, bila dia mula menjejaki anak tangga, 'Subhanallah!' Si anak terkejut melihat najis bejejeran di anak tangga dan di laman rumah.

'Mak sakit perut rupanya,' bisik hatinya. Tanpa berlengah segera disinsingnya lengan baju dan kaki seluar. Najis disodok dan dibuangkan. Getah paip ditarik lalu dialirkan air menuruni anak tangga.

Ibu yang sudah selesai membersihkan diri dan solat Maghrib terkocoh-kocoh sekali lagi menanggalkan telekung, mencapai baldi dan gayung dalam langkah yang terhencut-hencut cuba menuruni anak tangga.

Terpana si ibu di muka pintu melihat anak-anak tangga sudah dimop bersih, seperti hilang akal sejenak.

'Tak sembahyang Maghrib ke?' Tanya si ibu kepada si anak dalam keadaan serba-salah.

'Tak apalah mak, saya musafir, Maghrib tu di jamak takhir dengan Isyak nanti.' Si ibu tak terkata apa.

Tangan kanan masih memegang baldi. Tangan kiri pula memaut grill pintu. Matanya terus memerhatikan si anak, dalam hati penuh sebak dan keharuan, mengucap puji syukur pada Allah kerana anak yang diasuh dari sebesar dua tapak jari, dicucikan najisnya setiap hari itu, buat pertama kalinya menyucikan najis ibunya pula hari ini.

'Ya Allah! begini mulia rahmatmu mengurniakan hamba mu ini anak yang soleh, dia mengenang jasa Ya Allah! dan membalas budi, aku bersyukur padamu.....aku bersyukur pada mu Ya Allah!' sempat si ibu memanjatkan doa dalam hati.

Terasa benar maruahnya dihargai, tawadhuk sungguh mengecapi nikmat kasih.......

Rentetan dari peristiwa itu, dapat dilihat keberkatan dalam hidup si anak kerana apa saja kerja yang dibuat terasa dipermudahkan oleh Allah.

Inilah yang dikatakan keberkatan memuliakan insan yang dimuliakan oleh Allah SWT.