Friday, June 11, 2010

Penyucian jiwa (Bahagian 7 - Gua Hira')

Sebelum berangkat ke Makkah, aku pernah mendengar perlunya seseorang itu memiliki cukup tenaga untuk mendaki Jabal Nur di mana terletaknya Gua Hira'. Memandangkan hari yang dicadangkan untuk mendaki Gua Hira' itu aku 'kekurangan tenaga' setelah dari selepas Subuh aku tidak berselera untuk menjamah makanan, sekadar minum segelas kecil air, aku membuat keputusan untuk tidak turut serta. Aku tidak mahu menyusahkan orang lain sekiranya berlaku apa-apa kepadaku, atau barangkali aku tidak mampu mendaki hingga ke puncak.

Jem beria-ia mahu pergi, begitu bersemangat sekali. Begitu juga dengan beberapa orang jemaah yang lebih berusia daripadaku, turut mendaftarkan nama masing-masing. Semua itu membuatkan aku mendapat semangat untuk turut serta, malah ada yang memberi nasihat, sekiranya tidak mampu untuk sampai ke atas, berhentilah di mana-mana, jangan memaksa diri.

Sebelum bertolak, mutawwif kami telah berpesan supaya kami menunaikan solat sunat di dalam Gua Hira', secara bergilir-gilir. Ruang yang ada boleh dimasuki oleh 2 orang.

Kami menaiki 3 van besar untuk ke sana. Kami bertolak dari hotel sekitar jam 11 malam. Pendakian tidak dilakukan pada waktu siang kerana mengelakkan cuaca yang panas terik.

Sebelum mendaki, Ustaz Rizqon mencadangkan kami membeli tongkat. Semasa mula mendaki bukit yang agak curam, hatiku berbelah bagi, bagaimana waktu nak turun nanti? Tak henti-henti aku berdoa semoga dipermudahkan usaha dan perjalanan kami.

Belum setengah perjalanan, aku sudah mulai tercungap-cungap. Seharian aku hanya menjamah sesuap dua makanan, tenagaku seakan tidak cukup untuk aku meneruskan perjalanan. Aku nampak Jem sudah jauh di atas...

Rasanya sudah tinggi bukit yang didaki, tetapi masih jauh untuk sampai ke puncak...YA ALLAH berilah aku kekuatan untuk meneruskan pendakianku ini....Aku benar-benar keletihan, sukar untuk bernafas dengan sempurna. Terasa mahu saja aku berhenti di pertengahan jalan, namun kegelapan yang menyelubungi alam, ditambah dengan keinginan untuk sampai ke puncak, kugagahkan juga kakiku untuk melangkah.

Hampir-hampir sampai ke puncak, aku berhenti. Aku menjauhi rakan-rakan lain. Saat itu aku bagaikan kehabisan tenaga, malah amat sukar untuk aku bernafas. Aku seperti akan kehilangan nyawa.....sampaikan aku berdoa mohon dipanjangkan usia....Aku terbayang wajah anak-anakku. Aku menangis di dalam hati..........

Perutku bergelodak, nafasku semakin tidak teratur dan tanpa dapat kutahankan lagi, aku termuntah....,muntah dan muntah lagi, mengeluarkan cecair yang walau pun tidak banyak, namun berupaya melegakan perutku..........

Aku rasa berdosa kerana muntah di tempat suci itu, namun apalah dayaku.........

Aku meneruskan perjalanan dan kami melalui satu lorong yang begitu sempit untuk sampai ke pintu gua. Rakan-rakan lain mula bergilir-gilir menunaikan solat sunat, yang tidak ada wuduk, mengambil wuduk menggunakan air mineral yang dibawa.

Saat ini aku merasa amat sedih kerana tidak mampu mengerjakan solat. Pakaianku telah tercemar dengan percikan muntahku tadi. Aku hanya mampu menadah tangan memohon doa daripada ALLAH SWT....Hatiku turut berbisik memohon maaf daripada Rasulullah SAW....Barangkali ada sebab kenapa aku tidak 'diizinkan' bersolat di sini........AMPUNKAN DOSA-DOSAKU YA ALLAH.....Aku merintih dalam hati...

Ustaz Rizqon menyampaikan sedikit ucapan dan pesanan selepas semuanya selesai bersolat sunat. Kemudian kami berehat seketika sambil menikmati minuman yang boleh dibeli dipuncak Jabal Nur. Suasana memang gelap, hanya diterangi cahaya lampu kecil peniaga di situ.

Kami menikmati pemandangan bandar Makkah ditemani tiupan angin yang begitu tenang dan nyaman....

Kami mula menuruni Jabal Nur sekitar jam 2 pagi. Beberapa rakan menghubungi anak-anak di tanah air dan dengan gembiranya menyatakan bahawa kami dalam perjalanan turun dari Gua Hira'...

Bila sampai di bawah, ada yang berkata : kalaulah kita mendaki di siang hari, mungkin ramai yang tidak berani memandangkan bukitnya yang tinggi dan curam....Barangkali itu antara sebabnya kenapa pendakian dilakukan di waktu malam....




Thursday, June 10, 2010

Penyucian jiwa (Bahagian 6)

16 Mei 2010

Seperti biasa, selepas solat Maghrib, kami mengisi masa yang ada dengan membaca Al-Quran sementara menanti masuknya waktu Isyak. Namun, bila mata terasa pedih dan letih, aku akan berdiri dan memandang Ka'abah sambil membaca pelbagai doa. Bukankah dengan memandang Ka'abah sahaja kita akan mendapat 20 pahala?

Sejak aku dan Jem 'menemui' ruang bersolat di tingkat 1, setiap waktu kami akan menunaikan solat di situ. Meski pun cuacanya agak panas, tetapi hati begitu puas kerana dapat memandang Ka'abah.

Malam ini solat Isyak telah meninggalkan kenangan amat syahdu dalam hidupku. Ketika Imam membaca surah di rakaat kedua, Imam tersebut menangis..........bacaannya tersekat-sekat 2-3 kali dek esakannya........Bayangkanlah.....betapa hibanya hati....Aku yang tidak dapat menangkap surah apa, malah tidak faham maksud surah tersebut, boleh ikut sebak dan bergenang airmata..............Apa yang ada dalam fikiranku adalah - betapa tawaduknya Imam tersebut menghayati bacaannya, yang sudah pasti beliau memahami sepenuhnya maksud surah yang dibacanya itu. Pastinya beliau berada dalam keadaan penuh rendah hati dan benar-benar menghambakan diri terhadap ALLAH SWT....

Alangkah bagusnya kalau aku juga mampu menghayati dan menginsafi akan kekerdilanku sebagai hamba............

Malam ini, bersama beberapa jemaah lain, kami meminta jasa baik Ustaz Rizqon membimbing kami melakukan umrah sunat ke 4. Jam 11 malam waktu Arab Saudi, dengan menaiki van, kami berlapan termasuk ustaz menuju ke Tana'im untuk berniat ihram.

Terasa nyaman sekali bertawaf di tengah malam..........cuma untuk menghabiskan sai'e aku merasa agak keletihan ketika di pusingan ke 6. Namun, kukumpul tenaga yang bersisa untuk menghabiskan umrahku.

Kami bergunting sekitar jam 1.20 malam.

Sebelum kembali ke hotel, Jem membelanja kami semua makan aiskrim........Memang di sini banyak kedai menjual aiskrim dan air buah (segelas SR8) yang sungguh sedap. Walaupun tengah malam, keletihan melaksanakan ibadah umrah membuatkan aiskrim yang dimakan menjadi 3 kali lebih nikmat dari biasa........

Kami kembali ke hotel dan terus tidur. Ralatnya, aku dan Jem tidak berjemaah di masjid untuk solat subuh dek kepenatan. Bayangkan kami tidur selepas jam 2 pagi dan waktu subuh masuk pukul 4.15 pagi. Kebiasaannya kami akan ke masjid sekitar jam 3.30 pagi....

Kami solat subuh di bilik hotel sahaja....


Sunday, June 6, 2010

Penyucian jiwa (Bahagian 5)

15 Mei 2010

Kami melawat Jabal Rahmah hari ini.....

Dari Jabal Rahmah kami dibawa melawat tempat-tempat lain termasuk Mina dan Arafah...namun kami hanya dapat memandang dari dalam bas sahaja.


Sebelum masuk waktu Zuhur, Ustaz Rizqon membimbing kami melakukan umrah sunat ke 3, di tengah bahang terik matahari. Memang pipi terasa agak perit. Peluh berjuraian membasahi baju, namun semangat untuk menghambakan diri kepada Yang Maha Pencipta menghilangkan semua dugaan yang dihadapi. Selesai tawaf kami melakukan sa'ie hingga tiba panggilan untuk menunaikan solat Zuhur saat sa'ie berbaki 2 pusingan lagi.

Kami memasuki masjid untuk bersolat. Kemudian kami menghabiskan baki sa'ie dan terus bergunting.
Mukaku yang gelap akibat pancaran sinar matahari, ditambah dengan sikap malasku untuk menyapu sunblock, sedangkan sebelum pergi aku telah membeli set khas penjagaan diri untuk jemaah umrah iaitu losyen muka, pelembap bibir, syampu rambut, syampu badan dan losyen untuk tapak kaki.



Saturday, June 5, 2010

Penyucian jiwa (Bahagian 4)

13 Mei 2010 (Khamis)

Aktiviti kami bermula seawal 6.30 pagi, waktu Arab Saudi. Kami menuju ke Tana'im dengan menaiki bas untuk berniat ihram.

Mutawwif Ustaz Haji Rizqon Saleh.

Ketika aku menuruni tangga bas untuk memasuki Masjidil Haram, tiba-tiba pintu bas seperti mahu tertutup. Mujur aku sempat berhenti, kalau tidak mungkin aku akan terkena hentakan pintu bas tersebut.

Bila aku selamat menjejakkan kaki ke tanah, aku dapati begitu banyak belalang berterbangan dan seekor daripadanya hinggap di mukaku. Begitu pantas tanganku menepisnya sehingga hampir terjatuh cermin mataku.

Ustaz Rizqon membimbing kami melakukan umrah kedua @ sunat. Cuaca agak nyaman dalam waktu sekitar 8.30 pagi.

Petangnya, selepas solat Asar, Yusron dan Thohir membawa kami berjalan-jalan ke pusat membeli-belah.

Tak sangka di Arab Saudi pun ada tulisan Melayu!

Teringin nak berehat sekejap melepaskan penat sambil minum2 di restoran, tapi mengenangkan ini bukan Malaysia, ditambah dengan saranan Yusron agar mengelak diri daripada berada di tempat awam, sewajarnya aku menghormati peraturan di sini. Lagi pun bila difikirkan, elok juga kaum wanita tidak dibiarkan bebas ke mana-mana tanpa ada yang melindungi.