Thursday, June 10, 2010

Penyucian jiwa (Bahagian 6)

16 Mei 2010

Seperti biasa, selepas solat Maghrib, kami mengisi masa yang ada dengan membaca Al-Quran sementara menanti masuknya waktu Isyak. Namun, bila mata terasa pedih dan letih, aku akan berdiri dan memandang Ka'abah sambil membaca pelbagai doa. Bukankah dengan memandang Ka'abah sahaja kita akan mendapat 20 pahala?

Sejak aku dan Jem 'menemui' ruang bersolat di tingkat 1, setiap waktu kami akan menunaikan solat di situ. Meski pun cuacanya agak panas, tetapi hati begitu puas kerana dapat memandang Ka'abah.

Malam ini solat Isyak telah meninggalkan kenangan amat syahdu dalam hidupku. Ketika Imam membaca surah di rakaat kedua, Imam tersebut menangis..........bacaannya tersekat-sekat 2-3 kali dek esakannya........Bayangkanlah.....betapa hibanya hati....Aku yang tidak dapat menangkap surah apa, malah tidak faham maksud surah tersebut, boleh ikut sebak dan bergenang airmata..............Apa yang ada dalam fikiranku adalah - betapa tawaduknya Imam tersebut menghayati bacaannya, yang sudah pasti beliau memahami sepenuhnya maksud surah yang dibacanya itu. Pastinya beliau berada dalam keadaan penuh rendah hati dan benar-benar menghambakan diri terhadap ALLAH SWT....

Alangkah bagusnya kalau aku juga mampu menghayati dan menginsafi akan kekerdilanku sebagai hamba............

Malam ini, bersama beberapa jemaah lain, kami meminta jasa baik Ustaz Rizqon membimbing kami melakukan umrah sunat ke 4. Jam 11 malam waktu Arab Saudi, dengan menaiki van, kami berlapan termasuk ustaz menuju ke Tana'im untuk berniat ihram.

Terasa nyaman sekali bertawaf di tengah malam..........cuma untuk menghabiskan sai'e aku merasa agak keletihan ketika di pusingan ke 6. Namun, kukumpul tenaga yang bersisa untuk menghabiskan umrahku.

Kami bergunting sekitar jam 1.20 malam.

Sebelum kembali ke hotel, Jem membelanja kami semua makan aiskrim........Memang di sini banyak kedai menjual aiskrim dan air buah (segelas SR8) yang sungguh sedap. Walaupun tengah malam, keletihan melaksanakan ibadah umrah membuatkan aiskrim yang dimakan menjadi 3 kali lebih nikmat dari biasa........

Kami kembali ke hotel dan terus tidur. Ralatnya, aku dan Jem tidak berjemaah di masjid untuk solat subuh dek kepenatan. Bayangkan kami tidur selepas jam 2 pagi dan waktu subuh masuk pukul 4.15 pagi. Kebiasaannya kami akan ke masjid sekitar jam 3.30 pagi....

Kami solat subuh di bilik hotel sahaja....


Sunday, June 6, 2010

Penyucian jiwa (Bahagian 5)

15 Mei 2010

Kami melawat Jabal Rahmah hari ini.....

Dari Jabal Rahmah kami dibawa melawat tempat-tempat lain termasuk Mina dan Arafah...namun kami hanya dapat memandang dari dalam bas sahaja.


Sebelum masuk waktu Zuhur, Ustaz Rizqon membimbing kami melakukan umrah sunat ke 3, di tengah bahang terik matahari. Memang pipi terasa agak perit. Peluh berjuraian membasahi baju, namun semangat untuk menghambakan diri kepada Yang Maha Pencipta menghilangkan semua dugaan yang dihadapi. Selesai tawaf kami melakukan sa'ie hingga tiba panggilan untuk menunaikan solat Zuhur saat sa'ie berbaki 2 pusingan lagi.

Kami memasuki masjid untuk bersolat. Kemudian kami menghabiskan baki sa'ie dan terus bergunting.
Mukaku yang gelap akibat pancaran sinar matahari, ditambah dengan sikap malasku untuk menyapu sunblock, sedangkan sebelum pergi aku telah membeli set khas penjagaan diri untuk jemaah umrah iaitu losyen muka, pelembap bibir, syampu rambut, syampu badan dan losyen untuk tapak kaki.



Saturday, June 5, 2010

Penyucian jiwa (Bahagian 4)

13 Mei 2010 (Khamis)

Aktiviti kami bermula seawal 6.30 pagi, waktu Arab Saudi. Kami menuju ke Tana'im dengan menaiki bas untuk berniat ihram.

Mutawwif Ustaz Haji Rizqon Saleh.

Ketika aku menuruni tangga bas untuk memasuki Masjidil Haram, tiba-tiba pintu bas seperti mahu tertutup. Mujur aku sempat berhenti, kalau tidak mungkin aku akan terkena hentakan pintu bas tersebut.

Bila aku selamat menjejakkan kaki ke tanah, aku dapati begitu banyak belalang berterbangan dan seekor daripadanya hinggap di mukaku. Begitu pantas tanganku menepisnya sehingga hampir terjatuh cermin mataku.

Ustaz Rizqon membimbing kami melakukan umrah kedua @ sunat. Cuaca agak nyaman dalam waktu sekitar 8.30 pagi.

Petangnya, selepas solat Asar, Yusron dan Thohir membawa kami berjalan-jalan ke pusat membeli-belah.

Tak sangka di Arab Saudi pun ada tulisan Melayu!

Teringin nak berehat sekejap melepaskan penat sambil minum2 di restoran, tapi mengenangkan ini bukan Malaysia, ditambah dengan saranan Yusron agar mengelak diri daripada berada di tempat awam, sewajarnya aku menghormati peraturan di sini. Lagi pun bila difikirkan, elok juga kaum wanita tidak dibiarkan bebas ke mana-mana tanpa ada yang melindungi.

Thursday, June 3, 2010

Penyucian jiwa (Bahagian 3)

Masih 11 Mei 2010 - ikut tarikh di Arab Saudi

Buat pertama kalinya dalam hidupku, aku menjejakkan kaki ke dalam Masjid Al-Haram........dan melihat Ka'abah.......Aku terpegun dan terpaku, bagaikan tidak percaya aku telah berada di sini.. terasa bagaikan ingin menangis...namun airmata tertahan di kolamnya....

YA ALLAH YA RAHMAN YA RAHIM......aku bersyukur ke hadratMU kerana telah membawaku ke sini..YA ALLAH...

Selama ini aku hanya menatap gambar Ka'abah melalui bahan bacaan dan TV. Kini ia ada di depan mataku, begitu indah sekali..........Sukar sekali untuk ku alihkan pandangan mataku....YA ALLAH Yang Maha Pemurah, yang telah memberi izin aku ke tanah suci ini. Terima kasih YA ALLAH...

Kami selesai melakukan umrah pertama lebih kurang pukul 11.30 malam. Syahdunya perasaanku saat melakukan tawaf beramai-ramai dengan bimbingan Ustaz Rizqon, bersai'e dan kemudian bergunting. Setiap waktu bibir melafazkan doa, memohon segala kebaikan dari ALLAH.

12 Mei 2010 (Rabu)

Memandangkan kami telah menempuh perjalanan yang agak jauh, tidak cukup rehat, hari ini Ustaz Rizqon memberikan kami 'aktiviti bebas'.

Selepas menunaikan solat Subuh di masjid, kami kembali ke hotel untuk bersarapan. Selesai bersarapan kami naik ke bilik masing-masing, berkenal-kenalan dengan rakan sebilik dan bilik sebelah, ada 6 orang termasuk kami. Alhamdulillah, semuanya baik-baik belaka, terutamanya Hajah Saniah yang begitu ketara sifat keibuannya. Aku memanggilnya kakak kerana usianya yang tidak begitu jauh dengan usiaku.

Kemudian kami berehat, menghilangkan penat........dan tidur........

Lebih kurang sejam sebelum masuk waktu Zuhur, aku dan Jem bertolak ke masjid. Kami teringin untuk melihat Masjidil Haram dengan lebih puas lagi memandangkan sebelum ini, dua kali kami ke sana dalam suasana malam dan subuh.

Aku terlupa untuk menukar tarikh & masa di kamera


Selepas solat, kami kembali ke hotel untuk makan tengahari dan berehat. Ada yang mengambil kesempatan untuk mencuci pakaian. Kami menggantung pakaian kami yang telah dicuci, di dalam bilik air. Bila air tidak menitik lagi, kami memindahkan pakaian tersebut ke dalam bilik dan memberi laluan kepada rakan lain untuk mencuci pakaian dan menggantungnya di bilik air. Syukur aku mendapat rakan-rakan yang baik dan bertolak-ansur.

Menjelang waktu Asar kami pergi semula ke Masjid Al-Haram untuk bersolat. Alangkah nikmatnya dapat bersolat di dalam masjid yang mulia ini bersama ribuan manusia pelbagai bangsa dan menjadi makmum kepada imam besar masjid ini.

Deretan tong air zam-zam di dalam masjid

Usai solat Asar, aku dan Jem mengaturkan pertemuan dengan seorang kenalan, pelajar dari Indonesia yang menuntut di Arab Saudi, yang juga salah seorang mutawwif kepada Lembaga Tabung Haji Malaysia. Memandangkan kami belum pernah bertemunya sebelum ini dan dalam keadaan yang sesak dengan jemaah yang baru selesai menunaikan solat, agak sukar untuk saling mencari.

Kami hanya memberitahunya melalui handphone agar mencari kami di depan pintu 1, pintu King Abdul Aziz. Setelah beberapa kali berbalas-balas panggilan, akhirnya kami bertemu. Yusron, hampir sebaya dengan anak sulungku, begitu tertib dan tutur katanya begitu sopan sekali.

Memandangkan di Makkah, kaum wanita tidak dibenarkan sesuka hati makan di tempat umum, Jem membeli makanan untuk Yusron dan kawannya, Thohir dan kami duduk di lobi hotel, berkenalan dan berbual-bual.

Yusron berjanji akan membawa kami melawat sekitar kawasan Masjidil Haram selepas solat Isyak malam ini.

Yang tidak memakai kopiah adalah Yusron, sebelahnya Thohir.